HANI

Bab 12 (AKHIR)

Sampai kat rumah, kami bantu mak dan kakak Hani kemaskan barang Hani. Masa aku nak buka almari Hani, berdebar-debar je jantung aku. Terfikir Hani tanya ‘masa kau bukak almari aku, dia tak kacau ke?’ Menggeletar juga tangan aku. Adeh, penyakit si Hani ni dah berjangkit kat aku. Lama-lama nanti aku pun jadi psiko macam dia.

“Takpe, jangan takut. Apa yang dia nampak, belum tentu betul. Dan memang ada yang betul. Kita takde kelebihan yang dia ada. Kita takkan nampak benda tu semua. Bukalah almari tu,” kata mak Hani tiba-tiba. Rupanya dah lama dia perhati aku yang teragak-agak nak buka almari Hani.

Bila tahu ada yang memerhati, rasa takut tu hilang. Aku buka almari Hani perlahan-lahan. Aku ambil beberapa helai pakaiannya dan masukkan ke dalam beg. Aku terpandang teddy bear kecil kat dalam almari dan teddy bear besar yang aku campak ke atas almarinya. Rasa seram sejuk je. Mata teddy bear tu macam pandang aku je.

“Makcik bawa baliklah teddy bear Hani ni ye makcik. Macam-macam kami disakatnya dengan teddy bear ni.” Kataku. Mak dan kakak Hani tersenyum memandang aku dan Azira yang bermuka cuak.

“Tapi kan makcik, kalau betul itu imaginasi Hani, kenapa sesetengah tu nampak macam betul?” Shima pula bertanya.

“Maksud kamu?” mak Hani tanya lagi sebab tak faham dengan soalan Shima.

“Salah satu contohnya, dia selalu beli makanan banyak. Lepas tu dia hidang dan letak pinggan macam nak makan dengan beberapa orang lagi. Bila kami tanya, katanya adik-adiknya nak makan. Tapi yang jadi musykil tu, makanan yang banyak tu memang habis. Takkan Hani makan seorang?” kata Shima.

“Macam ni. Ada perkara atau benda yang dia cakap, memang ada dilihatnya. Seperti yang kita semua wajib percaya, dunia ini bukan hanya apa yang kita lihat. Ada alam lain yang kita tak nampak. Mungkin memang ada ‘adik-adik’ tu. Kita tak tahu sebab hanya dia yang nampak. Hanya dia yang tahu. Kita hanya boleh mendengar dan untuk bantu dia, kita perlu bersama dia walaupun kita tak nampak benda yang dia nampak. Kita kena tunjukkan bahawa kita percayakan dia, walaupun benda tu mungkin betul dia nampak, dan mungkin juga imaginasi dia. Kebolehannya ni akan hilang sedikit demi sedikit bila kita lebihkan masa bersama dia ketika dia berdepan dengan ‘benda’ tu semua. Faham?” mak menjelaskan dengan panjang lebar. Aku, Shima dan Azira menganggukkan kepala.

“Maknanya, ‘adik-adik’ tu, Pontianak, makhluk berlidah panjang yang Hani selalu cakap tu, memang pernah masuk ke dalam rumah ni la kan makcik?” Azira tanya dengan wajah cuak habis.

Mak Hani dan kakak-kakaknya tergelak kecil.

“Kalau dia tak cakap pun, macam-macam yang ada. Kita jadi takut sebab kita tahu. Kalau tak tahu, tak rasa apapun kan. Sebab tu Allah takdirkan kita tak nampak makhluk-makhluk dari alam lain ni. Sebab rupa mereka tak sama macam kita. Yang penting, perintah Allah jangan tinggal. Solat jangan abaikan, ambil masa baca Al Quran, basahkan lidah dengan zikir, tinggalkan perkara yang lagho. Kalau semua tu kamu buat, In Shaa Allah, makhluk jahat ni takkan usik kita.” Kata mak Hani. Dan sekali lagi kami menganggukkan kepala.

