BEBASKAN AKU

Bab 9

Waktu maghrib hari itu, kami solat berjemaah di rumah. Ayah pun tak pergi ke masjid. Lepas solat, kami makan bersama. Lepas makan tu, kami duduk di ruang tamu menonton televisyen. Masa ni la Nina menjerit kat dapur, kuat betul dia menjerit. Tak pernah aku dengar dia menjerit macam tu. Berlari aku ke dapur melihat Nina.

Masa aku dan ayah aku sampai ke dapur, Nina sedang berdiri di muka pintu dapur dengan wajah pucat. Pintu terbuka luas. Besen yang dipegangnya pun dah jatuh ke lantai. Aku merapati Nina. Aku pegang tangannya. Aku tepuk pipinya beberapa kali hingga akhirnya dia memandang aku dan terus menangis sambil memeluk aku.

“Kenapa ni?” aku tanya perlahan.

“Dia ada kat sini tadi. Dia berdiri kat pintu ni,” Nina menjawab.

“Siapa?” aku tanya.

“Sahira, tapi wajahnya tak sama dengan masa dia tumpang kereta kita dulu,” kata Nina.

Ayah aku menjenguk ke luar pintu. Ayah aku melangkah ke luar. Mak aku cuba larang ayah aku keluar tapi ayah aku tak peduli. Seketika kemudian, ayah aku berlari masuk ke dalam rumah dan terus menutup pintu.

“Jom berkumpul kat ruang tamu. Jaga anak-anak tu, jangan tinggal mereka sendirian,” kata ayah, dengan suara yang agak tenggelam timbul.

“Kenapa ayah?” aku tanya. Ayah aku tak jawab tapi dia tunjuk ke arah bumbung rumah. Aku tak faham, tapi nak tanya lagi aku takut ayah aku jeling aku. Haish, dah besar macam ni pun masih takutkan ayah.

Aku pimpin tangan Nina berjalan ke ruang tamu. Sejuk tangan dia, dan menggigil kuat. Dia macam nak menangis tapi ditahan air matanya.

Kat ruang tamu, Azrin, Haikal dan Qaiyum berdiri melihat kami berempat. Aku dudukkan Nina di salah satu sofa. “Duduk dekat ibu, jangan pergi ke mana-mana,” pesanku kepada Azrin.

Aku pandang ayah aku. Ayah aku berdiri sambil memandang ke arah siling rumah. “Kenapa ayah?” aku tanya. Ayah aku tunjuk ke arah siling. Aku mendongak melihat siling, takde apapun.

“Dum!” ada sesuatu yang melompat di atas bumbung zink rumah mak aku. Aku pandang ayah.

“Sreeeetttttt….. Sreeeeetttttt….!” Aku dengar bunyi sesuatu yang tajam diseret di bumbung rumah.

“Apa tu ayah?” aku tanya ayah.

“Dia ada kat atas bumbung,” kata ayah berbisik.

“Dia?” aku tanya.

“Benda tu,” ayahku menyahut.

Sebaik sahaja ayah aku sebut perkataan tu, bergema suara mengilai dari atas bumbung, disertai dengan bunyi seretan yang mengilukan di atas bumbung. Anak-anak aku dah menangis memeluk Nina. Mak aku pula dengan muka cuak, diam sambil berdiri di tengah ruang tamu tu.

Aku merapati mak aku. Aku pegang tangan mak aku. Aku pimpin mak aku, bagi dia duduk bersama Nina dan anak-anak aku. Tangan mak aku pun sejuk dan menggeletar.

“Mak, istighfar banyak-banyak. Jangan takut sangat, nanti darah mak naik, lagi susah,” kataku konon nak memujuk mak tapi hakikatnya aku pun takut. Suara pun rasa susah nak keluar ni.

“Allahu Akbar, Allahu Akbar!” ayah aku azan. Dan masa ni bergema suara tangisan yang juga menakutkan. Bayangkan ada Pontianak kat atas bumbung rumah kau, dan sedang memerhati kau. Apa perasaan kau?

Selesai ayah aku azan, tiada lagi bunyi di atas bumbung. Tiada lagi suara mengilai mahupun suara tangisan. Ayah aku melangkah ke pintu lalu membuka selak pintu.

“Jangan dibuka pintu tu. Awak nak ke mana?” mak aku jerit tiba-tiba kat ayah aku.

