BEBASKAN AKU

Bab 7

Ketika aku hampir nak sampai di tingkap, aku nampak kelibat kain berwarna putih melintasi tingkap yang terbuka dan tertutup itu. Tangan aku menggeletar. Dada aku berdegup kencang. Aku beranikan diri menghampiri tingkap. Aku pegang daun tingkap yang terbuka dan tertutup sendiri. Tiada angin, bahkan dedaun pokok tak bergerak pun.

Aku pandang ke luar rumah. Aku nampak kelibat seseorang di bawah pokok rambutan mak aku. Dia berdiri membelakangkan aku sambil mendukung seorang bayi. Dia berpakaian serba putih, kainnya labuh hingga terseret di tanah. Aku cuba perhatikan samada dia adalah manusia atau bukan.

Memandangkan jarak agak jauh, sebab aku berada di bilik tingkat atas rumah papan ayah aku dan dia berada di tanah, lagipun dengan cahaya yang amat terbatas, walaupun ada cahaya bulan yang samar-samar, tapi cahayanya dihalang oleh pokok-pokok di sekitar rumah.

Aku terus memerhati perempuan itu dan tiba-tiba aku dengar satu suara.

“Tolonggg…. Tolong…..,” suara itu betul-betul di tepi aku. Aku menoleh dan nampak perempuan tadi seakan melekat di tepi dinding dan memandang ke arah aku. Rupanya tak menakutkan tapi keadaannya yang menakutkan. Dalam samar rembulan, memang sah dialah Sahira yang menumpang kereta aku malam semalam. Lebih menggerukan, dia memegang satu batu nisan di tangannya. Aku terpaku seketika, dengan keadaan perempuan itu yang seakan berdiri di atas angin. Aku tak mampu bergerak, kaki aku kebas. Aku dengar Azrin memanggil aku tapi aku tak berdaya menoleh pun.

“Tolong saya… Mereka ambil anak saya, mereka kurung saya. Tolong,” aku dengar dengar jelas setiap patah perkataan yang dibisikkan oleh perempuan itu.

“Allahu Akbar! Allahu Akbar! Allahu Akbar!” tiba-tiba aku dengar suara ayah aku bertakbir. Masa ni aku jatuh terduduk. Ayah aku menghampiri aku dan terus menjenguk keluar. Lalu cepat-cepat ayah aku tutup tingkap itu.

“Lan, kamu ok?” ayah aku tanya aku. Aku yang masih menggigil, tetap anggukkan kepala.

“Nina, sapukan air ni kat muka Lan tu,” kata ayah aku sambil menyerahkan segelas air kepada Nina. Nina anggukkan kepala lalu melakukan suruhan ayah aku. Aku nampak Azrin berdiri memeluk mak aku kat muka pintu bilik.

“Melampau sangat dah ni.” Kata ayah aku dengan suara yang agak keras lalu melangkah keluar dari bilik. Dengan keadaan aku yang masih goyah, aku melangkah keluar bilik mengikuti langkah ayah aku. Ayah aku sedang berdiri sambil menyandarkan tangannya di dinding, seakan berfikir sesuatu.

“Dia ganggu orang lain juga ke ayah?” aku bertanya, ayah aku tak jawab. Ayah aku memang macam tu, kalau dia tak suka dengan soalan kita, atau kalau dia marah, dia takkan jawab soalan kita. Maka, janganlah terus bertanya.

“Samad dah masuk hospital, kemalangan kereta dengan lori sebab terkejut tengok Pontianak tu duduk kat dalam kereta dia. Teruk juga tu. Leman pulak lorinya masuk sungai, sebab Pontianak tu juga, tiba-tiba duduk kat sebelah dia pegang batu nisan,” kata mak aku. Aku usap muka aku perlahan-lahan.

“Kena buat sesuatu ni. Kita dah cuba yaasin tiga malam, macam takde perubahan. Kita dah pagar kampung ni, pun dia masih merayau.” Kata ayah.

“Batu nisannya dah kembali kat tempat dia ke?” mak aku tanya.

