BEBASKAN AKU

Bab 4

Aku bangun bila terdengar bunyi pintu bilik diketuk perlahan. Ayah aku memanggil lembut dari luar bilik. “Lan, kamu nak ikut ayah ke masjid ke?” aku dengar suara ayah memanggil dari luar bilik.

“Lan nak ikut ayah. Sekejap Lan siap,” aku menyahut dari atas katil. Cepat-cepat aku bangun dan capai tuala terus ke bilik air dan bersiap. Lepas bersiap aku terus keluar dari bilik. Nina pula dah duduk di atas katil

“Abang ikut ayah pergi masjid ye,” kataku perlahan. Nina anggukkan kepala.

Masa aku keluar dari bilik, ayah aku sedang duduk di sofa. “Jom ayah,” kataku. Ayah aku bangun dari duduknya dan terus ke pintu. Kami keluar bersama. Ayah aku capai motorsikal EX5 yang diletakkan di bahagian bawah rumah. Aku membonceng je. Masa ayah aku lalu kat tepi pokok rambutan, aku pandang ke atas. Takde pun kain putih yang aku nampak semalam. Meremang bulu roma aku. Aku gosok belakang tengkuk aku.

Sampai masjid, azan subuh sedang berkumandang. Tak ramai Jemaah yang hadir, ada dua saf je. Selesai solat, aku dan ayah berjalan ke tempat kami parking motor.

“Eh Lan, ada pula kamu? Bila balik?” aku menoleh bila terdengar suara seorang lelaki menegur aku. Aku nampak Bilal Majid dan Haji Yakob.

“Haah, baru semalam balik sini. Saja bawa anak-anak bercuti di kampung pula,” sahutku sambil menyambut salam Bilal Majid dan Haji Yakob, begitu juga ayah aku.

“Orang bercuti bawa anak ke bandar, luar negeri, luar negara. Dah kamu pula bawa anak bercuti balik kampung. Nak pula diorang ye,” kata Haji Yakob.

“Memang la taknak, tapi saya bawa juga. Tak cuba lagi mana nak tahu,” sahutku sambil senyum.

“Eloklah tu. Biar budak muda tahu, kat kampung pun banyak pengalaman, banyak pengajaran, banyak pemandangan yang belum tercemar,” kata Bilal Majid.

“Hj Zainal, dengar cerita semalam dia keluar lagi,” kata Haji Yakob kepada ayah aku, separuh berbisik.

“Iye, saya pun ada dengar macam tu. Ada yang jatuh sungai sebab dia menunggu di atas titi tepi hutan tu. Betul ke tak, tak tahulah,” ayah aku menyahut.

“Saya tak pernah nampak pun. Kadang tu saja je lalu kat kawasan yang diorang kata dia menunggu tu. Tak pernah nampak kelibat pun. Tu yang saya jadi ragu-ragu, betul ke tak cerita orang kampung ni,” kata Bilal Majid.

“Saya pun tak pernah jumpa. Tapi kalau orang kampung nak buat cerita sekalipun, takkanlah semua pun cerita perkara yang sama.” Sahut ayah aku. Aku hanya pasang telinga, maklumlah, aku buka kariah situ, tak tahu apa cerita yang sedang dibualkan.

“Kena buat mesyuarat. Kena panggil mereka yang pernah nampak. Kita tanya seorang demi seorang. Tengok cerita mereka sama ke tak. Bukannya apa, takut yang bercerita tu seorang je, yang lain tolong menyampai dan menyambung je. Nanti tak pasal-pasal jadi fitnah. Dah la si Piah tu duduk dengan anak OKU, ada anak diharap dah pergi dulu. Pula tu banyak cerita tak elok. Sedih lagi dia nanti. Itupun dah taknak bercampur dengan orang kampung dah,” kata Haji Yakob.

“Betul tu. Semalam saya nampak Kak Piah dengan anaknya Suhairi, baru balik pasar agaknya. Saya tegur, dia terus tarik tangan Suhairi, jalan cepat-cepat tinggalkan saya. Saya pun segan nak kejar, kang orang kampung nampak, dah lain pula cerita yang tersebar. Memang kesian tengok Kak Piah tu,” kata Bilal Majid.

“Kita kena tolong mereka berdua. Dah la jatuh, ditimpa tangga pulak.” Sahut ayah aku.

“Haji Yakob, nanti tetapkan satu tarikh, kita panggil kariah kita mesyuarat. Cari masa yang semua orang boleh datang,” kata Bilal Majid. Haji Yakob anggukkan kepala.

