JANGAN BACA SAMPAI HABIS

Bab 6

Hari tu juga aku ajak Iqmal balik ke tempat kami semula. Dia taknak ikut sebab dia memang tinggal sendirian. Dia masih takutkan bayangan jelmaan Zul. Iqmal berjanji akan berjumpa aku esok pagi kat rumah mak Zubir.

Aku sampai rumah aku dah pukul 5 petang. Yati membebel marahkan aku sebab aku belum cukup rehat lepas balik dari hospital. Aku diam je, aku tahu dia risaukan aku. Aku masuk ke dalam rumah.

“Ayah, siapa ikut ayah tu?” Tiba-tiba Azim, anak sulung aku yang sedang menonton televisyen kat ruang tamu, tanya aku sambil tunjuk belakang aku. Cepat-cepat aku menoleh ke belakang.

“Mana ada siapa,” aku sahut.

“Tu, dia ikut belakang ayah tu. Macam muka ayah,” katanya membuatkan aku melangkah keluar rumah semula. Yati sedang jirus pokok bunganya. Dua orang lagi anak aku, Arif dan Ain bermain kat luar.

“Yati, awak ada nampak sesiapa ikut abang ke tadi?” aku tanya Yati. Yati menoleh ke arah aku.

“Takde pun,” sahut Yati.

“Arif, Ain, cuba tengok ayah. Ada orang lain tak bersama ayah?” aku tanya dua lagi anak aku.

“Abang ni dah kenapa?” Yati tanya aku dengan pelik.

“Arif, Ain, ada nampak orang ikut ayah tak?” aku tanya Azim dan Ain sekali lagi tanpa pedulikan soalan Yati.

“Takde siapa pun,” Arif menyahut. Ain Cuma menggelengkan kepala.

“Kenapa bang?” Yati tanya aku lagi.

“Azim kata ada orang ikut belakang abang,” aku beritahu Yati.

“Azim? Azim mana?” Yati tanya aku masih dengan kerutan di dahinya.

“Azim anak kita la. Siapa lagi,” aku menyahut dengan suara stress aku. Kenapa semua orang tanya soalan pelik kat aku hari ni?

“Mana ada Azim bang. Dia kan ikut sekolah pergi kem. Esok baru balik,” kata-kata Yati membuatkan bulu roma aku meremang tiba-tiba. Iye, Azim takde kat rumah. Habis tu yang tegur aku tadi siapa?

Aku cepat-cepat berlari masuk ke rumah dan pandang ke arah kerusi tempat Azim duduk tadi. Tiada sesiapa di situ. Televisyen pun tak pasang. Aku mengerutkan dahi aku, memikirkan siapa yang aku nampak tadi, dia siap tegur aku lagi.

“Abang?” aku melompat bila Yati panggil aku dari muka pintu. Aku pandang tepat muka Yati.

“Kenapa ni?” Yati tanya. Aku tengok keluar, tempat Yati berada tadi. Memang dia takde di situ, bermakna Yati dengan aku ni adalah orang sebenar.

“Abang jangan macam ni? Saya risau tengok abang ni. Abang dah solat Asar ke?” Yati tanya aku. Aku gelengkan kepala.

“Dah, abang pergi solat dulu. Saya dah kata, jangan ke mana-mana, rehat dulu. Tapi abang degil. Abang kan tak sihat,” bebel Yati lagi.

Aku tak menyahut. Aku melangkah ke bilik. Aku dah mula rasa tak selesa. Seperti ada yang memerhati aku di dalam rumah tu. Ada benda yang ikut aku balik ke?

Mujurlah malam tu tiada apa yang terjadi. Pagi esok, awal lagi aku dah bersiap nak keluar. Yati dah jeling aku. “Abang nak ke mana lagi?” dia tanya aku.

“Abang nak ke rumah mak Zubir. Dengan Iqmal. Dia kan lemas haritu. Nak ziarah dia, tengok keadaan dia macammana,” sahutku cuba melindungi gelodak di hati.

“Jangan balik lambat sangat, abang tu tak sihat,” pesan Yati. Aku anggukkan kepala je. Aku tahu dia risaukan aku.

Aku hidupkan enjin kereta, masa aku nak melintas keluar dari rumah, aku nampak Azim kat bawah pokok besar depan rumah aku. Aku tekan brek. Aku keluar dari kereta. Aku pandang Azim kat bawah pokok tu.

