HANI

Bab 1

Aku Zarina. Aku bekerja kat sebuah kilang buat sarung tangan getah. Ramai kawan aku kat kilang ni. Aku kerja ikut syif. Kalau syif pagi, masuk pukul 6 pagi balik pukul 2 petang. Kalau syif petang, masuk pukul 2 petang balik pukul 10 malam. Kalau syif malam pula, masuk pukul 10 malam balik pukul 6 pagi. Cuti umum atau hari ahad, kami selalunya diminta buat kerja lebih masa, dengan double payment. Bermakna kilang ni memang tak berhenti beroperasi.

Macam aku yang masih bujang ni, memang tak lepaskan peluang buat overtime. Duit memang lumayan tapi aku takde masa langsung untuk bersosial dengan kawan-kawan selain daripada kawan kilang aku. Sebab pada aku, cukuplah aku berkawan dengan kawan-kawan kilang aku ni, dah tentu memahami segala yang aku lalui sebab mereka pun melalui fasa yang sama dengan aku. Kalau aku kerja syif malam, siang memang aku tidur je la.

Pekerjaan kami ni tak susah tapi remeh dan membosankan sebenarnya. Kerja aku ialah tarik sarung tangan dari acuannya setelah acuan dicelup ke dalam susu getah. Duduk je pun kerjanya. Tapi tak boleh terlepas walau satu acuan tangan. Dah la mesin acuan tu bergerak laju. Kami tak boleh berhenti langsung. Jika kami terlepas satu acuan, bermakna nanti acuan tu akan datang dalam keadaan dua lapis, lagi susah kami nak tarik keluar. Dah la acuan tu panas.

Bayangkanlah kami dengan situasi itu selama lapan jam setiap hari. Rehat pun terpaksa berganti-ganti dengan kawan. Nak pergi tandas pun sama, kena cari orang ganti. Kalau dah tak tahan sangat nak ke tandas, supervisor la yang kena gantikan. Kalau takde supervisor, jawabnya kami wajib tahan. Pernah sekali sekali kawan aku, Adli terkencing kat tempat duduk dia. Lepas tu kena marah, nak buat macammana? Bukannya kami sengaja.

Ok, itu muqaddimah tempat kerja aku. Aku menyewa kat rumah flat berdekatan dengan kilang tempat aku bekerja. Flat tu lima tingkat. Aku menyewa kat tingkat 4. Penatlah naik tangga tapi sewa kat tingkat lagi atas lagi murah. Aku ni berasal Kedah, tapi bekerja kat Melaka. Jauh gak Kedah dengan Melaka kalau nak berulang alik setiap hari, penat satu lagi. Jadi mak aku pun kata, pergilah menyewa kat kawasan yang dekat dengan kilang tempat aku kerja. Kalau ulang alik pun, memanglah tak payah sewa rumah tapi kena keluar duit petrol, masa lagi banyak terbuang kat atas jalan.

Kat rumah sewa aku, aku berkongsi dengan empat lagi kawan aku. Flat kami ada tiga bilik. Dua bilik besar kami kongsi dua orang. Ada satu bilik kecil, seorang sajalah.

Macam aku, aku tak biasa tidur sendirian. Kat rumah aku, aku tidur dengan adik bongsu aku. Jadi, masa nak sewa kat flat ni, aku memang minta nak berdua, sebab aku tak berani duduk sebilik sendirian. Mungkin bukan takut, tapi tak biasa.

Jadi, Azira dengan Husna sewa sebilik. Aku sewa sebilik dengan Hani. Dan Shima sewa sebilik yang kecil tu. Tapi makan minum semua kami kongsi. Kumpul duit bulanan, dan kami bergilir beli barang dan memasak. Sama juga cuci rumah, kami bergilir setiap minggu. Buat masa ni, semua kawan-kawan yang tinggal serumah dengan aku ni, takde la buat hal. Bayar on time, tak perlu minta-minta. Kerja buat ikut giliran. Cuma ada yang bersih ada yang kurang la. Biasalah tu, mana ada manusia yang sempurna. Ada yang tak pandai cuci rumah bersih, tapi dia pandai masak. Ada yang masak tak sedap, tapi dialah cuci rumah paling berkilat berseri.

