BEBASKAN AKU

Bab 10

Lepas ayah aku keluar dari bilik, aku bawa Haikal masuk bilik. Aku pandang keliling. “Ayah takut?” Haikal tanya aku. Aku pandang Haikal tapi aku tak jawab. Aku tak tahu nak jawab apa.

Nina muncul di pintu bilik. “Semua ok ke?” Dia bertanya. Aku anggukkan kepala.

“Bawa anak-anak tu tidur. Dah lewat malam ni,” kataku cuba menutup perasaan takut aku.

Selesai solat isya’, Nina bawa anak-anak aku tidur. Aku pula duduk di ruang tamu bersama ayah aku.

“Mak Senah tidur sini ke?” aku bertanya. “Haah, dia tidur kat bilik belakang,” kata ayah.

“Mesti dia takut nak keluar malam dah lepas ni,” kataku. Kesian dengan Mak Senah, dah la tinggal sendirian, jadi pula macam ni.  Ayah aku tak menyahut pun, dia khusyu’ membaca tafsir Al Quran ditangannya.

Tak lama kat ruang tamu, aku dah menguap. Mengantuk pula mata aku ni. AKu tengok jam, dah pukul 12 malam. Patutlah mata aku dah berat. “Ayah taknak tidur lagi ke? Dah lewat sangat ni,” aku tanya ayah. Selalunya ayah dah tidur pukul 10 malam lagi. Sebab pukul 4 pagi ayah dan mak aku biasanya dah bangun.

“Kamu tidurlah dulu. Ayah ada urusan lagi,” kata ayah aku sambil pandang aku.

“Urusan apa ayah?” aku tanya.

“Takde apa, kamu pergilah tidur,” kata ayah. Dan sebab aku mengantuk sangat, aku terus masuk ke bilik.

Baru je aku nak letak kepala, aku dengar bunyi lolongan anjing menyalak panjang. ‘Ahh sudah! Apa pulak yang dilolong dek anjing tu.’ Kampung aku ni tak banyak anjing sebab kebanyakan orang islam. Kalau ada anjing pun, sebab dia sesat.

Seketika kemudian, aku dengar bunyi angin bertiup agak kuat. Terdengar bunyi dahan pokok menghempas dinding rumah. Aku cuba pejamkan mata. Masa ni aku dengar bunyi pokok rambutan yang dekat dengan dinding bilik bergoncang kuat, macam ada yang memaut atau melompat di atas dedahannya. Aku buka mata dan duduk. Aku cuba fokus bunyi tu, samada bunyi angin atau memang ada sesuatu yang sedang menggoncang pokok tu.

“Heeeeeeeeeeeeeee…..heeeeeeeeeeeeeeeeee….” Suara mengilai dan masa ni aku baring lalu tutup telinga aku dengan bantal. Seram weh, betul-betul kat tepi tingkap bilik.

“Tok tok tok,” tingkap bilik diketuk. Aku tekup muka aku dengan bantal. Meremang bulu roma aku.

Tiba-tiba aku rasa ada sesuatu menyentuh tangan aku. Lembut je sentuhan tu. Aku menggeletar. Dan bantal yang aku guna untuk menekup muka aku, tiba-tiba ditarik kuat. Aku pejamkan mata, ada satu tangan halus menepuk pipi aku. “Abang! Kenapa ni,” aku dengar suara Nina. Aku buka mata.

“Kenapa ni bang?” Nina tanya aku lagi. Aku pandang keliling, takde apa.

“Tu ayah panggil tu. Lama dah ayah panggil kat luar tu,” kata Nina. Aku terus bangun dan melangkah ke pintu. Sebaik pintu terbuka, aku nampak ayah aku berdiri di tepi dinding.

“Kenapa ayah?” aku tanya.

“Jom ikut ayah keluar sekejap,” kata ayah aku membuatkan meremang bulu roma aku.

“Nak ke mana ayah? Dah pukul 1 pagi kot. Tak boleh tunggu esok ke?” aku tanya.

“Kena pergi malam ni juga,” kata ayah.  Aduh! Aku betul-betul takut ni.

“Tapi kalau kamu taknak juga, takpelah. Ayah pergi sendiri,” kata ayah aku buatkan aku terpaksa menurut. Aku ambil baju sejuk lalu menyarungkan ke badan. Aku mengikut ayah aku dengan rapat.

Ayah aku buka pintu. Aku ikut. Kat luar, hanya kegelapan dengan angin bertiup agak kuat. Anjing masih melolong panjang seperti tadi, seakan sedih. Tapi aku yang dengar, amat menyeramkan.

Ayah aku naik motor, aku bonceng kat belakang. Nak taknak, aku ikut.

