JANGAN BACA SAMPAI HABIS

Bab 1

Aku Azman. Dulu aku penulis novel fiksyen seram. Lama juga aku berhenti menulis. Dulu aku menulis pun bukan sebab aku nak menempa nama sebagai penulis buku tapi sebab aku nak duit untuk tampung kos kolej. Sempat la buat tiga buku. Lepas la aku nak bayar duit kolej aku untuk setiap semester. Iyelah, nak harap duit mak ayah, diorang memang bagi setiap kali aku minta. Tapi kalau dah asyik bagi aku je, macammana pula dengan makan pakai diorang kat kampung, adik-adik aku lagi yang semuanya masih bersekolah masa tu.

Sebaik tamat pengajian, aku bekerja. Dan aku terus lupa pasal penulisan aku. Sebab bukan cita-cita aku nak jadi penulis kan. Aku bekerja dan lepas tu berkahwin. Tanggungjawab bertambah.

Bila anak-anak aku dah besar sikit, aku mula berjinak-jinak semula dengan dunia penulisan. Tapi kali ni masih lagi aku tulis untuk suka-suka, bak kata orang, melepaskan gian. Aku tulis kat facebook, aku tulis kat blog semua. Banyak cerita yang aku dah tulis. Tambahan pula ramai pengikut yang suka membaca cerita aku. Merekalah yang selalu bagi aku semangat di masa aku rasa cerita aku dah mula kurang sambutan.

Mana taknya, zaman aku menulis dulu dah tak sama macam zaman menulis sekarang. Zaman aku dulu, fikiran kolot manusia masih percaya pada hantu, Pontianak, langsuir, hantu jepun, hantu kopek, toyol semua tu. Zaman sekarang, orang dah tak takut kat hantu. Bahkan pemikiran anak-anak sekarang lebih maju, mana ada hantu.

Jadi, untuk menulis di zaman ini, bukanlah satu tugas yang mudah. Nak menarik minat pengikut-pengikut yang jauh lebih muda dari aku. Yang pemikiran lebih terbuka berbanding aku. Yang teknologi mereka lebih hebat dari aku. Aku ni nak tekan keyboard pun terkial-kial. Dulu main game pun setakat supermario tu dah kita hebat sangat dah. Zaman sekarang main game pun dah online, boleh lawan dengan pesaing luar negara. Sampai tahap kalau game dah level tertinggi, boleh jual pula. Game pun boleh jadi sumber pendapatan dah zaman ni.

Ok, berbalik kepada kisah penulisan aku. Aku kembali menulis.

Genap tiga puluh cerita yang aku tulis, aku jatuh sakit. Sakit apa pun aku tak tahu, doktor pun pening cari punca sakit aku. Kata doktor, darah dan badan aku semua ok. Doktor suruh aku cuba cara perubatan tradisional pula.

Sakit aku ni taklah teruk sangat. Cuma adakala ada bahagian badan aku yang kebas sampai tak boleh gerak. Telinga dan leher aku sejuk semacam. Doktor kata itu tanda stroke, akibat darah tak berjalan lancar. Mungkin kerana kerjaya aku di pejabat dan sebagai penulis, menyebabkan aku selalu duduk dalam keadaan yang lama. Menyebabkan aliran darah aku tak lancar.

Tapi doktor kata, darah aku stabil. Takde tinggi atau rendah. Ada masa dada aku sakit, tapi doktor kata aku takde symptom sakit jantung. Sebab aku tak merokok, usia aku tak tua sangat dan pada masa ku sakit dada, aku taklah berpeluh sampai nak pitam. Habis tu aku sakit apa?

Bila aku pergi kepada perubatan tradisional, dah katanya ada yang ‘menumpang’. Tanya tiga tempat, tiga-tiga pun cakap benda sama. Bila aku tanya, apa yang ‘menumpang’ tu? Benda baik ke benda tak baik? Katanya benda yang dah lama berada dalam keluarga aku cuma belum masanya untuk dia munculkan diri.

Masalahnya kenapa nak ‘tumpang’ aku? Ramai lagi saudara mara aku yang lain. Mereka kata sebab aku pilihan terbaik buat masa ini. Aku anak sulung, dari ayah aku yang sulung dan datuk aku pun sulung. Bermakna kami tiga keturunan adalah anak sulung. Katanya kalau aku tak ambil benda yang menumpang tu, nanti dia akan turun kepada cucu aku pula, sebab dia akan pergi kepada keturunan sulung dalam angka ganjil. Aduhai, berbelit cerita diorang ni.