Masalah kami cuma satu, iaitu rakan sebilik aku, Hani. Dia ni ok, masak sedap, cuci rumah pun pandai. Dia ni agak kasar orangnya, ala-ala tomboy tu. Dengan rambut pendek mengalahkan lelaki. Kat kilang tu, kalau ada bangla atau Nepal kacau kawan-kawan dia, memang cari nahas. Teruk la makan penumbuk si Hani ni. Ada masa aku rasa dapat berlindung dengannya tapi ada masa aku macam terdedah dengan bahaya bila bersama dengannya.

Dia baik. Tapi nak senyum memang payah. Masa makan, dia tak makan dengan kami. Sebab dia kata, kerusi tak cukup. Walhal ada je kerusi untuk dia. Kat rumah kami, meja makan ada 4 kerusi. Kami ni bukannya semua sama syif. Jadi, memang selalunya ada kerusi untuk dia. Katanya nanti kawan dia nak duduk mana. Aku ni pusing keliling, kawan mana entah. Sedangkan masa tu, aku, dia dan Husna je ada kat rumah. Kerusi ada empat. Kalau dia duduk pun, masih ada satu lagi yang kosong. Katanya kawan dia ada empat orang. Betullah kami empat orang tapi ada yang pergi kerja. Kami tinggal bertiga je kot.

Bila dah selalu dia macam tu, kami tak peduli dah. Biarlah dia. Hani ni kuat berangan. Selalu aku tengok dia termenung kat tingkap. Kadang tu macam fokus sangat tengok kat luar tingkap tu. Ada sekali tu aku jenguk la nak tengok apa yang dia tengok tu sampai aku masuk bilik pun dia tak sedar. Tapi aku cuma nampak jalan raya kat belakang flat kami tu je. Dengan kenderaan lalu lalang.

“Kau tengok apa tu Hani? Khusyu sangat sampai tak sedar aku masuk?” aku tegur Hani.

“Tu, budak kecil tu, selalu dia duduk kat situ. Aku rasa dia takde rumah,” sahutnya.

Aku jenguk la keluar, cari budak kecil.

“Mana ada budak kecil kat sana. Itu kan jalan raya,” kataku.

“Kau tak tengok betul-betul. Nantilah aku ambil dia bawa balik ke rumah ni,” kata Hani.

“Kau jangan nak cari masalah Hani. Entah anak siapa kau nak bawa balik. Nanti mak ayah dia kata kita culik anak dia,” kataku.

“Takpe, aku yakin dia takde mak ayah. Dah lama dia kat situ,” kata Hani sambil berlalu pergi.

Aku jenguk ke luar. Memang tiada budak kecil. Aku pun kadang tu malas nak layan Hani ni. Tapi makin hari makin menjadi pula imaginasi dia, sampai kami pula rasa seram bila nampak dia.

Kalau tengok tv dengan dia, kami memang tak berani tengok dengan dia. Sebab dia akan cerita satu persatu pasal hantu tu. Cerita yang kami tak pernah tengok, memang baru tengok kali pertama, dia akan cerita lepas ni apa, lepas ni apa. Bila kami tanya, dia tengok kat mana, dia kata memang selalunya hantu macam tu. Dan apa yang dia cakap tu, betullah pulak.

Sekali tu kami tengok cerita Pontianak. Dia cakap, kalau kita sebut Pontianak tiga kali, nanti Pontianak tu muncul betul-betul kat depan kita. Kami memang gelak sakan lah dengar dia cakap macam tu. Lagi kami sebut sampai sepuluh kali kot. Muka dia pucat betul. Dia terus masuk bilik. Kami gelakkan dia je.

Masa kat dalam bilik, aku nampak dia berkelubung berselimut. Aku panggil nama dia. Tapi dia buka mata je.

“Kau ni dah kenapa Hani?” aku bertanya bila lihat keadaannya yang pucat dan berpeluh-peluh di bawah selimut. Dah la musim panas masa tu.

“Benda tu ada kat ruang tamu, tempat korang tengok tv,” katanya.

“Benda apa?” aku tanya sambil kerutkan dahi aku.

“Aku tak boleh sebut. Sebab setiap kali namanya disebut, jumlahnya akan bertambah. Ia bermula dengan tiga tapi sekarang dah ada tiga puluh. Kalau aku sebut lagi, dia akan bertambah lagi,” kata Hani masih berpeluh di bawah selimut.

“Apa benda kau cakap ni Hani? Macam orang gila. Hei, matanglah sikit,” kataku adakala hilang sabar dengan sikapnya.

“Kat tepi kau pun ada tiga.” Kata Hani sambil menunjukkan ke kiri kanan aku. Aku pandang keliling aku, takde apa pun.

