HANI

Bab 8

“Hani baru je beritahu aku pasal kayu tu dua hari lepas. Katanya kayu tu untuk elakkan jin masuk rumah. Jangan tanya aku samada betul atau tak, tapi itulah yang dia kata. Dia siap tunjuk  aku kat mana dia letak,” kata Shima.

Aku bagi isyarat kat Azira suruh dia ambil kayu kat bawah katil Hani sebab aku dah trauma untuk tengok kat bawah katil Hani. Azira akur, dia tunduk ke bawah katil Hani, memang betul ada kayu kat bawah katil Hani. Azira tarik kayu tu keluar dari bawah katil.

Kami bertiga melangkah ke dapur, tangan kami masing-masing menggeletar. Takut memang takut tapi kami kena hadap juga. Shima kat depan sekali. Dia melangkah perlahan-lahan sampai ke dapur. Aku jenguk pintu rumah, dah bertutup.

Sampai kat dapur, memang ada kaca berderaian di lantai. Kami melihat ke seliling, tak nampak apa-apa yang pelik. Aku sarung selipar dapur dan ambil penyapu dan penyodok lalu menyapu kaca yang berderaian di lantai lalu membuangnya ke dalam bakul sampah.

“Macammana pinggan tu boleh pecah?” Aku dengar Azira bertanya.

“Angin kot. Tak pun tadi ada kucing masuk melalui balkoni belakang,” kata Shima.

“Takkan la angin. Kucing tu mungkin juga la,” kata Azira.

Aku tak cakap banyak. Lepas siap membuang kaca yang pecah, aku terus melangkah ke bilik. Aku nak bersiap sebab aku nak ke hospital lawat Hani, mungkin dia dah sedar. Aku dan Azira syif malam, selalunya kami akan tidur di siang hari tapi hari ni kami tak sempat nak tidur. Tengoklah malam nanti macammana la kami nak tahan mengantuk. Sakit kepala tau.

Setelah selesai mandi dan solat asar, masa aku nak keluar dari bilik, aku nampak kelibat sesuatu yang bergerak di luar tingkap bilik kami. Aku melangkah ke tingkap dan cuba lihat kalau ada apa-apa yang bergerak di tingkap. Tiada ada.

Kat luar tingkap tu tiada lantai lain. Terus dinding sampai kat tingkat bawah sekali. Jadi, untuk aku bersangka ada orang panjat sampai situ, memang takkanlah. Aku berpatah balik nak keluar dari pintu bilik, kali ni cermin tingkap bilik tertutup dan terbuka sendiri.

Masa ni aku mula cuak. Siang hari kot, takkan ada hantu. Aku melangkah ke tingkap semula. Aku perhatikan ke kiri dan kanan. “Ada sesiapa ke kat sini?” aku beranikan diri bertanya.

“Aku mahu korban,” tiba-tiba aku terdengar satu suara. Suara serak basah dengan nada berbisik, perlahan sekali.

“Siapa tu?” aku tanya lagi.

“Aku mahu korban,” aku dengar lagi bunyi suara tu. Meremang bulu roma aku.

Aku berundur dua tiga langkah dari tingkap.

“Cepatlah, kau kata nak tengok Hani. Dah lambat ni. Waktu melawat sampai pukul 7.30 je,” tiba-tiba Azira bersuara dari pintu. Aku tersentak dan terduduk perlahan. Aku memang terkejut. Dada aku berombak kencang sampai terasa sakit. Azira cepat-cepat merapati aku.

“Kenapa ni Rina? Kau sakit ke?” dia bertanya aku dengan wajah cuak.

Aku tarik nafas perlahan-lahan dan hembus pun perlahan-lahan. Aku ulang tiga kali. Barulah terasa lega sikit. Dan degupan jantung aku kembali normal. Aku bangun dan capai beg aku, lalu terus melangkah keluar tanpa pedulikan Azira yang memerhati aku.

“Shima, jom,” Azira mengajak. Shima yang sedang duduk di meja makan pun terus mencapai begnya dan mengikuti langkah kami. Aku diam, masih fikirkan pasal suara yang aku dengar semasa di bilik tadi.

Semasa dalam kereta, Azira tanya aku kenapa aku diam je. Aku kata tiada apa je. Iyelah, aku nak jawab apa. Dulu bolehlah aku salahkan Hani sebab dia je psiko kat dalam rumah tu tapi sekarang ni Hani kat hospital, siapa pula yang psiko kat rumah tu? Lama-lama nanti aku yang jadi gila.

Sebaik kami sampai di hospital, doktor maklumkan bahawa Hani memberi reaksi positif. Dia dah buka mata tapi masih lemah. Tak boleh bercakap banyak. Aku, Azira dan Shima terus masuk ke bilik Hani. Dia masih berbaring seperti tadi Cuma matanya terbuka sikit.

