HANI

Bab 2

Aku baring perlahan-lahan. Mataku tak terlepas dari memandang Hani kat depan aku. Dia kekal macam tu, tak bergerak pun. Aku tarik selimut aku, tubuh badan aku keseluruhannya dan aku pejamkan mata aku. Aku taknak tengok apa-apa dah. Kalau benda kat depan aku ni nak terkan aku ke, nak gigit aku ke, aku redha je dah. Kalau beginilah ajal aku, aku tak mampu nak melawannya.

Tiba-tiba tangan aku ditepuk. Aku memang dah buang air tadi, tapi sekarang aku rasa macam nak terbuang lagi.

“Weh Rina, kenapa kau menggeletar ni?” aku dengar suara Hani. Aku buka kain selimut yang menutup seluruh badan aku dah laksana mayat ni. Aku pandang orang yang sedang berdiri kat depan mata aku. Itu Hani.

“Kau dah kenapa Rina?” dia tanya aku.

“Tadi, tadi… masa kau kat bilik Shima, ada orang lain serupa dengan kau duduk kat katil kau, pandang aku,” kataku dengan terketar-ketar. Mata aku melilau melihat ke katil Hani.

“Bila masa pula aku pergi ke bilik Shima? Dari tadi aku duduk kat katil tu, perhati kau pergi dan datang balik dari bilik air,” kata Hani.

“Aik… Maknanya yang duduk kat sini tadi, kau lah?” aku tanya balik.

“Iyelah, aku tengok je kau. Kau membebel suruh aku tidur kan,” kata Hani.

“Habis tu yang call aku dari nombor kau, kata kau kat bilik Shima tu siapa? Katanya Shima mengigau sampai jatuh katil. Siap ketawa lagi,” kataku dah keliru.

Hani berjalan ke katilnya dan terus baring di sana.

“Kau masih pegang penukul dengan paku ke,” aku tanya Hani.

“Benda tu semua dah pergi. Kau tidurlah. Jangan sebut nama dia lagi,” kata Hani sambil berpusing membelakangkan aku.

Aku pandang ke pintu bilik yang tak bertutup rapat. “Hani, kau tutuplah pintu bilik. Aku takut,” kataku. Hani tak menyahut tapi pintu bilik aku tertutup sendiri. Dan aku tak tunggu lagi, terus kembali berkelubung dengan selimut dan entahlah pukul berapa aku lena.

Bangun pagi esok, Hani dah takde kat katilnya. Aku bangun perlahan-lahan. Aku tengok jam kat handphone, pukul 5 pagi. Aku melangkah ke luar bilik. Aku nampak Hani sedang bersenam. Memang setiap subuh dia akan angkat dumb bell dia tu. Nak bagi badan sado kot, walhal tak sedar dia tu perempuan.

Aku terus ambil tuala dan pergi ke bilik air. Selesai mandi, Hani dengan Husna dah menunggu kat tepi bilik air. Kami bertiga je yang syif pagi ni. Lepas kami pergi nanti Azira dan Shima balik dari syif malam. Hani terus masuk ke bilik air. Masa aku nak masuk bilik aku, aku teringat balik pasal semalam. Aku teringat kat ‘Hani’ yang call aku dari bilik Shima dan kata Shima mengigau sampai jatuh katil tu. Tiba-tiba aku baru terfikir, Shima kan syif malam?

Tapi Hani dah kata, dia tak pergi ke bilik Shima semalam. Aku tak puas hati. Aku melangkah perlahan ke bilik Shima. “Kau nak ke mana tu Rina?” Husna tegur aku. “Shhh…” aku letakkan jari dibibir buat isyarat diam kat Husna.

Aku pulas tombol pintu bilik Shima. Aku tolak pintu tu perlahan-lahan. Aku pasang lampu. Tiada sesiapa kat dalam bilik tu. Aku tutup lampu semula dan menutup pintu perlahan-lahan. Belum sempat aku melangkah, aku dengan bunyi seakan seseorang membaling sesuatu ke arah pintu bilik Shima dari dalam bilik.

Husna pandang aku. “Shima ada kat dalam ke? Bukan dia syif malam ke?” Husna tanya aku.

“Takde siapa pun kat dalam bilik tu,” aku menyahut.

“Tu siapa yang baling barang ke pintu tu?” Husna tanya aku. Aku angkat bahu.

Aku pandang ke pintu bilik Shima semula. Husna merapati aku. Aku pulas tombol pintu bilik Shima. “Korang buat apa ni?” Tiba-tiba Hani menegur kami membuatkan kami terhenti membuka pintu bilik Shima.

