KEKASIH JELMAAN 2.0

Bab 11

Aku melangkah perlahan-lahan keluar dari bilik aku. Aku pandang keliling, tiada apa yang pelik. Aku buka pintu bilik Isma, elok je dia lena kat katil dia. Aku kembali ke ruang tamu, aku nampak seseorang sedang duduk di sofa. Masa ni dada aku dah berombak kencang. Aku melangkah perlahan ke arah susuk tubuh perempuan yang sedang duduk di sofa. Dia membelakangkan aku.

Aku cuma nampak rambut panjang, yang lain aku tak nampak. Dah la keadaan agak gelap. Aku cuba beranikan diri untuk melihat siapa tu. Takkan Mazni nak duduk kat situ begitu saja tanpa buka televisyen. Lagipun dah pukul 2 pagi kot.

Ketika aku hampir sampai kepada susuk tubuh perempuan tu, tiba-tiba bahu aku ditepuk. Dan untuk tak tahu kali ke berapa, aku melompat akibat terkejut. Rasanya jantung aku dah penat sangat hari ni.

“Kau kenapa kak? Terjingkit-jingkit, terintai-intai kat dalam rumah sendiri. Lama dah aku perhati, lepas kau buka pintu bilik Isma,” kata Mazni yang berdiri kat belakang aku.

Aku tak menyahut, aku toleh balik kepada susuk tubuh tadi. Dia dah tiada di situ.

“Tadi ada orang duduk kat sofa tu. Rambutnya panjang,” kataku.

“Mana ada sesiapa kat situ,” kata Mazni sambil menjenguk ke sofa yang aku tunjukkan.

“Sekarang takde, tadi ada. Kalau kau tak kejutkan aku, aku dah nampak dia dah,” kataku.

“Kau berani kan kak? Kalau kau dah nampak orang lain kat dalam rumah ni, duduk dalam gelap, dah sah-sah la dia bukan orang. Kau masih nak tengok ke?” kata Mazni.

“Aku tahu dia bukan orang, aku nak tahu siapa dia yang kacau sejak kebelakangan ni,” sahutku.

“Kak, sebenarnya apa kes pasal anak patung ni? Kenapa aku tak tahu apa-apa pun,” Kata Mazni ingin tahu.

“Kau tak payah tahulah, cerita lama,” kataku.

“Kalau cerita lama, kenapa sekarang masih cakap pasal tu?” tanya Mazni semula.

“Takde apalah, pergi tidur. Esok aku nak keluar awal pagi dengan ayah,” kataku sambil melangkah masuk ke bilik aku.

Aku berbaring di katil. Aku mengiring ke kiri dan ke kanan, mataku segar. Tak boleh lena. Aku asyik memikirkan pasal Hidayat dan anak patung bernama Jamilah tu. Kenapa Jamilah tu masih ada hingga sekarang, sedangkan Ustaz Ehsan dah halau dia, dah bakar dia kalau tak silap aku. Kenapa dia masih ada? Kenapa dia tak pergi? Adakah selama Hidayat berkahwin dan punyai anak, Jamilah ada bersama-sama dengan mereka?

Tup! Aku dengar bunyi kerusi aku dekat meja komputer berbunyi seperti ada orang duduk kat atasnya. Aku pandang. Aku nampak seseorang duduk di situ dan memandang ke arah aku.

“Kau siapa hah? Kenapa kau ikut aku?” entahlah dari mana kekuatan itu datang, aku bertanya. Mungkin kerana aku dah terlalu penat dikejar dan terkejut hari ini.

Tiada sahutan, tapi dia masih memandang aku dari penjuru bilik aku.

“Aku tak ganggu kau, pergilah. Jangan kacau aku,” kataku. Tiada sahutan.

“Hidayat,” aku dengar suara berbisik keluar dari mulut lembaga itu.

“Kenapa dengan Hidayat?” aku bertanya. Tiada sahutan.

“Kau Jamilah?” aku bertanya. Masih tiada sahutan.

“Pergi dari sini sebelum aku panggil ustaz,” kataku cuba menggertak. Sebenarnya kaki aku menggeletar masa ni. Aku tak berani pandang lembaga itu pun.

“Hidayat milik aku!” jerit lembaga itu sambil menerkam ke arah aku. Aku panik dan terjatuh dari katil. Kepala aku sakit dan lepas tu pandanganku kabur dan aku tak sedar apa terjadi.

“Murni! Murni!” aku dengar suara mak memanggil aku. Dan aku terasa ada air sejuk direnjis ke muka aku. Aku buka mata, mak aku dengan semangkuk air kat depan aku.

Aku cuba bangun, tapi kepala aku sakit. Ayah aku berdiri kat belakang mak aku, wajahnya seperti dilanda kebimbangan.

“Macammana kamu tidur ni sampai jatuh dari katil dan pengsan.” Kata mak.

