KEKASIH JELMAAN 2.0

Bab 12 (AKHIR)

Aku buka message kedua. “Jangan cari aku, aku dah berada di tempat yang aku mahu.” Aku pandang keliling, tiada siapa.

Aku letak telefon aku. Aku melangkah ke kabinet televisyen. Aku ambil handphone Hidayat. Aku buka, tapi kena masukkan password la pulak. Aku cuba beberapa corak dan akhirnya handphone tu terkunci. Aku letak semula handphone Hidayat.

Dam! Pintu bilik tertutup dengan kuat. Terkejutnya aku sampai terjerit agak kuat. Makcik Aisyah berlari dari dapur dan menjenguk. “Kenapa Murni?” dia bertanya. “Pintu tu tertutup sendiri,” aku menyahut sambil menunjukkan pintu bilik yang tadinya pintunya terbuka sendiri.

“Angin kot,” kata Makcik Aisyah. “Mungkin la,” aku jawab. Walaupun aku tak dapat rasa angin sikitpun.

“Makcik sedang sidai kain kat belakang. Maaflah tak dapat sembang dengan kamu. Nanti nak masak pula. Kamu dan ayah kamu nanti makan kat sini je sebelum balik ye,” kata Makcik Aisyah.

Aku anggukkan kepala je. Tapi dalam kepala aku berfikir, betapa tenangnya Makcik Aisyah, anak perempuannya meninggal dunia, dan sekarang menantunya hilang. Dia boleh buat semua aktivitinya seperti biasa. Kalau setengah orang tu, waktu macam ni mesti tengah termenung, menangis dan kerisauan yang tak sudah mengenang nasib mereka yang terlibat.

“Benda dah nak jadi, semua tu Allah dah tulis. Tiada kebetulan dalam hidup ni. Semuanya Allah dah takdirnya begitu. Kita hanya perlu berikhtiar sebab itu yang Allah nak tengok. Kita dah diajar jalan yang betul, tapi kalau kita masih mengikut jalan yang tak betul, siapa yang perlu kita salahkan? Segala yang kita buat samada baik atau buruk, tetap Allah yang mengizinkan untuk ia terjadi. Jadi, pilihlah untuk meminta yang baik, nescaya yang baiklah yang kamu akan dapat. Tapi andai kamu masih dapat bukan seperti yang kamu mahu, bermakna apa yang kamu dapat itulah yang lebih baik dari apa yang kamu hajatkan,” kata Makcik Aisyah kepada aku. Aku hanya mampu anggukkan kepala, walau aku tak faham kenapa Makcik Aisyah bagi tazkirah pendek kepada aku macam tu.

“Makcik ke belakang dulu ye. Nak apa-apa, cari je makcik kat belakang. Kalau lapar, pergi je ke dapur tu. Ada bihun goreng baki sarapan pagi tadi. Tadi suruh ayah kamu makan, katanya dah singgah kedai, makan kat sana,” kata Makcik Aisyah.

“Haah makcik. Kami dah sarapan kat kedai simpang jalan nak masuk ke kampung ni tadi,” sahutku.

“Makcik ke belakang dulu ye,” Kata Makcik Aisyah sekali lagi dan terus berlalu ke dapur.

Aku melangkah ke pintu. Aku menjenguk ke luar. Suasana kampung, tenang je. Walaupun ada kisah yang sedih.

Aku dengar bunyi pintu bilik tadi terbuka perlahan-lahan. Kali ni aku cepat-cepat memandang ke arah pintu bilik tu. Aku ternampak kelibat bayang-bayang seseorang yang bergerak sepintas lalu kat dalam bilik tu. Aku pandang kiri kanan, tiada sesiapa. Tiada angin, tiada kucing. Pintu tu baru je ditutup dengan kuat tadi, takkanlah angin boleh tolak macam tu je. Mesti perlukan satu tenaga untuk menekan selak pintu baru boleh dibuka.

Aku melangkah ke pintu bilik. Aku tolak pintu bilik yang telah sedia terbuka sedikit. Aku pandang ke dalam bilik. Tiada sesiapa. Aku berpatah balik untuk keluar dari bilik tu. Tak best pula aku nak masuk bilik kat rumah orang sesuka hati aku.

Belum sempat aku tutup pintu bilik tu, aku dengar bunyi seperti ketawa anak patung yang selalu kita dengar bagi bunyi anak patung yang menggunakan bateri tu. Aku tolak semula pintu bilik dan pandang keliling bilik. Tak ada pula bunyi tu. Rumah kampung, mak aku kata kadang-kadang bunyi dibawa angin.