“Tadi dengar ada bunyi orang baling barang ke pintu bilik ni. Tu kami nak tengok siapa kat dalam,” kata Husna.

Hani terus membuka pintu bilik Shima dan pasang lampu. Aku dan Husna menjenguk ke dalam bilik Shima. Memang tiada sesiapa.

“Takde siapa pun?” Kata Hani sambil melangkah semula keluar pintu bilik dan menutupnya. Aku dan Husna menunggu mana tahu masih ada bunyi barang dicampak ke pintu. Tapi malangnya, tiada.

“Husna, kau pergi mandi cepat. Lambat kang aku tinggal,” kata Hani sambil melangkah masuk ke bilik. Husna terus ke bilik air dan aku mengikut langkah Hani masuk ke bilik.

Aku pandang Hani membuka laci almarinya. Aku jenguk tengok apa yang dia buat sebab berdiri di situ terlalu lama. Aku nampak Hani sedang memegang satu teddy bear.

“Rupa nampak ganas, tapi simpan teddy bear dalam almari,” kataku sambil ketawa kecil, mengusik Hani. Hani pandang aku.

“Ini bukan teddy bear biasa. Teddy bear ni yang jaga kita seisi rumah. Malam-malam dia berjalan dan mengawasi kita semua,” kata Hani sambil meletakkan semula teddy bear itu di tempatnya.

“Kau ni Hani, nak kata kecil lagi, dah besar panjang. Nak kata dah besar, tapi macam tak matang pun ada. Teddy bear je kot,” kataku sambil menyarung uniform kerja ke badan.

“Itulah kau tak tahu. Malam nanti, tepat pukul 3 pagi, kau buka mata. Kau tengok almari aku tu nanti dia terbuka sendiri. Lepas tu kau nampak teddy bear tu berjalan sendiri. Dia panjat katil kau, tengok kau dah tidur ke belum. Lepas tu dia keluar dan masuk ke bilik orang lain pula.” Kata Hani bersungguh-sungguh.

“Hish, kau ni Hani. Dah la. Malas aku nak layan,” kataku mula rimas dengan kata-kata Hani.

“Tadi kau kata dia Cuma teddy bear. Aku beritahu je. Kalau pintu bilik tak tutup, dia yang tutupkan,” kata Hani lagi.

Dan masa ni aku teringat kat pintu bilik yang tertutup sendiri semalam. Dan aku terus siapkan diri aku, capai beg dan terus keluar dari bilik. Makin lama aku bercakap dengan Hani, aku makin gila macam dia kot.

Aku tunggu kat ruang tamu. Hani ikut belakang aku.

“Husna, cepat. Kami dah nak pergi ni,” jeritku.

Beberapa minit kemudian, Husna keluar dari biliknya. Kami bergerak bersama ke kilang yang tak jauh dari flat. Kami jalan kaki je, kilang tu seberang jalan dari flat kami je. Masa melintas jalan besar tu, Hani bagi isyarat suruh kami jalan melintas lagi. Aku dan Husna pun pelik juga. Sebab takde kenderaan kot masa tu.

“Sekejap, bagi mereka ni semua lalu dulu. Kepentingan mereka lebih tinggi berbanding kita,” katanya. Aku dan Husna berpandangan sesama sendiri sambil menggaru kepala yang tak gatal.

“Dah, jom melintas. Mereka dah lepas,” kata Hani sejenak kemudian.

“Siapa yang dah lepas?” Husna tanya Hani.

“Tadi, ada makhluk lain nak lalu. Sekarang kan peralihan masa mereka. Kita dah nak siang, mereka dah nak malam,” kata Hani.

“Makhluk mana pula ni Hani oi? Aku rimas la dengan kau ni Hani,” kataku. Memang aku rimas dengan dia sejak kebelakangan ni. Makin menjadi-jadi gilanya.

“Kau tak nampak ke tadi? Esok kita tunggu mereka nak?” Hani tanya aku. Aku diam, malas nak layan, aku terus melangkah masuk ke pagar kilang. Husna pun mengikut aku.

Aku tengok jam besar kat dinding kilang, pukul 5.50 pagi. Kami masuk ke bilik loker dan simpan beg ke dalam loker masing-masing. Kemudian kami menuju ke papan putih tepi pintu masuk ke tempat acuan tangan tu, melihat kami ditempatkan di barisan mana hari ni.