Setelah selesai mengemas beg Hani, kami makan makanan yang kami bungkus masa dalam perjalanan balik tadi. “Rina, Husna mana?” Shima tanya.

“Entah, tadi aku masuk bilik. Dia ada je kat dalam bilik tu, masih berkeadaan macam pagi tadi. Aku tegur dia tak sahut. Aku cuit bahunya, dia pandang aku macam harimau lapar. Lepas tu aku biarkan aje la. Nantilah, selesai hal Hani ni, baru aku nak sembang dengan dia,” sahutku.

Lepas makan, kami sekali lagi pergi ke hospital untuk bertemu Hani sebelum dia mengikut keluarganya balik ke kampung. Lepas dua minggu baru kami akan jumpa dia lagi. Ayah Hani memang tinggal di hospital bersama Hani menguruskan dokumen pelepasan Hani. Kami je yang balik tadi sebab nak kemaskan barang Hani.

Sampai di hospital, semua dokumen dah siap. Hani pun dah bertukar baju dah. Mereka hanya menunggu kami je.

“Hani, aku minta maaf sebab ikut emosi marahkan kau sampai tukar bilik. Kita masih kawan kan?” kataku ketika bersalaman dengan Hani.

“Takde apalah. Kita masih kawan, bahkan akan makin rapat lepas ni. Nanti kita kongsi teddy bear ye. Nanti aku beli penukul dan paku lebih untuk kau,” kata Hani kepada aku. Aku buat muka cuak dah. “Aku gurau je la,” kata Hani sambil ketawa kecil. Kuat betul semangat dia, hilang dua jari kot.

Lepas Hani dan keluarganya bertolak balik ke kampung, kami balik ke rumah kami semula.

Sebaik kami masuk rumah, Husna sedang berdiri kat ruang tamu menghadap pintu. Terkejut kami bertiga. Mengurut dada juga la. “Kau dah kenapa berdiri macam tu kat tengah rumah ni Husna? Terkejut tahu tak?” marah Shima.

Tapi Husna tak bergerak pun. Hanya memandang kami dengan matanya yang terbeliak.

“Kenapa aku rasa Husna ni lain macam je? Memang dia ni pelik, tapi tak sepelik ini,” Azira berbisik kat telinga aku. Masa ni aku pun rasa semacam. Mata hitam Husna macam besar sangat, Tapi Husna memang suka pakai kanta mata.

Kami semua masuk ke rumah. Malas nak layan Husna yang masih berdiri kat ruang tamu. Shima masuk ke biliknya. Aku dan Azira pun melangkah masuk ke bilik kami. Husna mengikut rapat di belakang aku dan Azira hingga hampir terpijak kami kami.

“Husna, kau ni dah kenapa hah?” Azira bersuara tinggi sikit sebab dua kali dia hampir terjatuh kerana Husna mengikut kakinya terlalu rapat.

Husna tak menyahut. Hanya telengkan kepalanya memandang kami. Macam tak pernah tengok orang. Aku bagi isyarat kat Azira untuk kami masuk ke dalam satu bilik yang sama. Seriau pula aku tengok Husna ni. Memang ada yang tak kena.

Aku dan Azira cepat-cepat masuk ke dalam bilik Hani lalu tutup pintu. Kami kunci pintu. Husna tak sempat masuk. Dia masih berdiri di depan pintu bilik masa aku tutup pintu bilik.

“Husna tu dah kenapa?” Azira bertanya aku sambil melipat-lipatkan hari tangannya. Nampak sangat keresahan kat wajahnya.

Tombol pintu bilik kami dipusing-pusing dari luar, mungkin Husna sedang cuba membuka pintu bilik tu. Aku dah berdebar-debar ni. Aku ambil hanphone. Aku hantar message kepada Shima, suruh dia kunci pintu.

