BEBASKAN AKU

Bab 11 (AKHIR)

Haji Yakob menjenguk ke liang lahad. Memang kosong di situ. Jenazah Sahira baru dikebumikan sebulan yang lepas, sepatutnya masih ada jenazahnya di situ.

“Macammana ustaz?” Haji Yakob bertanya kepada Ustaz Kamal yang sama-sama menjenguk ke liang lahad.  Ustaz Kamal berdiam diri seketika.

Belum sempat sesiapa memberi kata putus, tiba-tiba pokok kekabu di tepi kawasan perkuburan bergoncang kuat disertai dengan bunyi seakan bunyi hilaian yang panjang. Semua yang berada di situ mendongak mencari arah bunyi dan penyebab pokok besar itu bergoyang kuat.

Beberapa orang kampung bertempiaran lari bila ternampak susuk tubuh yang mereka panggil Pontianak yang mengganggu kampung sejak sebulan lepas.

“Astaghfirullahal azeem,” Ustaz Kamal dan beberapa orang yang masih tinggal di situ beristighfar panjang. Dua orang pegawai polis yang masih berdiri di situ menanti kubur ditutup semula, pun berwajah cuak. Mungkin ini adalah kali pertama mereka berhadapan dengan situasi tersebut.

Mak Piah, ibu Sahira yang juga menghadiri urusan pengebumian ‘anak’ Sahira, bangun berdiri dan memandang ke arah Pontianak di atas pokok. Dia menangis melihat keadaan anaknya begitu. Pada masa itu, kedengaran bunyi tangisan yang mendayu-dayu, bergema di sekitar kawasan perkuburan.

“Imam, Ustaz, kebumikan jasad anaknya. Teruskan urusan ni,” kata Mak Piah.

“Tapi jasad Sahira takde,” kata Haji Yakob.

“Takpe, dia akan kembali ke tempat yang sepatutnya dia pergi selepas urusannya selesai. Kita selesaikan hal jasad kecil ini dulu,” kata Mak Piah.

Semua orang yang masih berada di situ memandang ke arah dua orang pegawai polis yang berdiri di situ tanpa sepatah kata. “Boleh kami teruskan encik?” Bilal Majid bertanya.

“Melihatkan suasana jenazah hilang ni, kami sepatutnya buka kertas siasatan lagi. Tapi kami juga muslim. Kami akui ada perkara yang tak dapat kami uruskan di dalam jabatan. Ada urusan yang menjadi rahsia Allah. Jadi, kami takkan buka kertas siasatan tentang jenazah hilang dari dalam liang lahad. Teruskanlah jika itu lebih memudahkan. Kerana kematian Sahira dulu pun tiada sebarang keraguan,” kata salah seorang pegawai polis tu.

Maka, mereka yang masih berada di situ, termasuk aku, menguruskan pengebumian jasad kecil milik Sahira di dalam liang lahad ibunya, dengan diperhatikan si ‘ibu’ dari atas pohon kekabu. Tiada sebarang perkara ganjil terjadi walaupun dada aku berdebar di sepanjang masa.

Selesai urusan pengebumian, dua orang pegawai polis tadi beredar. Imam Radhi berbual dengan Mak Piah dan Suhairi. Aku, ayah aku, Ustaz Kamal, Bilal Majid dan Haji Yakob masih di situ. Pontianak di atas pokok dah hilang entah ke mana.

“Kak Piah ok?” Bilal Majid bertanya lembut. Mak Piah anggukkan kepala dengan wajah sayu.

“Sahira ada balik rumah ke sejak dia meninggal dunia?” Haji Yakob pula bertanya, semua yang ada di situ memandang Haji Yakob, terkejut dengan soalannya.

“Saya bukan nak menambahkan kesedihan Kak Piah. Tapi saya rasa masih ada perkara yang buat Sahira masih belum pergi ke tempat yang sepatutnya,” kata Haji Yakob.

“Takpe, saya faham. Saya pun nak anak saya pergi ke tempatnya yang betul. Memang ada perkara yang masih mengganggunya,” kata Mak Piah.

“Apa dia?” Imam Radhi bertanya.

“Katanya kematiannya tak disempurnakan selayaknya. Dia masih tersekat. Dia minta dibebaskan,” kata Mak Piah dengan nada sebak.

“Tak disempurnakan selayaknya? Maksud Kak Piah?” Imam Radhi bertanya.