Mesin acuan tangan kat kilang ni ada banyak. Semuanya ada tiga puluh. Jadi setiap hari sebelum memulakan tugas, kami akan semak di mesin mana kami ditempatkan. Mesin ni kami panggil line. Aku dan Husna kat line 6 hari ni. Hani kat line 10. Kami pun bergegas mengambil tempat masing-masing sebab kawan kami dari syif malam dah nak habis syif. Kami kena gantikan mereka.

Biasanya kami tak sarapan. Terus masuk line mesin masing-masing. Nanti pukul 7.30 pagi, kami akan rehat bergilir untuk setengah jam. Masa tu la kami sarapan. Begitulah rutin kami setiap hari. Setiap minggu syif kami akan ditukarkan. Bermakna kami bekerja di lain-lain syif setiap minggu.

Kebetulan aku nampak Shima baru je bangun dari kerusinya. Aku pergi dekat Shima. “Shima, ada orang ke kat dalam bilik kau?” aku tanya.

“Mana ada orang. Kan aku syif malam semalam. Kenapa?” Shima tanya dengan wajah yang mengantuk.

“Takdelah, dengar macam ada bunyi pergerakan kat dalam bilik tu pagi tadi.” Kata Husna.

“Korang ni. Dah la, pergilah masuk line korang. Kang supervisor marah. Budak syif malam kat line korang pun nak balik dah tu. Aku nak balik tidur,” kata Shima terus berlalu pergi.

Aku dan Husna terus mengambil alih tugas kawan kami yang dari syif malam semalam. Aku dan Husna duduk berhadapan.

Pukul 7.30 pagi, aku dan Husna keluar berehat untuk sarapan. Kami pergi ke kantin kilang. Aku nampak Hani dah duduk kat satu meja dengan Adli dan Zamani. Aku dan Husna terus menuju ke arah mereka dan duduk sekali.

“Korang, aku dengar semalam ada benda pelik terjadi kat kilang ni,” kata Zamani.

“Apa benda yang jadi?” aku bertanya sambil makan nasi lemak dan minum kopi panas.

“Kat bilik ais, ada yang mengajuk,” kata Zamani lagi.

“Mengajuk? Mengajuk macammana tu?” aku tanya lagi dengan mulut yang penuh. Maklumlah, kami ada setengah jam je untuk rehat pagi ni. Pukul 11 nanti baru rehat panjang sikit.

Bilik ais adalah satu bilik di mana ada banyak peti ais di sana. Itu adalah untuk menyimpan susu getah yang dah dibancuh. Sejuk je bilik tu. Ada satu peti ais batu kat situ untuk kegunaan pekerja kilang. Kalau kami nak ais batu, kami akan ambil di sana.

“Rozi, dia pergi ambil ais batu kat bilik ais tu. Kan kita kena ketuk ais-ais tu untuk pecahkannya. Lepas dia ketuk, asa bunyi mengajuk kat sebelah dia. Juga seperti sedang ketuk ais. Masa tu Rozi seorang diri kat bilik tu. Dia tengok keliling takde orang.” Kata Zamani dengan mulut penuh bihun goreng.

“Bergema kot. Bukan mengajuk. Bilik tu kan bertutup, jadi bunyi terpantul balik,” kata Husna yang diam sejak tadi.

“Kita bukannya kerja kat sini baru sehari dua hari Husna oi. Tahu dalam bunyi gema dengan bunyi mengajuk,” kata Zamani.

“Lepas tu apa jadi?” aku tanya.

“Rozi cuba ketuk ais tu beberapa kali untuk pastikan bunyi tu, memang bunyi tu mengajuk. Macammana bunyi Rozi ketuk ais, macam tu la bunyi tu mengajuk. Rozi takut, dia berlari keluar. Dan bunyi mengajuk tu pun ikut berlari kat belakang dia. Dia tengok  bayang kat dinding, ada bayang benda tinggi kat belakang dia sedang ikut dia berlari. Menjeritlah si Rozi macam orang gila berlari keluar dari bilik ais tu,” kata Zamani mengakhiri ceritanya.

Aku dengan Husna dah mula buat muka cuak.

“Ala, dia pun nak makan ais juga,” tiba-tiba Hani bersuara.

“Siapa?” kami bertanya serentak.

“Penjaga kilang ni la,” kata Hani bersahaja.

“Siapa penjaga kilang ni? Uncle Sam? Ke Uncle John” Husna tanya. Uncle Sam dan Uncle John ialah pengawal keselamatan kat kilang tu.

-Bersambung-

One thought on “HANI

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s