HANI

Bab 5

Lepas seminggu dari hari kejadian, Seha hantar surat berhenti kerja. Kami pun terkejut dengan berita tu. Kami ni punyalah tak sabar nak tahu apa yang terjadi kat tandas haritu.

“Atirah, kau yang ikut dia balik malam tu kan? Dia tak cakap apa-apa kat kau ke? Apa yang terjadi masa kat tandas tu?” aku tanya Atirah masa rehat kat kilang.

“Masa balik tu, dia tak cakap apa-apa. Tapi masa dia bagi surat tu kat aku untuk bagi kat kilang, dia kata dia takkan jejak ke kilang ni lagi.” Kata Atirah.

“Kenapa?” aku bertanya lagi, ingin tahu apa yang terjadi.

“Katanya masa dia masuk tandas malam tu, ada satu tandas yang terbuka. Empat lagi tertutup, maknanya ada orang. Jadi, dia pun masuklah ke tandas yang terbuka. Lepas buang air, dia pun nak keluar dari tandas tu. Tapi dia perasan ada benda bergerak kat atas dinding tandas. Dia mendongak. Masa tu dia nampak satu lembaga perempuan, rambutnya panjang mengurai, pakai baju putih dengan gigi taring dan matanya merah, sedang bertenggek kat atas dinding tu, pandang ke arah dia. Dia terus lari keluar. Belum pun sempat dia keluar dari pintu utama tandas tu, lampu padam. Dia kata dia ada jerit panggil sesiapa kat luar, tapi takde siapa yang dengar. Masa tu, dia dengar bunyi kelima-lima pintu tandas ditutup dan dibuka berkali-kali. Dia cuba meraba-raba untuk cari pintu keluar dari tandas tu tapi dia rasa ada sesuatu pegang tangan dia. Benda tu keras dan menggerutu, umpama dahan kayu yang dah mereput. Masa tu dia masih mencuba untuk lepaskan tangan dia dari pegangan tu tapi tak berjaya. Dia Cuma mampu berdiri dan menangis menahan takut kat dalam tu. Lepas beberapa saat kot lampu terpasang dan masa ni dia sedang menghadap cermin. Dan dia nampak ada lima lembaga perempuan tadi sedang berdiri di belakangnya dan melihat ke arahnya melalui cermin tu. Masa tu la dia menjerit dan Kak Ani datang,” cerita Atirah panjang lebar.

Aku pandang keliling, begitu juga dengan beberapa orang kawan yang makan bersama kami. Meremang bulu roma. Aku baru je bercadang nak pergi tandas lepas makan ni. Tapi nampak gayanya aku tahan je la.

“Kenapa dia tak beritahu masa dia dah keluar tandas tu? Kot la ada orang nak menyakat ke, boleh le kita pergi tengok masa tu,” kata Roha.

“Sampai dia keluar tandas, benda tu masih ikut dia. Masa kita berkerumun kat dia tu, benda tu ada menyelit di antara kita semua. Masa Mr Tan datang, benda tu berdiri kat belakang Mr Tan,” kata Atirah sambil memasukkan nasi ke dalam mulutnya.

Aku dan beberapa orang kawan lagi berpandangan sesama sendiri.

“Cuba kau tanya kawan serumah kau tu, apa ke namanya, Hani kan. Dia kan pandai tengok benda-benda pelik macam ni. Mana tahu dia pun pernah nampak dan tahu apa benda tu,” kata Sue kepada aku. Azira yang sedang makan bersama kami masa tu nyaris nak tersedak.

“Kau kenapa Zira? Tiba-tiba tersedak. Makan la perlahan-lahan,” kata Sue sambil menggosok belakang Azira.

“Korang tak payah la nak tanya pasal Hani tu kat dia ni dah. Diorang dah putus kawan,” kata Azira. Aku jegil mata kat dia.

“Kenapa pula nak putus kawan? Hani tu ok, Cuma imaginasi dia tu keterlaluan. Tapi adakala apa yang dia cakap memang betul. Dulu dia pernah cakap kat aku, jangan tengok cermin lama-lama, nanti bayang kita kat dalam cermin tu pandang kita balik dan masa tu kita pula jadi bayang-bayang dia. Aku memang anggap merepek je tu. Sampai satu hari tu, aku test la tengok cermin kat tepi kilang ni. Lama juga aku perhatikan diri aku kat dalam cermin tu. Tiba-tiba bayang aku kat dalam cermin tu kelipkan matanya sedang aku tak kelip mata masa tu. Aku angkat tangan aku, tapi bayangan kat dalam cermin tu angkat lambat sikit, tak sama masa dengan aku. Masa tu aku dah mula teringatkan apa yang Hani cakap. Sejak itu, aku tak berani nak tengok cermin lama-lama,” Kata Roha.