“Malaslah aku nak layan kau ni Hani. Baik aku tidur. Esok kita syif pagi.” Kataku sambil menutup lampu dan naik ke katil aku.

Aku baring menghadap dinding. Tak lama aku baring, aku dah lelap. Malas aku nak layan Hani. Biarlah dia, tak habis-habis berangan.

Aku tersedar bila aku rasa nak buang air kecil. Aku berpusing dan bangun lalu duduk kat katil aku. Nak melompat aku rasa bila aku nampak seseorang sedang duduk kat katil Hani, menghadap katil aku.

“Ya Allah kau ni Hani. Tolonglah jangan buat macam ni. Kenapa kau duduk dalam gelap macam tu? Menghadap katil aku. Terkejut aku kau tahu tak?” aku bersuara tinggi. Aku memang terkejut.

Hani tak jawab, tapi aku nampak dia pegang sesuatu.

“Hani, kau ni dah kenapa? Kena sampuk hantu ke apa?” aku tanya. Dia masih diam.

Aku bangun dan pasang lampu. Aku nampak Hani duduk dengan tangan kanannya memegang penukul dan tangan kirinya memegang paku.

“Ya Allah Hani. Kau buat apa tengah malam ni dengan penukul dan paku ni? Dah tengah malam kot,” kata ku beristighfar panjang. Mengurut dada aku melihat keadaan Hani.

“Benda tu takut kalau kita pegang penukul dan paku. Dia akan lari,” kata Hani tanpa pandang aku, Cuma pandang ke hapadannya saja yakni katil aku.

“Benda apa ni Hani oi. Kau jangan kata Pontianak yang kau nak paku ni,” kataku.

Masa ni Hani pandang aku dengan wajah serius. “Kan aku kata jangan sebut nama tu, nanti dia bertambah. Tadi aku dah buang dua puluh. Sekarang kau sebut, dia datang lagi tiga.” Kata Hani.

“Aku malaslah nak bertekak dengan kau ni Hani malam-malam buta ni. Aku nak pergi bilik air, lepas tu aku nak tidur. Lantaklah kau nak paku siapa, jangan paku aku dan kawan-kawan kita kat dalam rumah ni sudahlah,” kataku sambil keluar dari bilik dan pergi ke bilik air.
Masa aku keluar dari bilik, aku nampak kelibat kain putih bergerak sekilas pandang. Aku pandang keliling. Aku yakin, aku nampak kelibat kain putih tu tadi. Aku jalan perlahan ke arah kelibat kain putih tu hilang, ianya menghala ke bilik Shima. Shima tu dah la tidur seorang.

“Shima, kau ke tu?” aku panggil perlahan. Tiada sahutan.

“Kau jangan kacau dia, pergi je ke bilik air,” tiba-tiba Hani bersuara kat belakang aku. Melompat aku terkejut weh.

“Kau ni Hani, tadi bukan ke kau kat dalam bilik? Yang kau ikut aku keluar ni kenapa?” aku tanya Hani dengan suara yang agak tinggi.

“Sebab benda tu yang tiga lagi dah muncul lepas kau sebut nama dia. Dialah yang kau nampak kelibat tu tadi. Jangan kacau dia, nanti dia mengamuk,” kata Hani buatkan aku tepuk dahi.

Aku ke bilik air, selesaikan urusan aku dan terus kembali ke bilik. Aku nampak Hani masih duduk dalam gelap tu dengan memegang penukul dan paku.

“Dah la Hani, tidurlah. Esok kita nak bangun awal, nak kerja,” kataku. Hani tak menyahut. Masih duduk di katilnya menghadap aku. Aku pun malas nak layan, nanti aku pening kalau tak cukup tidur.

Baru nak terlelap, telefon aku berbunyi. Aku tengok nama Hani naik. Aku pandang semula Hani yang sedang duduk kat katilnya sambil menghadap aku. Meremang pula bulu roma aku.

Aku angkat telefon. “Kau jangan main-main dengan aku malam-malam buta ni Hani,” kataku.

“Aku kat bilik Shima ni. Dia mengigau jatuh katil. Hahaha…” Kata Hani kat dalam talian sambil ketawa. Tapi aku tak mampu ketawa bahkan tak mampu meneruskan kata-kata kerana mataku masih terpaku pada Hani yang duduk kat katilnya sambil memandang aku.

-Bersambung-

One thought on “HANI

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s