“Saya tak pasti, itulah ayat yang selalu dibisikkannya melalui dinding rumah setiap kali dia datang ke rumah kami pada waktu tengah malam. Dia bertenggek di atas pokok manggis di tepi rumah saya. Dia menangis di situ. Suhairi yang selalu nampak dia. Dia akan masuk ke rumah dan kunci semua pintu. Lepas tu dia beritahu saya bahawa kakaknya ada di pokok manggis. Mula-mula saya ingat itu imaginasi dia je. Tapi ada satu malam tu, bila ada bunyi mencakar dinding rumah, saya buka tingkap untuk lihat apa benda kat luar rumah. Masa tu saya nampak dia bertenggek di atas pokok manggis sambil pandang saya.” Cerita Mak Piah panjang lebar.

“Kenapa Kak Piah tak pernah bagitahu kami?” ayah aku bertanya.

“Saya taknak orang kampung terus burukkan nama Sahira. Selama ni bila orang bercakap pasal dia, saya akan kata bahawa saya tak pernah jumpa dia. Saya taknak banyak fitnah, saya taknak banyak soalan dari jawapan. Saya sedih, itu anak saya,” kata Mak Piah. Beberapa titis air mata mengalir di pipi tuanya.

“Takpelah, nanti kita buat solat hajat. Kita cuba cari apa yang menyekat Sahira dari pergi ke tempat sepatutnya,” kata Ustaz Kamal.

Setelah itu, kami semua pulang ke rumah. Entahlah kenapa aku pula yang rasa lega sangat. Rasa macam ada masalah berat yang dah selesai. Padahal aku bukannya penduduk kampung tu pun.

Sampai di rumah, Nina dan mak aku sedang sibuk di dapur. Ayah aku terus mengikut Imam Radhi ke masjid. Aku cari Azrin, Haikal dan Qaiyum. Mereka bermain di bahagian dapur rumah.

“Ayah, pokok yang Rin tanam haritu, dah ada pucuk baru,” kata Azrin dengan riak wajah yang gembira. Tak putus dia tersenyum melihat pokoknya. Aku pun ikut senang hati kerana dia dah boleh menerima percutiannya di kampung ni, walaupun terpaksa berdepan dengan Pontianak yang selama ini dilihat di dalam tayangan gambar je.

“Jom kita kayuh basikal keliling kampung nak tak?” aku bertanya.

“Nak! Nak!” Haikal yang menyahut.

“Tapi kita tak bawa basikal,” kata Azrin.

“Kita naik basikal tua atuk. Rin kayuh basikal opah, boleh?” aku bertanya.

“Boleh! Boleh! Jom la ayah,” sahut Azrin sambil melompat seronok.

“Jangan lama sangat Lan. Lapar budak-budak tu nanti.” Mak aku jerit dari dalam dapur.

“Iyelah mak,” aku menyahut.

Kami mengayuh basikal mengelilingi kampung, melihat sawah padi yang luas terbentang, melihat tali air dengan air yang masih jernih. Kagum sungguh mereka melihat air yang jernih, macam tak percaya masih ada tali air yang jernih airnya. Hari itu berakhir dengan kegembiraan buat anak-anak aku.

Selepas dua hari, tiada kekecohan di kampung itu. Ramai yang mengatakan Sahira dah kembali ke tempat sepatutnya selepas jasad anaknya disemadikan semula. Keadaan kampung kembali normal.

Sehingga malam ketiga, pada waktu maghrib, aku mengikut ayah aku ke masjid. Solat hajat telah dibuat selama tiga malam berturut-turut. Elok ke kuliah maghrib tanpa sebarang kekalutan.

Hingga tiba-tiba beberapa anak muda kampung berlari masuk ke masjid dengan wajah pucat. Mereka kata Pontianak tu muncul semula. Dia berada di mana-mana. Di atas jambatan, di dalam kedai dan di atas bumbung rumah. Ustaz Kamal bangun dan meminta mereka semua pulang ke rumah masing-masing.

Ustaz Kamal melangkah keluar dari masjid. “Nak ke mana ustaz?” Imam Radhi bertanya.

“Saya rasa dia ada dekat-dekat sini,” kata Imam Radhi.

“Ustaz nampak dia ke?” Imam Radhi bertanya. Ustaz Kamal tak jawab tapi dia terus melangkah ke pagar masjid. Beberapa orang yang masih berada di dalam masjid berhenti setakat muka pintu dan memerhati gelagat Ustaz Kamal di pagar masjid.

