HANI

Bab 9

“Macammana mak boleh datang sini? Mana mak tahu Hani kat sini?” tiba-tiba Hani bertanya.

“Kawan kamu telefon mak petang tadi. Mak nyaris nak pengsan bila tahu kamu kemalangan. Dah lama mak menahan rindu kat kamu, tiba-tiba jumpa kamu dalam keadaan ni,” kata mak Hani.

“Kawan?” Hani pandang wajah aku, Shima dan Azira berulang kali.

“Haah Hani, kami call mak kau,” sahut Shima.

“Mana korang tahu nombor telefon mak aku?” Hani bertanya lagi.

Kami berpandangan sesama sendiri. Sekarang baru terasa bersalah sebab selongkar almari Hani tanpa minta izin.

“Kami minta maaf Hani. Kami buka almari kau. Dan kami cari nombor telefon tu kat dalam almari kau, kat belakang gambar keluarga. Kami tak tahu pun itu nombor keluarga kau, kami cuba je. Dah nak rezeki kami, betullah itu nombor mak kau.” Jawabku.

“Sebab kami rasa keluarga kau patut tahu kau kemalangan ni. Kau tak sedarkan diri, kami pula tak tahu nombor mak kau. Sebab tu kami cuba cari nombor telefon tu. Minta maaf kalau kami dah buat salah,” balas Azira pula.

“Takpelah, benda dah jadi. Kalau tak sebab ni, mak aku tak jumpa aku sampai sekarang. Mujurlah Kak Hana tak tukar nombor telefon lagi,” kata Hani.

“Akak memang tak tukar nombor telefon. Akak tahu kamu akan call akak. Akak tahu kamu akan cari mak. Itulah satu-satunya nombor telefon yang kita ada,” sahut seorang dari kakak Hana.

“Tapi, masa korang buka almari tu, dia tak kacau ke?” tiba-tiba Hani bertanya sambil pandang mata aku.

“Dia tu siapa?” aku bertanya.

“Aku ada kurung satu makhluk kat dalam tu. Dia selalu merayap tengah malam kat dalam rumah kita,” kata Hani. Semua yang berada di situ berpandangan sesama sendiri.

“Kamu tak berubah lagi Hani?” tiba-tiba ayah Hani bersuara. Suasasa sunyi seketika.

“Minta maaf encik semua. Masa melawat dah tamat,” kami terdengar suara seseorang menegur kami. Kami menoleh ke arah suara itu. Seorang jururawat sedang berdiri kat belakang kami memegang dulang berisi picagari dan ubat serta botol air.

Aku tengok jam, dah pukul. 7.45 malam. Iyelah. Dah tamat waktu melawat. Solat maghrib pun belum. Aku menoleh sekeliling, Zaidi pun dah takde, dia dah balik kot, tanpa kami sedar.

“Minta maaf misi. Kami tak perasan. Kami keluar sekarang,” kata Shima.

Mak, ayah dan kakak Hani pun bangun berdiri. “Hani, kitorang balik dulu, aku syif malam ni. Esok kami datang lagi,” kataku kepada Hani. Hani hanya menganggukkan kepala.

“Mak nak balik ke Johor ke malam ni?” Hani bertanya kat maknya. Maknya pandang ayahnya.

“Mak ni tadi bila dengar pasal kamu, terus datang sini. Tak fikir langsung pasal nak tidur sini ke, nak balik ke. Memang tak terfikir perkara ni. Kat hospital ni, ada ke tempat untuk kami tumpang tidur? Sebab kalau boleh mak nak ada kat sini sampai kamu sihat,” kata mak Hani.

“Macam ni la. Makcik sekeluarga ikut kami balik ke rumah sewa kami. Saya dan kawan saya ni syif malam. Boleh tidur kat bilik kami. Tapi tak la rumah cantik sangat, selerak. Maklumlah rumah bujang,” Azira mempelawa.

Mak Hani memandang ayah Hani. Seolah meminta izin untuk bermalam di situ. Dia seakan belum puas bertemu dengan anak gadisnya itu.

Ayah Hani seperti keberatan sebab rumah sewa kami adalah perempuan. Kami pun sebenarnya serba salam juga nak bawa lelaki masuk ke dalam rumah, tak kisah la siapapun lelaki tu.

“Kat belakang flat yang kami sewa tu, ada hotel bajet. Jom kita ke sana, kot ada bilik kosong lagi,” kata Shima.

“Boleh juga.” Kata ayah Hani ringkas. Ayah, biasalah, cakap tak banyak tapi dari air mukanya nampak sangat dia rindukan anaknya dan masih belum puas menatap wajah anaknya. Nak pula keadaan anaknya yang sebegitu.

“Kami gerak dulu Hani. Kau jaga diri. Makan ubat. Jangan fikir banyak,” kataku berpesan. Hani anggukkan kepala je. Nampak sugul sebab kami nak tinggalkan dia kat hospital. Hani pernah cakap kat aku, tempat paling dia benci ialah hospital. Tapi kata orang, yang paling kita benci itulah yang perlu kita hadap.