Aku keluar dari bilik dan tutup pintu. Belum pun aku melangkah jauh, pintu bilik tu terbuka luas dengan sendirinya. Aku dah mula rasa cuak. Aku dapat rasakan itu bukan angin atau kucing. Itu sah ada orang yang buka dari dalam.

Aku jenguk ke dalam bilik. “Ada sesiapa ke kat dalam bilik ni?” aku bersuara.

Tiba-tiba ada satu bola datang dari entah ceruk mana kat dalam bilik tu, melantun macam ditolak orang. Aku pandang ke bola tu melantun beberapa kali kat depan aku. Meremang bulu roma aku sebab teringat kat bunyi bola melantun kat rumah aku malam tadi.

Aku masuk ke dalam bilik tu. Aku pegang bola yang sedang melantun tu. Aku berpusing memandang keliling bilik. Pintu bilik seperti ditutup perlahan-lahan. Aku nak melangkah ke pintu bilik sebelum ianya tertutup tapi kaki aku macam dipegang sesuatu yang keluar dari bawah katil disebelah tempat aku berdiri. Allah, masa tu Tuhan je tahu betapa berdebarnya hati aku.

Pintu tertutup. Aku tunduk pandang apa yang memegang kaki aku tadi sampai aku tak boleh bergerak. Takde apa pun. Tapi aku yakin aku nampak sesuatu yang bergerak di bawah katil. Aku pandang ke arah tingkap. Kat luar makin cerah. Dalam bilik pun makin cerah. Takde apa yang aku perlu takut, sebab mak aku kata, hantu tak keluar siang hari. Ustaz pun kata, jin tu alamnya terbalik dari alam kita, masa kita siang, dia malam. Malam kita malam, dia siang. Sebab tu mereka keluar pada waktu malam kita. Dan pada waktu siang kita, mereka tidur.

Aku tekad, aku nak pastikan apa yang berada di dalam bilik tu. Aku tahu, ada sesuatu yang sedang nak tunjukkan aku sesuatu. Bak kata Makcik Aisyah tadi, tiada yang kebetulan, semua dah tertulis.

Aku duduk di atas lantai. Aku beranikan diri untuk tunduk melihat ke bawah katil. Masa ni aku dengar bunyi anak patung ketawa sama seperti tadi. Bergema bilik tu dengan bunyi tawa anak patung tu. Kat bawah katil tu ada satu anak patung sedang duduk. Aku tergamam seketika. Itulah anak patung yang dua kali aku suruh Isma dan Mazni buang.

Aku cuba husnuzon. Semua anak patung sama je rupa bentuknya. Buat kat kilang kan, sama je coraknya. Maka, aku angkat kepala aku. Biarkan je la anak patung tu kat situ. Mungkin anak patung Alisya tertinggal kot masa mereka kemaskan barang dia untuk balik ke rumah En Johan.

Aku berdiri. Masa ni aku dengar bunyi ketawa anak patung tu lagi, kali ni makin dekat dengan aku. Aku berpusing mencari arah bunyi tu. Aku tunduk kembali untuk lihat anak patung kat bawah katil, tapi ternyata anak patung tu tiada kat situ! Berkerut dahi aku, baru sangat kot aku tengok anak patung tu, takkan dah hilang. Takkan ada kaki nak jalan. Dan aku angkat kepala. Masa ni aku nampak susuk tubuh seorang perempuan berambut panjang di sebalik langsir di tingkap. Menggeletar lutut aku.

“Siapa kau sebenarnya?” aku beranikan diri bertanya sebab hari cerah. Rasa takut tu kurang sikit berbanding malam.

“Aku Jamilah,” perempuan itu menyahut.

“Jamilah dah meninggal dunia,” kataku.

“Aku Jamilah, milik Hidayat dari dulu, sekarang dan selamanya,” sahut perempuan itu.

“Jamilah anak patung?” aku bertanya. Tiada sahutan.

“Mana Hidayat?” aku tanya.

“Dia ada bersama aku,” sahutnya.

“Hantar dia semula kepada orang tuanya,” kataku.

“Bukan aku yang bawa dia, dia yang datang kepadaku,” sahutnya lagi.

“Kau dan dia berlainan alam, bagaimana dia nak datang kepada kau?” berani pula aku bertanya kepada benda yang aku tahu bukan manusia macam aku.

“Dia tahu bagaimana. Hanya dia yang tahu. Kerana kami dah berjanji sejak dulu lagi, kami akan bersama selamanya,” kata perempuan itu lagi.

