HANI

Bab 6

Sampai kat rumah, aku terus masuk. Aku tukar baju, mandi dan solat subuh. Lepas aku solat subuh, tiba-tiba je Azira masuk ke bilik aku. Mukanya pucat semacam. Masa tu Husna masih tidur.

“Kenapa kau ni Zira? Macam nampak hantu,” tegurku.

“Tadi aku makan nasi lemak yang aku beli kat Makcik Leha. Lepas tu aku masuk bilik, nak mandi. Masa ni aku dengar orang berbisik. Suaranya macam Hani. Tapi Hani kan dah pergi kerja,” kata Azira dengan suara masih terketar-ketar.

“Perasaan kau je kot. Kau letih, mengantuk agaknya,” kataku cuba menenangkannya.

“Mula-mula memang aku pun ingat macam tu. Tapi bila tiba-tiba pintu almari Hani terbuka dan tertutup sendiri, hati aku dah mula rasa tak selesa.” Kata Azira.

“Kau pergi tengok tak almari dia ada apa?” aku tanya lagi.

“Aku tak berani. Masa aku nak keluar bilik, pintu bilik pula tertutup sendiri. Aku laung azan kat bilik tu tadi, korang tak dengar ke? Lepas tu baru aku boleh buka pintu tu dan terus lari ke sini,” kata Azira.

“Suara bisikan tu kata apa?” aku tanya lagi.

“Tak berapa jelas. Tapi macam satu amaran. Jangan tunggu lama, nanti ada yang terkorban. Lebih kurang macam tu la bunyinya.” Kata Azira.

“Habis tu, sekarang kau nak buat apa?” aku tanya Azira, aku pun panik juga kalau betul apa yang Azira ceritakan kat aku.

“Aku tak tahu. Tapi aku takut ni. Jom la teman aku masuk bilik,” kata Azira.

“Korang ni kenapa ha? Sok sek sok sek kat tepi telinga aku,” kata Husna tiba-tiba dari katilnya.

Aku dengan Azira tak menyahut. Aku tanggal telekung aku, menyangkutnya dan terus mengajak Azira ke biliknya. Aku tolak daun pintu bilik Azira perlahan-lahan. Aku jenguk ke dalam bilik, tiada apa-apa. Matahari makin naik, suasana kian cerah.

“Eh, tadi masa aku masuk bilik ni, teddy bear ni takde kat sini,” Azira menegur teddy bear di atas katil Hani.

“Haah, aku nampak teddy bear ni kat ruang tamu tadi, masa aku mula-mula masuk. Ingatkan kau yang bawa masuk,” kataku sambil memandang Azira.

“Tak, aku tak bawa masuk. Memang kat luar tadi. Masa aku makan nasi lemak tadi, memang ada kat luar. Bila masa pula dia masuk sini? Paling penting, siapa yang bawa dia masuk?” kata Azira sambil menggosok-gosok bahunya.

Cuaca yang makin panas, tapi sejuk buat kami yang terasa seperti ada yang memerhati di dalam bilik tu. Aku melangkah ke almari Hani. Aku pegang tombol pintu almari tu.

“Kau nak buat apa tu Rina?” Azira tanya aku.

“Aku nak buka, nak tengok apa ada kat dalam,” kataku.

“Janganlah. Aku takut,” kata Azira.

Aku tak peduli, aku tetap buka pintu almarinya tapi tak boleh. Aku cuba tarik beberapa kali, pintu almari Hani berkunci. Selama aku tinggal sebilik dengan Hani, tak pernah pun dia kunci pintu almarinya.

“Tak boleh buka la, berkunci,” kataku.

“Habis tu, tadi macammana pintu almari tu terbuka dan tertutup sendiri?” kata Azira.

“Mana aku tahu. Kau berangan je kot. Kau mengantuk sangat ni,” kataku perlahan.

Tiba-tiba aku nampak macam ada sesuatu yang bergerak di bawah katil Hani. Aku terus tunduk ke bawah dan lihat di bawah katil Hani. Tiada apa. Aku angkat kepala dan masa ni aku nampak sesuatu dengan rupa yang amat menyeramkan bertinggung kat depan aku. Seorang perempuan tua, dengan pipi terlohong, rambut panjang kusut masai, baju putih lusuh, kulit tangan dan kakinya seperti kayu reput dan bau yang amat busuk. Aku tersandar ke dinding.

Aku pejamkan mata aku kuat-kuat. Tubuh badan aku menggeletar.

“Rina, Rina! Kau kenapa ni?” aku terasa badan aku digoncang kuat dan nama aku dipanggil.

