HANI

Bab 3

“Kalau Uncle Sam atau Uncle John, mestilah korang kenal. Ini penunggu yang korang tak kenal,” kata Hani bersahaja sambil meneguk air kopinya.

“Siapa Hani? Cubalah kau cakap terus,” kata Adli yang diam sejak tadi.

“Cepat weh! Orang lain pun nak sarapan juga. Tengok jam tu. Pergi masuk line balik,” tiba-tiba dengar suara lantang Kak Saodah menjerit dari pintu kafe. Kami menoleh ke arahnya serentak. Dah macam singa lapar aku tengok. Kak Saodah ni salah seorang line leader kami. Dia yang kena ganti orang dalam line, kalau ada sesiapa nak solat ke, nak pergi tandas ke, ada kecemasan ke. Kira dia jadi pengganti sementara la.

Aku tengok jam tangan. Kami dah terlebih lima minit. Patutlah bengang member tu. Kelam kabut kami bangun dan masuk ke line kami semula.

Kat line, kami takde masa nak bercakap. Sebab acuan tangan tu laju sangat, kira-kira 3 saat untuk setiap acuan tangan lalu kat depan kami untuk ditarik sarung tangan getah tu. Bukan tak boleh sembang, tapi supervisor nak kami fokus. Takut kami terlepas acuan, sarung tangan jadi berlapis, dah kira rosak. Lagi satu, kalau kami tak fokus, sarung tangan tu boleh terkoyak sebab ianya nipis dan mudah koyak sebab masih panas. Pun kira rosak juga.

Pukul 2.15 petang, aku dan Husna berjalan keluar kilang. Ketika kami nak menyeberang jalan, Hani berlari-lari datang ke arah kami. “Apasal tak tunggu aku?” katanya sambil membetulkan beg galasnya.

“Ingatkan kau nak buat overtime.” Kataku perlahan sambil melihat kenderaan yang lalu lalang.

“Memang semalam aku ingat nak buat overtime. Tapi nanti siapa nak bagi adik aku makan,” kata Hani sambil sama-sama melihat kenderaan di depan kami.

“Adik kau? Adik kau kat mana? Tak tahu pun kau ada jaga adik kat sini?” Husna tanya Hani.

“Ada, tinggal sekali dengan kita,” kata Hani sambil berlari menyeberangi jalan kerana kenderaan dah tiada. Husna pula cepat-cepat tarik tangan aku untuk menyeberang bersama Hani.

“Hani. Kau ni macam-macam la. Cuba cakap kat aku, kau ada bela hantu ke pun,” aku bertanya.

“Hish, mana boleh bela hantu. Syirik,” sahut Hani.

“Habis tu? Adik mana pulak? Ke kau gila?” Husna pula bertanya seakan dah hilang kesabaran terhadap Hani.

Hani tak jawab, dia terus melangkah di hadapan kami dan terus menaiki tangga naik ke tingkat 4, rumah sewa kami. Aku dan Husna singgah di kedai kat bawah flat, beli nasi campur. Dah jemu makan nasi kat kilang.

“Hani, kau nak nasi tak?” aku jerit kat Hani yang sedang menaiki tangga.

“Aku dah beli kat kilang tadi. Korang beli korang punya je,” sahut Hani di sebalik dinding flat.

Selesai membeli, aku dan Husna memanjat anak tangga sampai ke tingkat 4. Masa kami masuk ke dalam rumah, kami nampak Hani duduk di meja makan. Ada empat pinggan kat depan dia. Semua pinggan pun dia letak nasi putih. Aku dan Husna berpandangan sesama sendiri.

“Kau hidang untuk siapa tu Hani?” aku bertanya sebaik sahaja masuk ke dalam rumah.

“Adik-adik aku la, kan aku dah cakap tadi?” kata Hani lalu duduk disalah satu kerusi dan makan. Sambil makan, dia betulkan nasi putih di dalam tiga pinggan lain yang dihidangnya bersama tadi.

Aku dan Husna berdiri di tepi meja, memerhati setiap perlakuan Hani dengan wajah pelik.

“Korang ni dah kenapa berdiri kat situ? Dah adik aku tak lalu nak makan.” Kata Hani dengan muka macam nak marah.

