JANGAN BACA SAMPAI HABIS

Bab 4

Sampai kat rumah, aku terus on laptop aku. Aku buka blog aku. Aku masukkan login ID dan password.

“Invalid Password”

Aku garu kepala. Kenapa pula password aku tak sah?

Aku cuba sekali lagi. “Invalid Password”

Aku cuba kali ketiga. Masih juga “Invalid Password”

Aku tanya Yati lagi, samada dia ada buka blog aku. Yati kata takde. Aku garu kepala. Siapa pula yang tukar password blog aku?

Aku tekan ‘Reset Password’. Aku tunggu notification kat emel aku. Lepas 15 minit, tiada emel masuk untuk reset password blog aku.

Aku klik ‘Reset Password’ lagi. Keluar nota ‘Something went wrong. Please check your internet connection’. Aku tengok kotak wifi aku, semua on, semua ok. Aku tengok telefon aku, ok je internetnya. Guna wifi yang sama.

Aku cuba lagi, dan result yang sama keluar. Aku putus asa. Aku ambil kunci motor dan melangkah keluar dari rumah.

“Abang nak ke mana pula tu? Kan baru balik dari hospital? Rehat lah dulu,” Yati panggil aku.

“Abang keluar sekejap,” aku sahut pendek. Yati tak menyahut dah.

Aku start motor, pergi ke cyber café depan taman aku. Aku duduk kat satu komputer. Aku buka blog aku. Result yang sama, password aku invalid. Aku yakin aku tak pernah tukar password aku dan aku yakin aku tak pernah beritahu sesiapa password blog aku.

Aku bangun dan melangkah keluar dari cyber café. Kat pintu luar, aku terserempak dengan Rostam. “Azman, lama tak nampak.” Rostam tegur aku.

“Aku masuk hospital. Ada masalah kesihatan sikit. Ni baru keluar,” sahutku.

“Dah sakit pun masih rajin tulis cerita hantu. Bawa-bawalah berehat,” kata Rostam.

“Kau ada baca blog aku ke?” aku tanya.

“Haah, semalam aku buka blog, terus nampak cerita kau. Dah alang-alang tengah boring tu, aku bacalah. Seram juga. Mana kau dapat idea tu semua?” Rostam tanya aku.

“Semalam kau baca cerita kat blog aku?”

“Iyelah, cerita pasal mayat yang bangun semula. Seram juga. Meremang bulu roma aku masa baca tu. Kucing aku berlari kat tepi aku pun aku boleh terkejut. Serius la, mana kau dapat idea? Dulu cerita kau takdelah se’extreme’ sekarang. Macam pernah mengalami je,” Rostam ketawa di penghujung ceritanya.

“Boleh kau cerita kat aku pasal cerita tu?” aku tanya Rostam dan dibalas dengan kerutan di dahi Rostam. Dia pandang tajam ke arah aku.

“Man, kau ni hilang ingatan ke apa? Kau punya cerita, kau suruh orang ceritakan kat kau pulak. Kot iye kau lupa sekalipun, kau bukak la blog kau balik,”

“Aku tak boleh buka blog aku. Password aku invalid.”

“Sembang la kau ni Man. Password invalid, baru semalam kau boleh pos cerita, takkanlah hari ni dah lupa password,” Rostam masih gelakkan aku.

“Serius ni Tam. Aku tak boleh masuk ke blog aku. Dan aku takde pos apa-apa cerita sejak bulan lepas,” aku cuba jelaskan. Rostam pandang muka aku.

“Kau jangan main-main Man. Kalau bukan kau yang pos, habis tu siapa pos guna blog kau?” Rostam tanya aku.

“Sebab tu aku nak tahu, cerita tu mengenai apa? Sebab bukan kau seorang je yang baca cerita yang aku tak pos tu, ada beberapa kawan aku yang lain pun mengalami perkara sama. Tapi lepas tu mereka yang baca tu semuanya menjauhkan diri dari aku. Aku pun tak tahu apa puncanya. Jadi, boleh kau ceritakan pada aku, cerita yang kau baca kat blog aku tu, tulis apa?” aku jelaskan segalanya kepada Rostam.