“Sekarang apa yang kamu mahu?” aku bertanya.

“Lepaskan Hidayat. Biarkan dia bersama aku kerana itu yang dia mahu,” kata perempuan itu lagi.

“Kau yang cakap begitu. Tapi Hidayat tak pernah cakap dia nak bersama kau. Mana Hidayat?” aku bertanya lagi.

“Murni,” tiba-tiba aku dengar satu suara yang amat aku kenali. Itu suara Hidayat. Aku berpusing memandang keliling, aku tak nampak Hidayat.

“Dayat, kau ke tu?” aku panggil walaupun aku tak nampak dia.

“Ini aku Murni. Aku Dayat.” Sahut suara itu.

“Kau kat mana Dayat? Semua orang sedang cari kau,” kataku. Aku pun tak tahulah samada aku dah gila ke apa, bercakap seorang diri macam tu.

“Aku dah gembira di sini. Jangan cari aku lagi.” Sahut suara itu, dengan nada berbisik. Macam kat tepi aku je.

“Dayat, kau kat mana? Kau tak ingat ke kat anak kau yang masih kecil? Mak ayah kau. Kau jangan buat kerja gila ni Dayat. Ingat Allah Dayat. Kau sedang diperdaya,” kataku cuba memujuk kalau betullah itu suara Hidayat.

“Aku tinggal di sini dulu. Aku bahgia di sini. Kau pergilah, jangan cari aku lagi. Aku bersama Jamilah, kekasih aku dari dulu hingga akhir,” kata Hidayat.

“Dayat, beritahu kau kat mana,” kataku.

“Murni, aku rayu kepada kau. Jangan cari aku lagi. Aku dah jumpa kebahagiaan aku. Selama aku hidup, aku tak pernah berasa gembira bila aku bersama Jamilah. Aku sayangkan dia. Walau sejauh mana dia pergi, aku akan cari dia,” kata Hidayat buatkan aku terdiam. Hati aku rasa sebak, tak tahu kenapa.

“Murni, lepaskan aku. Biarkan aku bersama kebahagiaan yang aku cari selama ini,” kata Hidayat lagi.

“Tapi semua ni tak betul Dayat. Kau ada anak di sini Dayat. Jangan abaikan dia,” kataku.

“Aku yakin dia akan dapat kebahagiaannya juga,” kata Hidayat.

“Dayat, kau tak berfikir secara betul ni Dayat. Kau manusia, Jamilah tu bukan manusia,” kataku.

Tiada sahut tapi aku dapat dengar bunyi ketawa anak kecil, seorang lelaki dan seorang perempuan silih berganti. Aku cuba mencari bunyi tu datang dari mana. Dan aku jumpa satu kotak di bahagian kaki katil. Belum sempat aku ambil kotak tu, tba-tiba pintu bilik terbuka. Aku nampak Makcik Aisyah pandang aku dengan wajah penuh tanda tanya.

“Kamu bercakap dengan siapa Murni?” Makcik Aisyah bertanya. Aku diam, mata aku melilau melihat keliling. Perempuan yang berada di sebalik langsir tadi pun dah takde. Makcik Aisyah menghampiri aku.

“Kau menangis?” Makcik Aisyah tanya aku. Aku pun tak sedar aku menangis. Aku lap air mata yang mengalir di pipi aku.

“Makcik, Hidayat ada kat sini. Cuma kita tak nampak dia.” Kataku.

“Bawa mengucap Murni.” Kata Makcik Aisyah sambil memegang tangan aku.

“Jom kita keluar,” Makcik Aisyah menarik tangan aku perlahan. Aku menurut.

“Makcik, apa ada dalam kotak ni?” kataku sambil menunjukkan kotak yang aku nampak kat bahagian kaki katil tu. Makcik Aisyah ambil kotak tu lalu membukanya di depan aku. Aku lihat ada dua anak patung kat situ. Satu patung lelaki dan satu patung perempuan. Berderau darah aku masa tu, memang betul-betul sama dengan keadaan masa kat rumah banglo En Johan dulu.

“Kamu ok ke Murni?” Makcik Aisyah tanya aku bila lihat wajah aku pucat.

“Saya ambil kotak dengan anak patung ni sekali boleh? Nanti saya pulangkan kepada Alisya. Nanti saya pun nak pergi melawat dia,” kataku.

“Boleh, ambil je la. Kat rumah ni pun, siapa yang nak main. Lagipun Ustaz Ehsan tak suka ada anak patung dalam rumah,” kata Makcik Aisyah.

