HANI

Bab 7

Seketika kemudian Zaidi datang ke wad. Dia dah selesai uruskan hal pendaftaran dan kemasukan wad Hani. Dia tandangan sebagai wakil kilang.

“Dia dah sedar ke?” Zaidi tanya sebaik sahaja sampai kepada kami yang masih berdiri di luar pintu sambil terjenguk-jenguk melihat ke dalam bilik yang menempatkan Hani.

“Belum,” sahutku sambil gelengkan kepala.

“Macammana boleh kena?” Azira bertanya.

“Aku tak pasti. Tapi yang aku dengar, kipas tu berhenti berpusing. Azrul kata Hani jerit kepada sesuatu kat kipas tu, tapi takde siapa nampak Hani jerit kat siapa. Mulalah mereka kata dia pun kena histeria macam budak lain sebelum ni. Masa ni aku ke pejabat, hantar punch card. Masa aku sampai, dia dah berlumuran darah. Mereka dah balut tangannya dengan tshirt siapa entah. Aku pun terus bawa dia hospital. Tak sempat tanya banyak lagi,” kata Zaidi sambil memandang ke dalam bilik.

“Siannya dia. Dia putus dua jari. Harap-harap bahagian lain masih ok. Allah!” kata Azira menahan sebak.

“Zaidi, nanti kau tolong semak fail peribadi Hani. Tolong carikan alamat yang Hani tulis kat borang, masa dia mohon kerja dulu,” kataku.

“Kenapa?” Zaidi bertanya.

“Kami nak beritahu keluarganya,” sahutku.

“Korang bukan duduk serumah ke? Lama dah kan? Tak tahu rumah keluarganya kat mana?” Zaidi tanya lagi.

“Dia tak pernah cerita hal keluarganya. Kami pun tak tahu. Sebab setiap kali kami balik raya, dia akan tinggal di rumah. Bila kami tanya, dia kata dia balik tapi lambat. Bila kami tanya kampungnya kat mana, dia kata biarlah rahsia. Habis tu, macammana kami nak tahu?” kata Azira.

“Aku pernah tanya dia. Tapi dia cakap keluarga dia dah takde. Yang tinggal cuma bapa saudara sebelah ayah. Dia anak tunggal, tiada adik beradik lain. Bila aku kata nak tengok gambar keluarga, katanya keluarganya tak pernah bergambar bersama,” sahutku lagi.

“Macam menyimpan sesuatu je Hani ni. Kalau tak, takkanlah dia nak rahsiakan hal keluarganya,” kata Zaidi.

“Hanphone! Haah, dari handphone dia kita boleh cari nombor sesiapa kot. Kita dail nombor yang paling selalu dia dail. Mana tahu, itu saudara mara dia,” kata Azira.

“Kau nak try boleh. Aku pernah gak tengok handphone dia. Tapi takde call in atau call out. Whatsapp dan message pun dia delete semua. Facebook lagi la dia takde. Bila aku tanya, kenapa dia delete semua, katanya nanti kekasihnya tak suka. Bila aku tanya siapa kekasihnya? Dia tunjuk kat aku kat atas almari dia. Ada apa je kat atas almari dia? Patung teddy bear kecik yang dia kata menjaga kami setiap malam. Aku kalau dia dah cakap macam tu, memang aku takkan tanya lagi. Makin merepek nanti,” aku beritahu mereka.

“Pelik betullah Hani ni,” kata Zaidi.

“Takpe, kau cari alamat kampung dia ye. Nanti dah dapat, bagitahu kat kitorang cepat.” Kata Azira.

“Ok. Nanti aku cuba cari. Sekarang ni aku balik ke kilang dulu. Dah bertukar syif dah ni. Takde supervisor ganti pulak tu. orang syif malam kan?” Zaidi bertanya. Aku dan Azira mengangguk serentak.

Tepat jam 3.30 petang, Hani masih tak sedar. Seorang jururawat menegur kami bahawa waktu melawat dah tamat. Kami mohon juga supaya kami boleh tunggu sampai Hani sedar tapi jururawat tak izinkan. Dia suruh kami datang semula pada waktu melawat petang nanti.

Dengan berat hati, aku dan Azira balik ke rumah. “Nanti kita tengok kat almari Hani, kot kot ada apa-apa maklumat pasal keluarganya,” kata Azira. Aku anggukkan kepala je. Tapi aku rasa serba salah juga. Otak aku pun masih tak dapat lupa lembaga perempuan tua yang aku nampak kat dalam bilik Hani tadi. Tapi demi Hani, aku akan usahakan juga.

