BEBASKAN AKU

Bab 3

“Takde saudara mara lain ke nak minta tolong?” Nina bertanya.

“Kat kampung ni cuma ada saya dengan adik yang OKU tu la. Yang lain semua kat negeri lain. Tu yang kalau ada apa-apa hal, saya yang akan pergi rumah mak,” kata Sahira lagi.

“Sahira dan mak memang orang kampung ni ke?” aku bertanya pula, sebab aku rasa macam tak pernah nampak perempuan ni. Memanglah aku jarang balik kampung, tapi aku masih dapat cam rupa orang kampung ni, walaupun aku tak ingat namanya dan rumah yang mana.

“Ayah saya memang orang kampung ni. Dulu kami tinggal kat bandar. Tapi lepas ayah sakit, ayah minta untuk tinggal di sini, di rumah pusaka ayah dia dulu yang dah lama ditinggalkan. Tak lama lepas kami pindah kat sini, ayah meninggal dunia. Saya pula masa tu dah berkahwin dan duduk kat sebelah sana dengan suami.” Sahira bercerita.

“Berapa umur baby ni?” Nina bertanya.

“Dua bulan kak. Saya pun baru habis pantang,” kata Sahira.

“Bahaya jalan seorang diri kat hutan dalam gelap macam ni. Sahira pun belum cukup sihat, dengan baby kecil sangat lagi ni,” kata Nina.

“Apa nak buat kak. Dah malam ni baru mak telefon suruh datang juga. Katanya dia tak boleh bangun, dah muntah banyak kali hari ni. Nak jaga adik yang OKU tu lagi,” kata Sahira.

“Kat mana rumah maknya? Takut nanti terlepas pula,” kataku sebab kami dah melepasi kawasan hutan.

“Abang berhentikan saya kat signboard depan tu. Rumah mak masuk ke dalam lagi, tapi dah dekat. Takpe, saya jalan je kat situ,” kata Sahira.

“Takpelah, kami hantar sampai rumah mak. Gelap kat sini,” kata Nina.

Tiba-tiba Qaiyum yang sedang tidur dipangkuan Nina terjaga. Dia menangis kuat, macam digigit sesuatu. Nina pula panik. Puas dia memujuk Qaiyum menyuruhnya diam tapi Qaiyum terus menangis sampai sesak nafasnya.

“Abang berhenti kat sini pun boleh bang. Rumah mak saya kat situ je,” Sahira pula tiba-tiba bersuara.

“Betul ni?” aku bertanya, dengan kekalutan suara tangisan Qaiyum lagi.

“Iye, abang jangan risau. Saya memang orang sini.” Kata Sahira sambil tersenyum memandang keluar tingkap. Nina tak menyahut dah, masih cuba menenangkan Qaiyum yang kepenatan menangis.

Aku berhentikan kereta. Sahira keluar dari kereta dan mengucapkan terima kasih kepada kami. Aku tak tunggu lama kat situ, sebaik Sahira melangkah masuk ke kawasan yang dikatakan rumah emaknya itu, aku terus memandu. Qaiyum masih teresak-esak menangis sambil menutup wajahnya di bahu Nina.

“Dia mimpi agaknya,” kata Nina sambil tersenyum kat aku melalui cermin pandang belakang.

“Qaiyum ok?” aku memanggil. Qaiyum tak menyahut. Dia mengangkat wajahnya perlahan-lahan dan memandang ke arah tempat duduk di sebelah Nina.

Nina mengangkat Qaiyum dan cuba meletakkannya di kerusi kosong di sebelahnya. Tapi Qaiyum enggan. Dia kembali duduk di atas ribaan Nina.

Tepat jam 10, kami sampai di rumah mak aku. Mak dan ayah aku dah menunggu di muka pintu dengan wajah risau.

“Assalamualaikum mak, ayah. Maaf lambat sampai, banyak halangan di jalan tadi,” kataku sambil bersalaman dengan mak dan ayah aku. Begitu juga Nina, Azrin dan Haikal. Cuma Qaiyum yang masih melekat di pangkuan Nina. Dia taknak letak kaki ke tanah langsung, dipautnya Nina. Mujurlah dia tak gemuk.

“Kenapa dengan cucu opah yang seorang ni? Meh kat opah meh,” emak aku cuba memujuk Qaiyum. Aku suruh Nina terus masuk ke rumah. Azrin je tolong aku angkat beg.

“Entahlah mak. Tadi dia tidur. Lepas tu tiba-tiba dia menangis kuat  macam kena gigit dengan binatang pula. Saya dah cari kot ada kesan gigitan, takde pula. Dia mengigau kot. Tapi tu la, sampai sekarang masih melekat. Mukanya pucat je memandang keliling, macam tengok sesuatu,” kata Nina.