Aku mengikut Makcik Aisyah keluar dari bilik. Dan seketika kemudian, kumpulan orang-orang yang mencari Hidayat balik kecuali pihak bomba saja yang tak kelihatan.

“Macammana? Jumpa? Atau ada tanda-tanda dia berada di mana?” Makcik Aisyah tanya Ustaz Ehsan. Ustaz Ehsan menggelengkan kepala.

“Ke manalah dia pergi agaknya?” En Johan bertanya, wajahnya betul-betul kerisauan.

“Pihak bomba pun dah ambil alih. Kita serahkan kepada mereka. Selebihnya kita doakan dan serah kepada Allah yang Maha Mengetahu setiap sesuatu.” Kata Ustaz Ehsan.

“Iye, kita dah cuba tapi Allah tak izinkan untuk kita jumpa dia lagi,” kata ayah aku.

Selepas solat zohor, Ustaz Ehsan, En Johan dan ayah duduk di ruang tamu berbincang lagi pasal Hidayat. Masa ni aku tunjukkan message dari handphone Hidayat kepada aku kepada ayah. Ayah pula tunjukkan kepada En Johan.

“Macammana dia boleh message kamu ni? Sedangkan handphonenya ada di sini sepanjang masa.” Aku angkat bahu.

“Nombor apa tu?” En Johan tanya aku. Aku pun sebutlah nombor handphone Hidayat yang aku simpan.

“Eh, itu nombor lama dia. Dia dah tukar nombor baru lepas Alisya lahir. Dah dekat 2 tahun dah kot,” kata En Johan. Aku pula terpinga-pinga.

“Habis tu selama ini yang saya bermessage tu, siapa pula?” aku bertanya. Iyelah, kalau dah 2 tahun dia tukar nombor, dalam dua tahun ni aku bermessage dengan siapa?

“Ada orang nak mainkan kamu kot,” kata En Johan.

“Lepas dia pakai nombor baru, nombor lama ni tak pakai ke macammana?” ayah aku tanya.

“Entah, tapi memang dia tak pakai dah. Ok saya call nombor baru ni, tengok handphone dia bunyi ke tak,” kata En Johan. Dia lalu mendail nombor baru handphone Hidayat dan ternyata handphone Hidayat berbunyi. Maknanya sah lah aku yang masih pakai nombor lama. Tapi siapa yang balas message aku semua tu?

Ustaz Ehsan meminta handphone aku. Dia baca message yang dihantar dari nombor Hidayat kepad aku yang terakhir. Lepas tu dia letak bagi semula telefon aku. Dia pandang aku, tajam pandangannya.

“Dia ada jumpa kamu tadi?” tiba-tiba Ustaz Ehsan tanya aku.

“Siapa?” aku tanya Ustaz Ehsan semula.

“Hidayat,” jawab Ustaz Ehsan buatkan semua yang ada di situ memandang aku dengan wajah berkerut seribu.

Aku terdiam. Tak tahu nak kata apa. Kang aku kata dengar suara kat dalam bilik tu, mereka cop aku gila pulak. Terpaksalah aku buat-buat muka tercengang. Dan ayah aku dan En Johan memandang Ustaz Ehsan semula seolah ingin tahu apa yang Ustaz Ehsan cuba cakap.

“Takpelah, kita serahkan kepada pihak bomba untuk cari dia. Mungkin dia memang taknak kita jumpa dia. Kita boleh usaha, tapi kalau dia sendiri yang taknak balik, kita tak boleh nak paksa dia.” Kata Ustaz Ehsan setelah suasana sunyi seketika.

Tiada sahutan dari En Johan mahupun ayah aku. Cuma kedengaran keluhan berat yang keluar dari mulut masing-masing.

“Kita jangan putus berdoa kepada Allah, agar kita dapat temui dia dalam keadaan selamat. Kalau mati sekalipun, biarlah berkubur,” kata Ustaz Ehsan lagi.

Lebih kurang pukul 3 petang, ayah aku minta diri untuk balik dulu. Takde apa yang dapat kami lakukan. Serahkan segalanya kepada pihak bomba.

Masa aku lalu di depan Ustaz Ehsan, Ustaz Ehsan sempat menegur aku dalam keadaan berbisik. Seolah taknak didengari oleh En Johan mahupun ayah aku.

“Hanyutkan di dalam air. Air itu yang menidurkan mereka. Moga mereka tak ganggu sesiapa,” kata Ustaz Ehsan. Aku pandang Ustaz Ehsan dengan pandangan yang terkejut.