“Hish korang ni. Percaya sangat dengan Hani tu. Dia tu sakit otak aku rasa. Korang jangan ikut nak sakit otak juga,” kataku sambil bangun dan berlalu dari situ.

“Azira, teman aku ke tandas sekejap,” kataku mengajak. Azira akur, dia bangun dan mengikut aku ke tandas.

Melilau mata kami melihat keliling tandas masa mula-mula masuk. Memang ada satu lampu tak menyala da nada satu lampu lagi berkelip-kelip lampunya, tunggu masa nak terbakar lah tu. Maintenance kilang ni jenis yang lembab buat kerja, kalau dah terdesak sangat, barulah diorang datang tukarkan apa yang patut. Pernah tiga mangkuk tandas tersumbat, mereka tak datang baiki. Sampai akhirnya kelima-lima mangkuk tersumbat, barulah mereka datang terhegeh-hegeh. Memang kena maki la jawabnya dengan pekerja operasi.

“Azira, aku memang tak tahan nak buang air ni. Kau tunggu kejap ye. Jangan keluar tau,” kataku.

“Iyelah, tapi kau jangan lama sangat. Aku pun cuak juga ni,” sahut Azira sambil memerhati keliling.

Aku terus masuk ke dalam salah satu tandas di situ. Selesai urusan aku, aku panggil Azira sebab aku tak dengar bunyi suara dia kat luar. “Azira, kau masih ada kat luar kan?” aku panggil dia. “Hmm..” aku dengar suara menyahut. Dan lepas tu aku dengar bunyi air paip dipasang.

Cepat-cepat aku keluar. Aku nampak Azira berdiri kat tepi dinding, menghadap cermin dan  matanya memandang aku di dalam cermin. Aku rasa lega bila nampak Azira masih ada kat situ.

Aku pergi ke salah satu sinki dan basuh tangan. Seketika kemudian aku angkat muka aku dan pandang cermin besar kat depan aku. Masa ni aku nampak Azira berdiri kat belakang aku dan pandang aku kat dalam cermin.

“Kau kenapa Zira? Lain macam je aku tengok. Tadi mata kau tak hitam macam tu? Kau pakai lens ke?” aku tanya. Memang Azira nampak lain macam. Selalunya dia takkan dia diam dan pandang aku macam tu je. Mulutnya sama macam aku, banyak cakap.

Azira masih diam tak bercakap apa-apa, hanya memandang ke arah aku dari dalam cermin. Aku dah mula rasa cuak. Dah rasa lain macam dah. Perlahan-lahan aku melangkah ke pintu keluar dari tandas. Dari sisi mata, aku pandang Azira kat dalam cermin. Dia mengikut belakang aku dan memandang aku. Tuhan je la tahu apa aku rasa masa tu. Rasa kaki aku ni berat sangat. Rasa macam pintu keluar tandas tu jauh sangat padahal lima enam langkah je. Jantung aku berdegup kencang sampai rasa sakit. Ini kot rasanya orang yang heart attack tu.

Baru je aku nak pegang tombol pintu, tiba-tiba ada seseorang membuka pintu itu dari luar. Azira menjenguk. Aku toleh ke belakang aku, tiada sesiapa.

“Eh sori sori. Aku keluar kejap tadi, tiga orang staf menjerit kat luar. Aku jenguk nak tengok. Lupa pula kau masih kat dalam tandas,” kata Azira dan aku diam seribu bahasa.

“Rina, kau marah aku ke?” Azira tanya aku.

Aku tak jawab, terus melangkah keluar. Azira ikut belakang belakang. Enam line sedang berjalan, dua line berhenti. Keadaan memang nampak kecoh.

“Siapa yang menjerit? Masih lagi ke?” aku tanya Azira yang berjalan kat belakang aku.

“Ada kat depan pintu pejabat. Diorang menjerit-jerit macam kena histeria. Tapi Mr Tan suruh tutup dua line mesin je, yang lain masih jalan,” kata Azira.

