HANI

Bab 4

Malam tu pukul 10.30 malam Shima dan Azira balik dari kilang sebab mereka kerja di syif petang. Masa tu aku dan Husna sedang menonton rancangan realiti kat televisyen. Hani pula kat dalam bilik. Aku tak tahu apa dia buat, aku taknak tanya. Lagi aku tanya, lagi aku pening. Sebaik Shima dan Azira masuk, mereka terus ke meja makan. Tadi Husna dah message mereka beritahu tak payah beli makanan sebab nasi dan lauk yang dia masak siang tadi ada lebihan.

Masa mereka makan, Shima tanya aku samada lori dah angkut barang-barang Mak Esah jiran kami tu ke. Aku dan Husna pandang Shima. “Kenapa pula lori nak angkut barang dari rumah Mak Esah? Dia nak pindah ke?” aku bertanya.

“Sebab semalam Pakcik Salim tuan rumah kita dan rumah sebelah ni call, katanya hari ni ada lori nak datang ambil barang Mak Esah semua. Tu dia pesan, kalau takde orang yang menunggu, dia suruh kita bukakan pintu. Sebab dia tahu Mak Esah ada tinggalkan kunci rumah dia kat kita setiap kali dia balik kampung. Pakcik Salim pesan la, suruh bagi kunci kalau dia tak sampai lagi masa lori sampai. Aku pun lupa nak beritahu kau korang,” kata Shima. Azira tak peduli dengan perbualan kami, dia makan je.

“Takde pula lori atau sesiapa datang minta kunci. Tak tahulah kot mereka datang masa kau dan Azira dah pergi dan kami pula belum sampai rumah masa tu.” sahutku.

“Tapi kenapa pula mereka nak angkut barang Mak Esah semua? Mak Esah nak pindah ke?” Husna pula bertanya.

“Laaa… Korang ni lupa ke? Kan Mak Esah dah meninggal dunia kelmarin? Korang tak tahu ke? Heboh satu flat pasal ni, takkan korang tak tahu?” kata Azira, dah kenyang kot dia, itu pasal dia boleh bersuara dah.

“Mak Esah dah meninggal dunia? Bila?” aku bertanya sambil membeliakkan mata. Memang aku terkejut. Begitu juga Husna.

“Kan dah cakap tadi, dia meninggal kelmarin,” Azira menyahut sambil bangun dan membawa pinggannya ke dapur.

“Aku tahu Mak Esah balik kampung sebab sakit. Tapi petang tadi, ada je dia kat rumah. Aku ingat dia dah balik la. Anak jagaan dia semua pun ada main kat luar tadi,” kata Husna membuatkan Shima nyaris nak tercekik dan Azira yang sedang membasuh pinggannya di dapur pun turut terhenti dan menjenguk ke ruang tamu tempat kami sedang berkumpul.

“Korang nampak kat mana?” Shima bertanya.

“Kat rumah dia la,” aku menyahut.

“Petang tadi?” Azira pula bertanya.

“Haah,” sahutku.

“Kau nampak?” Shima pula bertanya.

“Kami tak tengok la. Hani yang nampak,” Husna menyahut.

Kami terdiam dan saling berpandangan sesama sendiri.

“Iyelah, petang tadi. Aku nampak kat rumah dia. Kenapa banyak tanya ni?” tiba-tiba Hani muncul dari dalam bilik dan duduk di meja makan bersama-sama Shima. Aku, Husna, Shima dan Azira terdiam sekejap. Semua mata memandang ke arah Hani yang menarik sepotong timun lalu memasukkan ke dalam mulutnya.

“Hani, kau biar betul. Mak Esah dah meninggal kot. Ini dah sah. Kau tu yang tak sah.” Kata Shima.

“Kalau macam tu, aku nampak roh dia la tu,” kata Hani bersahaja sambil bangun dan duduk di depan televisyen dan mengambil remote lalu mengubah siaran televisyen.

Aku, Azira, Shima dan Husna berpandangan sesama sendiri. Rasa nak bertanya lagi, tapi aku buat isyarat suruh mereka diam. Aku sebenarnya kalau boleh taknak terus melayan Hani ni, sebab nampak macam keadaannya makin teruk. Aku dapat rasakan Hani ni sakit.

Aku dan Husna bangun dan meninggalkan ruang tamu lalu masuk ke bilik masing-masing. Shima pula berhenti makan dan Azira terus masuk ke bilik air untuk mandi. Tinggallah Hani kat ruang tamu menonton televisyen sendirian.

Sebaik je aku masuk ke dalam bilik, aku dah terkejut dah. Sebelum aku pasang lampu, aku nampak ada sesuatu kat dalam bilik, di tepi tingkap. Aku cuba nak pastikan apa benda tu. Aku nampak satu bentuk badan duduk di atas kerusi sambil menghadap tingkap. Menggeletar aku masa tu. Mahu tak terkejut.