“Kamu tahu apa maksud saya,” kata Ustaz Ehsan lagi.

“Kami balik dulu ustaz. Kalau ada apa-apa berita, beritahu kami ye,” Kata ayah aku sambil bersalaman dengan Ustaz Ehsan. Aku pula terus masuk ke dalam kereta.

Dalam perjalanan, aku minta ayah berhentikan aku kat sebatang sungai. Ayah aku pun pelik tapi dia berhenti juga. Aku keluar dari kereta dan bawa kotak yang berisi dua anak patung tadi.

“Kotak apa tu Murni? Kau nak buat apa tu?” ayah aku bertanya.

“Murni nak hanyutkan kotak ni ke sungai.” Sahutku.

“Kau nak buang sampah ke?” ayah aku bertanya.

“Bukan sampah. Tapi ada projek sekolah yang perlu buang kat air,” sahutku perlahan. Ayah aku masih tak faham tapi dia pun malas nak tanya. Dia tunggu kat dalam kereta dan aku pergi ke sungai tersebut.

Aku letak kotak tu di atas air. Dalam tak sedar, air mata aku mengalir. “Pergilah Dayat, kalau itu yang buat kau bahagia. Moga Allah bantu kau balik semula, jika itu yang terbaik untuk kau,” bisikku perlahan sambil melepaskan kotak tersebut ke dalam sungai.

Aku tak tunggu lama, aku kembali ke dalam ke kereta ayah. Dan ayah bergerak meninggalkan sungai tersebut. Aku tak banyak cakap masa dalam kereta. Ayah je banyak sembang, cerita pasal pengalamannya masuk hutan mencari orang hilang.

Sampai kat rumah, mak aku tanya banyak soalan tapi semuanya ayah aku yang jawab. Aku tak mampu nak bercakap banyak. Dan semua gangguan juga hilang. Aku kembali dengan hidupku yang dulu.

Lepas dua minggu dari kejadian itu, En Johan menelefon ayah aku dan beritahu bahawa pihak bomba dah jumpa Hidayat kat dalam hutan. Keadaannya amat menyedihkan, kurus dan tak ingat apa-apa. Dia dah dibawa ke hospital. Aku dan ayah pergi melawat dia.

Dia tak kenal sesiapapun termasuk mak ayah dan anak dia. Dia hanya tersenyum dan bercakap seorang diri. Hingga akhirnya dia dihantar ke hospital mental berbayar. Kali terakhir aku pergi melawat dia, dari cermin yang terletak dalam biliknya yang besar, aku nampak ada anak patung sedang duduk di atas bahunya, sama seperti masa dia bersekolah dulu. Hanya dari cermin aku nampak anak patung tu. Tapi kalau pandang terus kepadanya, memang tak nampak anak patung tu.

Aku ada tanyakan hal itu kepada Ustaz Ehsan. Ustaz Ehsan kata, dia tahu Hidayat tak dapat lupakan Jamilah, kekasih jelmaannya. Ustaz Ehsan bertindak mengahwinkan Hidayat dengan anaknya sebagai usaha agar Hidayat dapat lupakan Jamilah. Usaha itu pada mulanya berjaya. Hidayat dah jadi seorang yang berdisiplin hingga mampu membantu dalam perniagaan ayahnya.

Segalanya berubah setelah Alisya lahir. Hidayat seperti dibayangi sesuatu setiap kali melihat anak patung milik Alisya. Dia bercakap dengan anak patung tu. Dia sering bersendirian di dalam biliknya. Ada masa dia berebut anak patung dengan Alisya, seperti yang En Johan ceritakan kepada ayah aku dulu. Hingga akhirnya isteri Hidayat jatuh. Tak tahu bagaimana tapi Ustaz Ehsan yakin Jamilah ada bersama mereka pada masa tu. Mungkin isteri Hidayat terkejut bila Jamilah muncul di antara mereka.

Ustaz Ehsan kata, Jamilah dah pergi. Tapi Hidayat memanggilnya semula. Kerana rindu kepada kekasih jelmaannya. Kerana dah terlalu lama bersama Jamilah. Kerana kebahagiaan yang dicari hanya dirasai bila dia bersama Jamilah. Tiada ada yang dapat dilakukan kerana Hidayat sendiri yang berkehendak begitu.

Aku rasa itulah jalan yang Hidayat dah pilih. Dia nak bersama Jamilah hingga akhir hayatnya.

– T A M A T –

One thought on “KEKASIH JELMAAN 2.0

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s