Kami solat maghrib kat hospital memandangkan masa nak agak lewat kalau kami nak solat kat rumah. Lepas solat, kami bergerak ke hotel bajet belakang flat. Mujurlah ada lagi satu bilik kosong kat hotel bajet belakang flat kami tu. Dapatlah ayah Hani berehat di situ. Nasib baik kat situ ada banyak kedai makan pada waktu malam. Kami bawa keluarga Hani makan malam dulu. Nampak sangat mereka takde selera nak makan, walaupun kami tahu mereka lapar. Perjalanan jauh kot, dengan kudrat orang tua. Mestilah mereka lapar dan penat. Aku belikan roti kat 7E kat bawah hotel. Bagi kat ayah Hani mana tahu kot dia lapar tengah malam nanti.

Selesai uruskan ayah Hani, kami semua balik, bawa bersama mak dan kakak Hani. Aku tempatkan mereka di bilik Hani dan Azira. Sebab malam ni bilik tu kosong. Hani kat hospital dan Azira kerja syif malam dengan aku malam ni. Pukul 10 nanti Husna balik, tapi dia kat bilik satu lagi.

Setelah selesai semua, aku dan Azira bersedia untuk pergi kerja. Mujurlah ada Shima, dia boleh tengokkan mak dan kakak Hani.

Ketika kami sampai di kilang, kami nampak ada beberapa orang sami Buddha berkeliaran kat keliling kawasan kilang. Satu mangkuk dengan beberapa colok yang berasap diletakkan di kolam tepi gunung di tepi kilang. Aku tak tahu apa yang mereka sedang buat, tapi aku rasa bos kami dah mula percaya pasal korban setiap lima tahun tu agaknya.

“Korang tak payah nak sibuk sangat kat sana. Pergi masuk line masing-masing,” tiba-tiba terdengar suara Kak Nat melaung kat kami. Cepat-cepat kami berlari masuk line. Aku nampak Husna sedang berdiri dekat loker.

“Sekejap Kak Nat. 5 minit. Saya nak jumpa Husna sekejap,” kataku kepada Kak Nat. Azira dah masuk line dah.

“Husna, mak dan kakak Hani ada kat rumah kita tau. Diorang tidur kat bilik Hani dengan Azira. Tapi Shima pun ada kat rumah tu. Kau jangan terkejut pulak nanti,” kataku.

Husna pandang aku. Serius sekali pandangannya. Macam marah sangat. Aku tak tunggu lama, sebab Kak Nat dok jerit panggil aku. Tapi berkerut juga la dahi aku memandang muka Husna macam tu. Dekat sebulan aku tinggal sebilik dengan dia, tak pernah pula dia buat muka macam tu kat aku. Dia marah kot bawa orang luar tumpang tidur kat rumah kami.

Aku berlari masuk line. Kak Nat dah bercekak pinggang kat sana. Staf tak cukup, dia pula perlu ke setiap line angkat bakul yang dah penuh dengan sarung tangan untuk di bawa ke bilik semakan. Sebaik aku duduk kat kerusi di line aku, aku pandang Husna sekali lagi. Terkejut aku bila nampak dia sedang berdiri dan tenung aku macam aku dah buat salah besar. Entahlah kenapa, bulu roma aku meremang tengok keadaan Husna macam tu.

“Kenapa Husna tu?” Akila yang duduk sebelah aku bertanya.

“Entah, lain macam je rupanya,” sahutku.

“Kau buat dia marah kot,” kata Akila lagi.

“Aku tak cakap apapun. Cuma beritahu kat rumah kami ada mak Hani. Tengahari tadi dia ikut kami ke hospital jenguk Hani, ok je. Sebelum ni pun ok je. Sekarang ni pulak lain macam,” kataku.

“Hah, bersembang, bersembang. Pasal tu sarung tangan banyak koyak,” aku dengar suara Kak Nat. Bising betullah. Cakap sikit pun tak boleh. Memang Kak Nat ni adalah antara supervisor yang paling senior kat sini, dan mulutnya memang agak power. Tapi pada aku, dia taklah teruk sangat seperti yang orang lain cakap. Dia kena jadi tegas, sebab tanggungjawab yang digalasnya. Masa kami makan bersama, dia ok je. Siap belanja kami lagi kalau baru dapat gaji.

Lebih kurang pukul 12 malam, tak tahu dari mana datangnya, angin sejuk meniup ke dalam kawasan kami menarik sarung tangan tu. Kawasan menarik sarung tangan tu adalah kawasan paling panas di dalam kilang tu. Sebab dia memanaskan susu getah untuk diacukan kepada acuan tangan. Tapi malam tu, kami yang berada di dalam tu boleh menggigil macam dah suhu Cameron Highland gayanya.

“Mana datang angin sejuk ni?” Zafran tanya aku.