Aku dan Husna tak jawab. Kami terus melangkah masuk ke bilik masing-masing. Aku duduk di meja tepi yang berada di dalam bilik, buka bungkusan makanan aku dan makan di situ. Dalam kepala aku, memang berlegar wajah Hani. Aku tak tahu nak jelaskan apa yang berada di dalam kepala aku, tapi semuanya mengenai Hani.

Selesai makan, aku ambil tuala dan pergi ke bilik air. Masa aku lalu kat ruang tamu untuk ke bilik air, aku nampak Hani sedang mengemas meja makan. Semua nasi putih dalam pinggan pun dah habis. Tak tahulah dia makan atau ‘adik-adiknya’ yang makan. Aku malas nak ambil tahu. Kalau aku ambil tahu, nanti aku pun gila sama macam dia.

Aku terus ke bilik air, mandi dan lepas tu aku solat zohor. Lepas solat aku baring kat katil aku. Aku mengantuk. Tak lama aku letak kepala, aku lena.

Aku sedar bila aku dengar Hani bercakap. Aku buka mata perlahan-lahan. Aku nampak Hani sedang duduk di katilnya. “Jangan bising sangat, nanti Rina jaga, dia marah aku nanti,” kata Hani sambil matanya tertumpu kepada novel yang sedang dibacanya.

“Kau cakap dengan siapa Hani?” aku tanya dia.

“Takde siapa. Kau bangunlah, dah asar ni,” kata Hani sambil terus membaca novelnya.

“Kau dah solat?” aku tanya Hani. “Dah” jawabnya.

Hani ni macam orang lain juga. Dia pun solat, puasa, memasak, makan. Dan dia pun bukan seorang yang jahat atau tak bergaul dengan orang. Dia sama je macam orang lain. Sama macam aku. Tapi aku tak tahu kenapa sikapnya lain sangat. Dia seolah berada di dalam dua dunia, dunia yang sama macam kami dan dunia khayalannya.

Aku bangun dari katil. Tengok jam pukul 5 petang. Lama juga aku terlena. Mungkin penat sangat hari ni. Aku terus ambil wudhu dan solat asar. Lepas solat asar, aku ke koridor belakang rumah, nak angkat kain jemuran yang aku sidai semalam.

“Jangan main kat situ, nanti jatuh,” aku dengar suara Hani. Aku jenguk ke ruang tamu. Aku nampak Hani sedang duduk di muka pintu utama rumah kami.

“Kau cakap dengan anak Mak Esah ke?” aku tanya. Mak Esah ialah jiran kami. Dia memang menjaga anak orang. Dia menjaga tiga orang anak cikgu dan dua orang anak kerani mana entah.

Aku diam. Sekurang-kurangnya aku tahu dia tak cakap dengan ‘adik-adiknya’. Aku angkat kain di ampaian dan letakkannya di atas katil untuk dilipat.

“Aku nak masak untuk makan malam ni. Siapa nak makan? Aku masak lebih,” tiba-tiba dengar suara Husna dari arah biliknya.

“Aku nak! Kau nak masak apa Husna?” aku jerit dari bilik aku.

“Gulai taucu ikan gelama je. Ulam timun dengan sambal belacan,” sahut Husna.

“Ok set. Aku nak tau,” jeritku lagi.

“Kau Hani? Nak tak?” aku dengar Husna bertanya.

“Nak juga. Tapi jangan buat pedas sangat. Nanti adik-adik aku tak lalu makan,” kata Hani.

“Allah. Hani, aku masak untuk kau je, bukan untuk adik-adik kau,” kata Husna.

“Sian adik-adik aku nanti nak makan apa?” Hani bertanya dengan wajah memang takde apa. Aku tak dengar Husna jawab. Tapi aku dah dengar bunyi periuk dan air paip. Maknanya dia dah mula memasak la tu, malas nak layan Hani.

Lepas aku siap lipat kain, aku pergi ke dapur. Husna sedang tumbuk sambal belacan. Ketekung ketekang bisingnya rumah kami.

“Kau nak aku tolong apa ni?” aku tanya.

“Dah masak dah. Kau tolong potong timun je nanti,” kata Husna. Aku anggukkan kepala lalu membuka peti ais dan mengambil timun dari rak.

“Kau perasan tak dalam dua tiga hari ni, sunyi je area kita ni. Selalunya mesti bising dengan anak jagaan Mak Esah sebelah ni kan,” kataku kepada Husna.