Aku raba suis lampu kat tepi pintu. Sebaik terpasang, aku nampak ada satu teddy bear besar didudukkan di atas kerusi dan dihadapkan ke tingkap. Terduduk aku kat pintu masa tu. Sebaik sahaja debar di dada aku hilang, aku melangkah ke ruang tamu mencari Hani.

“Hani, kau buat apa dengan teddy bear besar kau tu? Kenapa kau dudukkan dia macam tu? Dalam gelap pula tu, terkejut aku tau tak?” kataku dengan nada yang agak tinggi hingga Shima keluar dari biliknya.

“Kenapa Rina?” Dia tanya aku.

“Kau masuk bilik aku. Kau tengok apa si Hani ni letak kat tepi tingkap,” kataku kepada Shima.

Shima pun melangkah ke bilik aku. Aku dengar dia ketawa. Memang gelihati kalau lihat balik macammana dia letak teddy bear tu kat atas kerusi tu, pakaikan tshirt dan tutup kepalanya dengan kain batik. Memang nmpak comel dan kelakar tapi kalau dalam keadaan panik, kau tak nampak benda tu kelakar pun.

“Kau ni Hani, kenapa kau buat macam tu? Kalau aku pun terkejut. Kot iye pun nak mengusik, janganlah buat macam tu. Kalau kena heart attack si Rina ni kang, kita juga yang susah.” Kata Shima dengan baki ketawa yang masih belum reda.

“Siapa kata aku nak usik? Aku memang letak kat situ. Supaya jin tak tak masuk sebab dia nampak ada orang jaga tingkap tu. Kau ingat jin masuk ikut pintu?” kata Hani dengan matanya masih terpaku ke televisyen.

“Tapi kan Hani? Mana kau dapat teddy bear sebesar itu? Setahu aku, kau ni bukannya suka dengan teddy bear anak patung semua ni. Selama ni aku tak pernah nampak pun teddy bear besar tu kat dalam rumah ni,” kata Shima.

“Ada. Dulu dia kecil je, aku letak dalam almari. Dia jaga kita malam-malam, masa kita semua tidur. Tapi sebab hari-hari aku bagi makan nasi, dia besar la. Tu yang sekarang dia nak balas budi aku, dia jaga kita, jangan bagi jin masuk rumah ni,” kata Hani buatkan aku urut dada menahan marah. Makin parah Hani ni.

“Kau ni Hani. Kang aku kata kau tak belajar agama, kau marah aku. Kau tak dengar ke ustaz kata, anak patung kalau kau hias dia macam orang, itu yang buat malaikat tak masuk rumah tapi jin akan masuk. Kau tak tahu ke?” aku cakap dengan nada sindir dan menjeling ke arah Hani yang masih tak pandang aku mahupun Shima.

Shima pandang aku dengan rupa takut dah. Dia tahu aku dah nak mengamuk. Dia tahu kali ni aku betul-betul marah dengan tindakan Hani. Seketika kemudian, Azira dan Husna keluar dari bilik sebab terdengar bunyi riuh kat ruang tamu.

“Aku tahu la. Tapi aku letak dia kat situ, memang untuk jaga kita. Kau je yang tak tahu, setiap malam dia tengokkan kau sekali,” kata Hani bersahaja, betul-betul mencabar kesabaran aku.

“Dah dah la Hani. Kau ni sakit ke? Nampak orang mati la, jin masuk rumah la. Kot ye pun kuat berimaginasi, janganlah melampau sangat,” kataku dengan nada geram yang masih belum reda.

“Siapa yang berimaginasi? Semalam aku nampak benda tu masuk ikut tingkap. Lembaga hitam, badannya berbulu macam kingkong. Telinganya panjang, lidahnya pun terjelir keluar. Dia naik atas katil kau, dia jilat kaki kau,” kata Hani.

Aku tarik nafas panjang. Husna merapati aku dan menggosok belakang aku, menyuruh aku bersabar.

Aku taknak dengar lagi, aku terus masuk ke bilik aku. Aku ambil teddy bear besar dia tu, aku campak ke ruang tamu. Hani pandang aku macam tu je. Takde macam nak marah ke, atau nak minta maaf ke. Dia tarik teddy bear dan peluk sambil terus menonton televisyen.

“Kalau jin tu masuk ikut tingkap tu nanti, jangan kata aku tak beritahu,” katanya selamba tanpa pedulikan aku yang memandangnya dengan marah. Aku tak balas dah. Aku melangkah ke bilik dan hempas pintu bilik kuat-kuat.

Aku tidur. Memang aku marah. Dan aku nekad, taknak bercakap dengan Hani sampai dia berubah. Aku nak dia jadi matang, tak terlalu berimaginasi sampai menjejaskan kehidupan dia dan kami yang berada kat dalam rumah tu.

