JANGAN BACA SAMPAI HABIS

Bab 5

“Dia cakap pasal apa dengan Zul tu makcik?” aku tanya mak Iqmal.

“Katanya dia nampak kawan dia Zul dah mati, muka dan pecah-pecah, tapi datang cari dia. Tidur kat tepi dia. Bila dia makan, duduk kat sebelah dia, pandang dia dengan mata yang hampir terkeluar,” kata mak Iqmal.

Aku terdiam. Adakah dia maksudkan Zul jiran aku? Yang baru meninggal dunia akibat kemalangan tu? Memang aku tengok keadaan jenazahnya agak ngeri, mukanya pecah-pecah tapi telah dimekap sikit oleh pihak hospital.

“Makcik tak tanya dia ke Zul tu siapa?”

“Makcik tanya, katanya kawan dia memancing. Jiran kamu,” terbeliak mata aku bila mak Iqmal jawab macam tu.

“Sekarang pun masih meracau ke?”

“Kurang sikit lepas ayah dia bawa berubat kat Ustaz Hakim. Cuma katanya dia taknak balik rumah dia lagi, sebab takut Zul tu masih ada kat rumah dia,”

Aku termenung. “Makcik, ada peluang tak untuk saya bercakap dengan dia?” aku tanya.

“Sekejap makcik panggil dia,” mak Iqmal bangun lalu berlalu pergi tinggalkan aku sendirian di beranda.

Seketika kemudian dia datang semula. “Kamu pergilah cakap dengan dia kat tepi pintu bilik dia. Dia taknak jumpa kamu katanya. Puas dah makcik pujuk.”

Aku terdesak, walau ditolak untuk berjumpa dengan kawan baik sendiri, aku terpaksa tebalkan muka pergi ke pintu bilik Iqmal yang tertutup rapat. Aku duduk kat tepi pintu bilik dia. Mak Iqmal berlalu pergi.

“Mal, aku tak tahu apa dah jadi kat kau. Tapi sekarang aku betul-betul perlukan bantuan kau. Malam tu elok je kat whatsapp dengan aku, kenapa tiba-tiba kau menjauhkan diri dari aku? Aku betul-betul nak tahu. Sebab aku pun keliru sekarang ni,” kataku dengan harapan Iqmal akan menyahut. Malangnya tiada sahutan.

“Mal, malam tu kau kata kau baca cerita kat blog aku kan? Sedangkan aku kata aku tak pos apa-apa cerita kat blog aku. Kau tahu tak, bukan kau seorang yang baca cerita kat blog aku sedangkan aku tak pos apa-apa cerita. Dan semua yang dah baca cerita aku mesti lari dari aku. Aku betul-betul nak tahu. Sekarang aku cuba buka blog aku, password aku dah diubah. Aku tak tahu siapa ubah,” kataku perlahan.

“Kau tahu tak Zul dah meninggal dunia? Aku cuba call kau haritu tapi kau tak jawab. Kau off semua talian telefon dan whatsapp. Aku pergi ke pejabat kau, mereka kata kau ambil emergency leave. Tapi sebab aku masih dalam tahanan hospital, aku terpaksa balik semula ke hospital. Semalam baru aku keluar,” aku masih bercakap sendirian.

“Kau tahu tak, ada seorang kawan lama sekolah aku, dia terjun dari tingkat atas rumah dia. Sekarang ada kat hospital sebab cedera. Dia pun sebelum tu baca cerita aku. Seorang lagi kawan sekolah aku, namanya Zubir. Dia hampir lemas, sebelum tu dia pun ada cakap dia baca cerita aku. Katanya cerita tu pasal langsuir. Dan aku pun tak berpeluang bertanya dia apa yang terjadi,” aku masih sendiri.

Aku menarik nafas panjang. Menyapu muka aku. Sedih dan keliru bercampur baur.

“Mal, aku tak minta banyak. Aku cuma nak tahu, apa yang kau baca kat blog aku? Dan apa yang terjadi lepas tu? Aku tak tahu nak tanya siapa lagi, kau je la yang aku harap akan bantu aku. Kalau tak, mungkin aku boleh gila,” aku diam seketika. Tiada sahutan, tiada bunyi, tiada apapun.

Aku bangun. “Takpelah Mal kalau kau tak mahu bantu aku. Aku harap kau cepat sembuh. Dan aku harap kau doakan aku akan jumpa jawapan kepada kekeliruan aku ni. Doakan kau tak jumpa aku kat hospital gila. Doakan kita masih berpeluang untuk berjumpa, biarpun sebagai musuh,” kataku sambil melangkah ke ruang tamu.