“Memanglah, dah Mak Esah takde. Anak jagaannya pun takde la,” kata Husna.

“Mak Esah takde? Dia pergi mana?” aku tanya.

“Kan dah empat hari kot, Mak Esah balik kampung. Dia kan sakit,” kata Husna.

“Eh, kenapa aku tak tahu?” aku bertanya sambil kerutkan dahi.

“Mana aku tahu kenapa engkau tak tahu,” kata Husna.

“Habis tu, tadi Hani kata dia cakap dengan anak-anak Mak Esah tadi?” aku tanya.

“Mana ada anak jagaan Mak Esah tu. Dah empat hari rumah Mak Esah tu kosong Rina oi,” kata Husna sambil mengaut gulai taucu masuk ke dalam mangkuk. Aku diam. Selesai memotong timun, aku jenguk Hani yang masih duduk di muka pintu.

“Hani, kau buat apa lagi kat situ? Masuklah, dah nak maghrib,” kataku.

“Pergi balik rumah korang. Dah nak maghrib ni,” aku dengar Hani bercakap dengan seseorang.

Aku dan Husna berpandangan sesama sendiri. Lepas tu Husna gelengkan kepala dan angkat bahu sebagai isyarat tak tahu.

Hani bangun lalu menutup pintu. Dia melangkah ke meja makan yang telah kami hidangkan makan malam. “Aku lapar la,” kata Hani sambil menggosok perutnya.

“Tadi kan kau beli makanan lunch banyak.” Kata Husna.

“Semua tu adik aku dah makan, aku dapat sikit je,” jawab Hani. Baru je Husna nak buka mulut membalas kata-kata Hani, aku terus memotong, “Pergi ambil pinggan kau, jom kita makan.” Kataku sambil pandang Husna. Husna jegilkan mata kat aku. Aku bagi isyarat suruh dia diam.

Hani mengambil pinggan dan kami makan bersama-sama. Walau menunya ringkas, tapi makan bersama dengan nasi dan lauk yang masih panas, memang menyelerakan. Husna adalah orang yang paling pandai memasak dalam rumah kami tu.

“Hani, tadi kau bercakap dengan siapa kat luar sana?” aku tanya.

“Anak Mak Esah. Mereka taknak balik,” kata Hani sambil makan.

“Mak Esah kan takde dah empat hari?” kata Husna.

“Ada je tu. Tadi dia senyum je kat aku,” sahut Hani.

Aku cuit tangan Husna supaya tak terus bertanya. Aku bukannya apa, dah nak maghrib ni. Nanti entah apa pula dia akan cakap. Walaupun kami tahu Hani ni bercakap perkara yang tak masuk akal, tapi cara dia bercakap tu buatkan kami rasa seram sejuk. Dah la aku sebilik dengan dia.

Tiap-tiap malam, kalau aku terjaga pukul 3 atau 4 pagi, dia mesti sedang duduk kat katil dia memandang ke arah aku. Entah lah berapa kali aku terkejut bila terjaga, ada orang duduk kaku dalam gelap tu.

Pernah la aku tanya dia, kenapa dia duduk macam tu. Katanya dia sedang lihat roh aku keluar. Katanya, masa orang tidur, roh akan keluar dari badan. Sebab tu orang dulu-dulu pernah ceritakan ada orang tidur tak bangun-bangun. Rupanya roh dia terperangkap dalam perigi. Roh tu pergi minum air dalam perigi tiba-tiba ada orang tutup perigi tu. Jadi rohnya tak dapat balik kepada tuan badan. Orang tu hanya boleh bangun selepas ada orang buka penutup perigi.

“Kau ni mengarutlah Hani. Semua tu tahyul. Takdenya sampai macam tu,” kataku.

“Kau tak nampak, memang kau tanya tahyul. Tapi aku nampak. Aku nak pastikan roh kau tak sesat,” kata Hani.

Itulah kali pertama dan terakhir aku bertanya dia bila nampak dia duduk tercongok kat katil dia, sambil memandang aku yang sedang tidur.

Kalau ikutkan hati, memang aku nak pindah bilik. Aku taknak dah bercakap dengan Hani ni. Aku takut aku akan ikut sama gila macam dia.

-Bersambung-

One thought on “HANI

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s