BEBASKAN AKU

Bab 5

Aku bonceng motorsikal ayah aku. Ayah pesan kat semua yang ada di rumah supaya jangan sentuh batu nisan tu. Wajah mak aku memang cuak habis. Nina memeluk Azrin yang masih kelihatan terkejut. Haikal masih kat dalam rumah, tak peduli apa terjadi kat luar ni. Aku sempat pesan kat Nina, suruh masuk rumah dan tengok Qaiyum.

Sampai kat tempat aku turunkan perempuan dengan anak kecilnya semalam, ayah aku berhentikan motorsikal. Aku pandang keliling, tiada sebarang rumah kat situ, hanya hutan.

“Lan rasa kat sini la ayah. Sebab semalam gelap kat sini. Hujan renyai lagi. Dengan Qaiyum menangis macam kena rasuk lagi. Tapi tak nampak pun rumah orang kat sini. Katanya rumah mak dia kat dalam sini, dekat je,” kataku masih meninjau ke arah dalam kawasan hutan tu.

“Siapa nama dia?” ayah aku bertanya.

“Sahira rasanya. Lan tak berapa dengar. Dia sembang dengan Nina,” kataku dan sebaik nama itu aku sebut, air muka aku berubah. Jantung aku berdegup laju. Aku pandang ayah aku yang juga sedang pandang aku.

“Sahira? Sama macam nama kat atas batu nisan tu?” aku tanya ayah lagi. Ayah aku diam. Dia melangkah masuk ke dalam kawasan hutan yang aku tinggalkan Sahira semalam.

“Ayah nak pergi mana?” aku tanya.

“Nak pergi rumah mak dia la,” ayah aku menjawab.

“Mak siapa?” aku tanya lagi.

“Mak Sahira,” ayah aku menjawab.

“Siapa mak Sahira tu?” aku tanya lagi.

“Rapiah,” ayah aku jawab.

“Sahira binti Rapiah? Nama macam kat batu nisan tu?” aku tanya. Ayah aku mengangguk.

“Maknanya semalam Lan bawa orang mati dalam kereta Lan?” aku tanya sambil menggosok belakang leher aku dan memandang keliling aku yang penuh dengan pokok-pokok besar. Kali ni ayah aku tak menjawab.

Dia berjalan terus. Dan memang betul, tak jauh dari jalan tadi, ada sebuah rumah kecil. Nampak kecil tapi kemas, cantik dan tersusun je. Memang ada sebiji rumah je kat situ.

Ayah aku bagi salam. Dan seketika kemudian ada seorang remaja lelaki dalam usia tujuh belas tahun keluar dari rumah dan menjawab salam ayah aku.

“Suhairi, mak kamu mana?” ayah aku bertanya. Suhairi diam je, matanya tajam memandang aku dan ayah aku.

“Suhairi, panggil mak kamu kejap,” kata ayah aku. Masih tiada sahutan. Hanya matanya yang terbeliak memandang aku dan ayah aku.

“Eh, Haji Zainal. Tak perasan pula ada orang datang.” Tiba-tiba dari bahagian tepi rumah, muncul seorang wanita dalam usia muda sikit dari mak aku.

“Kau sihat ke Piah?” ayah aku bertanya.

“Sihat Alhamdulillah. Apa hajat haji datang ke rumah buruk saya di awal pagi ni? Ada yang buat hal lagi ke?” wanita itu bertanya ayah aku sambil tersenyum.

“Ini anak saya Razlan. Ingat ke kat dia?” ayah aku memperkenalkan aku kepada wanita itu.

“Anak haji yang kerja kat bandar tu kan? Last saya tengok dia masa dia kahwin dulu je, lama dah tak tengok dia,” sahut wanita itu.

“Lan, inilah Kak Piah,” kata ayah.

“Kak Piah yang … kat masjid tadi…. Yang tu?” aku bercakap perlahan dan terputus-putus.

“Iye.” Sahut ayah aku sepatah.

“Kenapa haji? Dia mengacau lagi ke?” kata Kak Piah.

“Saya pun tak pasti. Tapi semalam Lan ni ada tumpangkan dia. Dia berhenti kat jalan luar hutan ni. Pagi ni, ada batu nisan kat dalam keretanya,” kata ayah aku.

Kak Piah tunduk. Wajahnya yang tadi ceria, kini jelas muram.

“Saya bukan nak buat Piah bersedih. Sekadar nak pastikan Piah dan Suhairi ok. Semalam ramai yang jumpa dia,” kata ayah aku.

