HANI

Bab 11

“Susah nak cakap pasal ni sebenarnya. Kita nampak dia ada masalah mental sebab kita tak duduk di tempat dia. Kita tak nampak apa yang dia nampak. Kita tak rasa apa yang dia rasa. Makcik ni mak dia. Macammana pun imaginasi dia, makcik boleh terima. Sebab makcik tak rasa dia buat-buat cerita. Tapi ayahnya tak boleh terima. Ayahnya marah dia sebab mengada-adakan cerita. Ayahnya kata dia banyak berkhayal,” kata mak Hani.

“Pada ayah dia hanya berkhayal. Ayah taknak dia terus berimaginasi. Jadi ayah bertekad untuk cari rawatan untuknya. Ayah ada jumpa doktor untuk bertanyakan hal Hani. Doktor kata, setiap orang punyai otak yang berbeza. Mungkin ada bahagian yang tak terhijab di matanya, menyebabkan dia boleh nampak sesuatu yang berada di fikirannya sedangkan benda tu tiada sebenarnya. Ianya adalah hanya imaginasi dia, sebab tu hanya dia yang nampak. Itu yang doktor cakap kat ayah, buatkan ayah tekad nak rawat Hani.” Kata Kak Humairah.

“Doktor kata Hani perlu kurangkan imaginasi. Dia perlu bersosial selalu dan dia kena sibukkan diri supaya dia tak sempat untuk berimaginasi. Sebab tu ayah selalu suruh Hani buat macam-macam aktiviti sampai Hani letih. Sampai Hani memberontak dan selalu lawan cakap ayah,” kata Kak Hana pula.

Mak Hani tunduk ke lantai. Mungkin sedih bila mengenangkan kisah lama. Mak mana tak sedih kalau anaknya hilang tanpa berita selama lima tahun dalam keadaan macam tu.

“Tapi sejak bila Hani jadi macam tu? Memang sejak lahir ke?” aku bertanya, cuba mengalih cerita sedih tentang keluarga.

“Masa dia tingkatan 5, dia terlibat dalam kemalangan. Masa tu dia naik motor dan pergi sekolah. Kepalanya teruk. Sampai dia lupa ingatan. Lama juga dia koma. Sampai tak ambil SPM. Lepas dia sedar tu la, dia mula cakap pasal benda-benda tu semua,” kata Kak Hana.

“Ooo.. Maknanya kesan daripada kemalangan tu la kot. Doktor tak kaitkan pasal kemalangan dengan imaginasi dia ke?” aku tanya lagi, berminat nak tahu lagi pasal Hani. Dua tahun kot, aku tidur sebilik dengan dia. Seram weh bila ingat dia tenung aku malam-malam, pegang penukul dengan paku. Buatnya dia paku aku malam tu.

“Doktor cakap macam tu la. Mungkin ada kekoyakan tisu atau selaput di otaknya yang berhubung dengan deria matanya membuatkan dia boleh nampak apa yang dia khayalkan di depan mata. Kami pun tak begitu faham, semakin dijelaskan nanti semakin tak faham pula,” kata Kak Humairah.

“Makcik tak kisah la apapun yang terjadi kepada dia. Dia tetap anak makcik. Kalau dia cacat sekalipun, makcik takkan abaikan dia. Sebab tu makcik sedih sangat bila tahu dia melarikan diri dari pusat rawatan tu,” kata mak Hani.

“Tapi masa dia larikan diri tu, ayah dah jumpa ustaz. Ayah dah boleh terima penjelasan ustaz. Ustaz cakap memang ada orang yang matanya tak terhijab dengan alam satu lagi. Tapi untuk kes Hani, ada betulnya ada doktor cakap. Sebab Hani takde kelebihan ini sebelum kemalangan. Ustaz kata caranya kita perlu tunjukkan bahawa kita percayakan dia. Kita kena bersama dia. Hingga dia yakin bahawa dia tak bersendiri. Banyakkan masa bersamanya. Jangan biarkan dia bersendirian. Bila dia bercerita tentang apa yang dia nampak, tunjukkan bahawa itu adalah normal. Jangan biar dia rasa seperti dirinya lain daripada orang lain. Itu yang akan buat dia down, akan rasa dirinya tak layak bergaul dengan orang lain dan akhirnya dia menyisihkan diri. Bila dia menyisihkan diri, lagi mudahlah imaginasi dia menguasai,” kata Kak Hana.

