HANI

Bab 10

“Apa dah jadi ni? Siapa tutup pintu?” Aku dengar suara Azira.

“Entah,” ada suara menyahut.

Kat belakang kami, Juriah dan Helen masih mengilai. Kamala masih bersilat. Dan di tepi tandas, Zarina dan Salwa sedang merangkak macam harimau. Kami ni dah macam terperangkap dalam kandang hantu kot.

“Bawa bertenang semua. Duduk diam dimana kamu sedang duduk. Jangan panik. Pintu tu sedang dibuka.” Aku dengar suara lelaki dengan loghat cina. Dari cahaya yang agak terhad, aku mencari-cari arah suara itu.

Aku nampak kumpulan sami tadi sedang berlegar-legar di kawasan mesin tarik sarung tangan yang terhenti. Dengan kayu colok yang ditambah, bau colok terbakar menguasai ruangan bilik operasi tu. Aku dan beberapa orang lain menutup hidung, asap memenuhi kawasan itu. Sesekali ada yang terbatuk.

“Diorang ni nak halau hantu ke nak bunuh orang?” aku dengar suara Intan merungut.

Seketika kemudian, aku dengar sami itu membaca mantera yang aku tak faham. Macam bahasa Thailand pun ada. Prong Prang Prong Prang aku dengar. Mereka membacanya serentak.

Kawan-kawan kami yang kerasukan, semuanya berhenti dan terus memandang ke arah sami-sami yang sedang membaca mantera. Mereka memandang dengan wajah bengis. Aku nampak Helen berlari ke arah salah seorang sami. Namun gerakannya terhenti bila salah seorang sami di itu menyentuh belakang lehernya.

Aku dengar mereka berbicara. Dalam bahasa yang aku tak faham. Yang aku nampak, semua yang kerasukan berjalan dan mengerumuni sami-sami itu. Entah apa yang mereka bincangkan. Lebih kurang 10 minit, salah seorang sami tu menjerit “Haip!” dan semua yang kerasukan terbaring tak sedarkan diri. Masa ni pintu besar yang tertutup sendiri tadi, dah terbuka, juga dengan sendirinya.

Kami semua berjalan keluar dari kawasan operasi. Kat luar kawasan kilang, ada tiga ekor kambing bertambat di tiang besar kilang berhampiran dengan kolam dekat tepi gunung. Kami semua duduk kat hujung pagar. Masa tu pukul 3.00 pagi. Kami dah diarahkan pulang. Memang ada yang dah balik. Tapi aku ni agak degil, nak juga tengok apa yang mereka nak buat dengan kambing tu. Azira nak balik tapi aku suruh dia tunggu sekejap. Azira tarik muka, tapi dia tetap tunggu aku.

Beberapa orang sami tadi menghampiri kambing-kambing tersebut. Salah seorang dari mereka mengeluarkan pisau sembelih dan seorang lagi membawa baldi. Aku nampak mereka menyembelih kambing itu seekor demi seekor dah darah kambing tu tadi ditadah masuk ke dalam baldi. Masa ni aku muntah.

“Itulah kau, nak sangat tunggu buat apa? Diorang dah suruh balik. Kita balik je la. Boleh gak tidur,” kata Azira merungut marahkan aku. Tapi tangannya tetap urut belakang aku yang sedang muntah.

“Apasal tak balik lagi. Pergi balik. Bos sudah kasi cuti tiga hari. Kilang tutup tiga hari. Mahu bagi korban pada penunggu ini kilang,” kata Ah Tong yang merupakan wakil big bos kilang tu, Mr Tan.

“Iye Ah Tong. Sekejap lagi kami balik.” Sahut Azira.

Masa aku dan Azira nak melangkah balik tu, kami nampak sami-sami tu tadi menyimbah darah kambing dalam baldi tu ke keliling kawasan kilang. Dan masa ni, aku muntah lagi kat tepi jalan. Azira dah geleng kepala.

Kami terus balik ke rumah. Badan aku dah lemah sebab muntah. Sampai kat rumah, aku dan Azira terus rebah kat ruang tamu. Sebab mak dan kakak Hani tidur kat bilik kami.

Baru je mata nak lelap, tiba-tiba ada orang pasang lampu dapur. Dapur dan ruang tamu tak jauh sangat. Kalau pasang lampu dapur, mesti cahayanya sampai ke ruang tamu. Aku buka mata, nampak Husna sedang berdiri dan memandang ke arah kami.

“Husna, kilang tutup tiga hari.” Kataku. Husna tak menyahut. Dia hanya pandang kami yang terbaring kat ruang tamu. Dalam samar-samar tu, aku nampak macam matanya hitam. Aku cuit tangan Azira, Azira tepis tangan aku. Dia sambung tidur. Aku pun malas nak pandang Husna lagi, makin aku pandang, makin seram pulak. Mungkin sebab aku dah lemah akibat muntah tadi, mata pun mengantuk, kepala pun pening. Aku pejamkan mata.