“Aku nak tengok, dia kat mana,” ayahku menyahut dan masa ni anak-anak aku menjerit tak bagi atuknya buka pintu.

“Ayah, nanti dulu ayah. Mereka ni takut. Biarkan dulu,” aku pula menegur ayah. Ayah menolak semula selak pintu. Dia melangkah ke tingkap pula. “Awak jangan buka tingkap pula. Biarkan dulu,” kata mak aku seakan tahu apa yang ayah aku nak buat.

“Prangggg!” tiba-tiba terdengar bunyi pinggan kaca jatuh ke lantai dari arah dapur. Kami semua dah cuak kat ruang tamu. Masing-masing tak berani nak bergerak.

Ayah aku macam dah hilang sabar. Dia melangkah laju ke dapur.

“Siapa tu?” aku dengar ayah aku bersuara. Tiada sahutan.

“Melampau sangat dah benda ni. Dia lupa Allah lebih berkuasa,” aku dengar suara ayah.

Belum sempat ayah aku sampai dapur, satu lembaga berdiri di muka pintu yang memisahkan dapur dan ruang tamu. Dia Sahira! Tapi dengan wajah pucat, mata hitam, rambut mengerbang panjang. Dia hanya berdiri di situ, tiada apa-apa suara.

“Allah!” ayah aku menjerit.

“Kamu nak apa? Jangan ganggu kami!” ayah aku masih mampu bersuara dan berhadapan dengan benda tu.

Nina menutup wajah semua anak kami. Dia sendiri memejamkan mata, tak sanggup melihat lembaga itu.

Mak aku pula, tak tahu macammana keberaniannya datang, dia mengambil air yang terletak di atas almari lalu mencurahkannya kepada lembaga itu. Dan lembaga itu menjerit kuat, seram weh bunyinya dan dia hilang macam tu je. Air tu memang air yang dah dibacakan dengan surah Yassin oleh ayah aku. Kira mak aku berani la kan, dia boleh bangun dan jirus lembaga tu.

Ayah aku berlari  ke dapur. Beberapa pinggan kaca dah pecah di lantai. Periuk nasi pun jatuh ke lantai. “Dia lapar agaknya, dia nak makan kot,” kata ayah perlahan.

“Pontianak makan nasi ke?” aku tanya tanpa berfikir samada soalan aku lucu atau bodoh.

“Habis tu? Dia hirup darah orang? Macam dalam tv tu? Tak pernah aku dengar ada orang mati sebab darahnya dihirup hantu. Dah la tengok wayang tu,” Rungut ayah aku sambil mengutip deraian kaca di lantai.

Aku diam. Aku nak juga tanya, takkanlah hantu makan nasi. Tapi nanti aku juga ditempelak dek ayah. Jadi aku diam dan tolong ayah kutip kaca di lantai lalu membuangnya.

“Benda tu tadi pergi mana ayah?” aku tanya.

“Entahlah. Mungkin ke rumah orang lain pula,” sahut ayah.

“Allah. Tak lena tidur rasanya selagi benda tu merayau tak ditangkap,” kataku.

“Nak tangkap macammana? Benda-benda macam ni, kena cari punca kenapa dia jadi macam tu. Puncanya itu yang kita betulkan, bukannya betulkan dia. Kau berani nak pergi tanya dia?” ayah aku tanya aku. Aku gelengkan kepala.

“Habis tu apa puncanya?” aku tanya lagi.

“Jasad baby yang polis jumpa kat rumah Bomoh Samad tu, anak Sahira ke? Bomoh Samad tu betul ke dibunuh dek Pontianak?” aku tanya lagi, tak serik kena marah dengan ayah.

“Tak pasti lagi. Apapun kena tunggu pihak polis bagi penjelasan,” kata ayah.

“Dum Dum Dum!” pintu dapur diketuk kuat. Adoi, apa pula ni? Aku dan ayah berpandangan sesama sendiri.

Ayah bangun dan menuju ke pintu. “Ayah, jangan buka ayah,” kataku perlahan.

Ayah merapatkan telinganya di pintu. “Siapa tu?” ayah aku bertanya.

