JANGAN BACA SAMPAI HABIS

Bab 7

“Aku kena tanya Asma pula, apa yang dia nampak sampai dia jatuh dari balkoni rumahnya,” aku beritahu Iqmal.

“Tapi Asma masih kat hospital kan? Takkan nak ganggu dia,” Iqmal menyampuk.

“Asma pun kena ke?” Zubir tanya aku.

“Haah, dia pun baca, lepas tu dia jatuh dari balkoni rumahnya,”

“Siapa lagi yang kena?” Zubir tanya. Wajahnya agak cerah sikit dari tadi bila dia tahu bukan dia seorang yang kena.

“Fikri pun kemalangan lepas sehari dia baca cerita aku. Tapi kan, sebelum Fikri baca, Idris pun ada baca. Cuma Idris tak sempat baca habis. Dia baca separuh je. Fikir baca habis. Fikri kemalangan tapi Idris takde apa. Idris kata, bila dia nak buka balik cerita tu kat blog aku, dah takde dah cerita tu. Dan semalam aku jumpa Rostam, dia pun kata ada baca. Dan aku tak tahu apa cerita dia lepas tu. Sebab aku takde nombor telefon dia. Korang ada nombor dia?” aku tanya.

“Fikri baca cerita apa?” Iqmal tanya.

“Pasal pocong,” sahutku pendek. Muka Iqmal dan Zubir berubah.

“Rostam pula?” Zubir tanya.

“Mayat yang hidup semula,” aku sahut.

“Weh, kalaulah benda tu semua keluar, memang boleh gila la,” Zubir menyahut.

“Itulah pasal, sebab tu aku nak cari punca ni semua. Aku tak boleh masuk blog aku. Password aku dah tukar,” sahutku.

“Tapi kau masih boleh buka blog sebagai follower kan?” Iqmal tanya aku. Aku angguk kepala.

“Kau tengok cerita last kau pos bila?” Iqmal tanya aku.

“24 haribulan, bulan lepas,” sahutku. Memang aku ingat tarikh tu sebab aku dah refresh blog to beberapa kali. Memang cerita last ialah pada tarikh sebulan yang lepas.

“Kau yakin takde orang lain selepas Rostam yang baca cerita kat blog kau?” Zubir tanya.

“Aku tak tahu. Sebab tiada yang bercerita. Takdelah kot.” Sahutku.

“Kau kena warning kawan-kawan atau follower kau, jangan baca cerita kat blog kau dah. Mungkin itu boleh hentikan semua ni,” kata Zubir.

“Nak warning macammana?”

“Warning la macammana pun. Kat semua media sosial kau. Nanti diorang share, akan sampai kat semua follower blog kau. Kita cuba je,”

Aku diam.

“Jadi sekarang ni macammana? Nak jumpa Asma? Atau Fikri?” Zubir tanya.

“Dua-dua pun masih kat hospital.” Iqmal menyahut.

“Tak payahlah. Aku nak cari Rostam. Masa dia tinggalkan aku semalam, katanya mak dia jatuh.” Sahutku.

“Jom, aku ikut kau. Aku tahu rumah mak dia, itupun kalau diorang tak pindah la,” kata Iqmal.

Aku menurut je. Tak tahulah macammana kami semua takde nombor telefon dia. Mungkin sebab dia tak begitu bergaul rapat dengan kami. Sekadar kawan gitu-gitu je.

Zubir beritahu maknya, dia nak keluar ikut kami.

“Berani dah ke kamu tu? Jangan balik nanti cakap merepek jumpa langsuir lagi,” kata mak Zubir. Mestilah dia risau, anaknya hampir lemas kot.

“Boleh mak, In Shaa Allah.” Sahut Zubir.

Kami bertiga bergerak dengan kereta aku. Sampai kat rumah mak Zubir, suasana suram je. Tak nampak kelibat manusia. Aku bagi salam, tiada sahutan. Iqmal pula bagi salam. Pun tiada sahutan. Dan akhirnya Zubir bagi salam, masih tiada sahutan.

“Takde orang kot,” Zubir meneka.

“Kita tunggu kejap,”

Setelah sepuluh minit kami menunggu, kami dengar satu bunyi dari dalam rumah mak Rostam. Bunyi seakan seseorang berjalan menggunakan tongkat. “Tok tok tok,” bunyi tongkat sedang digunakan oleh seseorang yang sedang berjalan.