“Qaiyum nampak apa?” mak aku bertanya sambil menghulurkan tangan ke arah Qaiyum.

“Hantu,” Qaiyum menyahut.

“Amboi… Macam la pernah tahu hantu tu macammana,” sahut Nina sambil ketawa kecil.

“Kat mana nampak hantu?” mak aku terus bertanya bila Qaiyum menyambut tangan neneknya dan terus duduk di pangkuan mak aku.

“Kat dalam kereta papa,” kata Qaiyum. Memang anak aku yang sorang ni memanggil aku papa. Tak tahulah kenapa. Kami cuba suruh dia panggil ayah, tapi dia tetap panggil papa. Sampai akhirnya aku biarkan je.

“Tu la, dia mengigau tadi tu. Lepas berhenti makan kat kedai tepi jalan tu, dia tidur sebaik je masuk kereta. Penat sangat dah kami ni mak. Sekarang ni rasa nak tidur je,” kataku sambil duduk berehat di sofa. Azrin mengangkat begnya masuk ke dalam bilik.

“Kat mana dia menangis tu?” ayah aku pula bertanya.

“Kat kawasan hutan tepi kampung tu. Dah dekat dah nak sampai tadi.” Sahutku. Nina pun bangun membawa beg kami masuk ke bilik.

“Kamu ada tumpangkan sesiapa ke?” ayah aku bertanya.

“Ada. Seorang perempuan berjalan sambil dukung baby kecil baru dua bulan. Tapi tak jauh pun. Kesian tengok dia berjalan dalam gelap tu. Hujan renyai pula tu,” sahutku.

Mak dan ayah aku berpandangan sesama sendiri.

“Perempuan mana? Apa namanya? Dia nak ke mana?” mak aku tanya bertalu-talu.

“Sahira katanya. Nak pergi rumah maknya. Dia tinggal kat kampung sebelah. Suaminya bertugas kat laut. Maknya sakit, dah la tinggal dengan adik dia yang OKU katanya. Itu yang dia gagahkan diri berjalan ke rumah maknya,” kataku.

“Sahira? Ada adik?” mak aku mengerutkan dahinya berfikir.

“Allah!” tiba-tiba je mak aku menjerit tapi tak kuat.

“Kenapa mak?” aku bertanya, terkejut bila mak aku terjerit macam tu.

“Takde apa, mak kamu masak air kat dapur tadi. Tu baru teringat la tu. Dah, awak pergi tutup api air tu. Bancuh air panas untuk anak cucu kita ni. Penat berjalan jauh hari ni. Patutnya siang tadi sampai dah.” Ayah tiba-tiba mencelah sambil memberi isyarat kat mak aku suruh ke dapur.

“Eh, tak payah la bancuh air panas bagai mak. Kami ni nak mandi dan nak tidur je dah. Penat sangat,” kataku.

“Kalau taknak apa-apa dah, kamu pergi masuk bilik, mandi, rehat. Esok je kita sambung sembang. Bawa anak-anak tu, semua dah penat,” kata ayah lagi.

Aku akur. Aku terus masuk ke bilik. Nina sedang mandikan Qaiyum. Aku baring kat atas katil. Selesai Nina mandikan Qaiyum, dia baringkan Qaiyum kat sebelah aku. Haikal pun dah siap mandi dan pakai baju tidurnya.

“Ayah, Haikal nak pergi sembang dengan atuk,” kata Haikal.

“Pergilah. Tengok dulu atuk tengah buat apa. Kalau atuk dah tidur, jangan kacau atuk ye,” kataku. Haikal terus melangkah keluar bilik. Aku baring semula di sebelah Qaiyum dan menepuknya untuk tidur. Nina masuk bilik air dan mandi.

“Papa, tadi Ayum nampak hantu,” Qaiyum bercakap sambil pandang aku.

“Ayum pernah nampak hantu ke? Mana Ayum tahu rupa hantu macammana?” aku bertanya lembut sambil pandang Qaiyum.

“Tadi baru nampak. Ayum takut,” kata Qaiyum.

“Nampak kat mana?” kataku melayan.

“Dalam kereta kita,” Qaiyum menyahut.

“Duduk kat mana?” aku melayan lagi.

“Duduk kat sebelah ibu.” Kata Qaiyum.

Entahlah kenapa masa ni bulu roma aku kat belakang tengkuk meremang tiba-tiba. Aku gosok belakang tengkuk aku perlahan-lahan. Lepas tu aku pandang keliling bilik.

“Dah dah, jom tidur. Esok kita sembang,” kataku sambil membalikkan tubuh kecil Qaiyum dan menepuk belakangnya perlahan menyuruhnya tidur.