Lama aku kat situ, berpandangan mata dengan Azim. Sampai Yati datang tepuk bahu aku. “Kenapa bang?” Allahu, aku melompat terkejut lagi. Aku paling semula memandang ke arah Azim tapi dia dah takde di situ.

“Takde apa Yati. Tadi rasa macam terlanggar kucing. Awak pergilah masuk rumah. Jaga anak-anak ye,” kataku. Yati akur, masuk semula ke dalam rumah.

Aku masuk semula ke dalam kereta, memandu perlahan terus ke rumah mak Zubir. Aku call Iqmal, dia kata dia dalam perjalanan.

Empat puluh minit perjalanan, aku sampai ke rumah mak Zubir. Tak lama aku sampai, Iqmal pun sampai. Dia letakkan kereta dia di bawah pokok besar depan rumah mak Zubir. Aku pula memang dah parking depan pagar rumah tu.

Kami masuk ke dalam kawasan rumah. Bagi salam. Setelah dua kali bagi salam, baru ada suara menyahut salam kami. Mak Zubir muncul di muka pintu.

“Ooo.. Iqmal, Azman. Masuklah. Nak jumpa Zubir ke?” mak Zubir bertanya ramah.

“Makcik sihat?” aku tanya berbahasa. “Sihat macam ni la, orang tua, nak sihat mana sangat,” sahut mak Zubir.

“Zubir dah ok ke makcik?” Iqmal bertanya.

“Dia ok tapi dia taknak balik rumahnya. Takut katanya,” kata mak Zubir.

“Takut apa?” aku tanya.

“Entahlah dia. Banyak tengok cerita hantu kot. Kan dia kerja kat panggung wayang. Katanya ada langsuir kacau dia. Ikut dia ke sana sini,” kata mak Zubir.

Aku dan Iqmal berpandangan sesama sendiri.

“Boleh kami jumpa dia makcik?” aku minta izin.

“Boleh. Masuklah. Nanti makcik panggilkan dia,” kami lalu mengikut langkah mak Zubir masuk ke dalam rumah.

Kami duduk di ruang tamu. “Mal, untuk pengetahuan kau la kan, sebelum orang jumpa Zubir lemas kat lombong tu, dia beritahu aku bahawa dia baca cerita kat blog aku. Sama macam kau la. Katanya cerita pasal langsuir,” kataku memaklumkan Iqmal. Muka Iqmal dah cuak.

“Kau nak kata yang langsuir tu betul-betul keluar dan kacau Zubir? Sama macam jelmaan mayat Zul datang kacau aku sebab aku baca cerita kau?” Iqmal tanya aku dengan dahi berkerut.

“Itu yang aku sedang nak pastikan ni. Aku tak tahu apa yang sedang jadi. Aku tak boleh buka blog aku.” Aku menyahut.

“Korang rupanya. Kenapa cari aku sampai sini?” aku dan Iqmal terkejut bila terdengar suara Zubir tiba-tiba.

“Kau ok ke Bir?” aku tanya.

“Ok apanya? Benda tu masih ikut aku lagi. Kau la ni, tulis cerita bukan-bukan. Aku pula jadi mangsa,” kata Zubir tanpa pandang aku. Macam marah sangat pula kat aku.

“Bir, aku dah cakap, aku tak tulis cerita tu. Sumpah Wallah. Aku tak tahu siapa yang tulis,” kataku.

“Bohonglah Man. Kalau kena hack sekalipun, takkan beriya tulis cerita,” Zubir masih dengan nada tak senang hati.

“Tapi kalau betul pun Man yang tulis, macammana benda tu boleh keluar betul-betul? Cerita rekaan je kot,” kata Iqmal mempertahankan aku.

“Kau tak tahu apa aku rasa Mal. Kau duduk kat tempat aku sekejap, baru kau tahu. Benda tu bergayut kat pintu rumah aku, aku tidur dia berdiri kat kaki aku. Aku makan, dia duduk kat kerusi sebelah aku. Dah la aku seorang kerja syif malam, kawan aku lain semua kerja siang. Jadi siang-siang aku seorang kat rumah. Kau tak tahu rasanya,” kata Zubir pandang wajah Iqmal.

“Bir, aku pun alami perkara sama. Aku baca cerita dia, pasal kawan kami yang dah meninggal dunia datang kacau aku dengan muka pecah-pecah semua. Aku sampai balik kampung, mak aku bawa aku berubat dengan ustaz bagai. Aku pun rasa macam nak tumbuk muka Man ni sebab buat cerita macam tu, tapi bila fikirkan balik, logik ke cerita rekaan boleh jadi betul? Dan kenapa kita yang baca saja yang kena? Orang lain tak nampak pun cerita tu dalam blog dia,” Iqmal masih pertahankan aku.