“Saya balik dulu lah Bilal, Haji. Nanti bila nak mesyuarat tu, maklumkanlah ye. Saya hadir, In Shaa Allah,” kata ayah aku sambil bersalaman sekali lagi dengan Bilal Majid dan Haji Yakob. Aku juga menurut.

Kat motor, aku tanya ayah, siapa Kak Piah tu. Ayah kata orang kampung ni juga. Anaknya yang tinggal dengan dia dan selalu menjaga dia baru saja meninggal dunia. Sekarang dia tinggal dengan anaknya yang OKU. Banyak la cerita buruk oleh orang kampung sejak kematian anaknya, itu yang buat Kak Piah ni berjauh hati dan taknak bercampur dengan orang kampung.

“Cerita buruk apa ayah?” aku bertanya ingin tahu.

“Takpelah, kita balik dulu. Mak tentu dah tunggu kita nak sarapan bersama,” kata ayah, cuba mengelak untuk bercerita pasal Kak Piah tu. Aku terus diam bila ayah cakap macam tu. Mungkin ayah taknak bercerita tentang perkara yang dia pun tak pasti. Itulah ayah yang aku kenal. Kalau nak korek rahsia, sila cari mak. Semua dia akan ceritakan, tak tinggal satu patah perkataan pun. Tak tanya pun dia akan jawab siap-siap.

Jarak dari masjid dan rumah ayah aku tak jauh, naik motor dalam lima minit sampai la. Kalau jalan kaki pun sepuluh minit sampai kot. Matahari dah mula munculkan diri di ufuk timur. Cantik pemandangan kampung, dengan kebun dan dusun, sawah padi menghijau. Cantik, memang cantik. Inilah yang aku nak tunjuk kat anak-anak aku.

Sampai kat rumah, Nina dan mak aku berada di dapur. Hidangkan sarapan sambil bersembang. Aku dengar bunyi mereka ketawa, macam seronok sangat.

Aku masuk ke dalam rumah. Aku nampak Haikal sedang duduk di sofa. Dia memang bangun cepat, setiap pagi, tak susah nak kejutkan dia bangun pergi sekolah.

“Haikal dah bangun? Dah solat?” aku tanya.

“Kenapa ayah tak bawa Haikal pergi masjid sama-sama?” tanyanya sambil memuncungkan mulut. Merajuk la tu.

“Bukan ayah taknak bawa Haikal, tadi Haikal tidur lena sangat. Ayah tahu Haikal penat. Ayah biarlah Haikal tidur. Kat rumah pun boleh solat kan. Takpe, lepas ni ayah pergi masjid, ayah bawa Haikal ye,” kataku memujuk anak kedua aku tu. Memang dia paling cepat sentap tapi dia juga penyejuk aku dan ibunya.

“Adik dah bangun? Kakak?” aku bertanya. Haikal angkat bahu.

“Haikal dah solat subuh tak?” aku tanya lagi. “Dah ayah,” sahutnya perlahan.

Aku bangun dan menuju ke bilik. Aku nampak Qaiyum masih lena di bawah selimut. Semalam dia tak berapa tidur, asyik terkejut dan menangis. Mungkin sebab berubah tempat tidur.

Aku jenguk pula bilik Azrin. Aku nampak dia sedang menggantung sejadah dan telekungnya. Dia pandang aku. “Dah solat?” aku tanya. Dia anggukkan kepala. “Jom kita sarapan dengan atuk dan opah sama-sama,” ajakku. Azrin menurut. Dia mengikut aku ke dapur. Walaupun di wajahnya ada rupa bosan dan memberontak, dia masih cuba mengawal perasaannya.

Kami duduk di meja makan. Ada nasi lemak, harum wangi bau daun pandan dan santan. Ada rendang ayam juga. Terus perut aku jadi lapar.

“Wah… Banyaknya mak masak. Dah macam raya pula,” kataku.

“Rendang ni memang dah masak semalam. Tapi kamu semua sampai lambat, mak masukkan dalam peti sejuk. Ni baru panaskan. Makanlah.” Kata mak aku.

Nina pula datang dari arah dapur, membawa sepinggan cekodok pisang, wangi baunya, masih panas. “Cekodok lagi?” aku tanya dengan mata terbeliak. Dah lama aku tak makan macam ni.

“Kebetulan pisang ayah kat kebun tu masak. Rezeki kamu anak beranak la,” kata ayah.