“Saya Senah Bang Haji. Tolong buka pintu ni cepat!” aku dengar suara seorang perempuan kat luar, dengan suara yang ketakutan. Ayah aku buka pintu dan seorang wanita dalam usia mak aku masuk ke dalam rumah dan terus tutup pintu. Lepas tutup pintu, dia duduk di tangga di antara dapur dan ruang tamu rumah mak aku. Dia menangis di situ.

“Kenapa ni Senah?” ayah aku bertanya. Mak Senah diam. Aku kenal Mak Senah ni, dia adalah tukang mandi jenazah wanita di kampung ni. Ayah aku panggil mak aku datang ke dapur. Mak aku datang dan duduk di sebelah Mak Senah yang kelihatan pucat.

“Saya ke kedai, beli ubat nyamuk. Lalu kat kebun pisang Haji. Nampak ada satu perdu pokok pisang tu bergerak-gerak, ingatkan ada orang ke, atau anjing ke kat situ. Saya perhatikanlah, tapi tiba-tiba Pontianak tu keluar dari kebun pisang tu dan kejar saya. Ya Allah, Haji, takutnya saya,” kata Mak Senah dan terus menangis sambil dipeluk oleh mak aku.

“Dia betul-betul melampau dah ni. Apa yang dicarinya? Jasad baby tu ke anaknya?” ayah aku merungut sendirian.

“Ayah, rasanya elok ayah ke balai polis esok. Kalau dah selesai bedah siasat, ambillah jasad baby tu dan kebumikan semula di kubur maknya. Mungkin dia mencari anaknya,” kataku, macamlah pandai sangat. Sebab aku pun dah tak tahan ketakutan macam ni. Sian anak-anak aku, beriya aku kata seronok bercuti di kampung, tapi macam ni pula jadinya.

Ayah aku tak menyahut. Dia melangkah ke ruang tamu.

“Tidur kat sini je la malam ni Senah. Bukannya ada orang menunggu kau pun kat rumah tu,” kata mak aku. Mak Senah tinggal sendirian sejak suaminya meninggal dunia tiga tahun yang lalu. Tiga orang anaknya tinggal jauh.

Mak Senah tak menyahut. Dia hanya mengikut langkah mak aku masuk ke bilik.

Aku mendapatkan Nina dan anak-anak aku yang masih di sofa, tak bergerak dari posisi tadi. Cuma Qaiyum nampak dah lena. Haikal dan Azrin masih memeluk maknya.

“Kita belum solat isya’. Jom solat dulu, dah lewat ni. Lepas solat, kita tidur,” kataku.

“Ayah, Pontianak tu dah pergi ke? Nanti mana tahu dia tunggu kat bilik pulak?” kata Haikal buatkan aku rasa nak zip mulut dia.

“Apa cakap macam tu Kal? Takde dah. Dia dah pergi,” kata Nina perlahan. Haikal berjalan perlahan ke pintu bilik dan menjenguk ke dalam bilik.

“Ayah, ada benda putih kat atas katil,” kata Haikal. Aduh la anak, apa pula yang kau nampak?

Aku berjalan perlahan ke bilik. Bilik tu agak gelap. Dengan tangan yang menggigil, aku raba suis lampu kat tepi dinding. Tap! Aku pasang suis lampu.

Haikal pandang ke dalam bilik. Aku tarik Haikal ke tepi.

“Ada lagi benda tu?” aku tanya Haikal dan Haikal menganggukkan kepala.

“Kenapa ni?” tiba-tiba ayah aku bersuara di tepi aku. Melompat aku terkejut, dengan Haikal sekali pun turut terkejut.

“Haikal nampak ada benda putih kat atas katil.” Sahutku. Ayah aku menjenguk ke dalam bilik lalu masuk ke dalam. Aku tunggu ayah aku keluar dari bilik.

“Benda ni ke?” ayah aku tunjuk bantal peluk dan teddy bear Qaiyum kat aku dan Haikal. Aku tarik nafas lega.

“Lan ingat Pontianak tu tadi,” aku menyahut.

“Inilah yang syaitan tu nak. Dia nak kita takut kat dia. Sampai lupa Allah. Sampai lupa bahawa syaitan tu pun makhluk Allah. Takut pada perkara yang entah apa-apa. Bila dah takut, pokok mati pun kita nampak macam hantu.” Ayah aku membebel. Aku diam, Haikal pandang aku dengan wajah kesian ayahnya kena marah.

-Bersambung-

One thought on “BEBASKAN AKU

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s