Kami bertiga yang sedang menunggu di tangga rumah kayu tu berpandangan sesama sendiri. Aku cuba nak memanggil tapi Iqmal tutup mulut aku. Dia bagi isyarat suruh diam. Aku akur.

Kami berdiri di halaman rumah, menunggu siapa yang akan membuka pintu atau tingkap. Entah kenapa jantung aku ni rasa berdegup kencang macam masa aku masuk hospital haritu. Tapi doktor dah kata jantung aku ok. Aku pegang dada, sakit betul.

Pintu rumah terbuka. Ada seorang perempuan muda berdiri di muka pintu, sambil memegang tongkat di tangan kanannya.

“Aliya?” Zubir menegur.

“Cari siapa?” perempuan tu menjawab.

Aku dan Iqmal pandang Zubir. “Ini adik Rostam,” kata Zubir. Kami anggukkan kepala. Maknanya diorang masih tinggal di situ.

“Rostam ada?” Zubir bertanya.

“Dia tak duduk sini.” Perempuan tu menyambut perlahan. Matanya memandang kami silih berganti dengan tongkat di tangannya. Entahlah kenapa, hati aku tak begitu selesa.

“Dia kat mana sekarang ni?” Zubir tanya.

“Dia kat rumah mak,” perempuan tu menyahut.

“Rumah mak? Ini bukan rumah mak dia ke?” Zubir tanya.

“Tak, saya yang duduk kat rumah ni,” sahut perempuan tu lagi.

“Kat mana rumah maknya sekarang ni?”

“Kat hujung taman sebelah kampung ni,”

“Rumah nombor berapa?”

“No. 13,”

“Ok, terima kasih ye. Kami cari dia di sana,” kata Zubir sambil menarik tangan kami untuk meninggalkan rumah tu.

Sebaik kami masuk ke dalam kereta, kami memandang semula ke rumah tersebut. Perempuan tu masih berdiri di situ dan pandang kami dengan pandangan tajam.

“Kau kenal rapat ke dengan keluarga Rostam ni?” aku tanya Zubir.

“Takdelah rapat sangat. Tapi aku kenal keluarga dia. Ini adik perempuan bongsu dia. Tapi kenapa dia macam tak kenal aku?”

“Mungkin sebab dah lama kau tak jumpa diorang kot,”

“Mungkin juga. Dulu adiknya masih bersekolah. Tapi kenapa pula bertongkat tu,” sahut Zubir.

“Takpelah, jom kita pergi rumah mak Zubir tu dulu. Apa-apa kita tanya dia nanti.”

Kami pun berlalu pergi meninggalkan rumah papan tu. Sampai kat rumah hujung bernombor 13 yang diberitahu oleh adik Rostam tadi, kami dapati rumah tu milik sebuah keluarga cina.

“Cari siapa?” tuan rumah tu, seorang lelaki cina dalam usia 40 tahun bertanya.

“Kami cari rumah kawan kami, namanya Rostam,”

“Sini takde orang nama Rostam.”

“Uncle baru kat sini ke?”

“Saya sudah duduk sini dari saya lahir. Dulu ini rumah saya punya mak. Sekarang sudah jadi rumah saya,”

“Ooo… dah lama duduk sini ye,”

“Iye, sudah lama saya duduk sini, takde orang nama Rostam,”

“Sorry uncle ya. Kami salah rumah ni,” aku menyahut.

Kami kembali ke kereta. “Kau takde kawan-kawan yang tahu nombor dia ke?”

“Kawan-kawan aku tu kawan korang juga. Dia ni memang tak banyak cakap. Nombor pun selalu tukar,” sahut Zubir.

“Cuba kita jalan perlahan-lahan kat sepanjang jalan ni, kot ada rezki kita terserempak dengan dia,” kata Iqmal.

Aku memandu perlahan-lahan di sepanjang jalan tu. Dan di hujung jalan kami nampak seorang perempuan tua sedang melintas jalan dan terus ke titi kecil untuk ke kampung sebelah.

“Eh, itu mak Rostam,” kata Zubir.

“Betul ke? Cepatlah kau pergi tegur,”

Aku berhentikan kereta. Zubir keluar dari kereta. Dan terus berlari ke arah makcik yang sedang melintasi titi kecil tu.

“Assalamualaikum makcik,”

“Waalaikumussalam,”

“Makcik Zabedah kan?”