Ayah aku bawa motor tu sampai ke kawasan perkuburan. Masa ni aku rasa macam nak lompat dari motor ayah aku dan lari balik rumah.

“Ayah, nak buat apa ke kubur tengah malam ni?” aku tanya. Sejuk dengan angin malam.

“Ikut ayah. Kita pergi ke sebelah sana,” kata ayah aku sambil menongkatkan motornya di bawah satu pohon besar di tepi kawasan kubur.

Aku takde pilihan selain mengikut ayah. Kami menyorok di sebalik semak di bahagian tepi kawasan kubur. Nyamuk berlarian di telinga, beberapa kali aku menepuk nyamuk yang hinggap di muka dan badan aku.

“Ayah, kita nak buat apa ni? Jom la balik,” kataku.

“Kalau kamu nak balik, kamu balik. Ayah ada urusan,” kata ayah aku. Masa ni aku rasa macam itu bukan ayah aku, aku rasa macam aku dah ikut jelmaan hantu mana entah yang menyerupai ayah aku. Mana ada orang pergi menyorok kat kawasan kubur di tengah malam buta ni. Melainkan ada orang nak ambil nombor ekor.

Ketika aku sibuk memukul nyamuk, ayah aku tepuk aku. “Diam, jangan bergerak. Dia dah keluar,” kata-kata ayah aku membuatkan aku terus jadi patung. Aku pandang ke dalam kawasan perkuburan. Ada Pontianak sedang berlegar di kawasan kubur Sahira dan anaknya. Dia berpusing-pusing di situ. Aku dah rasa nak terkencing dalam seluar.

Masa tu la aku nak terbatuk tanpa dapat ditahan. Pontianak tu memandang ke arah kami tapi tak datang kepada kami. Memang dia masih dalam rupa manusia, rupa Sahira. Takde pun gigi taring macam dalam cerita hantu Pontianak yang aku tengok selama ni.

Pontianak tu tiba-tiba seakan terapung di udara dan terus ke atas dahan pokok kekabu. Dia berdiri di dahan. Sesekali dia menggoncang dahan pokok kekabu tu. Dia mengilai kuat, ada masa dia menangis. Suara hilaian dan tangisannya, bergema. Rasanya seluruh kampung boleh dengar kot.

“Ayah, dia buat apa tu?” aku berbisik. Ayah aku bagi isyarat diam dan tengok je.

Seketika kemudian, Pontianak tu terapung lagi dan bergerak meninggalkan kawasan perkuburan. Ayah aku ikut, membuatkan aku terpaksa ikut juga.

Pontianak itu seakan terbang ke rumah ayah aku. “Ayah, dia macam menghala ke rumah kita je,” sempat lagi aku berbisik kat ayah aku. Ayah aku masih bagi isyarat suruh diam dan ikut je.

Sampai kat rumah aku, Pontianak tu berjalan di atas tanah. Dia mengelilingi rumah aku. Masa ni aku keliru, kenapa Pontianak boleh dilihat macam tu? Pontianak tu sejenis hantu. Tapi kenapa aku boleh tengok dia sama macam aku tengok orang biasa? Aku dah gila ke?

Pontianak itu berdiri di tepi bilik di mana Mak Senah tidur. Dia berhenti dan berdiri di situ untuk satu tempoh yang lama. Sampai tiba-tiba tingkap bilik tu terbuka sendiri. Dan masa ni aku dengar suara jeritan Mak Senah dari dalam rumah.

“Allahu Akbar!” ayah aku keluar dari tempat kami menyorok dan jerit Allahu Akbar sekuat hati. Pontianak tadi menoleh ke arah kami dan terus terapung lalu hilang entah ke mana. Aku mengikut ayah aku yang berlari ke rumah. Sebaik masuk ke dalam rumah, Mak Senah sedang meraung sambil dipegang oleh mak aku.

“Awak berdua ke mana?” mak aku tanya ayah aku. Ayah aku macam biasa la, tak jawab.

“Kenapa ni?” ayah aku tanya. Entahlah, ayah aku buat-buat tanya atau apa sebab memang jelas kami nampak Pontianak tu yang mengganggu Mak Senah tadi.

“Entah. Dia tiba-tiba menjerit lari ke ruang tamu ni.” Kata Nina yang juga memegang tangan Mak Senah untuk menenangkannya.

“Kenapa Senah?” ayah aku tanya.

“Pontianak tu ada kat tepi rumah ni. Dia nak bunuh aku,” Mak Senah menjerit.

“Kenapa pula dia nak bunuh kau Senah? Ramai lagi orang kat kampung ni, kenapa dia nak bunuh kau?” ayah aku tanya lagi. Mak Senah tak jawab.

