JANGAN BACA SAMPAI HABIS

Bab 8

“Aliya meninggal dunia kemalangan kat mana makcik?” Zubir tanya.

“Dia balik dari tempat kerja. Masa tu hujan. Dia naik motor. Ada kereta tak nampak dia kot, terlanggar. Kakinya patah. Pendarahan dalam kepalanya. Meninggal dunia lepas dua hari kat hospital,” kata mak Rostam.

“Innalillahi wainna ilaihi rojiun. Maaf makcik, saya tak tahu. Saya pun dah lama tak jumpa Rostam,” kata Zubir dengan wajah agak sayu.

“Takpelah, dah sampai ajal dia. Rostam pun sedih sangat masa tu sebab itu je adik dia. Malam Aliya dikebumikan, dia tidur kat kubur,” kata mak Rostam lagi dengan suara berbaur sebak. Bergenang air matanya mengenangkan satu-satunya anak perempuannya yang pergi dulu sebelum dirinya.

“Rostam nampak Aliya tu sejak bila makcik? Selepas Aliya meninggal dunia atau baru-baru ni?” aku bertanya.

“Baru-baru ni. Rasanya sejak dua hari lepas kot. Sebelum ni takde apa pun,” sahut mak Rostam.

Aku, Iqmal dan Zubir berpandangan sesama sendiri.

“Dia cakap dia nampak macammana?” Iqmal tanya.

“Dia kan kerja kat pekan. Dia tak duduk sini sekali dengan makci. Cuma dua hari lepas dia balik rumah ni dengan muka takut. Katanya Aliya datang kacau dia kat rumah bujang dia. Makcik kata perasaan dia je, mungkin dia rindukan adiknya. Tapi dia beriya-iya kata Aliya datang dengan pakai tongkat dan kaki kanannya terkulai. Sampai sekarang. Malam semalam menjerit-jerit dia menghalau, katanya Aliya berdiri kat tepi katilnya pandang dia dengan tongkat tu,” kata mak Rostam.

Tiba-tiba kami dengar bunyi pintu bilik dibuka. Kami memandang ke arah bunyi itu. Kami nampak pintu bilik terbuka perlahan. Tapi tak nampak sesiapa.

“Rostam. Ooo Rostam, mari sini nak. Ni Zubir dengan kawan kamu datang nak jumpa kamu. Marilah sini,” mak Rostam memanggil lembut anaknya. Tiada sahutan.

Dan seketika kemudian, pintu bilik itu tertutup semula dengan sendiri, tiada sesiapa di situ. Aku dah menggosok lengan dah, sejuk sampai ke tulang rasanya. Telinga aku rasa macam dah beku. Jantung aku berdegup laju.

Suasana sunyi seketika. Dalam sunyi tu, kami dengar bunyi yang sama macam masa mula-mula kami sampai ke rumah ini pertama kali tadi. Bunyi seseorang berjalan menggunakan tongkat. Bunyi tu seakan berlegar di keliling kami.

“Makcik, kami dengar bunyi orang berjalan gunakan tongkat. Makcik dengar tak?” Iqmal bertanya.

“Entah, makcik tak perasan pula. Kami dengar di mana? Rostam kot kat dalam tu entah apa dibuatnya,” kata mak Rostam.

“Itu bilik siapa? Rostam? Dia ada kat dalam ke? Boleh kami jumpa dia?” Zubir tanya.

“Dia ada kat dalam tu. Tadi dia yang buka dan tutup pintu tu agaknya,” kata mak Rostam.

“Rostam, mari sini. Kawan kamu datang ni,” mak Rostam memanggil lagi.

“Takpe makcik, biar kami je pergi jumpa dia,” kata Zubir.

“Pergilah.” Mak Rostam bagi izin.

Aku, Zubir dan Iqmal bangun lalu melangkah ke bilik Rostam. Kami panggil namanya tapi tiada sahutan. Zubir tolak daun pintu perlahan dan kami menjenguk ke dalam. Di tingkap bilik, kami nampak jelas perempuan muda yang kami nampak tadi sedang berdiri dengan tongkat, dan memandang ke arah kami.