Baru beberapa langkah aku meninggalkan bilik Iqmal, aku dengar bunyi pintu biliknya dibuka. Aku berhenti melangkah dan menoleh ke arah bilik Iqmal. Iqmal menjenguk keluar bilik. Dia menggamit aku untuk masuk ke biliknya.

“Kita sembang kat luar je la,” aku mengajak.

“Dia ada kat luar. Dia memerhati aku. Ada kat belakang kau,” kata Iqmal buatkan bulu roma aku meremang tak pasal-pasal. Aku melangkah masuk ke bilik Iqmal dan pintu di tutup.

Aku duduk di kerusi yang diletakkan kat tepi tingkap bilik Iqmal. Iqmal duduk di tepi katilnya.

“Apa dah jadi Mal?” aku tak sabar bertanya.

“Malam lepas aku baca blog kau, benda yang aku baca dalam cerita tu, berdiri kat belakang aku kau tau? Ikut aku ke mana saja aku pergi, sampai sekarang,” Iqmal mulakan cerita.

“Cerita blog tu pasal apa?”

“Betul kau tak tahu ke? Betul bukan kau yang pos cerita tu?”

“Betul Mal. Aku bersumpah, demi Allah, aku tak pos apa-apa cerita,”

“Aku lari dari kau, sebab aku rasa kau yang bunuh Zul,” kata-kata Iqmal buatkan aku tersentak.

“Aku bunuh Zul? Zul kan kemalangan. Masa tu aku kat hospital,”

“Cerita tu pasal seorang lelaki yang terlibat dalam kemalangan yang disengajakan. Seakan ada yang merancang kemalangan itu. Dia mati akibat motornya dilanggar lori. Tapi rohnya tak aman. Dia merayau mencari jalan untuk balik ke rumahnya. Tapi dia tak ingat rumahnya. Lalu dia mengikut orang terakhir yang dia nampak di masa dia menghembuskan nafas terakhirnya. Dia mengikut sampailah orang tu dikatakan gila. Hingga ke akhirnya, roh tu masih mengikutnya. Lepas aku baca cerita kau, aku tidur. Aku sedar bila terasa katil aku berkeriut macam ada sesuatu yang bergerak kat atas katil aku. Aku bujang, tidur pun seorang. Kucing pun takde, aku seorang diri. Aku buka mata, aku nampak Zul baring kat tepi aku, pandang aku. Mukanya pecah macam jatuh teruk atau dihempap benda berat. Matanya hampir keluar. Tapi masa tu aku tak tahu lagi Zul kemalangan. Aku ingat aku bermimpi. Aku bangun dan pasang lampu. Dia masih kat katil tu pandang aku. Aku tak tentu arah malam tu. Nak tunggu pagi, dengan dia berdiri di sekitar aku. Sampai aku berlari keluar dari rumah, dan berlari macam orang gila pergi ke masjid. Kat masjid, aku nampak dia lagi berdiri kat luar tingkap. Dah la kat masjid pun takde orang. Tapi sebab dia tak boleh dekat dengan aku, jadi aku terus duduk dalam masjid. Sampai pagi, aku dapat berita Zul kemalangan. Menggigil aku nak demam. Aku call office, minta cuti kecemasan dan terus balik kampung. Sebab tu aku tak hadir masa pengebumian dia. Dan aku terpaksa lari dari kau sebab kau seakan dah tahu apa yang akan terjadi. Aku rasa kau psiko,” Iqmal bercerita panjang lebar.

“Sekarang benda tu masih ada?” aku bertanya.

“Ada, tapi dia kat luar. Dia tak masuk sini sebab Ustaz Hakim dah pagar bilik ni,”

“Ni kalau aku keluar, dia ada kat luar?”

“Aku rasa dia sedang berdiri kat pintu bilik ni,”

“Siapa lagi yang nampak dia?”

“Aku je. Ustaz Hakim pun tak nampak dia,”

“Kalau aku balik sekarang, dia akan ikut aku tak?” aku tanya dalam gusar.

“Aku tak tahu. Aku rasa tak. Kalau ikut cerita kau, dia hanya ikut orang terakhir dia lihat sebelum dia mati,”

“Kau lihat Zul ke sebelum dia mati?” aku tanya balik.

“Tak,” Iqmal sahut sambil kerutkan dahi.

“Jadi, cerita tu tak sama,” kataku. Iqmal diam.

“Kau ikut aku. Kita pergi jumpa keluarga Zubir pula,” aku mengajak.

“Aku tak berani. Dia sentiasa ikut aku. Kau tak tengok rupa dia. Amat menakutkan.”

“Mal, aku tengok jenazah Zul. Memang mukanya pecah akibat dilanggar lori. Sama seperti apa yang kat gambarkan tu. Tapi sampai bila kau nak terus macam ni? Kau taknak selesaikan ke semua ni? Aku pun rasa bersalah sebab aku seakan punca semua ni walaupun aku tak tahu apa yang terjadi sebenarnya. Tolong aku Mal. Tolong aku cari punca semua ni. In Shaa Allah, lepas tahu semua ni, kau pun akan pulih. Benda tu takkan ikut kau lagi,” aku pujuk Iqmal.