“Mana le aku tahu,” sahutku sambil menggertap bibir. Sejuk betul weh. Kami memang tak pakai baju sejuk. Gila la kalau pakai baju sejuk kat kawasan tu. Memang kami akan pakai tshirt dan sarungkan uniform kilang je. Mana tahu malam ni sejuk macam ni.

Tapi macammana pun, kami tetap perlu tarik sarung tangan tu sebab mesin masih jalan. Tak lama lepas tu kilang jadi gelap. Black out. Dan aku dengar bunyi jeritan seseorang. Aku dah panik.

“Hati-hati semua! Tarik tangan masing-masing, cuba jauhkan diri dari mesin!” aku dengar suara Kak Nat memberi arahan. Keadaan memang gelap gelita. Aku nampak beberapa lampu suluh menghala ke arah kami.

Dan dari kat hujung line 4, aku nampak Ayu menjerit menahan sakit dan tangannya berlumuran darah. Aku nampak Kak Nat berlari ke arah Ayu. Beberapa orang lain juga sedang mengerumuni Ayu. Tangannya termasuk ke dalam mesin ketika lampu padam tadi. Tak tahu macammana boleh luka. Aku memang tak berani tengok, aku alah pada darah. Nanti dia tak apa-apa, aku pulak yang pitam. Lagipun Kak Nat dah bagi arahan, jangan berkerumun dekat Ayu.

Mereka mengangkat Ayu keluar dari kawasan mesin operasi tu. Yang lain masih kekal di situ, menanti arahan seterusnya. Tak pernah black out kilang ni.

Dalam gelap tu, aku rasa ada tangan yang memegang bahu aku dari belakang.

“Akila, kau ke?” aku tanya. Aku raba tangan yang menyentuh bahu aku. Sejuk je tangan tu. Bulu roma aku meremang dah. Aku toleh ke belakang, dengan sedikit cahaya dari sebuah lampu sportlight yang menggunakan generator, aku nampak Akila tapi wajahnya lain macam. Matanya hitam, tanpa mata putih. Rambutnya mengerbang.

“Akila, kau dah kenapa?” aku bertanya.

“Akuuuuuu mahuuuuuuu korbannnnnnnn. Ini tempat akuuuuuuuu!!” Akila menjerit kat telinga aku.

“Rina, lari dari situ!” aku dengar suara Azira menjerit. Tapi dalam gelap tu, memang tak berapa jelas nak tengok keliling. Kat situ penuh dengan mesin, bakul dan kerusi. Jadi nak berlari laju memang tak boleh, Nak pula ada tangan yang sedang mencengkam bahu aku sampai berkeriut muka aku menahan sakit.

Masa lampu sportlight kedua terpasang, barulah aku nampak jelas sikit dengan keadaan keliling. Rupanya bukan Akila seorang yang macam tu. Ada beberapa orang pekerja operasi lain yang berada dalam keadaan yang sama macam Akila. Dah macam filem zombie pula aku tengok.

Tiba-tiba aku rasa ada orang tarik tangan aku. Aku terus berlari mengikut tangan yang menarik aku. “Kau ni dah kenapa? Kenapa kau nak tercongok lagi kat situ?” Azira merungut memarahi aku.

Aku menoleh ke belakang aku. Aku nampak ada 7 orang pekerja perempuan sedang berdiri tegak di tempat mereka, dengan mata hitam, memandang tepat ke arah kami yang berada di hadapan mereka, seolah bersedia untuk menerkam. Seram sejuk weh. Selalunya aku tengok keadaan tu kat tv je. Sekarang terjadi kat depan mata.

Seketika kemudian, beberapa orang sami yang aku nampak masa aku datang kerja tadi, masuk ke dalam kawasan operasi, sambil membawa mangkuk berisi colok yang menyala. Entah apa yang mereka baca, aku pun tak pasti. Kak Nat mengarahkan kami berundur dan pergi ke kantin atau ke mana saja, asalkan kami tak berada di situ.

Baru je kami nak bergerak, aku tengok salah seorang pekerja, Kamala, yang berada di kelompok yang kena rasuk tadi, tiba-tiba bersilat. Terhenti langkah aku bila tengok dia bersilat. Cantik gerakannya. Sejak bila pula dia pandai bersilat?

Tak lama lepas tu, Juriah dan Helen pula ketawa mengilai, panjang sangat tawanya. Dah macam bunyi Pontianak. Meremang bulu roma, bergema kat dalam ruangan tu suara hilaiannya.

Aku dan pekerja lain terus melangkah keluar dari kawasan itu. Dan Dummm!!! Pintu besar untuk kami keluar tertutup sendiri. Kami semua terpinga-pinga. Seingat aku, selama aku bekerja kat sini, pintu besar tu tak pernah tertutup. Dan kalau nak tutup pun, bukannya sama macam tutup pintu bilik air kat rumah kita. Perlukan mesin untuk menutupnya sebab pintu itu berat dan susah untuk ditutup. Tapi kali ni pintu tu boleh tertutup begitu saja dengan sendirinya! Dan kami terkepung di dalamnya.

-Bersambung-

One thought on “HANI

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s