JANGAN BACA SAMPAI HABIS

Bab 2

Ketika aku sampai di masjid tempat pengurusan jenazah Zul, orang dah ramai. Jenazah pun dah sampai. Segalanya telah disiapkan oleh pihak hospital. Kami hanya perlu sembahyangkannya dan untuk sanak saudara melihatnya buat kali terakhir.

Aku sempat lihat jenazahnya, tenang je walau aku nampak ada kesan pecahan di wajahnya. Aku dengar berlaku pendarahan teruk di kepalanya. Aku tercari-cari Iqmal, dia memang takde. Aku tanya Yati kalau-kalau dia ada beritahu kepada Iqmal, tapi takde. Aku call dia, masih masuk dalam peti suara. Ke mana pula di Iqmal ni? Tak pernah lagi aku tak dapat call dia macam ni. Kalau dia tahu tentang berita kematian Zul ni, mesti dia datang.

Sampailah masa untuk kebumikan jenazah. Masa tu dah masuk solat Zohor pun. Imam kata tunggu solat zohor, ramai yang akan bersama-sama sembahyang jenazah. Lepas zohor, jenazah diusung ke kawasan perkuburan di tepi kawasan masjid. Hingga selesai talkin, Iqmal masih tak kelihatan.

Setelah balik ke rumah, aku bersiap nak kembali ke hospital. Yati hantar aku. Tapi aku pergi ke tempat kerja Iqmal dulu. Malangnya dia ambil emergency leave. Kata kawan tempat kerjanya, dia ada hal balik kampung. Patutlah aku call tak dapat, whatsapp pun satu tick je. Dia balik kampung rupanya. Memang kat kampung dia selalu takde line.

Yati terus hantar aku ke hospital. Aku serah diri semula.

Malam tu, aku dapat whatsapp dari Zubir. Tiba-tiba je dia whatsapp aku, pelik juga.

“Man, kau apa khabar? Dengar cerita kau masuk hospital ye?”

“Haah, mana kau tahu?”

“Iqmal bagitahu,”

“Eh, kau ada jumpa Iqmal ke?”

“Dia call aku semalam, minta tolong hantar dia balik kampung,”

“Kenapa pula dia suruh kau hantar dia? Kenapa dia tak naik kereta dia?”

“Entah, katanya dia tak boleh memandu,”

“Dia sakit ke? Aku cari dia, sebab kawan kami meninggal dunia hari ni tapi aku call dia masuk voice message, whatsapp dia pun tak sampai kat dia, satu tick je,”

“Haah, dia telefon aku pun guna nombor lain. Nombor kawannya katanya,”

“Apa masalah Iqmal tu? Apa dah jadi kat kampung dia?”

“Aku tanya banyak kali, tapi dia tak jawab. Aku jumpa mak dia, elok je sihat. Mak dia pun tanya kenapa tiba-tiba Iqmal balik kampung, suruh aku hantar pula tu,”

“Takpelah, nanti kita tanya dia. Adalah masalahnya tu,” sahutku menutup kisah Iqmal.

“Kau ada pos cerita baru ye?” Zubir tukar topik.

“Cerita baru? Kat mana?” aku tanya walaupun otak aku masih berfikir pasal Iqmal.

“Kat blog kau la,” Zubir menyahut.

“Eh, kau pun follow blog aku?”

“Lama dah aku follow, Cuma aku tak silent reader je,”

“Tapi aku takde pos cerita baru pun. Aku kat hospital kan. Lagipun dah sebulan aku tak pos cerita kat blog tu,”

“Tapi baru kejap tadi aku baca cerita kat blog kau. Selalu aku baca ok je. Tapi cerita yang baru ni, aku agak terkejut juga kau boleh tulis cerita macam ni. Seram weh,” kata-kata Zubir buat aku termenung dan teringat kat Iqmal.

“Cerita apa? Aku tak pos apa-apa cerita pun. Semalam pun Iqmal ada bagitahu aku benda sama. Katanya aku pos cerita kat blog padahal aku takde pos apa-apa cerita pun.”

“Kau buka la blog kau kalau kau tak percaya. Aku baru habis baca cerita kau,”

“Cerita pasal apa?”