Sejenak kemudian, kelihatan kelibat Pontianak tu terbang di atas pokok durian di tepi pagar masjid. Lama dia berdiri di situ. Begitu juga Ustaz Kamal. Lepas seketika, Pontianak itu kelihatan terbang di awangan dan menghilangkan diri.

Belum pun sempat kami merasa lega, tiba-tiba terdengar bunyi jeritan seseorang. Ustaz Kamal yang pada masa itu sedang melangkah kembali ke pintu masjid, berhenti dan menoleh. Kelihatan Mak Senah sedang berlari macam orang gila.

Ustaz Kamal memberi isyarat kepada beberapa orang yang masih berada di situ, untuk membawa Mak Senah masuk ke dalam masjid. Nafas Mak Senang kencang, dia betul-betul penat dan ketakutan. Ustaz Kamal memberinya minum air yang dah dibacakan Al Fatihah.

“Kenapa ni Mak Senah?” Bilal Majid bertanya setelah keadaan Mak Senah agak tenang.

“Pontianak tu berdiri kat atas bumbung rumah aku. Dia ketuk pintu aku. Dia mengilai kat atas rumah aku. Aku tak buka pintu. Tapi dia masuk ikut dapur. Dia nak bunuh aku,” kata Mak Senah.

“Kenapa dia nak bunuh Mak Senah? Dia pun kacau seluruh penduduk kampung, tapi dia tak bunuh sesiapapun. Kenapa Mak Senah rasa dia nak bunuh Mak Senah?” Haji Yakob bertanya.

“Dia dendam dengan aku,” kata Mak Senah. Matanya masih melilau melihat keliling dengan wajah ketakutan.

“Apa Mak Senah buat kat dia sampai dia berdendam dengan Mak Senah?” Ustaz Kamal pula bertanya.

Seketika kemudian, Kak Juliza muncul. Sebab tadi Haji Yakob menyuruh Kadir pergi panggil Kak Juliza. Kak Juliza ialah pembantu Mak Senah. Mereka selalu bersama setiap kali menguruskan jenazah wanita dalam kampung tu.

“Juliza, dia nak bunuh aku.” Kata Mak Senah sebaik sahaja Kak Juliza duduk di sebelahnya.

“Tenang Mak Senah.” Kata Kak Juliza memujuk.

“Aku dah cakap, dia akan bangun kacau orang kampung. Kamu tak percaya. Sekarang kan dah terjadi. Sepatutnya kamu buat semua yang aku suruh haritu,” kata Mak Senah.

“Astaghfirullah. Mak Senah, yang Mak Senah dah buat tu pun dah kira menyakitkan dia. Jangan tambah lagi,” kata Kak Juliza perlahan seakan cuba bercakap tanpa didengari oleh orang-orang di situ.

“Sebenarnya apa yang telah berlaku? Cuba ceritakan kepada kami?” kata Imam Radhi. Kak Juliza memandang keliling, memandang semua orang yang berada di situ, seakan baru tersedar mereka telah menceritakan sesuatu yang sepatutnya dirahsiakan.

“Sebenarnya, masa kami kafankan jenazah Sahira, Mak Senah suruh saya berbuat sesuatu kepada jenazahnya. Katanya itu memang kena buat kepada wanita yang meninggal dunia ketika melahirkan atau sedang mengandung. Ini adalah bagi mengelakkan jenazah bangun dari kuburnya dan menjadi Pontianak,” kata Kak Juliza tersekat-sekat seperti takut.

“Kamu buat apa kepada jenazah?” Ustaz Kamal bertanya. Wajah Ustaz Kamal agak kemerahan seperti menahan marah namun dia cuba mengawal perasaannya.

“Mak Senah letakkan jarum di bawah ketiak jenazah, katanya itu bagi mengelakkan dia terbang. Lepas tu dia letak cincin suasa di dalam mulut jenazah, katanya nanti jenazah tak boleh mengilai. Dan dia suruh saya tusukkan paku ke belakang leher jenazah supaya rupa jenazah nanti tak berubah jadi Pontianak,” kata Kak Juliza.

“Kamu buat tak?” Ustaz Kamal tanya.

“Saya tak sampai hati. Saya tak buat. Sebab tu Mak Senah marah saya bila Pontianak tu mula mengganggu kampung. Katanya sebab saya tak tusukkan paku di belakang lehernya.” Kata Kak Juliza sambil menundukkan wajahnya.

“Khurafat!” Ustaz Kamal bersuara dengan nada agak tinggi. Mukanya merah padam. Dia memang marah. Semua yang ada kat situ pun geleng kepala, menyesali perkara yang dilakukan oleh Mak Senah.