Sampai di rumah, Shima sedang makan tengahari. Bila dia nampak kami masuk ke rumah, dia berhenti makan dan terus menyerbu ke arah kami.

“Hani macammana? Dia ok tak? Tangan dia?” tanyanya bertubi-tubi.

Aku dan Azira duduk di lantai tepi pintu.

“Hani macammana? Aku nak pergi hospital tadi tapi bila fikir waktu melawat dah habis, aku ingat nak pergi sebelah petang je,” kata Shima lagi dengan riak wajah ingin tahu.

“Masa kami balik tadi, dia belum sedar. Doktor kata dua jarinya tak dapat diselamatkan. Bahagian lain ok. Doktor pun dah buat minor operation tadi,” kataku memberitahu keadaan Hani.

“Ya Allah! Putus dua jari? Jari mana?” Shima bertanya.

“Tak tahulah, kami pun tak dapat pastikan lagi sebab dia belum sedar dan doktor tak bagi kami masuk biliknya. Kami pun lihat dari luar pintu je,” kata Azira pula.

“Shima, kau tahu keluarga Hani kat mana?” aku bertanya.

“Aku tak tahu. Tapi bukan ke kau yang paling rapat dengannya?” Shima tanya aku balik.

“Memang aku rapat dengan dia, tapi dia tak pernah sembang hal keluarga dia,” kataku.

“Kalau kau yang rapat pun dia tak ceritakan hal peribadi dia, inikan pula aku yang tak rapat dengan dia, lain bilik pulak tu,” kata Shima.

Aku bangun dan melangkah ke bilik Hani. Azira dan Shima ikut langkah aku. Shima pun dah terus berhenti makan. Aku merapati almari Hani. “Korang nak buat apa?” Shima bertanya.

“Kami nak cari maklumat pasal keluarga Hani kat dalam almarinya. Sebab keluarganya perlu tahu keadaan dia,” kata Azira. Shima diam.

Aku pulas tombol pintu almari Hani. Senang je dah terbuka. Sedangkan pagi tadi punyalah ketat, macam berkunci walhal aku tahu Hani tak pernah kunci pintu almarinya.

Aku buka pintu almari Hani. Pakaian tak banyak. Dia bukan macam aku dan kawan perempuannya yang lain. Dia cukup dah dengan tshirt dan seluar jeans. Kat kilang, kami ada uniform lain.

Aku tarik laci kat dalam almarinya. Ada banyak barang. Aku cuba selak satu persatu barang kat dalam lacinya, tak jumpa apa-apa. Surat kerjanya, slip gaji dan beberapa keping gambar dia dan aku dan kawan-kawan rumah.

Aku buka sebelah lagi pintu almari milik Hani. Aku selak perlahan-lahan bajunya yang terlipat rapi. Kat tingkat paling bawah, aku jumpa satu envelop bersaiz A4. Aku tarik keluar envelop tu. Aku pandang Azira dan Shima yang masih tekun memerhatikan setiap pergerakan aku.

Aku buka envelop tu perlahan-lahan. Ada sekeping gambar bersaiz A4. Aku tarik keluar gambar tersebut. Ada gambar Hani di situ bersama dengan tiga orang lain dan seorang ibu dan seorang ayah.

“Ini gambar keluarga dia kot. Ini mak ayah dan adik beradiknya,” kata Azira.

“Tapi kan dia cakap dia anak tunggal?” kataku. Azira diam.

“Ada tulisan kat belakang gambar tu,” kata Shima yang duduk di hadapan aku sejak tadi. Aku terus pusingkan gambar tu dan ada alamat tertera di belakangnya.

“Ini kot alamat kampungnya. Ni ada nombor telefon. Kita cuba telefon dulu,” kata Azira kat sebelah aku. Aku tak cakap banyak, terus ambil telefon dan mendail nombor yang tertera di belakang gambar tu.

“Assalamualaikum,” aku dengar satu suara perempuan di talian.

“Waalaikumussalam,” sahutku.

“Nak cari siapa?” tanya suara perempuan itu lagi.

“Ini rumah keluarga Hani ke?” aku bertanya.

“Hani?” aku dengar suara di talian tu macam terkejut.

“Haah, Hanisah Zulkarnain,” sahutku.

“Iye, itu kakak saya,” suara itu menjawab. Aku pandang Azira dan Shima. Mereka bagi isyarat suruh pasang speaker. Aku pun akur.

“Siapa ni ye? Kalau nak cari Kak Hani, dia takde kat rumah ni,” kata suara perempuan tadi lagi.

