BEBASKAN AKU

Bab 6

Selesai solat, ayah aku beritahu mak aku, dia nak keluar jumpa Haji Yakob. Mak aku larang, tapi ayah aku kata nak keluar kejap je. Ada hal nak cakap. Aku nak ikut tapi ayah aku suruh aku tunggu kat rumah. Kalau aku ikut, nanti dah takde lelaki dewasa dalam rumah tu. Aku pun akur, lalu duduk bersama anak-anak aku menonton televisyen.

“Papa, tadi hantu semalam datang rumah atuk,” kata Qaiyum.

“Hantu semalam? Kat mana Ayum tengok hantu?” aku mula cuak bila Qaiyum buka cerita tu lagi. Azrin dah pandang aku semacam, dia duduk rapat dengan aku. Haikal masih belum faham dengan apa yang dikatakan dek adiknya.

“Semalam kan ada hantu naik kereta papa. Ayum takut. Tadi dia datang lagi, tapi Ayum tak takut. Sebab Ayum kat dalam rumah, dia kat luar. Dia tak boleh masuk rumah,” kata Qaiyum lagi.

“Dia buat apa kat luar tu?” Nina bertanya inginkan kepastian dengan apa yang anak bongsu kami katakan.

“Dia ambil batu kat pokok depan rumah atuk,” kata Qaiyum membuatkan aku membeliakkan mata aku memandang Nina. Cepat-cepat aku bangun dan buka pintu, terus menuju ke pokok nangka tempat ayah aku letak batu nisan berlumpur pagi tadi. Dan bulu roma aku meremang, aku rasa sejuk sangat tiba-tiba. Batu nisan tu dah takde kat situ! Allah, beratnya kaki aku masa tu. Aku pandang keliling rumah, gelap.

“Masuklah bang. Jangan duduk kat luar tu,” Nina panggil aku tapi dia tak tahu bahawa kaki aku berat, tak mampu melangkah. Nak bersuara pun lidah aku kelu.

“Buat apa kat luar tu Lan. Masuk cepat,” aku dengar suara mak aku pula. Dan aku masih tak boleh bersuara.

Masa ni aku dengar pokok rambutan mak aku seperti sedang digoncang orang. Atau monyet mungkin. Nina keluar dari rumah dan datang ke arah aku. Masa ni aku dengar bunyi hilaian ketawa perempuan, agak panjang dan nyaring. Nina pandang keliling.

“Awak pun dengar ke?” aku tanya. Nina anggukkan kepala. Bila tahu Nina pun dengar suara mengilai tu, aku jadi kuat semula.

“Korang buat apa lagi kat luar tu. Dia dah mengilai tu. Masuk cepat!” Mak aku menjerit dari dalam rumah. Terketar-ketar suaranya. Aku pandang keliling, menjenguk ke arah pokok rambutan kat tepi rumah mak aku. Memang dahan pokok tu bergoyang dan aku nampak ada susuk tubuh berpakaian putih berdiri di atas dahan pokok, melompat dari satu dahan ke dahan lain sambil mengembangkan tangannya seolah nak terbang.

Itukah Pontianak? Yang selalu aku dengar dalam cerita dongeng mahupun tayangan gambar?

“Abang, dah tu. Jom masuk,” kata Nina lantas menarik tangan aku. Aku akur, laksana dipukau orang, menurut sahaja.

Masuk ke dalam rumah, mak aku terus kunci pintu rumah. Muka mak aku pucat. “Mak dah kata, jangan keluar waktu macam ni. Ini memang waktu dia keluar kacau orang,” kata mak aku. Aku tak menyahut. Nina terus merapati Haikal dan Qaiyum lalu duduk bersama mereka. Azrin pun duduk rapat dengan Nina.

“Ibu, malam ni Rin tidur dengan mak ye. Rin takut,” katanya. Dan Nina memeluknya sambil anggukkan kepala. Tiada suara yang mampu keluar dari mulut Nina. Dia pun dah takut rasanya. Mau tak takut.

“Ayah pergi mana mak?” aku tanya mak aku.

“Kan dia cakap nak pergi ke rumah Haji Yakob tadi?” mak aku jawab.

“Ayah memang selalu keluar malam ke?” aku tanya.

“Takde pula. Selalunya dia keluar solat kat masjid je la. Cuma malam ni dia Jemaah kat rumah dengan kita. Ada hal la tu kot, tambahan dia tahu kamu ada kat rumah, tu yang dia pergi tu. Selalunya dia tak tinggal mak seorang diri kat rumah,” kata mak aku.