“Sebab tu, ayah nak nak ambil dia dari hospital mental. Tapi tak sempat. Sebab pihak hospital call kata Hani hilang. Sampai hari ni. Ayah tu menyesal tak sudah tu. Jadi, kalau boleh, kita jangan ungkit pasal ni kat depan ayah mahupun Hani,” kata Kak Humaira.

“Rancaknya berbual. Bau apa sedap sangat ni? Lapar pula rasa perut ni,” tiba-tiba Shima muncul.

“Ni ha, mak Hani masakkan bihun goreng. Jom kita makan sama-sama. Kau pergi ambil piring dengan sudu. Aku bancuh air sekejap,” kataku kepada Shima. Kak Hana mengangkat mangkuk bihun goreng lalu menghidangkannya dia ruang tamu. Meja tak muat, kami berhidang di lantai je berlapikkan surat khabar lama.

“Minta maaf makcik. Rumah kami takde seperah. Maklumlah rumah bujang,” kataku sambil letakkan jag air teh.

“Takde apalah. Ada rumah tempat berlindung, ada makanan untuk dimakan, ada ruang untuk solat, itu dah cukup.” Kata mak Hana.

“Sekejap lagi ayah sampai. Ayah kata dia kat tangga bawah dah.” Kata Humaira memberitahu kami.

“Elok sangatlah tu, boleh sarapan sekali,” kata Shima.

Sejenak kemudian, Azira muncul dari bilik Shima. “Wah, kenduri ke kita hari ni?” tanyanya.

“Jom lah kita makan sekali. Mak Hani masak,” kata Shima.

“Husna mana?” aku tanya.

“Entah. Diam je kat bilik dia.” Kata Shima.

“Pergilah panggil dia, kita makan sekali,” kataku.

Belum sempat Shima melangkah ke bilik Husna, ayah Hani memberi salam kat luar pintu. Kami semua menyahutnya. Tapi ayah Hani tak masuk terus. Dia berdiri sambil kerutkan dahi memandang ke dalam rumah. Kami pula yang tertanya-tanya kenapa ayah Hani berkelakuan macam tu.

“Masuklah pakcik. Minta maaf rumah kami kecil.” Aku pelawa.

“Berapa orang duduk dalam rumah ni?” ayah Hani bertanya.

“Lima orang termasuk Hani.” Sahutku. Pelik juga bila ayah Hani tiba-tiba tanya macam tu. Ajak masuk rumah, taknak pula. Mungkin dia segan sebab itu rumah bujang perempuan.

“Ada orang tua menyewa sekali ke?” ayah Hani tanya lagi.

“Orang tua? Taklah tua sangat. Semuanya dalam usia 23 hingga 26 tahun je pakcik. Kenapa pakcik tanya?” Shima tanya lagi.

“Semua kerja kilang sama?” lagi ayah Hani tanya.

“Iye pakcik, semua kerja di kilang yang sama. Cuma syif kami berbeza,” sahutku.

“Semua ada kat rumah hari ni?” ayah Hani tanya lagi.

“Semua ada pakcik, kecuali Hani. Dia kat hospital,” Azira menyahut.

“Kenapa abang? Masuklah duduk makan,” kata mak Hani, tak selesa bila ayah Hani bertanya terlalu banyak.

“Entah ayah ni. Banyak sangat soalannya. Masuk makan, lepas ni kita pergi tengok Hani. Kita cuba minta kad pelepasan supaya kita boleh melawatnya bila-bila masa,” kata Kak Humaira.