“Aku tak pergi ke kuburnya. Tapi dah janji nak ke kuburnya esok dengan Bilal Majid dan beberapa orang kampung. Nak pergi malam ni, macam tak sesuai pulak,” kata ayah.

Mak tak menyahut.

“Ayah, mungkin tak benda tu adalah dari roh yang tak tenang? Mungkin ada benda yang dia nak beritahu pada orang kampung ni,” kataku.

“Kamu tu bukan orang kampung ni. Balik sesekali je, kenapa pula dia nak kacau kamu?” mak aku bertanya. Aku diam, iye juga. Kenapa dia nak muncul depan aku juga sedangkan aku bukan orang kampung ni.

“Takpelah, kita tidur dulu. Esok lepas subuh, kami uruskan kat kubur,” kata ayah. Aku dan mak tak menyahut. Nina dan Azrin masih berdiri di dinding, tepi pintu bilik.

Aku bangun merapati mereka. “Jom kita tidur. Dah lewat ni,” kataku sambil melangkah masuk bilik dan diikuti oleh mereka berdua. Mujurlah Haikal dan Qaiyum tidur lena.

Keesokan paginya, aku bangun sebaik terdengar bunyi azan subuh. Aku keluar bilik mencari ayah. Mak aku jenguk dari biliknya dengan kain telekung buatkan aku terkejut.

“Mak, ayah mana?” aku tanya.

“Dia dah pergi masjid dah. Katanya kamu solat kat rumah je.” Kata mak aku dan kemudian dia masuk ke bilik semula. Aku masuk ke bilik, mandi dan tunaikan solat subuh. Lepas aku solat, Nina dah bangun. Tak lama lepas tu, ayah aku balik dari masjid.

“Ayah, pagi ni ada apa-apa nak buat ke pasal pontianak ni?” aku bertanya, betul-betul aku nak tahu.

“Tak payah nak sebut sangat la benda tu. Kita pun tak tahu apa bendanya. Tadi kat masjid kami dah bincang, pukul 8 nanti kami nak ke kubur Sahira, nak tengok betul-betul apa yang dah jadi. Sebab maknya pun tak jenguk kubur dia sejak orang kampung menuduh Sahira ada membela masa hidup, sebab tu hantu belaannya mengganggu orang kampung setelah kematiannya.” Kata ayah aku.

“Lan ikut ye ayah,” kataku meminta izin. Ayah aku tak jawab. Maknanya boleh la tu. Selalunya kalau ayah diam, maknanya boleh atau dia malas nak layan.

Lepas sarapan, aku bonceng motorsikal ayah. Kami terus ke kawasan perkuburan. Imam Radhi, Haji Yakob dan anak Imam Radhi telah berada di kawasan perkuburan tu.

“Ada orang usik kubur tu,” kata Haji Yakob buatkan muka ayah berubah merah.

“Dah tengok ke?” ayah aku bertanya. Imam Radhi dan Haji Yakob mengangguk perlahan.

“Usik macammana?” ayah aku bertanya.

“Satu batu nisan dah hilang. Ada lubang di bahagian kepala kubur,” sahut Haji Yakob lagi.

“Astaghfirullah, siapa yang buat kerja tu?” ayah aku bertanya. Tiada sahutan.

“Habis tu, kita nak buat apa ni?” ayah aku tanya lagi. Dan masa ni Ustaz Kamal sampai.

“Maaf saya lambat. Ada tetamu di rumah tadi,” kata Ustaz Kamal.

“Takpe Ustaz. Kami dah tengok kuburnya, memang ada orang usik. Tapi Ustaz tengok dulu, kalau kami salah tengok dan salah tafsir. Taknak jadi fitnah nanti,” kata Imam Radhi.

Ustaz Kamal berlalu ke dalam kawasan perkuburan. Aku dan ayah mengikut dari belakang. Aku nak tengok juga, apa yang dimaksudkan dengan ‘ada orang usik’ tu.

Kat kubur, Ustaz Kamal mengelilingi kubur Sahira sebanyak tiga kali. Matanya memandang ke arah kubur. Kemudian dia duduk dan memegang batu nisan yang tinggal satu di bahagian kaki kubur. Dia pejamkan mata. Kemudian membuka matanya dan beristighfar. Kemudian dia bangun dan berlalu pergi.