“Astaghfirullahal azim,” ucap kami serentak, Zubir melepaskan daun pintu yang ditolaknya tadi dan pintu tersebut tertutup semula.

“Itu adik dia kan?” aku berbisik kepada Zubir. Zubir hanya menganggukkan kepala.

“Sekarang ni macammana?” Iqmal tanya.

“Minta tolong maknya panggil Rostam keluar la,” kataku. Zubir anggukkan kepala. Dia pun hilang keberanian masa tu.

“Makcik, kami tak nampak Rostam. Boleh makcik panggilkan dia?”

Mak Rostam bangun dan terus masuk ke dalam bilik Rostam. Adiknya yang kami nampak tadi, tiada di situ. Kami menjenguk ke dalam bilik.

“Tam, sampai bila kamu nak macam ni? Keluarlah jumpa orang. Takkan nak terus macam ni. Sedih mak. Dah la kamu sorang je anak mak sekarang ni, kamu pula jadi macam ni,” kami dengar suara mak Rostam bersuara sebak.

Kami menjenguk ke arah mak Rostam. Dan kami nampak di satu sudut yang gelap, Rostam sedang duduk di situ dengan wajah ketakutan. Kami masuk ke dalam bilik dan menghampiri Rostam. Rostam seakan terkejut nampak kami.

“Tam, kenapa sampai macam ni?” Zubir tegur Rostam. Rostam menuding jarinya ke arah aku.

“Itu Azman. Kau baru jumpa dia dua hari lepas kan?” Zubir berkata.

“Aku taknak jumpa dia. Suruh dia keluar,” kata Rostam seakan marah sangat dengan aku.

“Sebab cerita dia kan? Cerita dia buatkan adik kau yang dah mati bangun semula?” kata-kata Zubir buatkan Rostam memandang Zubir semula dan berhenti menuding jari kat aku.

“Adik kau ada kat dalam bilik ni kan? Dia berjalan guna tongkat,” Iqmal pula mencelah.

“Korang nampak?” Rostam tanya.

“Iye, kami nampak. Jom kita keluar dari bilik ni. Kita sembang kat luar,” Zubir mengajak.

“Tapi dia halang aku. Dia pandang aku, dia marah aku. Sama macam dalam cerita blog tu,” kata Rostam.

“Dia kat mana?” Iqmal buat soalan cepu emas la pula. Aku cuit Iqmal, tak payah la tanya soalan tu sekarang. Kita kata dalam bilik ni kot. Nanti semua kena halang pulak.

“Kat belakang korang tu,” kata Rostam menundukkan wajahnya. Aku pandang Iqmal, ajak dia keluar.

“Takpe, jom ikut kami keluar. Jangan takut, dia bukan sesiapa. Adik kau dah mati, dia dah pergi ke tempatnya. Itu Cuma syaitan nak perdayakan kau Tam. Jangan ikutkan,” kata Zubir. Mungkin dengan apa yang dah jadi kepada dirinya, dia menjadi makin matang dalam menangani keadaan macam ni.

Rostam aku, dia bangun dari ceruk biliknya. “Kau pejam je mata kau. Takdelah kau nampak dia,” kata Zubir. Dan Rostam akur. Nampak sangat dia betul-betul takut.

Kami bawa Rostam keluar dari biliknya, dan terus ke halaman rumah maknya. Di sana kami duduk di satu pangkin bawah pokok rambutan.

“Tam, kami semua alami apa yang kau alami. Cuma kisah kita berlainan, mengikut cerita yang kit abaca. Aku ni ha, sampai hampir lemas dikejar langsuir. Iqmal, setiap malam dihantui mayat hidup kawannya. Asma masih kat hospital, jatuh dari balkoni rumahnya. Fikri kemalangan, pun masih kat hospital. Itu yang kita tahu. Yang kita tak tahu entahlah berapa ramai kat luar sana,” kata Zubir menjelaskan kepada Rostam.

Rostam buat muka terkejut.

“Betul ke ni? Bukan aku seorang? Hanya sebab cerita kat blog tu?”

