BEBASKAN AKU

Bab 2

Lebih kurang jam 10 pagi, aku berhenti kat satu hentian rehat. Isi perut dengan bekalan Nina tadi, lepas tu bawa anak-anak ke tandas. Setengah jam juga kami kat sini.

Masa nak mulakan perjalanan semula, entah la kat mana silapnya, enjin kereta tak boleh dihidupkan. Aku dah mula rasa panik. Nina pun dah mula kerutkan dahinya. Beberapa kali aku cuba hidupkan enjin kereta, tapi tak boleh hidup juga. Dekat 15 minit aku mencuba tapi tak berjaya, aku terpaksa call Rizman, kawan aku. Dia seorang pomen. Memang kereta aku ni service semua kat workshop dia.

“Tak boleh hidup? Tapi minggu lepas aku dah service kereta kau, elok je semua,” kata Rizman dengan suara gusar. Nak datang kat aku, dah jauh dah. Takkan dia nak naik motor kapcainya dan datang kat aku yang dah hampir 90 km dari tempatnya ni.

“Manalah aku tahu, dah dia tak mahu start. Tu yang aku call kau ni. 15 minit dah ni aku try,” sahutku.

“Aku takde kawan area sana. Aku nak ke sana pun dah jauh sangat. Alamak, macammana ni?” Rizman tanya aku pula. Aku tanya dia, dia pula tanya aku. Haikal dan Qaiyum dah mula tak duduk diam, berlari sana sini sambil dikawal oleh Nina. Azrin pula buat muka monyok dia la.

“Macam ni la. Kau cuba minta tolong dari staff stesen minyak kat situ. Mana tahu ada orang yang boleh tengokkan kereta kau.” Kata Rizman.

“Takpelah Man. Aku cuba ikhtiar kat sini la.” Sahutku dengan nada agak terkilan.

“Aku betul-betul minta maaf Lan. Aku memang tak dapat ke sana. Dan aku yakin, aku dah service baik kereta kau minggu lepas. Aku tak tahu kat mana silapnya. Kau ada terlanggar batu kea tau apa-apa yang keras sampai ada bahagian yang terganggu tak,” kata Rizman.

“Takpelah Man. Benda nak jadi,” sahutku cuba membuang rasa terkilan aku dan cuba melegakan rasa bersalah Rizman. Aku letak telefon.

Nina pandang aku tenang. “Macammana?” tanyanya perlahan.

“Rizman pun tak tahu kenapa tak boleh hidup. Dia kata dah service elok semalam. Dia nak datang pun kita dah jauh,” sahutku.

“Iye juga, takkan dia nak datang sini, jauh kot. Selama ni dia yang service kereta kita, ok je. Tak boleh nak salahkan dia juga, dia pun tak tahu apa silapnya sebab dia tak tengok,” kata Nina.

“Tu la pasal. Jadi, sekarang ni, kita kena cari sendiri la pomen untuk tengokkan kereta kita ni. Kalau tak, nanti lambat pula sampai kampung. Risau pula mak ayah nanti sebab abang kata kita sampai sebelum zohor,” kataku.

“Takpelah, nanti kita call balik bagitahu kereta rosak,” kata Nina.

“Kenapa ni bang?” tiba-tiba ada seorang lelaki menaiki motor menghampiri kereta aku.

“Tak boleh start,” sahutku pendek.

“Boleh saya tengokkan?” dia bertanya. Aku pandang Nina. Nina baru je cerita kat aku pasal kawannya terkena dengan pomen yang membantu kat highway beberapa minggu lalu. Lepas betulkan kereta kawannya, pomen tu minta bayaran yang tinggi yang langsung tak munasabah, hampir tiga kali ganda dari harga biasa, atas alasan atas highway.

“Biarlah dia tengokkan. Tapi kalau dia kata nak repair apa-apa, tanya dulu harga. Kalau melampau sangat, tak payah guna khidmat dia. Kita call plus je untuk tunda kereta kita keluar highway untuk cari bengkel. Kita pun masih awal ni,” kata Nina. Aku menurut.

Lelaki yang memperkenal dirinya sebagai Zaini tu membuka helmetnya dan melihat-lihat kereta aku sambil diperhatikan oleh aku. Aku ni pelukis design, mana la tahu pasal kereta ni. Memang selalunya Rizman la yang tengokkan kereta aku kalau ada apa-apa yang tak kena. Tak pernah pula kereta aku ni buat hal, ini kali pertama yang sampai tak boleh hidupkan enjin. Kalau setakat rosak sikit-sikit tu biasalah. Tapi bila sampai enjin tak boleh hidup, aku panik dah.