“Rina, Azira, korang tolong kat line 6. Kurang orang kat situ.” Kata Shafik, supervisor syif malam tu. Aku dan Azira akur, kami melangkah ke line 6 dan menarik sarung tangan getah dari acuan di mesin yang sedang berjalan.

Kami semua tak banyak bercakap malam tu. Tapi kami memang dengar bunyi bising kat bahagian pejabat. Dengar cerita, mereka ada panggil sami untuk tengokkan kilang tu. Kebetulan staf operator  yang terkena histeria itu adalah dua orang asli dan seorang india. Aku dengar, mereka bertiga ni siap bersilat depan office. Dan bercakap dalam bahasa yang mereka tak faham.

Aku memang tak pergi mana dah malam tu. Ke tandas tak, keluar makan pun aku taknak. Azira pun cuak. “Rina, kau masih marah kat aku ke sebab tinggalkan kau dekat tandas tadi? Aku minta maaf sangat-sangat. Aku excited sangat nak tengok apa jadi sampai aku lupa nak tunggu kau,” kata Azira memujuk aku.

“Takde apa apa, kau jangan risau. Tapi kau jangan ajak aku teman kau ke tandas lagi malam ni,” kataku kepada Azira.

“Maknanya kau masih marah kat aku le tu. Nak balas dendam ek?” Azira tanya aku lagi.

Aku hanya gelengkan kepala. Aku taknak beritahu dia apa terjadi kat tandas tadi. Cukuplah tiga orang dah kerasukan. Mujurlah aku dapat bertahan. Memang ada yang mengusik kilang ni.

Masa aku dan Azira nak balik, kami berselisih dengan Hani dan Shima yang nak masuk syif pagi menggantikan kami.

“Jangan pergi kat kolam kecil kat sebelah gunung tepi pagar kilang ni. Dia ada tunggu kat situ,” aku dengar Hani cakap macam tu. Aku pandang dia, untuk pastikan dia bercakap dengan siapa.

Hani pandang aku. “Kenapa Hani?” Shima tanya dia semula.

“Jangan pergi. Dia ada tunggu kat situ.” Kata Hani tegas.

“Dia tu siapa?” kata Azira.

“Penunggu tempat ni,” kata Hani lalu melangkah terus meninggalkan kami.

Aku terus melangkah keluar kilang. Azira mengikut kat belakang aku.

“Sampai bila kau taknak bertegur sapa dengan Hani tu Rina? Dia kawan kita kot. Biar je la dia macam tu, dah perangai dia. Dia baik, cuma sikap tu je yang pelik. Tak best la macam ni, dulu seronok je kita makan sama-sama, tengok tv sama-sama. Sekarang semua dah rasa janggal. Hani keluar kau masuk bilik, Hani makan, kau berhenti makan. Kecil hati dia tau,” kata Azira sambil berjalan seiringan dengan aku.

“Aku masih tak boleh terima apa yang dia buat. Aku bukannya membenci dia. Aku cuma nak dia berubah. Cuba jadi matang. Jangan keterlaluan mengikut imaginasi dia sampai mempengaruhi orang lain,” kataku.

“Apa kata kalau apa yang Hani cakap tu adalah benar. Dia memang ada kebolehan untuk lihat semua benda tu?” Azira masih pujuk aku.

“Eh, hellooo…. Duduk pegang paku dengan penukul sebab nak paku leher Pontianak. Itu kau kata kebolehan? Letak patung teddy bear kat tingkap sebab nak halang jin masuk rumah, itu kau kata kebolehan? Duduk tengah malam buta tengok orang tidur sebab taknak bagi roh orang tu sesat, itu kebolehan? Cukuplah dia sorang otak macam tu, korang janganlah terpengaruh,” kataku agak geram dengan mereka yang masih nak mengikut rentak Hani.

Azira diam. Masa ni kami dah sampai tangga kat bawah flat rumah kami.

“Kau nak beli sarapan tak?” Azira tanya aku. Dia berhenti kat kedai nasi lemak Makcik Kiah yang berada betul-betul kat tangga bawah flat tu.

“Aku taknak. Tak lapar pun. Roti semalam ada lagi, aku makan roti je,” sahutku lalu melangkah menaiki anak tangga ke tingkat 4 rumah kami.

-Bersambung-

One thought on “HANI

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s