“Saya tak pasti kalau itu memang dia. Tapi kalau itu memang dia, pasti ada sesuatu yang telah terjadi, dan dia nak tunjukkan pada kita,” kata Kak Piah dengan sedikit esakan.

“Takpelah. Piah masuklah ke rumah. Jaga Suhairi tu. Jangan tinggalkan dia sendirian. Takut nanti dia hilang lagi. Kalau ada apa-apa, panggil orang kampung ye. Kepada yang bagi kata-kata tak elok tu, pedulikan je. Jangan terkilan dengan orang kampung. Yang takde iman je sanggup tuduh orang macam tu,” kata ayah aku sambil melangkah pergi meninggalkan Kak Piah yang masih duduk tertunduk di pangkin depan rumah kecilnya. Sambil Suhairi memandang kami masih dengan pandangan tajam seakan nak terkam kami bila-bila masa.

Aku ikut langkah ayah keluar dari kawasan hutan kecil itu. Sampai kat motorsikal, ada seorang lelaki berdiri di situ.

“Haji, ke mana tu?” lelaki itu menegur.

“Ke rumah Piah sekejap.” Ayah aku menjawab.

“Saya nampak motor haji kat sini tadi. Cari Haji tapi tak jumpa. Buat apa ke rumah Kak Piah?” lelaki itu bertanya lagi.

“Saja tengok Suhairi,” ayah aku jawab.

“Haji, semalam dia datang rumah saya, bergayut kat pokok cempedak depan rumah. Saya sergah, dia mengilai pandang muka saya. Allah, takutnya saya,” kata lelaki itu lagi.

“Kau sergah dia kenapa?” kata ayah aku.

“Dia bergayut dari dahan ke dahan. Anak saya dah menangis takut kat dalam rumah. Saya buka tingkap nampak dia bergayut kat dahan tepi tingkap. Saya terkejut sebenarnya, itu yang tersergah dia,” kata lelaki itu lagi.

“Tak payah nak takut sangat kat dia. Takut kat Allah,” kata ayah aku. Aku hanya memerhati. Seram pula aku rasa bila aku teringat kain putih yang bergerak dari dahan ke dahan kat pokok rambutan mak aku semalam. Agaknya benda yang sama dengan yang lelaki tu ceritakan.

“Dah, kau jangan nak panjangkan cerita ni. Nanti tak pasal-pasal Kak Piah tu kena serang dek orang kampung lagi. Kau diam je. Bukan kau sorang yang nampak, ramai lagi. Tapi yang peliknya, aku tak pernah nampak pula. Bilal Majid pun tak pernah jumpa. Imam Radhi pun tak pernah nampak,” kata ayah aku.

“Dia takut kat orang-orang macam haji ni kot,” kata lelaki itu.

“Takut kenapa?” ayah aku tanya.

“Iyelah, haji kuat iman.” Kata lelaki itu.

“Jadi, bukan salah dia. Salah kamu la yang tak tetapkan iman,” kata ayah aku lagi.

Lelaki itu tersenyum tersipu-sipu malu dengan kata-kata ayah. Aku senyum je. Taknak masuk campur sebab aku tak tahu kisah mana pangkal mana hujung.

“Nanti masjid akan panggil kariah mesyuarat pasal perkara ni. Jangan tak datang pula,” kata ayah aku sambil menghidupkan enjin motor. Aku bonceng di belakang ayah aku. Dan kami berlalu pergi meninggalkan lelaki itu.

“Ayah, semalam Lan pun nampak kain putih kat atas pokok rambutan tepi rumah ayah tu. Memang nampak macam orang kat situ. Tapi takkanlah orang panjat pokok rambutan malam-malam buta macam tu,” aku beritahu ayah. Ayah aku diam je, tak jawab apa-apa. Jadi aku pun diam.

Sampai kat rumah, ayah aku terus masuk ke dalam rumah. Aku pandang batu nisan yang masih berada di pangkal pokok nangka mak aku. Tapi aku tak berani usik. Aku ikut ayah aku masuk ke dalam rumah.

“Ayah, batu nisan tu nak biar je ke kat situ?” aku bertanya.

“Biar situ. Nanti zohor ayah jumpa Imam Radhi,” kata ayah aku.

“Atuk, bila nak pergi tangkap ikan keli?” Haikal meluru kepada ayah aku sebaik nampak kelibat atuknya.

“Jom, tunggu atuk ambil bakul sekejap.” Kata ayah aku, tersenyum memandang Haikal yang melompat girang. Seolah tiada apa yang berlaku tadi. Aku pula cuak bila teringat ada batu nisan kat luar rumah tu. Walaupun siang, aku takut.