“Ayah tahu ke batu nisan tu dah takde?” aku tanya. Mak aku angkat bahu.

Seketika kemudian, aku dengar bunyi sesuatu bergeser dengan dinding rumah mak aku. Aku suruh anak-anak aku diam. Mereka akur, masing-masing berwajah ketakutan.

“Bunyi apa tu mak?” Haikal tanya Nina. Nina bagi isyarat suruh dia diam.

Bunyi tu seakan kain yang bergeser dengan dinding papan rumah mak aku. Dari dapur ke ruang tamu. Sampai kat pintu, bunyi bergeser tu berhenti. Tuhan je yang tahu perasaan kami semua masa tu. Mujur Qaiyum diam dalam pelukan Nina. Dan dia akur bila Nina suruh dia diam. Mak aku menggeletar sambil pegang tangan aku. Aku usap tangan mak aku perlahan-lahan, cuba menenangkannya walaupun aku sendiri dah goyah.

“Tolonggggg……. Tolongggggg……,” aku dengar suara bisikan di celahan daun pintu. Perlahan je. Hingga aku perlu menekup telinga aku di dinding baru aku dapat dengar perkataan yang disebutnya.

“Huuuuu huuuuuuuuhuuuuuuuuuu…..” Dan tiba-tiba suara tangisan nyaring pula keluar. Dan masa ni Qaiyum dah hilang sabar, dia menangis kuat dan tak dapat dipujuk. Aku dukung Qaiyum, tapi dia tetap menangis kuat sama macam keadaan semasa dia menangis di dalam kereta malam semalam. Sampai hilang suara dia menangis.

“Assalamualaikum,” dalam kekalutan memujuk Qaiyum tu, kami dengar suara orang memberi salam di luar rumah. Kami semua berpandangan sesama sendiri.

Dan sekali kedengaran suara orang memberi salam di luar rumah, kali ini disertai dengan ketukan pintu.

“Itu kan suara atuk?” Haikal bersuara setelah lama dia berdiam diri.

Dan masa ni kami rasa lega. Mak aku terus buka pintu dan ayah aku sedang berdiri di luar pintu. Sebaik ayah aku masuk ke rumah, mak aku cepat-cepat tutup dan kunci pintu.

“Dia datang sini tadi,” mak aku beritahu ayah aku.

“Aku tahu. Dia dah datang dari maghrib lagi. Sebab tu aku tak pergi masjid,” kata ayah aku.

“Mana abang tahu?” mak aku bertanya.

“Aku nampak dia ambil batunya,” kata ayah aku perlahan sambil menyangkutkan kopiahnya di paku di dinding.

Aku pandang Qaiyum yang dan tertidur akibat kepenatan menangis tadi. Maknanya betullah apa yang Qaiyum cakap tadi, bahawa dia nampak hantu ambil batu nisan dia semula.

“Abang jumpa Haji Yakob tadi, apahal?” mak aku tanya lagi.

“Pasal benda tu la. Dia makin berani tunjukkan diri. Dah kecoh sekampung. Dia berjalan sambil dukung bayi kecil. Dia tahan kereta orang, kalau tak berhenti, dia tiba-tiba dah ada dalam kereta dengan bayi kecil tu. Semalam Si Seman terbabas dengan keretanya kat tepi titi sana, sebab benda tu tiba-tiba ada kat belakang kereta dia.” Kata ayah aku.

“Habis tu, takkan nak biar je?” mak aku tanya lagi.

“Itu yang kami sedang cuba selesaikan ni.” Kata ayah aku.

“Siapa dia ni sebenarnya ayah?” aku mencelah setelah diam mendengar kisah mak dan ayah aku. Aku dah suruh Nina bawa anak-anak aku tidur di bilik.

“Tak tahulah. Rupa tu seakan Pontianak. Pontianak ni asalnya dari wanita yang mati semasa melahirkan anak. Dan kebetulannya, dia muncul lepas tiga hari kematian Sahira, anak Piah yang kita pergi rumahnya pagi tadi. Tak tahulah mereka ada kaitan atau tak,” kata ayah aku.

“Sahira meninggal semasa lahirkan anak juga ke?” aku tanya.