Sebaik sahaja aku hantar message kepada Shima, telefon aku berbunyi. Kak Nat call. “Ni mesti nak suruh datang kerja esok ni. Janji 3 hari. Baru 2 hari dah call dah,” rungutku sendirian sambil diperhati oleh Azira yang masih kelihatan resah kat tepi tingkap.

Aku jawab panggilan Kak Nat. “Kau baca message kat group kilang tak? Takde siapa dari rumah korang yang jawab pun,” kata Kak Nat.

“Tak sempat baca lagi Kak Nat. Kami sibuk uruskan hal Hani ni. Dia balik kampung,” sahutku.

“Kenapa Kak Nat? Kilang dah start buka esok ke? Janji tiga hari,” kataku.

“Kamu baca message kat group dulu. Orang lain semua dah reply, korang je belum,” kata Kak Nat dan dia terus letak phone.

“Siapa?” Azira tanya aku. “Kak Nat. Katanya ada message kat group. Dia suruh baca,” kataku sambil buka handphone. Azira pun pantas mengambil telefon dari dalam begnya. Memang kami masing-masing tak buka message dari pagi tadi.

Banyak conversation dah rupanya dalam group whatsapp kami. Group whatsapp tu memang digunakan oleh pihak kilang untuk memaklumkan syif kami setiap minggu. Dan siapa kena buat kerja lebih masa semua tu. Memandangkan sekarang ni kilang tutup, jadi kami takdelah nak tengok group tu sangat.

“Untuk makluman semua, pihak kilang telah membuat penyembuhan ke atas kilang. Namun demikian, sami yang terlibat mengatakan bilangan penunggu yang sepatutnya dihantar pulang ialah tujuh. Mereka hanya berjaya mengumpulkan enam. Mereka telah berusaha mencari di sekitar kilang tapi tak berjumpa dan tiada tanda-tanda ‘dia’ berada di kilang. Jadi, ketua sami tu kata, cuba check kalau-kalau sesiapa yang berperangai pelik kat rumah masing-masing. Mungkin ‘benda’ yang satu lagi tu mengikut dia. Tolong respon message ni kalau ada tanda-tanda tu tau,” Message panjang dari Kak Nat.

Aku dan Azira berpandangan sesama sendiri. Muka masing-masing dah cuak. Aku tak mampu bercakap dan jari kami masing-masing menunjukkan ke arah pintu bilik.

Seketika kemudian, telefon aku berbunyi lagi. Kali ni punyalah aku terkejut, sampai tercampak telefon aku ke lantai dan terus terkeluar baterinya. Call putus.

Sedang aku betulkan telefon tu, tombol pintu bilik kami berbunyi lagi. Kali ni lebih kuat. Seperti nak pecah pintu tu. Menggigil aku dan Azira weh. Kalau ada pintu lain kat dalam bilik tu, memang kami dah keluar dah. Agaknya kalau kat tingkap tu takde jeriji besi tu, memang kami dah terjun.

Kring! Kring! Telefon Azira pula berbunyi. Cepat-cepat Azira ambil telefonnya. Shima call dari bilik depan.

“Weh, Hani call aku tadi. Dia kata dia call kau tapi line putus. Dia risau, tu yang dia call aku pula. Katanya ayahnya suruh call beritahu. Ayahnya kata, ayahnya nampak Husna tu macam nenek tua masa dia masuk ke dalam rumah kita pagi tadi. Bukan macam orang berusia 25 tahun, sebab tu ayahnya tanya umur Husna berapa. Dan sebab tu ayahnya tanya ada orang tua menyewa dengan kita ke?” kata Shima. Jelas suaranya terketar-ketar.

“Shima, kau dah baca message Kak Nat kat dalam group whatsapp kilang ke?” aku tanya dia.

“Belum lagi. Kenapa?” Shima tanya aku semula.

“Kau baca dulu. Nanti kita fikir pasal apa yang ayah Hani cakap,” kataku. Dan Shima putuskan line.