Aku pun pusing kubur tu, tapi aku tak nampak kat mana lubang yang mereka cakap tadi. Ayah aku tarik aku. “Ayah, Lan tak nampak pun lubang kat kubur tu,” aku berbisik kepada ayah. Ayah bagi isyarat diam. Aku pun terdiam.

“Bahagian kepala sebelah kiri. Ada tanah yang rendah sikit berbanding bahagian yang lain. Itu tandanya ada sesuatu yang ditarik keluar dari kubur tu,” kata Ustaz Kamal tanpa pandang aku.

“Allah….!” Aku bersuara perlahan. Memang aku terkejut. Kenapa ada manusia yang sanggup buat macam ni.

Aku tak bertanya lagi. Terus saja mengikut langkah ayah dan Ustaz Kamal kembali kepada Imam Radhi dan Haji Yakob di tepi kawasan kubur. Dada aku berdegup laju, seakan ada yang memerhati dari bawah pohon besar di tepi kubur. Ingin aku mendongak melihat ke atas pokok, tapi ditegur oleh Ustaz Kamal. “Kita masuk tempat orang, kena kawal hati dan perasaan,” katanya.

Ayah jeling aku. Terus terang aku tak faham apa maksud Ustaz Kamal tapi bila ayah dah jeling macam tu, aku berjalan terus tanpa memandang keliling lagi.

“Betul ke kuburnya ada yang usik Ustaz?” Imam Radhi bertanya sebaik Ustaz Kamal sampai ke tempat penantian mereka.

“Nampaknya begitulah.” Kata Ustaz Kamal.

“Jadi macammana sekarang ni?” Haji Yakob bertanya.

Ustaz Kamal memandang keliling. “Kita bacakan surah Yassin selama tiga malam berturut-turut di kubur tu bermula malam ni. Dan kita buat solat hajat juga tiga malam berturut-turut di masjid lepas solat isya’ juga bermula malam ni. Moga ada petunjuk,” kata Ustaz Kamal.

Semua yang ada di situ menganggukkan kepala tanda setuju dan akur dengan arahan Ustaz Kamal. Setelah itu, kami semua bersurai. Aku dan ayah pun berlalu. Ustaz Kamal jadi orang terakhir yang beredar dari situ. Ketika ayah dah mula menggerakkan motornya, aku sempat menoleh melihat ke arah Ustaz Kamal di belakang. Dia sedang mendongak melihat ke atas pokok besar. Dan aku pun turut mendongak melihat ke atas pokok, ada sesuatu di sana. Pontianak itu! Sedang berbalas pandangan dengan Ustaz Kamal, di siang hari!

Akhirnya mereka hilang dari pandangan bila ayah dah tunggang motor jauh dari kawasan perkuburan.

Sampai di rumah, mak aku la yang paling tak sabar nak dengar berita. Ayah larang aku bercerita apa-apa kepada mak. Ayah kata biarlah lelaki uruskan hal macam ni, jangan dicerita kepada perempuan kerana perempuan itu hatinya lemah, emosinya membuak. Risau ada kisah yang silap difahami. Jadi, biarkan saja. Kalau mak tanya, katakan je pihak masjid akan usahakan untuk selesaikan masalah tu.

Mujur mak aku tak mendesak sangat. Mungkin ayah aku dah bagi amaran awal-awal.

Malam tu, ayah suruh aku solat berjemaah di rumah saja. Katanya biarlah ada lelaki yang menemani di rumah. Aku akur walaupun aku nak sangat ikut ayah ke masjid dan kubur. Ayah kata, kat rumah pun aku boleh buat solat hajat. Kat rumah pun aku boleh bacakan yassin.

Tiada sebarang kejadian yang dilaporkan pada malam itu. Mungkin kerana hampir semua penduduk lelaki yang menghadiri solat hajat dan bacaan yassin. Pontianak itu pun tak mengganggu, apatah lagi munculkan diri.  Namun di kejauhan, terdengar lolongan anjing bersahut-sahutan, ada masa kedengaran seram, ada masa kedengaran sedih.