Seketika kemudian, aku terdengar bunyi nafas seseorang betul kat tepi telinga aku. Berserta sekali dengan bunyi gigi yang berlaga atas dan bawah. Aku rasa ada sesuatu yang sejuk sedang menindih belakang aku. Aku tidur meniarap masa tu. Aku rasa susah nak bernafas.

Mak aku selalu pesan, jangan tidur meniarap. Sebab orang yang diseksa di akhirat nanti semuanya dalam keadaan meniarap. Tapi aku degil, suka sangat tidur meniarap. Aku rasa selesa.

Tapi kali ni, aku menyesal tidur meniarap. Aku cuba buka mata, nak tengok siapa yang sedang menghimpit aku. Aku tak boleh menoleh, aku cuba tarik tangan Azira. Azira tersentak dan bangun.

“Husna, kau buat apa?” Azira menegur Husna.

Husna menjauhkan diri dari aku. Aku bangun duduk. “Kau dah kenapa Husna? Himpit aku macam tu?” aku bertanya dengan suara yang agak tinggi. Husna tak jawab, hanya tunduk memandang lantai.

Pintu bilik Shima terbuka. Kami semua menoleh. Shima terkejut melihat kami semua kat ruang tamu.

“Azira, Rina, bukan korang syif malam ke?” Shima tanya.

“Kilang tutup tiga hari,” Azira menyahut. Aku masih memandang Husna yang masih tunduk ke lantai.

“Kenapa tutup?” Shima bertanya.

“Diorang tengah menyemah kilang tu. Bagi korban kat penunggu kilang tu. Dah teruk sangat.” Kata Azira lagi.

“Ooo… Baguslah. Mereka patut buat dari awal lagi. Takdelah ramai yang jatuh la, cedera la.” Kata Shima seakan merungut.

“Tu la. Malam ni tadi pun lima orang kena rasuk. Seorang cedera kat tangan, tak tahu macammana tangannya termasuk ke dalam mesin pengisar susu getah,” kata Azira. Aku tak menjawab apa-apa sebab mata aku tak lekang dari memerhati Husna.

“Husna tu dah kenapa? Kenapa dia tak tidur kat bilik dia?” Shima bertanya.

“Entah. Tadi aku terjaga, dia sedang menghimpit Rina.” Kata Azira.

“Husna! Kau dah kenapa?” Shima menepuk bahu Husna dengan kuat sikit. Barulah Husna angkat kepala dan pandang kami.

“Kenapa aku kat sini?” Husna tanya kami.

“Eh eh, kau yang datang sini dok himpit aku. Lepas tu kau tanya aku pulak?” Aku menyahut. Baru suara boleh keluar lepas tengok Husna dah macam sediakala.

“Aku rasa aku bangun nak ke bilik air tadi. Aku dah pergi bilik air ke pun?” kata Husna sambil menggaru kepalanya.

“Manalah kami tahu. Kau ni dah mengalahkan mak nenek la Husna. Penyakit pelupa kau ni makin hari makin teruk. Pergilah klinik. Nanti jalan balik rumah pun kau lupa. Umur muda lagi, takkan alzhaimer kot,”  kata Shima.

Husna bangun dan melangkah ke dapur. Dan dia berhenti di pintu masuk dapur lalu menoleh ke arah kami yang masih memandangnya.

“Eh, korang berdua bukan ke syif malam? Kenapa ada kat rumah?” Husna bertanya.

“Kan tadi aku dah cakap, kilang tutup tiga hari,” sahutku. Tak tahulah dah ulang berapa kali pasal kilang tutup tiga hari ni.

“Kenapa?” Husna tanya lagi.

“Diorang tengah sembuhkan kawasan kilang tu. Dah la, kau pergi tandas cepat. Aku nak masuk pulak,” kata Shima dan Husna berlalu pergi. Aku dan Azira kembali baring dan memang terus lena.

Aku tersedar semula bila aku dengar seseorang buka pintu bilik air. Aku angkat kepala. Nampak mak Hani sedang berdiri kat pintu bilik air.

“Makcik nak mandi ke?” aku bertanya.

“Haah, makcik nak mandi dan nak solat subuh. Sekejap lagi masuk dah waktu solat,” kata mak Hani sambil pandang kami dengan senyuman.

“Makcik nak apa-apa ke? Tuala ke, kain ke,” aku bertanya.

“Makcik ada bawa semua. Terima kasih,” kata mak Hani dan terus masuk ke bilik air.