Ayah Hani tak cakap apa-apa dah. Dia melangkah masuk ke rumah kami tapi wajahnya lain macam. Seolah ada yang tak kena.

Tiba-tiba Husna muncul. Dia berdiri kat belakang kami dan memandang kami semua dengan mata tak berkelip.

“Eh, Husna. Marilah makan sekali. Aku baru je nak panggil kau tadi,” kata Shima.

Husna tak bergerak. Masih berdiri di situ sambil memandang ke arah tetamu yang ada di situ. Aku pula rasa resah bila dia buat muka tu. Bukannya apa, risau keluarga Hani kecil hati nanti.

Aku bangun dan pergi ke arah Husna. “Husna, diorang tumpang sekejap je. Sementara Hani kat hospital. Janganlah buat macam ni. Nanti kecil hati mereka,” aku berbisik perlahan kat telinga Husna. Aku tarik tangannya dan ajak dia duduk sekali.

Husna tak jawab. Dia terus duduk kat tepi aku sambil memandang hidangan bihun goreng dan roti bakar. Aku perasan juga, ayah Hani dok pandang Husna dari tadi. Manakala mak dan kakak Hani nampak seperti tak selesa dengan Husna. Mungkin kerana Husna tak bercakap sepatah pun dengan mereka.

“Makanlah. Dah sejuk makanan ni,” kataku cuba membetulkan keadaan yang terasa kekok.

Shima sendukkan bihun goreng ke dalam piring dan beri kepada semua orang. Masa Shima serahkan piring bihun goreng kat aku, Husna terus ambil sampai hampir tumpah bihun tu dari piring. Aku dan Shima berpandangan sesama sendiri. Lepas tu aku buat isyarat biarkan dia. Shima sendukkan bihun lain kat pinggan dan serahkan kat aku.

Masa ni, Husna ambil lagi. Dan bihun dalam piring dia yang tadi, dah habis. Aku pandang Husna dengan pelik. Cepatnya dia makan. “Husna, makan perlahan. Nanti kau tercekik,” aku tegur.

Husna tak jawab, dia terus makan. Sekelip makan dua piring bihun goreng habis. Aku pandang keluarga Hani. Mereka suap makanan perlahan-lahan, cuba nak buat-buat tak nampak apa yang Husna buat. Aku, Shima dan Azira berpandangan sesama sendiri dan rasa serba salah. Shima buat isyarat Husna tu dah kenapa. Aku Cuma boleh angkat bahu, sebab aku tak tahu.

Setelah habis dia makan empat piring bihun, sampai keluarga Hani tak berani nak tambah, Husna capai roti bakar pula. Habis sepiring. Tak sempat orang lain makan. Lepas tu dia ambil air dalam jag, dia minum terus! Mujurlah orang lain punya dah tuang kat dalam cawan masing-masing. Kalau takde tetamu tu, memang aku dah sound direct je kat Husna. Selalu dah dia buat perangai buruknya tu. Tapi hari ni paling buruk perangai dia.

Sebaik selesai makan, Husna terus bangun dan berlalu ke biliknya. Suasana hening seketika. Masing-masing masih cuba nak tenangkan hati sendiri, sebelum boleh nak tenangkan keadaan. Tak pernah lagi Husna buat perangai macam ni. Memang Husna adalah antara kawan kami yang agak panas baran. Dia memang ada angin sikit. Tak boleh silap sikit, kami semua kenalah hadap muka moody dia sepanjang hari. Silap sikit, dia mula hempas-hempas barang. Untuk lepaskan kemarahannya. Tapi dia tak pernah berkelakuan macam ni.

“Minta maaf makcik, pakcik, kakak. Husna tu memang macam tu. Bila dia ada masalah, dia suka makan. Lepas tu buat perangai macam tu la, untuk lepaskan perasaannya.” Kataku cuba menteteramkan keadaan.

“Berapa umur dia?” ayah Hani bertanya.