“Mak Hani ada tak?” aku bertanya lagi.

“Ada, sekejap saya panggilkan,” kata suara itu lalu suasana sunyi seketika, mungkin dia sedang memanggil emaknya.

“Hello, Assalamualaikum,” seketika kemudian kami dengar bunyi suara seorang perempuan lain.

“Waalaikumussalam. Ini Mak Hani ke?” tanyaku.

“Iye, makcik ni mak Hani. Kenapa ye? Siapa ni?” kata perempuan tu yang mengaku sebagai emak Hani.

“Macam ni makcik. Hani ditimpa kemalangan kat kilang. Sekarang dia di hospital. Keadaannya agak serius. Kalau boleh makcik datanglah ke sini tengok dia,” kataku.

“Ya Allah! Hani kemalangan?” aku dengar suara terkejut mak Hani. Dan aku dengar bunyi suara perempuan yang mula-mula tadi menjerit memanggil emaknya.

“Hello?” aku bersuara di hujung talian, tak pasti apa yang sedang terjadi di sebelah sana.

“Hello. Kak Hani kat hospital mana?” aku dengar suara perempuan yang mula-mula tadi bertanya di talian.

“Hospital Besar Melaka,” sahutku.

“Melaka? Maknanya kakak saya bekerja di Melaka? Dia tinggal di sana?” suara adik Hani tadi bertanya seperti baru tahu.

“Iye. Dia memang tinggal kat sini. Dua tahun dah,” sahutku.

“Kami di Johor. Ambil masa dekat 3 jam nak sampai sana. Tapi kami akan pergi juga. Saya bawa mak dan ayah ke sana. Kak Hani tahu ke akak call sini?” adik Hani bertanya lagi.

“Dia tak tahu sebab dia masih tak sedarkan diri,” kataku.

“Ya Allah, teruk sangat ke sampai tak sedarkan diri?” tanya adik Hani dengan nada berbisik di dalam talian.

“Adik bawa je mak ayah datang dulu. Nanti boleh tengok keadaan dia,” kataku.

“Ok. Kami akan ke sana. Tapi tolong jangan beritahu dia bahawa kami nak datang ye. Jangan beritahu dia yang kakak call kami kat sini. Hmmm….. Mana kakak ni tahu nombor telefon ni?” adik Hani bertanya lagi.

“Kami jumpa nombor ni kat belakang gambar yang kami jumpa kat dalam almari Hani.” Sahutku.

“Ok. Kami ke sana sekarang,” kata adik Hani.

Aku letak telefon. Aku, Azira dan Shima berpandangan sesama sendiri. “Keluarga Hani tak tahu dia tinggal dan kerja kat Melaka?” aku berbisik perlahan. Azira dan Shima angkat bahu.

Tiba-tiba kami terasa macam ada sesuatu bergerak melintasi pintu bilik yang terbuka. Gerakan yang agak laju hingga kami tak sempat pastikan apa tu.

“Korang nampak tak macam ada benda melintas kat pintu tu tadi?” aku bertanya.

“Aku perasan juga. Tapi tak sempat nak tengok apa benda,” kata Azira.

“Macam orang pun ada. Tapi siapa lagi kat dalam rumah ni? Hani kat hospital. Husna kat kilang. Kita bertiga ada kat sini. Mana ada orang lain lagi dah,” kata Shima.

“Pintu rumah tadi kau tutup ke tak?” aku tanya Azira. Tak sempat Azira jawab, praaaannnnnng! Kami bertiga tersentak bila terdengar bunyi pinggan pecah di dapur. Kami dah mula cuak dah.

“Apa tu?” kata Shima.

“Bunyi kaca pecah tu. Ada kucing masuk rumah kot,” kata Azira.

“Kau tutup pintu ke tak? Aku tak risau kalau betul kucing. Yang aku risau perompak masuk,” kataku.

“Aku rasa aku dah tutup pintu tadi,” kata Azira.

“Kau rasa? Maknanya kau tak ingat?” tanyaku lagi.

“Dah dah, jom kita keluar sama-sama. Ambil kayu kat bawah katil Hani tu.” kata Shima.

“Mana kau tahu kat bawah katil Hani ada kayu?” aku tanya Shima. Setahu aku ini adalah kali pertama Shima masuk ke bilik ni. Aku yang dah lama dengan Hani pun tak tahu kat bawah katil dia ada kayu. Tiba-tiba aku rasa kaget dengan Shima ni.

-Bersambung-

5 thoughts on “HANI

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s