Nak taknak, aku pun turut bangun. Masak air dan rendam bihun. Kalau takde mak Hani tu, memang aku tidur sampai waktu subuh dah nak habis. Tapi sebab ada tetamu, tak selesa pula nak buat macam tu. Lagipun kami semua ada kat rumah hari ni, tak perlu pergi kerja. Berbaloi juga lah aku memasak, ramai yang boleh makan nanti. Aku buka peti sejuk, cari apa-apa yang ada sebagai bahan untuk buat bihun goreng.

Setelah semua bahan aku letak kat atas meja, aku masuk ke bilik. Nak mandi dan solat. Lepas tu barulah nak goreng bihun. Masa masuk ke bilik, aku nampak Husna duduk kat atas katilnya sambil bersandar di dinding dengan mata terbuka besar.

“Hish kau ni Husna. Kenapa duduk macam tu? Terkejut aku tahu tak?” aku menegur Husna lalu membuka almari aku dan mengambil pakaian. Husna tak jawab soalan aku, dia Cuma pandang aku dengan pandangan tajam. Makin lain macam si Husna ni. Macam penyakit si Hani dah berpindah kat Husna pulak. Kat kilang ada penunggu minta korban, kat rumah ada penghuni nak kena korban ni, rungut aku sendirian.

Aku malas nak layan Husna. Aku terus keluar dari bilik, mandi dan solat. Lepas solat, Husna masih duduk di katil sama macam tadi. Tak berubah walau seinci. Matanya tetap pandang setiap gerakan aku.

“Daripada kau tengok aku macam tu, baik kau bangun pergi solat. Takkan tak boleh solat lagi,” kataku sambil menyangkut kain telekung di ampaian dalam bilik. Husna tak menyahut.

Aku tak pedulikan dia. Aku terus keluar bilik dan melangkah ke dapur. Aku nampak mak Hani dan kakakny sedang duduk di dapur. Mak Hani sedang menghiris bawang. Kakak Hani pula memotong sayur sawi.

“Nak goreng bihun kan?” mak Hani tanya aku sebaik sahaja nampak aku menjenguk kat dapur.

“Haah. Takpelah makcik. Makcik dan kakak pergilah rehat. Saya boleh masak. Kami kat sini memang lambat sikit,” kataku cuba berbahasa.

“Takpe. Makcik kalau kat kampung pun, memang bangun pagi memasak.” Kata mak Hani.

Aku pandang ke ruang tamu, takde Azira di sana. Kat mana pula budak ni bawa diri? Desis hati kecilku.

Aku melangkah ke bilik Shima lalu mengetuk. Shima buka pintu bilik, dia masih dengan kain telekung. “Azira mana?” aku tanya. “Ada kat sini. Dia tengah solat,” kata Shima. Aku anggukkan kepala dan kembali ke dapur.

Mak Hani dah start menumis bawang dah. Aku duduk kat meja makan dengan kakak Hani yang dua orang tu.

“Macammana Hani kat rumah ni? Dia ok ke?” Kak Hana tanya aku.

“Dia ok je. Tapi kami pun baru tinggal serumah dua tahun,” sahutku.

“Dia ada buat perangai pelik tak?” Kak Humaira pula bertanya. Aku pandang mereka berdua.

“Pelik yang macammana tu?” aku tanya semula.

“Apa-apalah. Perkara yang kamu rasa pelik la. Yang orang biasa tak buat atau cakap,” Kak Humaira tanya lagi.

“Takde apa. Biasa je,” aku menyahut. Bukan aku taknak cakap, tapi aku tak tahu apa sejarah silam keluarga ni sampai Hani melarikan diri dari rumah mereka sejak lima tahun lalu tanpa sebarang berita.

“Dia ada tak cakap kat kamu, kat situ ada hantu. Kat sana ada hantu. Lepas tu bangun malam, katanya ada makhluk pelik merayau dalam rumah. Nak tangkap Pontianak la,” tiba-tiba mak Hani tanya dengan soalan yang buat aku pandang mak Hani tanpa berkelip mata.

“Takpe, kalau ada, cakaplah.” Kata mak Hani.

“Hmmm…. Susah juga nak cakap. Sebab apa je yang makcik cakap tu, memang dia buat,” jawabku terus terang. Aku ni kalau bercakap dengan orang tua, memang tak pandai nak berdalih. Kalau aku berdalih, rasa macam menipu mak sendiri.

“Kalau macam tu, dia masih tak sembuh la,” kata Kak Hana.

“Sembuh? Hani sakit ke?” aku tanya semula.

“Hani tu lari dari hospital mental. Banyak kali dia lari. Tapi lari kali ni, dia memang hilang terus. Puas kami cari, tak jumpa dia. Dah banyak report polis kami buat, tapi polis tak jumpa dia. Tak tahu la kalau polis tak cari,” kata Kak Humaira.

Aku terkedu seketika. Hani dari hospital mental? Hani gila?

-Bersambung-

One thought on “HANI

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s