Aku buka mata perlahan-lahan. Azira memandang aku dengan wajah yang amat risau. Aku terus peluk Azira dan menangis. “Kenapa ni Rina?” Azira bertanya aku dengan lembut sekali.

“Zira, bawa aku keluar dari bilik ni,” kataku. Kakiku memang terasa lemah, tak mampu nak berdiri sendiri. Azira memapah aku keluar dari bilik.

Azira dudukkan aku di ruang tamu, dekat dengan pintu. Dia ambilkan segelas air kosong dan memberinya kepada aku. Aku minum beberapa teguk dan letakkan gelas ke lantai.

“Kenapa Rina? Kau nampak apa?” Azira tanya aku lagi.

“Zira, dua minggu dah kau duduk sebilik dengan Hani kan? Dia tak buat perkara pelik-pelik ke?” aku tanya Azira setelah degupan jantung aku kembali normal.

“Pelik macammana? Kalau setakat macam yang kau cakap kat aku, dia bercakap dengan teddy bear, bercakap sorang-sorang, tengah malam duduk tegak kat atas katil, melalut benda entah apa-apa, semua tu memang dia buat. Tapi aku buat tak tahu je, sebab aku dah tahu dia memang macam tu. Kenapa Rina?” Azira tanya aku.

“Aku rasa Hani ni ada membela sesuatu la,” kataku. Memang bunyinya seakan menuduh, tapi itu je yang berada di dalam kepala aku buat masa ni.

“Bela apa?” Azira tanya aku.

“Bela hantu, atau saka keluarga ke,” kataku.

“Hish kau ni Rina. Tak baik tuduh dia macam tu,” kata Azira. Aku terdiam, memang ada rasa bersalah sebab menuduh Hani macam tu. Tapi aku memang ada rasa sesuatu yang tak kena dengan Hani tu.

“Tapi, aku pernah nampak dia balut segumpal rambut dengan kain warna kuning. Bila aku tanya dia, dia kata itu rambut Pontianak. Aku marah la dia, tak baik bergurau macam tu. Katanya betullah, semalam dia tarik rambut Pontianak tu sampai tercabut. Pagi tu dia kutip semua rambut yang terputus dan simpan dalam kain warna kuning,” kata Azira.

“Kau rasa logik ke cerita dia tu?” aku tanya dia balik.

“Entahlah. Mak aku kata, kalau orang ada membela hantu ni, dia tak solat dan puasa macam kita. Dia pun akan ada amalan yang perlu dilakukan setiap kali bulan mengambang penuh. Aku tengok Hani tu elok je solat puasa dan setiap masa dia bersama kita. Tak pernah pun nampak dia amalkan perkara-perkara yang tak betul,” kata Azira.

“Betul juga tu,” sahutku.

“Korang ni dah kenapa? Dari tadi aku tengok lain macam je,” tiba-tiba Husna muncul dari arah belakang kami dengan berselubung tuala. Melompat aku dan Azira.

“Kau ni Husna, terkejut kami tau tak? Bagi salam dulu boleh tak?” Azira marah.

“Kalau aku bagi salam pun, korang terkejut juga,” kata Husna sambil membuka tudung saji kat atas meja.

“Kau tak solat subuh ke Husna?” aku tanya.

“Aku cuti,” sahut Husna.

“Bukan kau dah cuti minggu lepas ke?” aku tanya lagi.

Husna tak jawab, terus melangkah ke bilik air, malas nak layan soalan aku agaknya.

“Zira, aku mengantuk sangat ni. Kita tidur sekejap boleh tak? Nanti lepas bangun, kita cuba periksa bilik dan almari Hani, mana tau kot boleh jumpa apa yang tak kena,” kataku. Memang mata aku berat sangat. Selalunya kalau aku syif malam, waktu macam ni, aku dah lelap dah.

“Aku pun mengantuk ni. Tapi aku tak berani nak masuk bilik.” Kata Azira.

“Tidur je kat ruang tamu ni. Takpun tumpang bilik Shima,” kataku sambil melangkah masuk ke bilik aku. Aku mengantuk sangat ni. Ditambah dengan apa yang aku nampak tadi, aku rasa kepala aku berat sangat, berdenyut-denyut seperti nak pecah. Perkara yang paling aku risau, migraine.

Aku tersedar pukul 10 pagi bila Husna panggil aku. “Rina, bangun. Hani kemalangan kat kilang,” aku dengar suara Husna agak kalut.

Mendengarkan Hani kemalangan, aku terus buka mata. Aku nampak Husna dengan wajah risaunya.

“Hani kemalangan kat kilang?” tanyaku semula, mana tahu kot aku salah dengar.