“25 tahun,” sahut Shima.

“Ish ayah ni. Perempuan sensitive kalau tanya pasal umur ni,” kata Kak Humaira sambil gelak kecil, cuba nak tunjuk macam tiada apa yang berlaku.

Lepas selesai makan, kami bersiap untuk pergi ke hospital. Aku masuk ke dalam bilik. Aku nampak Husna sedang duduk di kerusi menghadap tingkap.

“Kau ni dah kenapa Husna? Tak kesian ke kat keluarga Hani tu? Kecil hati diorang tahu tak? Dah la diorang sedih Hani macam tu, kau pula buat perangai buruk kau tu. Matanglah sikit. Sesama kita takpelah kau buat perangai sebab kami tahu perangai kau. Tapi bila ada orang lain, controllah sikit baran kau tu,” kataku menegur Husna yang masih mengadap tingkap, tak bergerak walau seinci.

“Ni kami nak pergi tengok Hani. Kau nak ikut tak?” aku bertanya. Pun tiada sahutan. Ahhh… Lantak kau la Husna. Perangai macam budak-budak.

Lepas bersiap, kami semua keluar ke hospital. Aku bawa kereta aku bawa Azira dan Shima, manakala keluarga Hani naik kereta mereka. Sampai kat hospital, kami cuba mohon kad pelepasan. Mujur dibenarkan tapi hanya dua orang boleh masuk dalam satu masa. Mak dan ayah Hani masuk untuk jenguk Hani. Sementara tu kami tunggu di luar.

“Husna tu tak suka ke kami tumpang bermalam kat situ?” tiba-tiba Kak Hana bertanya. Aku, Shima dan Azira berpandangan sesama sendiri.

“Takdelah, dia memang macam tu kak. Kadang tu kami pun tak tahan. Jadi bila dia buat perangai macam tu, kami buat tak tahu je,” sahut Shima sambil pandang aku.

“Minta maaflah kalau kami menyusahkan,” kata Kak Humaira.

“Eh, takdelah. Kami yang kena minta maaf sebab dia buat perangai macam tu tadi. Kak Hana dan Kak Humaira jangan kecil hati ye. Kami pun segan kat makcik dan pakcik bila dia buat macam tu,” kata Azira.

“Takpe. Kami faham.” Kata Kak Humaira.

Seketika kemudian, mak dan ayah Hani keluar dari wad. Wajah mereka ceria je.

“Seronoknya mak. Ada berita baik ke?” Kak Humaira bertanya.

“Doktor kata, Hani boleh balik. Tapi dia kena datang lagi untuk pemeriksaan lanjut lukanya,” kata mak Hani.

“Alhamdulillah.” Kami sahut bersama-sama.

“Dia memang seorang yang kuat semangat. Memang kalau sakit, jarang lama-lama. Semalam kena, doktor kata hari ni lukanya dah kering,” kata mak Hani lagi.

“Ayah minta izin bawa balik dia ke Johor. Sebab dia dapat MC dua minggu. Kita follow up pemeriksaannya kat hospital besar di Johor. Dan doktor izinkan, mereka sedang buat surat,” kata ayah Hani.

“Hani nak ikut balik ke?” Kak Hana tanya.

“Itulah yang buat mak lagi terharu, Hani nak ikut kita balik,” kata mak Hani dengan senyum meleret tapi matanya bergenang air.

Kami pun senyum, tumpang gembira bila melihat keluarga ini bersatu kembali. Betullah kata orang, adakala sesuatu yang buruk itu terjadi kerana Allah nak bagi sesuatu yang lebih baik. Kejadian buruk itu Cuma asbabnya saja.

Ok, part Hani selesai. Dan kami masih bercuti. Nikmat apa lagi yang nak didustakan. Bolehlah kami rehat sepuasnya sebelum kilang dibuka semula. Husna? Nantilah kami tazkirahkan dia.

-Bersambung-

One thought on “HANI

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s