“Hani, kau dah sedar?” Shima bertanya dengan suara sebak, mengalir air mata di pipinya. Dia yang berada bersama Hani masa kejadian.

Hani tak menjawab tapi matanya dibuka lebih besar dari tadi. Dia tersenyum memandang kami.

“Kau dah makan?” Azira bertanya. Hani gelengkan kepala.

Aku buka bubur nasi yang kami beli di McDonald tadi dan halakan ke arahnya.

“Kau suaplah aku,” Hani kata kat aku. Masa ni aku tak dapat tahan air mata aku. Aku cuba tahan dan berpaling ke arah lain, tapi tak berjaya. Air mata aku makin laju.

“Tak payah nak sedih sangat la. Aku bukannya mati,” kata Hani sambil mencuit tangan aku dengan tangan kanannya.

Aku lap air mata aku. Aku pandang semula wajah Hani. Aku suapkan bubur nasi ke mulutnya. Berselera dia makan. Iyelah, dari pagi kot dia tak makan.

“Macammana tangan kau boleh tersangkut kat dalam kipas tu Hani?” Shima bertanya.

“Kilang tu ada penunggu. Penunggu tu tunggu habuannya. Tapi tokeh kilang tu dah tukar kat anaknya. Anaknya tak percaya benda-benda macam ni. Dulu, kilang ni dibina di atas tapak lombong. Nenek moyang Mr Tan tu la agaknya. Tapi lombong tu ada penunggu. Tokeh asal nak juga tanah lombong tu. Penunggu lombong tu setuju bagi izin dengan syarat setiap lima tahun, perlu buat korban dan bagi penunggu tu makan. Tahun ni adalah tahun kelima tapi tokeh kita tak buat korban lagi. Penunggu tu makin banyak, jumlah mereka makin banyak mengikut bilangan hari. Mereka ada di merata-rata. Merekalah yang merasuk staf operasi yang sedang menarik sarung tangan getah. Salah satu penunggu masa tu bertenggek kat atas kipas angin kilang, sebab tu kipas berhenti masa tu. Aku jerit kat dia tapi dia jerit balik kat aku. Tu yang aku pergi kat dia, ingat nak takutkan dia. Tak perasan pula aku, ada satu lagi mengikut belakang aku. Dia yang tolak aku ke arah kipas tu. Dan masa tangan kiri aku berada di antara bilah kipas tu, penunggu yang kat atas yang memberhentikan kipas tu tadi, melompat keluar dari kipas tu buatkan kipas tu berpusing semula dan memutar tangan aku.” Kata Hani panjang lebar.

Kami yang berada di situ diam terkedu dan mulut masing-masing menganga. Orang lain aku tak tahu, tapi aku terkedu sebab aku rasa macam Hani mereka cerita. Kalau apa yang Hani ceritakan tu betul, macammana Hani tahu sebab itu cerita dulu kala. Setahu aku, kilang ni dah beroperasi sejak enam puluh tahun lalu. Macammana Hani tahu pasal cerita ni semua kalau tiada yang bercerita kepadanya. Tapi siapa yang beritahu dia?

“Aku tahu korang tak percaya cerita aku ni kan? Sebab tu korang tak tahu nak jawab apa. Muka masing-masing macam orang tak tahu jawab soalan periksa masa SPM je aku tengok,” kata Hani perlahan.

“Bukan taknak percaya, Cuma sukar nak percaya. Mana kau tahu semua cerita ni Hani? Siapa beritahu kau?” Shima bertanya.

“Penunggu tu la beritahu. Tapak utama mereka kat kolam kecil kat sebelah gunung tepi pagar kilang. Semuanya berkumpul di situ sebab itulah tempat perjanjian di antara penunggu tu dengan tokeh dulu dibuat,” kata Hani lagi dengan wajah selamba seperti dia sedang bercerita tentang manusia biasa yang sedang lepak di kedai kopi lagaknya. Tak nampak macam dia bercerita pasal sesuatu yang orang lain tak nampak.

“Ok ok, kami tak tahu nak percaya atau tak cerita ni. Cuma sekarang ni, apa cadangan kau tentang kilang tu? Kau nak kami sampaikan kat supervisor ke macammana? Atau takkan sebab ni kita nak berhenti kerja pula? Bukannya senang nak cari kerja sekarang, walau kerja kilang sekalipun,” kata Azira.

Aku memang taknak cakap apa-apa walaupun aku tak percaya. Aku baru je nak berbaik dengan Hani, dia pun sedang sakit sekarang. Aku taknak bergaduh dengan dia dalam waktu macam ni. Aku dah cukup menyesal dah.