“Iye Tam, bukan kau seorang,”

“Jadi, memang Man la dalangnya. Sebab itu blog dia,”

“Aku tak tulis cerita tu Tam. Ingat tak kau jumpa aku depan cyber café haritu, sebab aku cuba nak masuk blog aku. Aku sendiri tak boleh masuk blog aku. Tak tahu apa dah jadi,” aku cuba pertahankan diri.

“Jadi, apa semua ni?” Rostam tanya balik.

“Itu yang kami sedang cari puncanya. Tapi yang pasti, siapa yang baca cerita tu sampai habis sahaja yang akan mengalami perkara ni. Idris pun ada baca tapi sebab dia tak baca sampai habis, dia ok je. Tak jadi macam apa yang jadi kat kita,” kata Iqmal pula.

Suasana sunyi seketika. Dalam sunyi tu, aku buka telefon aku yang dah berbunyi beberapa kali sejak tadi. Bunyi whatsapp masuk.

Dalam group, “Man, kau kat mana? Aku nampak ada cerita lagi kat blog kau? Kau tulis ke?” Shahril bertanya. Tiada sahutan sejak soalannya.

“Kenapa Man?” Iqmal tegur bila dia tengok muka aku dah cuak semacam. Aku tak jawab, tapi aku terus call nombor Shahril.

“Ril, kau dah baca ke cerita tu?”  aku terus bertanya sebaik sahaja mendengar suara Shahril menjawab telefon.

“Ni aku tengah baca kat phone aku, masa tu la kau call. Kenapa?”

“Kau belum habis baca?”

“Belum lagi. Best la, seram. Macam real,”

“Dah, kau jangan baca. Tutup blog tu, unfollow terus,”

“Kenapa pula?”

“Panjang ceritanya, kau jangan baca. Nanti aku ceritakan,” kataku tegas.

“Ok ok. Aku tutup. Tapi cerita tu macam menarik aku suruh baca sampai habis. Aku nak tahu apa jadi,”

“Kalau kau taknak jadi gila, baik kau ikut cakap aku. Tutup blog tu, jangan baca sampai habis,” Aku bagi amaran kat Shahril.

“Iyelah, aku tutup. Janganlah serius sangat.”

“Ok, nanti kita jumpa, aku cerita,” aku tutup talian.

“Masih ada yang publish cerita aku kat blog la,” rungutku dengan kerutan di dahi.

“Siapa pula yang baca?”

“Shahril,”

“Dia dah habis baca ke?”

“Belum katanya. Tapi macam nak baca lagi. Aku dah bagi amaran suruh dia berhenti baca,”

Kami tersentak serentak bila tingkap bilik Rostam terbuka dan tertutup sendiri, seperti dihempas oleh seseorang yang sedang marah sangat.

“Mak kau marah ke Tam?” Zubir tanya.

“Bukan mak aku. Tapi adik aku,” Rostam menjawab sambil menundukkan kepalanya ke tanah. Wajahnya pucat. Kami memandang ke tingkap tersebut, tapi kami tak nampak sesiapa.

“Bukan adik kau Tam. Jangan keliru. Dah dekat nak zohor ni, jom kita pergi ke masjid atau surau terdekat. Kita jumpa sesiapa kat sana. Itu je cara untuk kita sekarang ni,” kata Iqmal. Dia pun dulu disembuhkan oleh Ustaz Hakim. Walaupun tak berapa nak sembuh, tapi itu saja cara untuk kami keluar dari kemelut ni sekarang.

“Mak, Tam pergi surau dengan kawan-kawan ye.” Rostam meminta izin dari maknya, hanya dari luar dapur sahaja sebab maknya sedang memasak di dapur.

“Ha, iyelah. Nanti lepas solat, balik sini bawa kawan tu semua, makan kat sini ye,” kata mak Rostam.

“In Shaa Allah makcik,” kami menyahut serentak.

“Rasanya kamu semua ni dah diperdaya syaitan alam siber ni,” kata Haji Alias setelah selesai solat zohor ketika kami menceritakan masalah kami. Haji Alias adalah imam kat masjid tu.

“Syaitan alam siber?” kami bertanya serentak.

Haji Alias ketawa kecil. Dan kami makin tertanya-tanya.

-Bersambung-

One thought on “JANGAN BACA SAMPAI HABIS

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s