“Macam ada masalah kat radiator ni. Enjin overheat. Air menitik keluar. Kena isi air selalu. Abang nak ke mana ni? Jauh lagi ke perjalanannya?” Zaini tanya aku.

“Tapi baru je servis kereta ni, semua ok. Takkan radiator bocor pula?” aku bertanya semula.

“Tak tahulah bang. Abang pegang penutup radiator ni pun rasa panas. Tadi saya dah tambah air, tunggu lima minit lagi abang cuba hidupkan enjin. Kalau boleh hidup, saya nasihatkan abang carilah workshop, tampal sikit bahagian yang menitik air tu. Itupun kalau perjalanan abang masih jauh la. Kalau dekat je, takpe. Abang boleh teruskan perjalanan,” kata Zaini.

“Jauh lagi ni. Kami nak balik Terengganu,” sahutku.

“Jauh lagi tu bang. Elok abang keluar dari highway dulu, dan cari workshop.” kata Zaini.

Aku pandang Nina yang sedang memangku Qaiyum yang dah mula kelihatan tak selesa. Sementara itu, Zaini cuba menghidupkan enjin kereta aku. Dan enjin kereta aku boleh hidup.

Aku menghampiri Nina. “Kena cari workshop,” aku beritahu Nina.

“Takpelah, kita keluar highway dulu. Masih awal lagi.” Kata Nina.

Aku kembali kepada Zaini. “Berapa?” aku tanya dia sambil membuka dompet.

“Eh, takpelah bang. Saya tak buat apapun, Cuma masukkan air je untuk sejukkan radiator.” Kata Zaini. Aku keluarkan RM40 dari dompet aku dan serahkan kepadanya namun ditolaknya dengan baik.

“Tak payah bang. Abang bawa je kereta abang ni ke workshop.” Kata Zaini sambil menaiki semula motornya lalu memakai helmet dan berlalu pergi meninggalkan aku sekeluarga.

Aku segera memanggil Nina dan anak-anak aku menaiki kereta. Aku takut enjin kereta mati semula. Aku terus memandu keluar highway dan bertanya di tol kat mana bengkel terdekat. Mujurlah mereka memberi jalan ke bengkel terdekat. Tak jauh pun.

Sampai di bengkel, ada dua orang pekerja sedang membaiki beberapa kereta di situ. Aku berjumpa dengan salah seorang pekerja di situ. Aku dimaklumkan bahawa ada banyak kereta sedang dibaiki, jadi mungkin mengambil masa. Aku tanya, kalau-kalau ada bengkel lain. Mereka tunjukkan jalan.

Malangnya, enjin kereta aku mati. Dan tak boleh hidup semula seperti tadi. Nak taknak aku terpaksa tinggalkan kereta aku di bengkel tu. Di tepi bengkel tu, ada satu mall dan ada taman permainan juga. Elok sangatlah untuk Haikal dan Qaiyum bermain. Jadi, Nina pun setuju untuk kami tinggalkan kereta kami di bengkel tu. Sementara tu kami menunggu kat dalam mall.

Lepas 5 jam, barulah orang bengkel tu call aku semula dan katakan bahawa kereta aku dah ok. Aku terus bawa Nina dan anak-anak aku keluar dari mall. Qaiyum dah tertidur kat dalam surau. Azrin terus dengan muka kelat dan tindak tanduknya yang memberontak. Aku buat-buat tenang, macam tak nampak apa-apa.

“Encik ada langgar batu kot. Ada bocor sikit kat bawah. Macam kesan bergeser. Kami dah betulkan. In Shaa Allah, boleh sampai Terengganu takde masalah. Cuma, nanti dah sampai sana, bawa ke bengkel dan betulkan elok-elok. Sekarang kami tak cukup pekerja, dan encik pun nak cepat kan. Jadi, kami buat yang sementara je.” Kata pomen di situ.

“Sementara? Nanti kalau enjin mati lagi kat tengah highway macammana? Takkan saya nak cari bengkel lagi,” kataku.

“Sementara tu maksud saya bukanlah tak boleh guna. Air tak menitik dah, dah takde masalah. Cuma nanti dah sampai destinasi, encik bawa ke bengkel untuk tengok betul-betul kalau ada masalah lain. Sebab kami tak boleh buka kereta encik semua, nanti ambil masa dan kami pula tak cukup staff,” kata pomen tu lagi.