“Suruh je Mr Tan bagi korban. Dia tahu tu, tapi dia buat tak tahu. Kira nak untung dia je, kebajikan staf dia taknak ambil tahu. Kang kita mogok satu kilang kang, bukan dia je susah, kita pun susah,” kata Hani sambil makan limau yang dah aku potong tadi.

Aku, Shima dan Azira berpandangan sesama sendiri. Tak lama lepas tu, Zaidi muncul.

“Alhamdulillah kau dah sedar. Sorry aku lambat, kena overtime. Ramai kena histeria kat kilang hari ni,” kata Zaidi. Kami memandangnya tanpa berkedip.

“Janganlah pandang aku macam tu. Macam aku dah buat salah pulak,” kata Zaidi.

“Siapa kena histeria?” aku bertanya.

“Ramai, dua line je jalan. Aku rasa ada lima orang je kot yang tak kena,” kata Zaidi.

“Lima orang tu siapa?” aku bertanya lagi.

“Kawan korang tak kena, jangan risau. Elok je dia menarik sarung tangan kat line sambil tengok semua orang kena histeria,” kata Zaidi lagi.

“Maksud kau, Husna?” Shima bertanya. Dan Zaidi anggukkan kepala.

“Zaidi, kau tahu tak pasal asal usul kilang tu?” Azira bertanya.

“Asal usul kilang? Manalah aku tahu. Masa aku masuk pun, kilang tu dah setengah abad kot. Kenapa?” Zaidi tanya balik.

“Hani kata ada perjanjian tokeh asal dengan penunggu tapak kilang tu. Ini tahun kelima dimana kena buat korban untuk penunggu tu,” kata Shima.

“Hish Korang ni, kurafat semua tu. Mana ada penunggu minta korban. Korang ingat ada ke penunggu buat janji dengan manusia. Lagi la ini kilang cina, kalau melayu aku bolehlah nak pertimbangkan. Tapi kalau cina, aku memang tak boleh hadam,” kata Zaidi lagi sambil ketawa kecil dan menggelengkan kepalanya.

“Kurafat pada kita. Tapi pada mereka tak. Kau ingat bukan melayu takde kepercayaan pasal benda ni ke? Ada juga, tapi dengan cara mereka.” Kata Azira.

“Aku memang tak boleh nak percaya la. Maaf sangat. Tapi kalau korang nak minta aku tolong apa-apa, korang bagitahu aku. Nanti aku cuba sampaikan kepada Mr Tan,” kata Zaidi.

“Kau bagi cadangan, suruh Mr Tan buat korban macam tok moyang dia dulu. Dia mesti tahu,” kata Shima.

“Hmmm…. Tengoklah esok aku cuba cakap. Jangan Mr Tan pecat aku sudahlah,” kata Zaidi, sanggup dalam pasrah.

“Assalamualaikum,” tiba-tiba kami terdengar satu suara lelaki tua. Kami masing-masing berpaling ke arah bunyi tu.

“Waalaikumussalam,” kami menyahut serentak.

Kelihatan seorang lelaki tua dan wanita tua dalam usia 70an dengan dua orang wanita dalam usia 40an dan 30an. Mereka tersenyum memandang kami.

“Pakcik cari siapa?” Zaidi bertanya.

“Mak? Ayah?” tiba-tiba Hani bersuara.

“Hani?” wanita tua tadi memandang Hani, beg di tangannya jatuh. Dia kelihatan menggeletar. Seorang wanita yang datang bersamanya tadi memegang tangannya lalu memapahnya ke tepi katil Hani. Kami semua ke tepi.

“Hani, kamu ke mana nak? Kenapa tinggalkan mak macam ni? Merata dah kami cari kamu, berhabis dah duit kami bayar orang untuk cari kamu. Kenapa kamu buat macam ni Hani,” kata wanita tua itu.

Hani menangis teresak-esak. Wanita tua itu memeluk Hani dengan erat sekali. Kedua-dua mereka menangis, begitu juga dengan dua orang wanita yang datang bersamanya tadi. Kami syak, itulah mak ayah Hani dan dua orang wanita itu adalah kakak Hani.

Aku tengok jam dinding, dah hampir pukul 7.30 malam. Waktu melawat dah nak habis. Aku cuit Shima dan Azira, suruh mereka tengok jam. Aku dengan Azira kena masuk syif malam ni.

“Hani, siapa ni?” Azira bertanya perlahan.

“Ni mak aku, ayah aku dan kakak-kakak aku. Kami dah terpisah lima tahun. Dari sebelum aku jumpa korang lagi. Aku yang bawa diri, tinggalkan mak ayah aku. Sekarang inilah balasan Allah kat aku,” kata Hani masih dengan baki sendunya.

“Hish, mak tak pernah anggap macam tu. Sebab mak pun tahu kau pergi bersebab,” kata mak Hani sambil mengusap air mata yang mengalir di pipinya.

-Bersambung-

One thought on “HANI

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s