Sesekali terdengar bunyi tangisan yang amat menyayat hati. Bergema di seluruh pelosok kampung. Satu kampung kot dengar bunyi tangisan tu. Tapi tak siapa berani keluar dari rumah kerana itu yang dipesan oleh Ustaz Kamal. Jangan keluar rumah, supaya Pontianak itu boleh balik ke tempat asalnya.

Keesokan paginya, seluruh kampung gempar. Bomoh Samad ditemui mati di atas pokok sukun belakang rumahnya. Mayatnya dijumpai tergantung dalam keadaan terbalik dengan kakinya terlipat di dahan pokok dengan matanya terbeliak seakan melihat sesuatu yang amat menakutkan sebelum mati. Mengucap panjang Makcik Rokiah yang menemuinya di awal pagi ketika hendak ke hutan mengutip pucuk ubi.

Pihak polis dipanggil. Mayat Bomoh Samad diturunkan dari pokok sukun dan dibawa ke hospital untuk bedah siasat. Pihak polis menggeledah dalam rumah Bomoh Samad dan masa ni mereka menemui satu jasad kecil yang berbalut dengan kain kuning, dalam keadaan sedang dipanggang di atas bara api. Sekali lagi penduduk kampung gempar.

Ketika jasad kecil itu dibawa masuk ke dalam kereta polis, Ustaz Kamal memohon jasa baik pihak polis untuk memulangkan jasad kecil itu secepat mungkin kerana ianya dah melibatkan kes pemujaan. Pada mulanya pegawai polis yang berada di kawasan itu bertegas tapi setelah dijelaskan dengan baik oleh Imam Radhi, mereka akur.

Mereka menyerahkan jasad kecil itu kepada Ustaz Kamal, buat seketika. Menurut Ustaz Kamal, jasad kecil itu seperti janin yang telah sempurna dan menunggu hari untuk dilahirkan atau mungkin telah dilahirkan tapi meninggal dunia sebelum mampu bersuara pun. Jasad itu mungkin diambil dari kuburnya untuk tujuan pemujaan atau mahu dijadikan toyol untuk dijual kepada orang-orang yang tak takut dengan neraka Allah.

Ustaz Kamal mengambil serban yang disandang dibahunya lalu membalut jasad kecil itu dengan perlahan dan lemah lembut. Wajahnya jelas kesedihan, seakan amat kesal dengan kejadian yang menimpa jasad kecil yang belum mengerti apa-apa itu.

Setelah selesai membalut jasad kecil itu, dan diselangi dengan bacaan Al-Quran bagi mematikan mantera yang dibaca kepadanya bagi tujuan pemujaan dan penghidupan semula, Ustaz Kamal menyerahkan semula jasad kecil itu kepada pihak polis untuk urusan selanjutnya. Pegawai polis tu pula kelihatan teragak-agak nak mengambil jasad kecil itu.

“Jangan takut tuan. Jasad kecil ini tidak apa-apa. Kita manusia yang selalu leka dan alpa dengan janji dunia,” kata Ustaz Kamal.

Setelah kedua-dua jasad mati itu dibawa pergi oleh polis, bermulalah suara-suara sumbang, membisikkan pelbagai kisah sesama sendiri. Imam Radhi berpesan kepada semua yang berada di situ agar tidak mereka-reka dan menghebahkan cerita yang belum pasti kerana dibimbangkan menjadi fitnah.

“Apa yang dah jadi Ustaz? Jasad bayi tu kepunyaan siapa?” Haji Yakob bertanya setelah penduduk kampung lainnya beredar.

“Kita jangan bicara hal ini lagi. Biarkan pihak polis buat siasatan. Kita teruskan solat hajat kita dan bacaan yassin kita hingga cukup tiga malam. Belum selesai urusan kita,” kata Ustaz Kamal. Lalu semua yang berada di situ diam tak bertanya lagi, walaupun perasaan ingin tahu membuak-buak di hati masing-masing, termasuk aku.

-Bersambung-

One thought on “BEBASKAN AKU

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s