“Rin nak ikut atuk?” ayah aku bertanya.

Azrin pandang ayah aku dan pandang aku silih berganti. Lepas tu dia gelengkan kepala.

“Jomlah Rin, kita pergi sama-sama. Tangkap ikan keli pun satu pengalaman, nanti boleh tulis dalam karangan,” kataku cuba menceriakannya. Dah la hati tak suka bercuti di kampung, dia la pula yang jumpa batu nisan tu. Memang boleh hilang mood.

Azrin bangun dengan malas. Menggapai tudung dan menyarungkannya lalu mengikut kami keluar. Mujurlah mereka gembira. Terlupa seketika tentang kejadian pagi tadi. Tengahari tu, kami makan nasi berlaukkan ikan keli sambal dan masak lemak pucuk paku campur cendawan sisir.

“Biarkan batu itu di situ dulu. Kita tengok kalau ada yang datang tuntut,” kata Imam Radhi ketika ayah aku bertanyakan tentang batu nisan yang dijumpai dalam kereta aku.

“Siapa yang nak tuntut?” aku bertanya. Imam Radhi diam, dia pandang aku sambil tersenyum. Ayah aku pun diam juga, sambil anggukkan kepala.

“Apa maksud Imam Radhi tu ayah? Kenapa tak pulangkan batu nisan tu ke tempatnya?” aku bertanya.

“Kat mana tempatnya? Kamu tahu?” ayah aku bertanya.

“Kat kubur Sahira tu la,” aku menyahut.

“Tak semudah itu Lan. Dia datang hantar, mesti ada tujuan. Kita ikut je cakap Imam Radhi. Dia tahu apa yang dia nak buat. Serah segalanya kepada Allah, In Shaa Allah segalanya akan terlerai,” kata ayah aku. Aku pun diam.

Malam tu, lepas solat maghrib berjemaah di rumah dengan seluruh isi rumah, kami makan malam bersama. Selesai makan malam, aku dan Nina duduk berbual di tepi beranda. Dah lupa pasal batu nisan tu.

“Jangan duduk di beranda. Masuk dalam rumah. Kunci pintu tingkap semua,” kata mak aku.

Aku dan Nina akur. Kami masuk ke dalam rumah dan duduk di ruang tamu. Anak-anak menonton televisyen. Mujur rumah mak aku ada astro, banyak la siaran boleh tengok. Internet memang susah nak dapat.

“Mak, sebenarnya apa yang sedang terjadi kat kampung ni? Kenapa Lan rasa macam ada yang tak kena je?” aku bertanya mak aku.

“Ada Pontianak mengacau,” kata mak aku tanpa selindung dah. Nina angkat muka pandang mak aku dengan wajah cuak.

“Hish mak ni. Mana ada Pontianak zaman moden macam ni,” sahutku, cuba menyembunyikan perasaan seram aku.

“Iye. Setiap malam lepas isya’ dia akan merayau-rayau dalam kampung. Sesekali terdengar bunyi dia menangis teresak-esak. Satu kampung dengar suaranya. Ada masa dia mengilai. Dia selalu berjalan sambil dukung anak kecil. Dia tak kacau orang, Cuma bila dia menunjukkan diri kat orang kampung, mestilah orang takut.” Kata mak aku.

“Mak pernah nampak ke?” Nina tanya.

“Tak pernah. Tapi mak pernah dengar suara mengilai tu kat belakang rumah.” Kata mak aku dengan wajah selamba.

“Mak tak takut ke?” Nina tanya lagi.

“Mahu tak takut. Tapi ayah kamu marah kalau mak kata takut. Jadi, mak sembunyikan takut tu,” kata mak aku.

“Mana datangnya Pontianak tu?” aku bertanya.

“Pontianak ni asalnya dari perempuan yang mati masa melahirkan anak,” kata mak aku.

“Maknanya memang boleh tahu la siapa yang jadi Pontianak tu ye mak?” Nina bertanya perlahan, sebab kami perasan Azrin beberapa kali memandang kami seakan nak mendengar apa yang kami bualkan.

“Memang tahu. Tapi bak kata ayah kamu, kita tak boleh menuduh. Nanti jadi fitnah,” kata mak aku lagi.

“Dah nak masuk Isya’ ni. Jom kita Jemaah,” tiba-tiba ayah muncul dari pintu dapur. Mak terus berhenti cakap pasal Pontianak tu.

-Bersambung-

One thought on “BEBASKAN AKU

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s