Zubir diam.

“Bir, kau kerja dengan produksi dan panggung wayang. Kau tahu selok belok sebuah filem. Selama kau kerja, pernah hantu yang dalam filem tu kacau kau?” Iqmal tanya lagi.

“Memang la tak pernah. Sebab tu bila jadi macam ni, aku gelabah,” kata Zubir dengan suara agak perlahan sambil menyapu mukanya dengan telapak tangannya. Ada keluhan berat keluar dari mulutnya.

“Cuba kau ceritakan, apa yang kau baca kat blog aku?” aku tanya Zubir.

“Cerita tu pasal langsuir yang ganggu sebuah kampung. Langsuir tu berasal dari perempuan yang mati ketika menggugurkan kandungan tak sah di rumah seorang bidan. Dia merayau mencari ayah kepada kandungannya. Dia akan menyerupai perempuan cantik yang menggoda, kemudian membawa lelaki bersamanya ke dalam kawasan hutan. Lepas tu dia akan bunuh lelaki tersebut dengan cara merobek dadanya dan menarik jantungnya keluar. Lepas tu dia akan hisap darah yang mengalir dari kesan robekan di dada tu, sampai darah mangsanya kering. Satu malam satu mangsa. Sampailah dia jumpa lelaki yang mengandungkannya,” Zubir menceritakan kisah dalam blog aku.

Aku dan Iqmal menggosok lengan masing-masing sambil pandang keliling. Sejuk je rasanya tiba-tiba.

“Macammana kau boleh lemas kat lombong tu?” Iqmal tanya.

“Masa tu aku dengan Rahim. Dia yang ajak aku pergi memancing. Kalau aku dengan kawan, langsuir tu tak muncul. Sebab tu aku pergi. Lagipun aku nak keluar dari rumah. Nak buat sesuatu untuk aku lupakan pasal langsuir tu. Masa aku tengah memancing tu, telefon aku berbunyi. Keluar nama Rahim. Aku pandang Rahim, dia pun pandang aku tapi pandangannya lain macam. Aku tanya dia, dia tertekan handphone ke. Dia tak jawab. Aku pun jawab telefon aku yang berdering. Betul-betul suara Rahim kat dalam telefon, tanya aku kat mana. Aku pandang ‘Rahim’ yang kat sebelah aku. Dia takde kat tempat dia. Aku pandang keliling, masa tu aku nampak langsuir tu bergayut dari satu pokok ke pokok lain sambil mengilai. Ya Allah masa tu Tuhan je tahu kaki aku menggeletar, telefon kat tangan aku pun jatuh. Langsuir tu terbang ke arah aku. Perlahan-lahan menghampiri aku. Aku mengundur, dan terus mengundur tiap kali benda tu menghampiri aku. Tak sedar kaki aku dah masuk ke lombong dah aku masih nampak benda tu berdiri di tepi lombong memerhati aku yang sedang lemas sambil mengilai. Aku dah tak ingat nak berenang ke apa. Aku tak boleh bernafas, memang aku ingat aku akan mati. Dan paling tak sangka, benda tu adalah benda terakhir yang aku nampak sebelum aku mati. Tapi Alhamdulillah, ada orang selamatkan aku dan hantar aku ke hospital. Kat hospital pun benda tu ada. Tu yang aku minta discharge dan terus balik rumah mak aku ni. Aku taknak balik rumah aku dah,” Cerita Zubir panjang lebar.

“Sekarang benda tu masih kacau ke?” aku tanya.

“Masa mula-mula aku kat rumah mak aku dulu, memang dia ada. Aku nampak dia bergayut kat pokok besar tu. Sesekali dia ketuk tingkap bilik aku, bila aku buka tingkap, dia tersengih kat pintu aku, terapung-apung. Mukanya jangan tanyalah, real. Bukan mekap macam kat produksi aku,” kata Zubir lagi.

“Sekarang? Ada lagi?” aku tanya.

“Mak aku panggil Pak Lang aku. Dia pandai mengubat orang. Dia bagi aku minum air jampi. Katanya aku ni tersampuk. Aku lalu kat laluan benda tu, tu yang benda tu ikut aku,” kata Zubir lagi. Jelas ketakutan di wajahnya.

-Bersambung-

One thought on “JANGAN BACA SAMPAI HABIS

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s