“Pasal langsuir, real weh,” kat Zubir buatkan aku betul-betul excited nak buka blog aku masa tu juga.

“Ok, nanti aku buka blog aku kat phone. Apa-apa nanti aku bagitahu kau,” aku putuskan talian.

Aku buka website ke blog aku. Internet perlahan sangat, dekat lima minit aku tunggu, tak muncul blog login aku. Sampai aku ditegur oleh seorang misi. “Encik, dah pukul 10, kami nak tutup lampu. Kalau boleh encik pun tidurlah, jangan tengok telefon lagi,” kata misi cantik manis kat pintu masuk ke bilik aku.

Aku akur. Dah line phone aku pun slow macam siput, badan aku pun penat semacam sebab aktiviti siang tadi, berkejar sana sini, lepas tu dengan emosi aku yang agak down dengan kematian Zul, tambahan pula melihat isteri dan anak kecilnya.

Aku off data, yang memang takde line tu. Dan aku tidur.

Aku sedar bila lampu bilik aku dah cerah. Kali ni aku bangun awal, dan terus pergi mandi dan solat subuh.

Pukul 9 pagi, doktor pakar datang melawat. Sampai kat katil aku, dia kata bagitahu bahawa kesihatan aku sangat baik. Tiada apa masalah. Mungkin aku keletihan. Dia kata perkara terakhir yang dia nak buat ialah pemeriksaan jantung, sebab aku selalu mengadu sakit dada. Katanya kalau pemeriksaan jantung pun ok, esok aku boleh balik.

Aku ok je. Memang aku dah kata, kalau doktor kata aku ok, aku pegang kata doktor je. Sebab tu aku serah diri kat hospital.

Lepas doktor pakar beredar dari tempat aku, aku on data. Ada banyak conversation dalam group memancing aku. Aku buka nak baca.

Dada aku berombak sekejap bila aku baca berita Zubir nyaris maut sebab lemas masa memancing seorang diri di lombong belakang taman perumahannya. Memang Zubir tu pun gila memanding macam aku dan Iqmal. Cuma bezanya dia selalu memancing kat lombong, tapi kami memancing kat sungai. Tapi kalau ada pertandingan memancing, kami akan pergi sama-sama.

“Mujurlah ada orang lalu kat lombong tu masa dia lemas.”

“Dia kan tahu berenang? Macammana boleh lemas?”

“Orang nak bantu dia tu kata, macam nampak seseorang dengan dia masa tu. Tapi orang tu berdiri je kat tepi lombong,”

“Kata dia pergi seorang diri, sekarang ada kawan pula?”

“Orang tu la kata, tapi bila dia datang dekat, takde sesiapa pun kat situ. Cuma Zubir terkapai-kapai lemas. Nasib baik orang tu cepat,”

“Dia kat mana sekarang?”

“Dia balik ke rumah maknya. Menangis maknya bila tengok Zubir dah pucat lesi. Saja nak panjang umur dia. Risau maknya, padahal bukan budak kecil.”

“Macammana boleh lemas? Takde siapa yang jumpa dia ke lepas dia lemas?”

“Dia terus balik rumah mak dia. Tak sempat jumpa dia. Tahu pun sebab adik dia beritahu. Aku selalu jumpa adik dia yang kerja kat tingkat bawah bangunan yang sama dengan aku,”

Masing-masing diam, tutup cerita Zubir.

Aku call Zubir. Masuk peti suara. Aku hantar message. Last seen dia adalah waktu dia whatsapp dengan aku semalam. Dada aku berdebar, kenapa macam dejavu je. Macam suasana sama dengan Iqmal.

Pukul 12, Yati dan anak-anak aku datang melawat.

“Yati ada buka blog abang ke?” aku tanya Yati masa dia sedang sediakan nasi untuk aku.

“Blog abang? Takde pun. Nak buka buat apa? Lagipun Yati mana tahu login dan password abang.”

Aku diam, betullah apa yang dia jawab tu. Aku pandang anak aku. Haris yang sulung baru 10 tahun, takkan dia buka blog aku kot. Kalau nak tuduh pun, beragak-agaklah sikit kan.

“Kenapa bang?”