“Rin, makan Rin. Sedap ni. Kat tempat kita, susah nak dapat makanan macam ni. Kalau ada pun, tak sama,” kataku memandang Azrin. Azrin diam je. Dia ambil pinggan dan sendukkan nasi lemak. Haikal yang nampak macam berselera sangat. Nasi lemak dia ambil. Cekodok pisang pun dia pegang juga. “Makan perlahan-lahan Haikal, tercekik nanti,” Nina menegur.

“Sedapnya opah masak. Semua sedap. Nanti opah masak lagi macam ni tau,” katanya dengan mulut yang penuh dengan nasi lemak.

“Nanti ikut atuk tangkap ikan keli. Lepas tu kita kutip pucuk paku dan cendawan sisir, boleh buat masak lemak. Sedap tau,” kata ayah aku.

“Boleh, boleh. Haikal nak ikut atuk,” kata Haikal masih dengan mulut yang penuh.

“Azrin, kain yang nak bagi kat opah semalam mana? Ada bawa masuk ke?” Nina bertanya Azrin. Azrin pandang muka Nina.

“Rin tak perasan la ibu. Semalam keluar kereta terus masuk bilik. Belum ambil lagi kot,” sahut Azrin.

“Takpelah, lepas ni pergi tengok kat kereta. Semalam tak ambil kot,” kataku.

Azrin bangun. “Makanlah dulu,” Nina menegur. “Takpelah ibu, Rin dah kenyang. Dah makan banyak dah,” sahut Azrin sambil berlalu keluar rumah.

Sementara aku, Nina, mak dan ayah aku masih di meja makan. Bukan makan sangat pun, sembang yang banyak.

“Kak Piah tu siapa ayah?” aku bertanya lagi semasa kami sarapan. Mak aku pandang ayah aku dengan wajah lain macam.

“Kenapa kamu tanya Lan? Mana kamu dengar nama Kak Piah tu?” mak aku bertanya. Ayah aku buat muka tak tahu je sambil teruskan makan.

“Tadi dengar ayah sembang dengan Bilal Majid dan Hj Yakob. Katanya anak Kak Piah baru je meninggal dunia.” Kataku kepada mak.

“Ayah!!!!!!!” tiba-tiba terdengar suara Azrin menjerit kuat dari halaman rumah. Aku yang sedang pegang cawan, terus letak dan berlari keluar. Laju jantung aku berdegup bila terdengar suara Azrin panggil aku macam tu. Nina pun berlari mengikut langkah aku keluar rumah.

Azrin kelihatan pucat, sedang berdiri di tepi kereta yang pintunya masih terbuka. Matanya kaku melihat ke dalam kereta.

“Kenapa Rin?” aku bertanya sebaik sampai dekat Azrin. Azrin menuding jari menunjuk ke arah dalam kereta. Dan masa ni wajah aku dan Nina pun berubah.

“Kenapa Rin? Lan?” ayah aku yang baru muncul di muka pintu bertanya.

“Ada batu nisan kat dalam kereta,” Nina bersuara memberitahu ayah dan mak aku. Mereka pun berubah air muka. Terkejut melihat sebuah batu nisan yang berada di dalam kereta aku.

Ayah aku melangkah ke kereta. Dia mengangkat batu nisan yang penuh dengan lumpur seperti baru ditarik keluar dari tanah kubur. Ayah aku mengelap lumpur kering yang melekat di batu nisan itu.

“Allahyarhamah Sahira binti Rapiah,” ayah aku membaca tulisan pada batu nisan tu.

“Siapa punya tu ayah?” aku bertanya, dengan suara yang paling perlahan.

“Semalam kamu turunkan perempuan yang menumpang kamu tu di mana?” ayah aku bertanya.

“Tak jauh dari sini. Lepas sikit dari kawasan hutan pinggir kampung ni,” aku menyahut.

“Ingat tempat tu?” ayah aku tanya. Aku mengangguk.

“Jom tunjukkan kat mana kamu turunkan dia,” kata ayah aku sambil melangkah ke motorsikalnya. Dia meletakkan batu nisan itu di pangkal pokok nangka di tepi rumah ayah. Seram weh aku tengok batu nisan tu. Kalau batu nisan baru, aku boleh gagah lagi, ni batu nisan yang seperti ditarik dari tanah kubur, dengan lumpur kering masih melekat. Siap ada nama lagi.

-Bersambung-

One thought on “BEBASKAN AKU

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s