“Aku betul-betul berat hati. Aku memang takut,” kata Iqmal.

“Aku pun takut Mal. Tapi aku kena selesaikan juga. Berapa orang lagi yang akan baca cerita tu dan alami perkara sama macam kau nanti,”

“Kau takut dengan aku takut, situasi kita tak sama. Kau cuma keliru. Tapi aku nampak benda yang kau cipta dalam cerita kau. Benda tu ikut aku. Kau tak tahu rasanya,” kata Iqmal.

“Sebab tu kau kena tolong aku cari sebab kejadian ni. Aku tak mampu bergerak sendiri. Dengan kesihatan aku yang tak begitu elok. Takkan nak biarkan je,”

Iqmal diam. Dia pandang aku semacam. Seolah dia tak percaya cakap aku.

“Kita jumpa Ustaz Hakim dulu. Aku nak tahu apa dia nak cakap pasal blog kau tu.” kata Iqmal dan aku setuju.

Aku ikut Iqmal solat Zohor di masjid. Di sana kami berjumpa Ustaz Hakim. Wajah Ustaz Hakim nampak berubah bila nampak aku. Iqmal perkenalkan aku kepada Ustaz Hakim. Aku bersalaman dengannya.

“Datang seorang je ke?” dia tanya aku tapi matanya memandang ke satu arah lain.

“Iye Ustaz, seorang je,” aku menyahut sambil menoleh ke arah yang dipandang oleh Ustaz Hakim.

“Ustaz rasa cerita saya ni macam tak masuk akal ke? Ustaz rasa saya gila ke?” aku tanya Ustaz Hakim selepas aku dan Iqmal ceritakan segalanya.

“Syaitan itu dah berjanji untuk sesatkan umat Nabi Adam as. Dia juga dah diizinkan oleh Allah untuk hidup sehingga hari kiamat. Bermakna dia dah tahu setiap teknologi di dunia ini sampai kiamat. Dia lebih tahu daripada kita. Itu kelebihan dia. Tapi walau macammana dia berkebolehan, dia tetap tak dapat berdiri setaraf dengan kita. Melainkan kita yang menurunkan taraf kita untuk berdiri sama rendah dengan dia,” kata Ustaz Hakim buatkan aku dan Iqmal berpandangan sesama sendiri.

“Maksud Ustaz, ada syaitan tulis kat blog saya ke? Dia tukar password saya?” aku bertanya laksana orang bodoh.

Ustaz Hakim ketawa kecil. “Tak la sejelas itu. Tidak mengapa. Selagi kamu masih tunaikan solat 5 waktu, pandai ke masjid di kala buntu, tahu niat dan tahu mana baik dan mana buruk, kamu teruskanlah tugasan kamu. Jangan takut akan dia, kerana kita hanya perlu takut dengan Allah.”

“Jadi, apa cadangan Ustaz? Apa yang kami perlu lakukan?”

“Buat macam biasa. Teruskan kehidupan macam biasa. Selagi kamu takut akan dia, dia mampu menguasai diri kamu. Biarkan dia, bukannya dia berani buat apa-apa. Lama kelamaan dia akan pergi, dia tak mampu hidup tanpa ehsan manusia,” kata Ustaz Hakim sambil matanya tak lepas memandang ke suatu sudut.

“Boleh saya tahu, Ustaz tengok apa dari tadi kat sebelah sana?” aku bertanya.

“Kamu tak datang sendiri, ada yang menemani.” Kata Ustaz Hakim. Aku dan Iqmal menoleh ke arah tersebut. Tak nampak apa-apa kat situ.

“Jangan cari dia. Biarkan. Kamu teruskan niat kamu. Teruskan apa saja yang kamu nak buat. Nak jumpa kawan ke apa. Biarkan dia. Niatkan segalanya kerana Allah. Saya ada di sini jika ada apa-apa yang nak ditanyakan. Pergilah, dia takkan ganggu kamu tapi saya tak boleh halang dia dari mengikut kamu. Kerana ia ada dalam diri kamu selagi kamu percaya dia ada dan kamu biar dia menguasai kamu,” kata Ustaz Hakim.

Aku dan Iqmal berpandangan sesama sendiri. Kami masih takut, tapi seperti ada satu kekuatan bila Ustaz Hakim kata benda tu tak boleh kacau kami. Aku kena jumpa Zubir. Aku nak tahu kisah dia lemas hari tu.

-Bersambung-

One thought on “JANGAN BACA SAMPAI HABIS

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s