“Itu bukan Pontianak. Itu roh Sahira yang tak tenteram. Tapi kenapa dia tak tenteram? Kau yang mandikan dan kafankan jenazah dia dulu kan?” ayah aku tanya lagi.

Mak Senah berhenti meraung. Dia pandang wajah ayah aku seperti ada sesuatu yang dia nak cakap.

“Kau yang mandikan jenazah dia dulu kan? Kandungannya masih ada masa tu kan?” ayah aku tanya.

“Ya, janinnya masih dalam perutnya. Aku tak usik,” kata Mak Senah.

“Habis tu, dia nak apa dari kau sampai kau rasa dia nak bunuh kau?” ayah aku tanya lagi.

“Mungkin sebab aku tak jaga kandungannya sampai ada orang ambil dan puja jasad anaknya,” kata Mak Senah, seperti nak menerangkan sesuatu tapi tak sampai.

“Tak, aku rasa ada sebab lain.” Kata ayah. Mak Senah diam.

“Sudahlah tu. Sian Senah ni. Dah ketakutan sepanjang malam. Senah, jom masuk bilik aku. Kau tak cukup rehat ni,” kata mak aku sambil menarik tangan Mak Senah dan membawanya ke bilik.

Ayah aku duduk di sofa. Aku bagi isyarat kepada Nina suruh masuk bilik.

“Kenapa ayah? Ada apa yang tak kena dengan Mak Senah ke?” aku tanya.

Ayah aku geleng kepala. Dia suruh aku pergi tidur. Aku tengok jam dinding, dah pukul 4.30 pagi. Aku masuk ke bilik. Ayah aku ambil wudhu, dia nak solat tahajjud.

Aku sedar ketika azan subuh berkumandang. Aku bingkas bangun cari ayah aku, tapi mak aku kata ayah aku dah ke masjid. Aku tanya mana Mak Senah, mak aku kata dia dah balik. Katanya nak ke kampung sebelah, ada kematian, dia kena uruskan. Aku masuk ke bilik semula, mandi dan solat subuh.

Lambat ayah balik dari masjid. Masa ayah sampai kat rumah, dah dekat pukul 8 pagi.

“Pihak polis dah suruh kita ambil semula jasad bayi yang mereka jumpa di rumah Bomoh Samad. Positif, DNA sama dengan Kak Piah, mak si Sahira,” kata ayah aku sambil mengunyah pisang goreng.

“Maknanya, itu memang baby Sahira?” mak aku tanya. Ayah aku tak jawab.

“Masa Sahira meninggal, baby tu masih kat dalam perut dia. Maknanya orang yang tarik keluar baby tu, belah perut Sahira untuk ambil baby tu?” mak aku tanya lagi. Ayah aku masih diam.

“Kejam sungguh orang yang buat kerja tu,” mak aku masih teruskan bersuara walaupun ayah aku masih diam.

“Pukul 10 nanti, mereka nak kebumikan semula jasad tu,” kata ayah aku.

“Nak kebumikan di mana?” mak aku tanya.

“Di kubur dia la,” ayah aku jawab.

“Dia ada kubur ke? Dulu kan dikuburkan sekali dengan Sahira?” mak aku tanya. Ayah aku diam.

Aku kerutkan dahi. Iye juga. Jasad tu tak bernama, tak berkubur. Nak kebumi di mana? Dia tak berdaftar di mana-mana. Takkanlah tiada surat lahir tapi ada surat mati? Tapi aku tak berani tanya ayah. Aku diam je. Nanti aku ikut ayah masa pengebumian tu, aku dapatlah jawapannya.

Pukul 10, aku ikut ayah ke kawasan kubur. Ada sebuah kereta polis di sana. Aku nampak Imam Radhi sedang memangku bungkusan kecil berwarna putih, seakan jasad yang telah dikafankan. Beberapa anak muda kelihatan sedang mengorek kubur Sahira.

“Tanam kat kubur maknya juga ke?” ayah aku tanya Bilal Majid yang berdiri berhampiran dengan kami.

“Haah, pihak polis bagi arahan macam tu. Mereka dah keluarkan waran korek semula. Sebab berkaitan dengan dokumen pengenalan. Lagipun, elok buat macam tu. Nanti tenanglah arwah maknya, takde kacau kampung lagi,” kata Bilal Majid. Ayah aku diam. Dan aku pun diam juga sebab dah dapat jawapan.

Ketika sampai ke liang lahad, anak muda yang mengorek kubur tadi melompat naik keluar dari lubang kubur.

“Kenapa tu?” Imam Radhi bertanya.

“Mayat Sahira takde kat sini,” mereka menjawab serentak.

Semua yang berada di situ berpandangan sesama sendiri.

-Bersambung-

One thought on “BEBASKAN AKU

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s