Cuak juga muka Rostam. Sebab dia dah tahu bahawa aku serius dalam percakapan aku.

“Ceritanya pasal mayat seorang perempuan muda yang diletakkan di tengah rumah, tiba-tiba bangun sendiri dan berjalan keluar rumah. Satu kampung heboh. Mayat hidup tu akan keluar mengetuk pintu rumah orang lepas jam 12 malam. Jika ada yang buka pintu, mereka akan diserang demam kuat dan akhirnya akan jadi stroke jika orang tua dan yang muda akan hilang ingatan. Lepas tu,” tiba-tiba telefon Rostam berbunyi.

“Eh Man, aku balik dulu. Mak aku jatuh la. Nanti kita sembang lagi,” kata Rostam sebaik sahaja meletakkan panggilan telefonnya tadi. Aku tak berdaya menahannya.

Aku naik motor aku dan balik ke rumah. Masa tu dah pukul 6 petang. Aku masuk ke rumah, anak-anak aku tengah tengok kartun kat tv. Aku cari Yati kat dapur. Dia tengah kemaskan meja, anak-anak aku baru lepas makan mee segera.

“Abang nak makan mee?” Yati tanya aku. Aku geleng kepala.

“Kenapa abang nampak runsing je? Ada masalah ke?” Yati tanya.

“Pasal blog abang tu la. Abang tak boleh buka. Password invalid. Macam ada orang dah tukar password,” sahutku.

“Ingatkan apalah yang penting sangat tu. Biarkanlah dulu blog tu. Abang tu jaga kesihatan. Nanti dah sakit baru abang juga yang susah,”

“Memanglah blog tu tak penting. Tapi masalahnya sekarang, ada orang pos cerita seram melalui blog abang. Masalah lagi bila tak semua orang boleh baca cerita tu. Lagi jadi masalah, siapa je yang baca cerita tu, pasti akan menghilangkan diri, seakan sesuatu dah terjadi kepadanya. Awak tengok je Asma, semalam dia beritahu dia ada baca cerita tu tapi yang lain tak baca. Tiba-tiba je dia left group dan blok semua orang termasuk abang. Sedar-sedar pagi ni dah jatuh dari balkoni rumah. Kita jumpa dia tadi, dah macam nampak hantu je bila tengok abang. Itu je yang abang nak tahu puncanya,”

“Berapa ramai dah jadi macam tu?” Yati tanya aku.

“Lima orang kot. Itu yang abang tahu. Yang abang tak tahu, tak tahulah ada berapa orang,” sahutku.

“Lagi empat orang yang abang tahu tu kat mana sekarang ni?”

“Ada yang balik kampung, ada yang tak dapat dikesan,”

“Yang balik kampung tu, abang tahu ke kampung dia kat mana?”

“Tahu. Abang memang kenal keluarganya,”

“Kalau macam tu, esok abang pergi la jumpa dia kat kampungnya. Abang kan dapat MC sampai minggu depan,”

Aku diam mendengar cadangan Yati. Betul juga, esok aku pergi ke kampung Iqmal. Aku kenal seluruh keluarganya.

Malam tu, kat dalam group. “Man, kau dah keluar hospital?”

“Haah, aku dah keluar siang tadi,”

“Aku tengah baca blog kau ni,”

“Ada cerita lagi ke?” aku tanya.

“Iye.” Sahut Fikri.

“Tentang apa?”

“Pasal pocong. Hantu yang berbungkus bangun dari kubur,” sahut Idris.

“Eh, kau pun boleh baca ke Ris?” aku tanya. Ini kali pertama dua orang dapat baca cerita aku ada masa yg sama.

“Tadi aku baca separuh. Tak habis pun sebab anak aku panggil makan. Sekarang ni nak tengok bola. Esok je la aku sambung baca,” kata Idris.

“Fikri, kau baca sampai habis?” aku tanya.

“Haah, dah habis baca pun. Seram! Macammana kau dapat bayangkan, hantu berbungkus tu, macam mayat yang dah dikafankan, tiba-tiba datang ketuk pintu rumah kau tengah malam,” kata Fikri.

“Apa jadi dengan pocong tu?” aku tanya.