Aku jumpa seorang lagi pengamal perubatan tradisional, dah katanya ada orang dengki kat aku pula. Nak susahkan aku. Aku ni memang la tulis fiksyen hantu. Tapi aku tak percaya benda tu semua. Pada aku, kat dunia memang wujud alam ghaib tapi alam ghaib tu bukanlah hantu atau saka semua tu. Itu semua syaitan.

Dan akhirnya aku kembali ke hospital. Aku minta mereka check aku betul-betul. Kalau pihak hospital kata aku memang tak sakit, aku akan pegang kata-kata itu sahaja. Taknak aku fikir dah.

Dan doktor akur. Mereka tahan aku kat wad untuk pemeriksaan lanjut. Dari sinilah kisah aku bermula. Setelah hampir sebulan aku tak menulis apa-apa di blog aku.

Pada malam pertama aku di hospital, Iqmal whatsapp aku.

“Man, betul ke kau masuk hospital?”

“Haah,”

“Pasal sakit yang kau selalu cerita kat aku tu lah ye?”

“Haah. Kau tahu kan, aku pergi pengamal perubatan tradisional, semua keluarkan fakta mengarut. Baik aku serah diri kat hospital. Doktor kata kalau aku ok lepas tiga hari, diorang akan lepaskan aku. Doktor kata mungkin aku keletihan,”

“Maknanya kau kena rehat cukup-cukup. Kosongkan otak tu sementara kau kat hospital,”

“Iyelah, memang aku tengah rehat ni,”

“Habis tu, yang kau masih nak post cerita hantu kat blog kau dah kenapa? Rehat je la,”

“Bila masa pula aku post cerita kat blog aku?”

“Ni ha, baru tiga puluh minit yang lepas, kamu post satu cerita. Seram pulak tu. Tahu la kau duduk kat hospital,”

“Eh, kau jangan main-main weh. Aku takde post cerita apapun. Mana ada laptop dengan aku ni, nak taip guna apa?”

“Dah la Man, aku kenal la kau tu. Kalau sehari tak menulis, dah macam orang ketagih dadah pula,”

“Serius ni. Aku takde post apa-apa cerita malam ni. Kau tengok blog orang lain kot,”

“Aku serius la ni. Jap aku skrinshot hantar kat kau,”

Aku tunggu. Berdebar-debar pula rasa hati.

Ting Tong! Bunyi message masuk. Aku buka gambar yang Iqmal hantar.

Betul! Ada satu cerita baru saja di pos kat blog aku. Tapi memang aku tak pos apa-apa malam ni. Bahkan dah hampir sebulan aku tak tulis apa-apa cerita akibat dari sakit aku ni. Ah sudah! Siapa dah hack blog aku ni?

Yati kat rumah dengan anak aku tiga orang tu? Takkanlah diorang. Anak-anak aku memang tak pernah tunjuk minat nak menulis macam aku. Yati lagi la, dia memang takkan baca cerita hantu. Lagipun takde siapa tahu login dan password blog aku.

“Man, tu blog kau kan?”

“Iyelah Mal. Siapa yang dah hack blog aku ni?”

“Entahlah. Kau buka la. Kau baca. Seram weh. Sekarang bertambah seram bila aku tahu bukan kau yang pos cerita tu.”

“Esoklah aku baca. Dah tengah malam ni. Aku kat hospital, kang aku mengigau tengah tidur nanti, doktor kata aku gila pula. Lagi susah,”

Aku off data. Aku tidur. Sebab aku bukannya sakit tenat, jadi tidur di hospital sama macam tidur kat hotel pulak rasanya. Nak pula aku kat kelas kedua, satu bilik ata empat orang tapi kebetulan takde orang lain kat bilik tu selain aku. Maka bilik itu aku yang punya. Ada orang tutupkan lampu, makanan sampai kat katil, pagi orang hantar makanan, tengahari orang hantar makanan, petang pun orang hantar makanan. Cukup masa orang datang tanya nak air panas tak. Kalau berjalan ke tandas, ada je misi tanya nak ke mana tu? Hati-hati. Wah seronok rupanya duduk di hospital ni.