“Haah, suaminya bekerja di laut, memang jarang balik. Masa tu dia dah sarat nak lahirkan anak. Tapi takde orang kat rumah. Dia berjalan pergi ke rumah maknya, dah malam hari, dia pun tak minta tolong kat orang luar. Sampai kat rumah maknya, darah dah turun banyak. Sahira dah tak sedar. Masa tu Piah lari keluar ke rumah Bidan Seri. Masa Bidan Seri datang, Sahira dah tak bernyawa dengan anak dalam kandungannya juga dah tak bergerak dan tak dapat diselamatkan. Lalu keesokan harinya, Sahira kebumikan.” Mak menceritakan kisah pilu Sahira.

“Suami dia?” aku tanya.

“Suami dia kat atas laut, mana ada talian nak hubungi. Ada orang kampung ni pergi ke syarikat tempat dia bekerja, lepas dua hari Sahira dikebumikan baru dia balik. Sebab tak tertahan menanggung sedih, dia keluar semula lepas sehari berada di kampung ni. Malam lepas suaminya keluar semula ke laut, muncul dah Pontianak ni. Jadi, orang kampung terus syak Sahira la yang jadi Pontianak tu,” kata mak aku lagi.

“Kita tak boleh nak tuduh. Ini semua kerja syaitan.” Kata ayah aku.

“Kita bukan tuduh bang. Dah itu yang kita nampak.” Sahut mak aku.

“Kalau betul itu Sahira, aku tak rasa dia jadi macam tu tak bersebab. Sahira tu baik budaknya. Dia bukannya budak yang liar, yang buat kerja bukan-bukan,” kata ayah aku.

“Mana tahu dia ada membela masa hidupnya,” kata mak aku.

“Itu pasallah aku tak suka orang menuduh, sebab cerita menuduh ni takkan sampai sini je. Banyak cerita karut yang akan direka dan ditokok tambah untuk buatkan cerita tu nampak betul.” Kata ayah dengan suara yang agak keras sikit, sebab dia tak suka mak mengandaikan perkara yang tak tentu kesahihannya.

“Kita bukan nak menuduh bang. Kita sedang cuba cari jalan, cuba cari sebab kenapa benda tu muncul kat kampung kita ni. Takkan nak biar je. Tadi pun masa abang takde, dia dah mengilai kat luar tu, menyeret dinding rumah ni ha. Sampai biru la si Qaiyum tu menangis, takut punya pasal,” kata mak taknak beralah.

Ayah tak menyahut dah. Aku bangun dan menjenguk ke bilik. Anak-anak aku semua dah berbaring di atas tilam yang Nina bentang di lantai. Semua dah tidur kecuali Azrin. Nina kat bilik air.

Aku masuk bilik dan duduk di bahagian kaki anak-anak aku yang sedang tidur. Azrin duduk sambil memandang aku.

“Ayah, betul ke Pontianak tu wujud?” Azrin tanya aku.

“Entah la Rin. Ayah tak pernah jumpa pun benda tu. Dah tak pernah dengar cerita dari sesiapa pun yang pernah jumpa benda tu. Yang ayah tahu, Pontianak ni Cuma satu cerita dongeng orang dulu kala, taknak bagi orang merayap sampai jauh malam. Itu je,” kata aku.

“Pontianak ni bunuh orang ke? Macam dalam tv tu?” Azrin tanya lagi.

“Tak la. Dia tak boleh bunuh orang. Kalau ada orang mati pun, bukan sebab dia bunuh macam dalam tv tu. Orang mungkin terkejut sampai kena serangan jantung, itu je. Mana ada hantu boleh bunuh orang. Karut je semua tu,” aku menjawab.

“Tok tok tok!” tiba-tiba tingkap bilik diketuk orang. Masa ni Azrin terus pegang tangan aku.

“Siapa tu ayah?” dia berbisik. Aku tak menyahut, jantung aku berdegup kencang.

“Tok tok tok!” ketukan berbunyi lagi, kali ni lebih kuat. Azrin pun pegang aku lebih kuat.

“Ayah, Rin takut. Pergilah panggil atuk,” katanya dengan suara hampir menangis.

“Takde apa tu. Dahan pokok rambutan opah tu berlaga dengan tingkap sebab angin tiup tu agaknya. Dah, tidur,” kataku menyedapkan hati Azrin.

Azrin melepaskan pegangan tangannya. Dia berbaring di sebelah Haikal. Belum sempat dia baring, tingkap bilik terbuka sendiri. Lepas tu tertutup dan terbuka sendiri lagi. Seperti ditiup angin yang sangat kuat. Azrin bangun semula dan pegang kaki aku.

Aku bangun perlahan-lahan, dan melangkah ke tingkap.

-Bersambung-

One thought on “BEBASKAN AKU

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s