“Aku macam tak boleh nak percaya la kalau kau kata kau tak tahu pasal blog kau, Man. Macam tak masuk akal. Kau lupa ke kau tulis cerita?” Fikri tanya aku. Aku diam. Tak tahu nak jawab apa. Kalau aku jadi mereka pun, mungkin aku akan berfikiran macam mereka.

Aku tutup whatsapp group. Aku off data. Aku pergi ke ruang tamu, duduk bersama anak-anak aku, layan mereka tengok tv cerita Boboiboy. Tenang kejap kepala aku melayan kerenah anak-anak aku.

Pagi esok, aku dapat berita, Fikri kemalangan. Keadaannya agak teruk, patah tiga tulang rusuk. Saksi kejadian kata sebelum kemalangan mereka nampak ada seorang perempuan membonceng di belakangnya tapi lepas kemalangan mereka tak jumpa pembonceng perempuan tu. Hanya Fikri seorang. Hati aku berdegup kencang semula. Aku mula teringat dia membaca cerita dari blog aku semalam.

Dan aku juga teringat, Idris pun ada baca cerita yang sama semalam. Cepat-cepat aku call Idris. Elok je Idris jawab salam aku.

“Ris, kau tahu Fikri kemalangan?”

“Aku tahu. Kan Suzi inform kat dalam group, aku pun ada dalam group tu, mestilah aku tahu. Kau nak pergi melawat dia ke?”

“Kau baca cerita dari blog aku semalam kan?”

“Haah, aku baca tapi tak habis pun. Kenapa? Apa kena-mengenanya?”

“Kau takde rasa apa-apa yang pelik? Takde nampak apa-apa yang berlainan dari hari biasa?” aku tanya.

“Takde apapun. Kenapa?” Idris tanya aku balik. Aku diam. Idris adalah orang pertama yang tak jadi apa-apa lepas baca cerita dari blog aku.

Cepat-cepat aku siapkan diri. Aku capai kunci kereta. Aku nak pergi ke kampung Iqmal. Aku nak tahu apa yang terjadi sebenarnya.

Sampai kat rumah Iqmal, aku nampak Iqmal sedang duduk di beranda rumah maknya. Aku bagi salam. Iqmal pandang aku dan dia terus lari masuk ke dalam rumah. Mak Iqmal keluar dari pintu depan dan sambut kedatangan aku dengan senyum manis.

“Lama tak nampak kamu. Kenapa nampak makin kurus? Kamu sakit ke?” mak Iqmal tanya aku.

“Iye makcik. Tak begitu sihat sejak kebelakangan ni. Ni pun baru keluar hospital.” Sahutku tapi mata aku meliar mencari kelibat Iqmal.

“Kerja kuat sangat kot. Bawalah berehat. Kerja memang tak pernah habis, duit memang tak pernah cukup,” kata mak Iqmal lagi. Aku senyum je.

“Iqmal ada kat sini makcik?” aku tanya.

“Ada, dah empat hari dia kat sini. Nak habiskan cuti tahunan katanya,”

“Boleh saya jumpa dia?” aku tanya.

“Masuk je la, macam tak biasa.” Kata Mak Iqmal.

“Tadi saya nampak dia kat luar. Tapi dia dah lari masuk bila nampak saya. Dia tak suka ke saya datang?” aku bertanya lagi.

“Dia tak perasan kot kamu datang.” Kata mak Iqmal sambil memanggil anaknya tapi Iqmal tak keluar.

“Dia marahkan saya ke makcik?” aku tanya.

“Entahlah. Takde pula dia kata marahkan kamu. Cuma memang dia balik kali ni, tak banyak cakap. Diam je. Mengigau teruk, malam-malam je dia meracau, suruh orang jangan kacau dia.”

“Dia ada sebut nama sesiapa tak makcik?” aku tanya.

“Dia tak pernah sebut nama kamu. Tapi ada beberapa kali makcik dengar dia sebut nama Zul masa meracau tu. Bila makcik tanya dia siapa Zul, mukanya jadi pucat. Kamu kenal ke kawan dia nama Zul?” mak Iqmal tanya aku.

Zul? Aku kerutkan dahi.

-Bersambung-

One thought on “JANGAN BACA SAMPAI HABIS

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s