“Abang pergilah mandi. Saya dah,” kata Nina tiba-tiba kat tepi aku membuatkan aku terkejut dan melompat duduk.

“Abang dah kenapa? Terkejut macam nampak hantu,” kata Nina yang terkejut melihat respon aku.

“Takde apalah. Abang ingat Nina masih kat bilik air. Tak perasan Nina dah keluar. Tu yang terkejut tu,” kataku menyembunyikan perasaan aku. Qaiyum dah terlena kat tepi aku.

Aku terus bangun dan mengambil tuala dan mandi. Selesai mandi, aku keluar dari bilik mencari Haikal. Aku nampak Haikal sedang baring di sofa. Ayah aku pun ada di situ sedang menonton televisyen. Aku jenguk melihat Haikal, dah terlena rupanya.

“Allah budak ni. Tadi orang suruh tidur, dia nak keluar cari atuk katanya. Akhirnya dia yang terlena kat sini,” kataku sambil mengangkat Haikal dan membawanya masuk bilik.

“Dia penat sangat tu. Tapi tak sabar nak sembang dengan atuk,” kata ayah aku.

Lepas letakkan Haikal kat bilik, aku keluar semula. Aku jenguk ke bilik Azrin. Aku panggil namanya, tak menyahut. Aku tolak daun pintu perlahan-lahan, dia pun dah lena nampaknya.

Aku melangkah kembali kepada ayah yang masih duduk di sofa. “Mak dah tidur ke ayah?” aku bertanya.

“Haah, dah lena dah tu. Dia penat menunggu kamu dari petang tadi membebel kat pintu depan tu. Kejap-kejap suruh ayah telefon kamu.” Kata ayah aku sambil senyum.

“Apa nak buat, dah masa ni la kereta nak buat hal. Selalunya ok je.” Kataku.

“Takpelah, asalkan dah selamat sampai dah. Kamu pun dah bagitahu sampai lambat, Cuma mak kamu tu yang tak sabar. Dia dah masak macam-macam tu, sebab ingat malam ni nak makan sama-sama. Esok dia panaskan balik la.” Kata ayah aku sambil bangun.

“Ayah nak tidur dah ke?” aku bertanya.

“Haah. Mengantuk dah rasanya. Subuh esok nak ikut ayah pergi masjid ke?” ayah aku tanya.

“Boleh juga.” Sahutku sambil mengambil remote tv dan mengubah channel.

Masa ni bulu roma aku meremang semula. Aku pandang keliling, tiba-tiba je rasa macam diperhatikan. Aku tutup tv. Baru je nak menoleh, tiba-tiba ada tangan pegang bahu aku. Terus aku melompat dan terjerit sikit. Nina yang sedang berdiri kat belakang aku pun terjerit juga.

“Kenapa tu?” ayah aku bertanya dari dalam biliknya.

“Takde apa ayah, Lan terkejut Nina tiba-tiba muncul kat sini,” sahutku.

Nina ketawa kecil memandang aku. “Abang ni sejak tadi saya tengok asyik terkejut je? Macam takut pun ada. Kenapa?” Nina tanya aku.

“Takde apalah, jom tidur. Dah jauh malam,” kataku sambil menutup televisyen dan lampu lalu mengikut langkah Nina masuk ke bilik.

Kat bilik, aku nampak Haikal berdiri kat tingkap yang terbuka. “Kenapa buka tingkap tu Haikal? Nyamuk masuk nanti,” kataku.

“Tadi ada orang ketuk tingkap ni. Haikal buka la. Haikal nampak kakak yang tumpang kereta ayah tadi ada kat luar,” kata Haikal membuatkan aku berlari ke tingkap dan menarik Haikal menjauhkan diri dari tingkap itu.

Aku jenguk keluar tingkap, tak nampak sesiapa. Aku tutup tingkap kembali dan masa ni aku nampak macam ada kain putih tergantung kat atas pokok rambutan mak aku kat bahagian tepi rumah. Mula-mula aku buat tak tahu tapi bila aku nampak kain tu macam bergerak dari satu dahan ke dahan lain, aku mula fokuskan pandangan aku. Dengan bantuan cahaya bulan yang baru separuh bulan, aku nampak itu bukan sekadar kain tapi ada seseorang yang sedang berhayun dari satu dahan ke dahan lain.

“Kenapa bang?” Nina tiba-tiba berdiri di tepi aku dan menjenguk keluar. Aku terkejut lagi.

“Abang ni dah kenapa?” Nina tanya aku sambil mengerutkan dahi.

“Dah, jom tidur,” kataku sambil mengunci tingkap. Tangan aku menggeletar. Tapi aku cuba sembunyikan perasaan aku.

-Bersambung-

One thought on “BEBASKAN AKU

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s