Keesokan harinya, aku berjumpa dengan supervisor. Aku minta ditukarkan syif. Aku taknak syif yang sama dengan Hani. Hani tanya aku kenapa tukar syif. Aku jawab terus terang, aku taknak sama syif dengan dia. Aku beritahu terus terang, aku taknak ada masa bersama dengan dia. Aku nak bila aku balik, dia tiada di rumah dan bila dia balik, aku pula yang tiada di rumah. Hani diam je, tapi wajahnya nampak muram. Aku tak peduli, bukan aku membenci dia, tapi aku nak dia sedar bahawa dia sedang merosakkan dirinya sendiri dengan imaginasi yang melampaui batas.

Kat rumah pula, aku tukar bilik dengan Azira. Mereka pujuk juga aku. Dah dua tahun kami tinggal bersama, tiada masalah. Mereka nasihatkan aku supaya tak panjangkan hal teddy bear tu. Aku je yang taknak beritahu mereka, bukan pasal teddy bear tu je yang buat aku marah. Banyak benda lain yang dia psiko aku kat dalam bilik tu. Cuma sebelum ni aku tak layan sangat. Tapi kali ni dah melampau, sampai Mak Esah yang dah meninggal dunia tu pun dia boleh nampak.

Tapi Azira akur, dia pindah masuk ke bilik bersama Hani. Dia pun ada kata, memang begitu sebaiknya. Dia risau juga, takut nanti kalau aku masih kat satu bilik dengan Hani, keadaan makin serius pula.

Seminggu lepas tu, ada kejadian kat kilang. Masa tu aku di syif malam. Seha yang sama syif malam dengan aku, tiba-tiba menjerit kat dalam tandas. Kami semua terkejut. Sampai ada yang berhenti menarik sarung tangan dari acuan, menyebabkan berpuluh sarung tangan rosak dan pihak kilang terpaksa hentikan mesin kerana sarung tangan dah jadi berlapis lapis di setiap mesin dan tak boleh dikeluarkan dari acuan.

Kak Ani yang berada paling dekat dengan tandas masa tu. Dia terus berlari masuk ke dalam tandas. Seketika kemudian kelihatan Kak Ani memapah Seha yang nampak pucat dan tak berdaya, keluar dari pintu tandas. Kak Ani dudukkan Seha kat tepi dinding, berdekatan dengan mesin di line 3. Aku pula kebetulan berada di line 3 masa tu.

Kak Ani ambil air dari botol mineralnya, lalu disapukan ke muka Seha yang masih pucat dan matanya masih melilau memandang sekelilingnya. Beberapa pekerja kilang mengerumuninya. Hanya beberapa orang je yang masih setia di mesin tapi memang tak boleh kawal semua. Akhirnya mesin dihentikan. Bos kami yang kebetulan berada di kilang masa tu, terus datang ke tempat operasi mesin.

“Ini apa hal? Kenapa semua berhenti? Mesin sudah rosak la,” kata Mr Tan dengan nada yang agak tinggi. Bos mana yang mahu rugi kan.

“Mr Tan, Seha tadi masuk tandas, dia menjerit. Sampai sekarang dia masih tak boleh cakap,” kata Zaidi, selaku supervisor di syif malam masa tu.

“Dia jerit, you tanya la apa pasai. Satu orang sudah cukup. Apa pasai semua orang mahu berhenti dan tengok sama dia?” tanya Mr Tan lagi masih tak puas hati dengan kejadian malam tu. Kami pun mencebik tengok Mr Tan, selama hari ni, kilang untung, takde pun datang sampai kawasan mesin operasi. Tapi sebab mesin berhenti, laju pula sampainya.

“Sudah sudah. Zaidi, you hantar dia balik rumah dia. Yang lain, clearkan mesin. Keluarkan semua sarung tangan yang rosak. Cepat hidupkan mesin balik,” Mr Tan bagi arahan.

“Kami tak tahu rumah dia Mr Tan. Selalunya dia datang naik bas kilang,” kata Zaidi.

“Aiya.. Siapa tahu dia punya rumah?” Mr Tan bertanya sambil pandang wajah setiap orang kat depan dia.

“Saya tahu Mr Tan. Tapi saya punya syif belum habis. Nak bawa dia balik, saya pun kena tunggu bas kilang sebab saya pun naik bas kilang,” sahut Atirah.

“Takpa, Zaidi, awak bawa ini Seha dengan Atirah. Hantar Seha balik. Atirah tunjuk jalan. Cabut 5 acuan di line 7. Line 7 kurang 2 orang. Yang lain jalan sama,” kata Mr Tan sambil berlalu meninggalkan kami yang masih terpinga-pinga melihat Seha yang masih lemah dan melihat bos yang jarang kami nampak.

-Bersambung-

3 thoughts on “HANI

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s