Tombol pintu bilik kami tak bergegar lagi. Aku ajak Azira buka pintu. Tapi Azira taknak. Dia dah nak menangis tu menahan takut. Aku pun takut juga, tapi kalau semua takut, macammana.

Seketika kemudian, Shima call aku semula. “Weh Rina, yang diorang tak jumpa tu ke yang ayah Hani nampak tu, dia dah masuk dalam badan Husna?” Shima tanya aku dengan menggeletar.

“Aku pun rasa macam tu,” sahutku.

“Habis tu kita nak buat apa ni? Aku sorang kat bilik ni weh, aku takut ni,” kata Shima sambil menahan tangis.

“Sabar. Kau kunci je pintu tu. Nanti aku cuba call Kak Nat,” kataku lalu putuskan talian dengan Shima dan call nombor Kak Nat.

“Kak Nat, saya rasa, ‘benda’ tu ada kat Husna. Sekarang ni dia sedang kacau kami ni Kak Nat. Kami kat dalam bilik tak berani nak keluar. Dia tunggu kami kat luar bilik ni. Tolong kami Kak Nat,” kataku merayu. Suara jangan cakaplah, memang menggeletar habis. Dengan bunyi pintu diketuk, kaca kat dapur jatuh berderai. Dengan bunyi suara garau menjerit kat luar tu.

“Kamu tunggu kat situ. Akak call management. Nanti kami terus ke sana. Buat masa ni, jangan bagi Husna keluar dari rumah,” kata Kak Nat dan dia terus letak telefon.

Jangan bagi Husna keluar rumah? Kami sendiri pun tak berani keluar bilik, dan mengharapkan Husna yang keluar dari rumah. Aduh!

Aku toleh kat Azira. Dia duduk kat atas katil sambil peluk Al Quran. Takut betul dah dia.

“Zira, bawa bertenang tau. Mak aku kata, benda ni kalau kita takut, lagi senang dia kacau kita,” kataku menyuruh Azira bertenang sedangkan aku sendiri pun rasa tak pijak lantai dah ni.

Azira tak menyahut. Hanya anggukkan kepala dan memeluk Al Quran kuat di dadanya.

Tiba-tiba kami dengar bunyi pintu utama rumah kami terbuka dan daun pintu menghentam dinding dengan kuat. Aku pandang Azira. “Siapa buka pintu rumah?” Azira tanya aku.

Shima call aku lagi. “Weh Rina, pintu rumah terbuka tu. Siapa buka?” Shima tanya aku. Bilik dia bersebelahan dengan pintu utama rumah tu. Jadi, dia boleh dengar dengan lebih jelas.

“Kau tengoklah ikut tingkap, kalau nampak sesiapa kat pintu,” kataku. “Jap aku tengok,” kata Shima. Aku menunggu di talian.

“Rina, Husna la. Dia berdiri kat atas batu penghadang tu. Macam nak terjun ke bawah. Nak buat ni?” kata Shima dan kali ni memang dia menangis.

“Hah! Dia keluar ke? Kak Nat dah pesan, jangan bagi dia keluar. Jom kita tahan dia. Jap aku keluar bilik dengan Azira,” kataku lalu putuskan talian.

“Zira, jom keluar. Husna dah panjat batu kat balkoni tu, aku risau dia terjun ke bawah. Tingkat 4 kot,” kataku.

Dalam keterpaksaan dan berat hati, aku dan Azira keluar dari bilik dan terus meluru keluar. Memang aku nampak Husna berdiri di atas batu penghadang tu sambil mendepakan tangannya.

“Husna!” aku panggil. Husna menoleh dan senyum ke arah aku. Masa ni aku nampak rupa perempuan tua yang ayah Hani maksudkan. Kenapa sebelum ni aku tak nampak. Seram sungguh wajahnya, umpama wanita yang terlalu tua, hingga mata seakan tersembul keluar, hidung dan panjang hingga ke dagu.