“Mak Senah, Mak Senah seorang yang disegani di kampung ni. Mak Senah orang kepercayaan kami semua kat kampung ni. Kenapa Mak Senah terpengaruh dengan perkara khurafat macam ni? Mak Senah tak takut Allah ke?” Imam Radhi bercakap kepada Mak Senah yang sedang menangis teresak-esak di satu penjuru.

“Ini adalah kali pertama saya menguruskan jenazah yang meninggal dunia ketika mengandung. Ilmu menguruskan jenazah ni adalah turun temurun dari mak saya. Mak saya juga buat begitu katanya jika ada perempuan meninggal dunia ketika mengandung atau melahirkan anak. Jadi saya rasa perkara itu perlu.” Kata Mak Senah, masih dalam esakannya.

“Bertaubatlah Mak Senah. Berdoalah untuk arwah ibu Mak Senah juga. Khurafat semua ni. Khurafat. Jika Sahira tak mengganggu begini, sampai bilalah Mak Senah akan buat perkara khurafat ni.” Kata Bilal Majid.

Semua yang berada di situ terdiam. Tiada apa yang dapat diluahkan hanya keluhan berat dan nafas bernada kekesalan. Namun bagi aku, sekurang-kurangnya aku dah tahu kenapa Sahira mengganggu. Tiga hari lepas, aku masih rasa gangguan Sahira adalah kerana jasad anaknya diambil orang. Tapi lepas anaknya dikebumikan, dia masih mengganggu. Rupanya inilah sebabnya.

“Jadi, macammana ni Ustaz?” Bilal Majid bertanya.

“Kita buat bacaan yassin selama tiga malam berturut-turut. In Shaa Allah, jika inilah sebabnya, dia akan pulang ke tempatnya,” kata Ustaz Kamal.

“Dan kepada semua yang berada di sini, kisah ini antara kita dan Allah sahaja. Jangan disebarkan kepada sesiapapun. Ingat, menjaga aib sesama kita adalah amanah buat kita. Apa yang kita dengar di sini, berhenti di sini sahaja.” Kata Imam Radhi.

Kami semua yang berada di situ menganggukkan kepala tanda faham dengan apa yang Imam Radhi cuba sampaikan.

Majlis bacaan yassin diteruskan. Begitu juga dengan solat hajat memohon agar Sahira ditenang dan ditunjukkan jalan ke tempat asalnya.

Lepas kejadian tu, Mak Senah keluar dari kampung tu. Katanya dia berhenti untuk menguruskan jenazah wanita. Walau dah dipujuk banyak kali orang Imam Radhi sendiri. Namun katanya, adakala pahala yang dicari, tapi lebih banyak dosa yang didapati. Mak Senah kata, dia nak duduk di pondok agama. Belajar dan habiskan masa di sana.

Setelah seminggu berada di kampung, cuti kami pun habis. Pada hari aku dan keluarga aku dah bersiap nak balik semula ke rumah kami, ayah aku beritahu aku, Mak Piah beritahu dia, masa Mak Piah menziarah kubur Sahira petang semalam, dia terjumpa dua batang jarum dan sebentuk cincin suasa di atas kubur Sahira.

“Maknanya Sahira dah pergi la kan ayah?” kataku.

“In Shaa Allah, harap begitulah.” Kata ayahku dengan tenang sekali.

“Siapa yang dah pergi?” Mak aku tanya, dia macam dengar sikit-sikit kot.

“Takde siapa mak. Ni kami dah nak pergi. Tak tahulah bila kami dapat bercuti di sini lagi. Mungkin tahun depan. Tengoklah kalau ada cuti panjang lagi.” Kataku. Nina memandang aku sambil tersenyum sebab dia tahu segala cerita.

“Nanti cuti, Rin nak datang sini lagi. Rin nak tanam pokok lagi. Kat kampung pokok senang hidup,” kata Azrin. Aku berasa senang hati bila Azrin yang mulanya tak suka ikut aku bercuti di kampung, dah makin gembira di sini.

Kami berangkat pulang. Dalam kereta aku tanya Azrin, dah ada idea untuk buat karangannya? Dia kata, karangannya akan jadi karangan yang paling hebat nanti. Segalanya akan lain dari yang lain. Kerana karangannya mengenai PONTIANAK. Tiada siapa yang mampu buat karangan sepertinya.

– T A M A T –

One thought on “BEBASKAN AKU

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s