“Iye Rina, Hani kemalangan kat kilang. Tangan kirinya termasuk dalam kipas kilang. Dengar cerita parah juga. Jom kita pergi tengok.” Kata Azira, ada air mata di kelopak matanya.

“Mana tahu?” aku bertanya, masih rasa tak percaya.

“Shima call tadi,” kata Azira.

“Di mana dia sekarang?” aku bertanya lagi.

“Mereka dah hantar ke hospital. Cepatlah Hani, jom kita pergi,” kata Azira.

Aku bingkas bangun. Bersiap ala kadar. Ambil kunci kereta myvi aku. Kat situ, aku dengan Hani je yang ada kereta. Kalau nak ke mana-mana, kami akan naik samada kereta aku atau kereta Hani.

Sampai di hospital, Zaidi dan dua orang pekerja bahagian sumber manusia sedang berdiri di luar bilik kecemasan. Hani masih di dalam bilik bedah. Tak sedar aku mengalirkan air mata. Ya Allah, kau permudahkanlah urusan Hani. Kipas kilang tak sama macam kipas kita di rumah. Kipas tu diperbuat dari besi dan besarnya sepuluh kali ganda kot dari kipas biasa kita kat rumah. Aku pernah terbayangkan, kalaulah tangan kita terkena bila kipas kilang tu, memang hancur kot.

“Teruk ke Zaidi?” aku bertanya.

“Aku tak pasti. Masa aku sampai, mereka dah bungkus tangannya dengan kain. Dia tak sedar diri. Doktor kata dia kehilangan banyak darah.” Kata Zaidi. Aku dan Azira terduduk di kerusi kat tepi pintu bilik bedah. Husna berdiri agak jauh dari kami. Sesekali nampak dia menyapu pipinya, menangis barangkali.

Lepas satu setengah jam, lampu merah di atas pintu bilik bedah tertutup menandakan pembedahan selesai. Pintu terbuka dan keluar seorang doktor dan seorang jururawat.

“Macammana keadaan dia doktor?” Zaidi bertanya, jelas kerisauan di wajah pemuda yang tua dua tahun dari aku tu.

“Dua jarinya tak dapat diselamatkan. Tapi bahagian lain ok, kami dah jahit semula. Sekarang ni mungkin dia masih tak sedar. Tapi dia stabil. Kita tunggu dia sedar nanti. Tolong maklumkan keluarganya. Sebab ada beberapa borang yang perlu ditandatangani,” kata doktor lelaki separuh abad itu.

Dan air mata aku laju tak tertahan lagi. Azira dah teresak-esak tak dapat nak cakap apa-apa. Zaidi terduduk kat tepi pintu bilik bedah.

Tak lama lepas tu, pintu bilik bedah terbuka, katil ditolak keluar oleh dua orang jururawat. Aku, Azira dan Zaidi terus merapati katil dan kelihatan Hani masih tak sedarkan diri.

“Rina dan Azira, korang ikut Hani ke wad. Aku selesaikan hal kat kaunter dulu. Nanti dah selesai aku datang ke wad,” kata Zaidi. Aku dan Azira hanya anggukkan kepala dan mengikut jururawat menolak katil Hani ke wad.

“Husna mana?” aku tanya Azira, baru perasan Husna dah hilang.

“Dia dah balik kot, dia kan kena masuk kerja syif petang nanti,” kata Azira. Aku tengok jam tangan, dah pukul 1, patutlah pun.

“Sian dia, balik naik teksi la kot. Aku pun tak ingat, Kalau tak, aku suruh dia bawa balik myvi aku,” kataku.

“Dia taknak kacau kita agaknya. Tu yang balik senyap-senyap. Tapi tadi aku nampak dia menangis,” kata Azira.

“Haah, aku pun nampak.” Kataku. Mahu tak menangis bila kejadian seumpama itu menimpa kawan kami. Memang kami bergaduh, memang adakala kami tak sehaluan. Tapi kami sayang di dalam hati. Tambahan dah hidup merantau macam ni, kawan-kawan la keluarga kami.

Selepas Hani ditempatkan di wad 3D, jururawat meninggalkan kami. Aku dan Azira berdiri kat tepi katil, memerhati Hani yang tidur lena, seolah tiada apa yang terjadi.

“Rina, kau tahu ke keluarga Hani ni kat mana? Ada nombor telefon? Doktor suruh maklumkan keluarga dia kan,” kata Azira.

“Nanti tanya kat kilang, diorang mesti ada simpan maklumat peribadi Hani,” kataku.

-Bersambung-

One thought on “HANI

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s