“Haah, siapa ni?”

“Saya Zubir, makcik. Kawan Rostam,”

“Oooo… Kamu Zubir. Lama tak nampak kamu. Apa khabar? Ya Allah, macam baru je makcik sebut nama kamu, teringat kat kamu,”

“Iye makcik, memang dah lama kita tak jumpa. Dengan Rostam pun dah lama saya tak jumpa.”

Wajah mak Rostam berubah.

“Kenapa makcik?”

“Takde apa. Kamu nak ke mana ni?”

“Saya dengan kawan saya dua orang lagi dalam kereta tu. Kami semua kawan Rostam. Haritu kawan saya jumpa Rostam, katanya makcik jatuh. Ini yang kami datang nak melawat,”

“Haah, makcik jatuh haritu. Tapi tak teruk. Tapi benda lain pula yang jadi,”

“Apa yang jadi makcik?”

“Jomlah ke rumah makcik dulu, nanti kamu tahulah,”

“Ok makcik. Jom naik kereta kami. Kami bawakan makcik balik,”

“Tak payahlah, lepas titi ni je rumah makcik dah. Tapi kami kena pusing ikut jalan hujung untuk pusing ke rumah makcik. Kalau tak pun, kamu parking je kereta kat sini, lintas titi ni. Depan ni je rumah makcik. Haish, takkan kamu dah lupa rumah makcik. Kan dulu kamu selalu datang rumah makcik?”

“Maksud makcik, makcik masih duduk kat rumah papan lama tu la ye? Tak pindah?”

“Makcik nak pindah ke mana lagi? Itulah rumah pusaka arwah bapa Rostam. Itu je harta makcik,” kata makcik tu sambil berjalan melintasi titi.

Zubir menggamit kami, memberi arahan suruh parking kat tepi jalan dan berjalan ikut titi kecil tu saja. Aku dan Iqmal akur. Kami ikut makcik tu. Dan ternyata, kami kembali ke rumah yang kami dah singgah tadi.

“Masuklah. Maaflah, rumah kecil je,” kata Mak Rostam menjemput kami masuk.

“Tadi kan kita dah datang rumah ni?” Iqmal berbisik kat aku. Aku bagi isyarat suruh diam dulu, sebab Zubir pun berwajah serius semacam.

Mak Rostam buka tingkap, cerah sikit rumah tu. “Tam, keluarlah, ni kawan kamu datang ni,” Mak Rostam memanggil.

“Duduklah dulu, makcik panggilkan Rostam. Dia ada kat biliknya tu,”

Kami diam, memerhati keliling.

“Mana adiknya tadi?” aku tanya Zubir, Zubir letak tangan di bibir, suruh aku diam dulu.

Suasana sunyi seketika, kami Cuma dengar bunyi cawan kaca berlaga di dapur. Kami pun tak cakap apa-apa. Keadaan dalam rumah tu agak menyeramkan.

Seketika kemudian, mak Rostam muncul dengan sedulang air panas.

“Tak payah susah-susah makcik. Kami nak jumpa Rostam je.” Kata Iqmal.

“Takde susah, makcik memang dah buat air sebelum keluar beli ikan tadi. Ingatkan Rostam akan keluar bilik dan minum. Rupanya dia tak keluar juga. Puas makcik pujuk,”

“Makcik, tadi kami dah datang rumah ni. Tapi adik Rostam makcik dah tak tinggal kat sini,” kata Zubir memulakan perbualan.

“Adik Rostam?” mak Rostam bertanya semula sambil mengerutkan dahinya.

“Haah. Aliya. Dia pun guna tongkat. Kenapa dengan Aliya makcik?” Zubir terus bertanya.

“Pakai tongkat?” sekali lagi mak Rostam terpinga-pinga.

“Kenapa makcik?” Iqmal bertanya bila tengok muka mak Rostam lain macam.

“Maknanya betullah apa yang Rostam cakap,” mak Rostam bersuara.

“Apa yang Rostam cakap makcik?”

“Dia kata adiknya Aliya, yang meninggal dunia dalam kemalangan tiga bulan lepas, hidup semula,” kata-kata mak Rostam buat kami terhenti bernafas sekejap. Bulu roma meremang, dan tengkuk kami rasa sejuk.

-Bersambung-

One thought on “JANGAN BACA SAMPAI HABIS

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s