Aku sedar ketika terdengar suara misi panggil nama aku suruh bangun. Aku buka mata, tengok jam dinding, pukul 6 pagi. “Bangun encik. Mandi dan siapkan diri. Nanti pukul 9 doktor pakar datang melawat,” kata misi cina, kecil molek je orangnya, fasih berbahasa melayu.

Aku bangun dari katil. Di tepi katil aku, dah ada pakaian baru. Kan aku dah kata, seronok duduk di hospital. Aku ambil tuala dan melangkah ke bilik air. Mak aii… Penuh orang. Semuanya beratur nak mandi. Pukul berapa diorang dah start beratur ni? Masa ni aku rindu kat bilik air aku kat rumah.

Dekat pukul 7 baru aku keluar dari bilik air. Cepat-cepat aku ke bilik aku dan bentang sejadah lalu solat subuh. Kalau aku tahu macam ni suasana pagi di hospital, aku bangun pukul 5 pagi. Tapi boleh ke aku bangun kalau takde orang kejutkan? Kat rumah selalunya Yati yang kejutkan.

Selesai solat, telefon aku berbunyi. Nama ‘Yati Sayang’ terpapar di skrin. Aku senyum, rindu kat aku la tu.

“Hello sayang, rindu kata bang ke?”

“Abang ok? Sihat ke?”

“Alhamdulillah, Abang bukannya sakit teruk. Nak cari punca masalah kesihatan je. Yati dan anak-anak ok?”

“Kami ok, tapi ada satu berita buruk,”

Aku panik seketika. Yati ni yang aku kenal, bukan jenis melawak. Dia kalau kata serius, serius la. Kalau dia kata takut, dia takut lah.

“Berita apa?”

“Zul meninggal dunia semalam,”

“Zul? Zul mana?”

“Zul jiran kita,”

“Awak jangan main-main Yati.”

“Takkanlah hal mati nak main-main bang,”

“Kenapa?”

“Kemalangan petang semalam. Dia naik motor, kena langgar dengan lori,”

Aku terkedu. Pagi semalam sebelum aku serah diri kat hospital, aku bertembung dengan dia. Dia nak pergi kerja masa tu. Kami agak rapat, anaknya ada beberapa kali tidur kat rumah kami. Anak aku pun ada juga sesekali tidur kat rumah dia. Memang dan macam adik beradik dah kami. Memang aku tak sangka itu kali terakhir aku jumpa dia.

“Innalillahi wainna ilaihi rojiun. Bila kebumi?”

“Hari ni sebelum zohor. Dengar cerita keadaan jenazahnya agak teruk, jadi mereka akan kebumi segera,”

“Nanti abang cuba tanya doktor kalau boleh keluar sekejap. Takkan tak ziarah dia buat kali terakhir,”

“Ha, itulah sebab Yati beritahu abang ni. Cubalah tanya doktor kalau boleh keluar sekejap. Kalau boleh nanti, abang beritahulah, Yati datang ambil abang,”

Yati letak telefon. Aku masih termenung, macam tak sangka Zul jiran aku dah takde. Begitulah kalau ajal dah sampai. Walhal dia lebih muda dari aku. Anaknya dua orang masih kecil, isteri pula tak bekerja. Aku gosok muka aku, menahan sebak.

Aku mohon dari doktor untuk keluar sekejap bagi menghadiri majlis pengkebumian Zul. Mujurlah doktor izinkan dengan syarat aku tandatangan surat tanggung risiko dan pelepasan tanggungjawab pihak hospital sepanjang aku tiada di hospital.

Sementara menunggu Yati datang ambil aku, aku hubungi Iqmal. Tiada sahutan. Aku cuba call banyak kali, masuk peti suara. Aku hantar whatsapp kat dia, satu tick je. Kali terakhir dia lihat whatsapp dia ialah pada waktu dia berwhatsapp dengan aku semalam.

Iqmal pun kenal rapat dengan Zul. Kami selalu memancing ikan kat sungai hujung taman kami tu sama-sama. Aku tak tahu lah kalau Iqmal dah tahu tentang berita kematian Zul.

-Bersambung-

One thought on “JANGAN BACA SAMPAI HABIS

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s