Dalam keadaan terpana tu, memang takkanlah aku nak pegang atau tahan dia. Aku sendiri pun terdiam. Dan aku hanya mampu pandang Husna yang terjun dari tingkat 4. Beberapa orang kat flat tu pun dah riuh melihat kejadian ni. Aku, Shima dan Azira terkedu kat pintu rumah. Sampailah Kak Nat tepuk bahu kami.

“Kan akak dah kata, jangan bagi dia keluar dari rumah?” Kak Nat cakap kat kami dengan suara yang agak tinggi.

“Kami tak mampu Kak Nat. Dia tak seperti yang disangka. Husna dah terjun Kak Nat. Apa kita nak buat?” kata Azira sambil menangis.

“Mujurlah kami sampai tepat masanya. Sempat diorang rentangkan kain kat bawah tu untuk sambut dia,” kata Kak Nat membuatkan kami bertiga berlari ke tepi batu penghadang dan jenguk ke bawah. Kami nampak sami dan beberapa orang lelaki sedang memegang Husna. Nampaknya Husna tak cedera. Bolehlah kami menarik nafas lega.

Kami sama-sama turun ke tingkat bawah sekali. Kami merapati Husna yang nampaknya lemah dan masih terawang-awang melihat keliling, seolah baru bangun dari tidur.

“Bawa dia masuk rumah. Awak semua ikut agama awak, pulihkan dia. Panggillah ustaz atau apa-apa yang pandai, kasi sembahyang you orang punya rumah. Semua ok, jangan risau. Benda dalam badan dia sudah pergi. Kita sudah janji sama dia,” kata sami tu kepada kami. Kami hanya anggukkan kepala dan memapah Husna menaiki tangga untuk ke rumah kami semula.

Sampai kat rumah, Husna pandang keliling. “Kenapa ni? Kenapa aku rasa macam dah tidur lama ni. Korang semua tak kerja ke?” Husna tanya kami.

“Tak, kilang bagi cuti,” sahutku.

“Aku lapar la. Aku mengantuk. Apa aku buat ni sampai aku penat macam ni?” Husna tanya kami. Memang dia menggigil.

“Husna, kau mandi. Kita keluar makan sama-sama. Lepas tu kita pergi masjid, kita solat Jemaah kat sana. Alang-alang cuti ni, dah lama kita tak pergi solat kat masjid kan,” kataku.

Husna diam. Dia cuba bangun walaupun jelas dia lemah. Kami papah dia. Dudukkan dia di kerusi. Aku ambil air kosong, bacakan Al-Fatihah tiga kali, dan 4 Qul. Aku tak pandai, tapi dalam masa macam ni, itu je yang aku boleh fikir. Azira pula dipasangnya bacaan Al Quran di radio sekuat-kuatnya. Takut betul dia.

Aku bagi Husna minum air tu. Husna minum sampai habis. Lepas tu dia nampak bertenaga sikit. Dia bangun dan mandi seperti yang aku suruh. Lepas dia bersiap, kami keluar sama-sama, makan dan terus ke masjid.

Alhamdulillah, lepas berjumpa Tok Imam kat masjid, Tok Imam tu kata Husna ok. Dia pun ada bagi kami air untuk direnjis di kawasan rumah. Dia kata jangan biarkan diri kita takut dengan benda ni semua. Ketakutan itu yang buat benda tu senang mengawasi kita. Baca Al Quran, solat dan zikir selalu. In Shaa Allah, benda tu pun tahu kita taknak dia datang ke rumah kita, apatah lagi nak berdamping dengan kita.

Sejak itulah, hubungan kami makin rapat. Hani pun dah sembuh dan tak ketara macam dulu lagi. Mungkin ayahnya dah bawa dia berubat, dan dah ajar dia macammana nak kawal keupayaannya itu. Jadi, dia dah kurang bercakap pasal ‘benda-benda’ pelik yang dia nampak.

– T A M A T –

2 thoughts on “HANI

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s