“Takpelah kalau dia dah cakap macam tu. Jom kita teruskan perjalanan,” kata Nina, dia pun dah penat menunggu.

“Berapa ni?” aku tanya pomen tu.

“RM80 je la bang.” Sahut pomen tu. Aku bayar dan teruskan perjalanan. Tapi aku tak berani nak bawa pada kelajuan yang biasa. Aku trauma. Aku cuak je nak tekan minyak. Enjin hidup pun aku rasa mati. Tak pernah aku cuak macam ni. Nina tetap tenangkan aku.

“Pomen tu tahu la, kalau dia kata boleh, bolehlah tu. Abang pandu macam biasa je. Cuma jangan laju sangat. Takpe kita sampai malam pun. Janji kita selamat sampai,” kata Nina. Masa tu jam dah pukul 5 petang.

Kami tak berhenti kat mana-mana hentian dah. Anak-anak aku pun, sebaik je masuk kereta terus terlena. Penat menunggu lama kat mall tadi. Kami dah makan dan solat siap kat mall, jadi kami tak perlu berhenti di mana-mana dah.

Kami keluar tol pada waktu azan maghrib berkumandang. Mujurlah kereta tak buat hal lagi, Alhamdulillah. Tapi kami masih perlukan sejam setengah lagi untuk sampai ke rumah mak aku.

“Ayah, lapar la. Nak buang air juga,” kata Azrin di tempat duduk belakang.

“Ok, kita berhenti kat depan tu,” kataku sebab aku nampak satu kedai makan.

Kami makan malam dan solat maghrib di situ. Selesai urusan di situ, kami teruskan perjalanan. Ketika dah masuk ke kawasan kampung, lampu jalan memang tiada. Jam dah pukul 9 malam masa tu. Aku tak berani nak bawa laju tapi rumah mak aku dah tak jauh dah.

Ketika lalu di satu kawasan hutan, suasana agak sepi. Tambahan ini kawasan kampung, pukul 8 malam pun dah senyap. Tiada aktiviti luar macam di bandar. Kalau di bandar, pukul 12 tengah malam pun masih meriah dengan orang ramai.

Sedang memandu tu aku nampak seseorang sedang berjalan di hadapan. Aku tunjukkan kepada Nina, dan Nina pun nampak orang tu. Nampaknya macam seorang perempuan memakai baju kurung berwarna kelabu berjalan sendirian di tepi hutan. Aku memandu melewati perempuan itu dan ternyata dia sedang berjalan sambil mendukung bayi kecil di tangannya.

“Kesiannya bang. Ke mana dia nak pergi tu, hari dah malam, lampu takde,” kata Nina.

“Nak tanya ke?” aku tanya.

“Abang perlahankan kereta, nanti saya tanya,” kata Nina.

“Cik, nak ke mana?” Nina bertanya sebaik kami seiring dengan perempuan tu.

“Nak pergi rumah mak,” sahutnya tanpa memandang kami. Nampak seperti seorang perempuan muda dalam usia awal 20an.

“Rumah mak kat mana?” Nina tanya lagi.

“Kat depan tu je. Takpelah, saya boleh jalan, dah dekat,” katanya.

“Kawasan hutan ni jauh juga. Jom kami hantarkan,” aku menawarkan. Rasa kesian pula tengok perempuan muda tu dengan bayinya yang masih kecil, seperti baru dua bulan macam tu.

Aku hentikan kereta. Nina buka pintu. “Jom kami hantarkan. Sian kat baby tu. Hari pun gerimis ni, nanti demam,” kata Nina.

“Terima kasih kak, terima kasih abang. Tadi saya ada tahan satu kereta tapi mereka tak berhenti. Takut agaknya tengok saya dukung baby macam ni,” kata perempuan itu setelah memasuki kereta kami.

“Ke mana malam-malam macam ni?” aku bertanya.

“Rumah saya kat sebelah sana. Suami saya kerja kat laut. Baru je balik minggu lepas. Mak pula telefon, sakit. Ayah saya dah takde, ada adik seorang tinggal dengan mak, adik saya OKU mental. Risau juga nak biarkan mak sakit. Tu yang saya jalan juga dengan baby kecil ni,” kata perempuan muda yang memperkenalkan dirinya sebagai Sahira.

-Bersambung-

One thought on “BEBASKAN AKU

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s