“Takde apa. Dah sebulan abang tak buka blog abang. Entah dah kurang follower,” kataku cuba berdalih. Taknak Yati susah hati, cukuplah dia susah payah jaga anak-anak masa aku kat hospital ni. Lagipun blog je pun, takde macam serius sangat.

“Rehatlah bang. Tak payah fikir pasal perkara tak penting sekarang ni. Fikirkan kesihatan tu. Abang tu tak cukup rehat. Siang kerja, macam sampai pukul 2-3 pagi masih menghadap blog tu. Tu yang tak cukup tidur tu.” bebel Yati. Dia memang selalu marah aku kalau aku tidur lewat.

Kadang tu kalau aku tengah ada idea nak menulis, aku tekun menulis sampai lupa. Bila dah selesai menulis, baru aku makan, itupun dah tengah malam, masa semua orang dah tidur. Pagi esoknya, bersedialah dengan leteran Yati.

Pukul 3 petang, aku dibawa ke bilik pemeriksaan jantung. Kat situ macam-macam wayar dipasang kat aku. Lepas tu aku ditinggalkan dalam bilik kecil yang samar-samar, hanya ada sedikit cahaya berwarna merah, bersama dengan wayar kat dada dan belakang aku, berserta satu monitor. Aku nampaklah jantung aku, dan aku dengar bunyi jantung aku. Ooo, macam tu rupanya jantung kita.

Selesai pemeriksaan tu, doktor kata aku sihat. Jantung aku ok. Aku dihantar ke bilik aku semula. Doktor kata, mereka akan bagi aku ubat terakhir untuk kenalpasti kenapa dada aku sakit. Ubat gastrik. Mereka kata, mungkin sebab aku makan tak menentu, perut aku dipenuhi asid. Asid ni yang menolak angin dari perut ke bahagian dada, yang menyebabkan dada aku sakit.

Aku akur je. Makan ubat ke, ambil darah ke, masuk air ke, kena cucuk berkali-kali ke, aku akur. Asalkan aku tahu aku ni sakit apa. Asalkan aku tahu aku sihat.

Aku balik ke bilik aku. Aku buka whatsapp. Kali ni group sekolah aku pula yang aktif.

“Man, cerita baru yang kau tulis ni real la, macam betul je hantu tu lalu depan aku, perhatikan aku. Meremang bulu roma tau,” kata Asma.

“Ada cerita baru ke? Aku belum baca lagi, sibuk sikit. Tapi bukan ke Man kat hospital? Bila masa dia tulis?” sahut Fikri.

“Ada kat blog dia. Korang buka la blog dia,” sahut Asma.

“Aku tengah buka blog dia ni. Takde cerita baru pun,” sahut Raini.

“Ada la, tajuk ‘Peneman Lolongan Anjing’. Baru je dia pos sejam yang lepas,” sahut Asma.

“Weh, aku takde pos cerita baru kat blog aku. Aku tak dapat buka blog pun, line kat hospital ni slow,” aku menyahut.

“Ada ni ha, aku baru habis baca. Kau jangan kata takde pula Man? Seram aku ni,” kata Asma.

“Betul Asma, aku tak pos apa-apa cerita baru. Aku tak tipu,” aku menyahut.

“Habis tu, yang aku baca ni siapa yang pos?” Asma tanya aku.

“Tapi Asma, aku pun tak jumpa cerita tu,” kata Raini tak puas hati sebab tak jumpa cerita baru aku tu. Diorang ni memang peminat tegar cerita seram aku.

“Jap aku skrinshot,” sahut Asma. Dan tak lama lepas tu dia pos satu skrinshot kat group whatsapp kami. Dan memang itu blog aku.

“Cerita pasal apa? Cuba kau copy paste kat sini,” kata Raini.

“Tak boleh copy paste. Bila aku klik, dia padam. Aku kena buka balik blog tu. Aku klik lagi nak copy, dia padam balik. Korang buka je la blog tu,” kata Asma.

“Aku memang tengah buka blog dia ni, takde cerita baru pun. Cerita akhir dia bulan lepas,” sahut Zara pula.

“Haah, last aku tulis memang bulan lepas,” sahutku.

Dan masing-masing terus diam.

-Bersambung-

One thought on “JANGAN BACA SAMPAI HABIS

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s