“Ayah, benda tu ada kat bilik ni tadi. Dia terkam Murni. Dia asyik sebut nama Dayat,” kataku mengadu kat ayah.

“Takpe, esok kita tanya Ustaz Ehsan. Sekarang ni kamu tidur. Mak kamu akan teman kamu,” kata ayah aku.

Aku tak jawab apa-apa. Aku cuba bangun walaupun kepala aku berdenyut-denyut. Aku baring di atas katil dan mak aku berbaring kat sebelah aku. Ayah aku keluar dari bilik.

“Mak, benda tu duduk kat situ tadi,” kataku sambil menunjukkan ke arah kerusi aku.

“Mak ada kat sini. Kamu tidur,” kata mak aku memujuk. Dah macam anak kecil lagaknya aku waktu tu.

Aku pejamkan mata, mujurlah aku boleh terlena. Mungkin kerana kepala aku dah berat, badan aku dah penat, aku lena sampai subuh menjelang.

“Murni, bangun. Siap cepat. Ayah kamu dah pergi masjid dah nak solat subuh. Dia balik nanti terus nak gerak ke rumah Ustaz Ehsan,” kata mak aku mengejutkan aku sebelum dia keluar dari bilik aku.

Aku bangun. Kepala aku masih sakit tapi tak lagi berdenyut macam semalam. Aku pegang bahagian kepala yang sakit tu, terasa benjol sikit. Dua hari lepas pun aku terhantuk kat kepala katil sampai benjol, tak surut lagi yang tu, sekarang benjol lagi. Harap janganlah biul kepala aku ni. Macammana aku nak mengajar anak murid aku nanti. Fikirku sendirian.

Selepas mandi dan solat, aku dengar bunyi motor ayah aku masuk ke perkarangan rumah. Cepat-cepat aku pakai tudung, ambil beg aku dan keluar dari bilik.

“Dah siap?” ayah tanya aku. Aku anggukkan kepala je.

“Kepala tu sakit lagi?” ayah aku tanya. “Kurang sikit dah,” sahutku sambil menyarungkan stoking di kaki.

“Saya tengah masak cucur pisang tu. Nak tunggu ke?” tiba-tiba mak aku tersembul dari arah dapur.

“Tak payahlah. Awak makan dengan Isma dan Mazni je. Nanti kami makan dalam perjalanan. Kami kena pergi cepat, nanti boleh balik cepat,” Kata ayah aku.

“Takpelah kalau macam tu. Hati-hati memandu. Murni, kamu jangan tidur kat dalam kereta. Temankan ayah kamu,” kata mak aku. Aku anggukkan kepala je.

Tak banyak yang aku boleh bualkan dengan ayah kat dalam kereta. Ayah pun macam cuba untuk tak bercakap pasal Hidayat. Bila aku cakap pasal Hidayat, ayah tukar topik lain. Paling tak pun, ayah diam. Bila dah lama macam tu, aku terlena juga akhirnya. Aku mengantuk. Tiga malam dah kot aku tidur tak lena. Dengan kepala aku yang kejap sakit, kejap hilang ni.

Aku tersedar bila ayah brek kereta mengejut. Mujur aku pakai tali pinggang, kalau tak, mahu tercampak aku keluar kereta.

“Kenapa ayah?” aku tanya.

Ayah muncungkan mulutnya ke arah depan kereta. Aku memandang. Lebih kurang 100 meter kat depan kereta, aku nampak seseorang berdiri. Perempuan dengan rambut panjang. Itulah benda yang selalu aku nampak sejak aku jumpa Hidayat.

“Ayah, itulah dia yang Murni kata selalu nampak bersama Dayat. Dialah juga yang Murni nampak kat dalam bilik. Murni rasa, dialah Jamilah, roh yang menghuni anak patung, yang mengganggu Dayat selama ni. Dan dia jugalah yang menyebabkan isteri Dayat jatuh dari bangunan,” kataku kepada ayah.

“Shhh…,” ayah bagi isyarat suruh aku diam.

“Kamu pegang kuat-kuat. Pejamkan mata,” kata ayah.

“Ayah nak buat apa?” aku tanya.

“Buat je apa yang ayah suruh,” kata ayah aku.

Aku taknak bertanya lagi, Jamilah masih berdiri kat depan kereta ayah aku, seolah menghalang perjalanan kami. Aku rasa dia taknak kami datang berjumpa Ustaz Ehsan.

Aku pejam mata, dan pegang tempat pemegang tangan kat atas kepala aku. Aku dengar ayah aku menekan pedal minyak. Lepas tu aku dengar ayah aku masukkan gear lalu ayah aku bergerak laju.

“Allahu akbar! Allahu akbar! Allahu akbar!” aku dengar laungan ayah, kuat sekali. Aku buka mata. Masa ni lembaga tu betul-betul kat depan kereta kami dan ayah langgar dia. Aku menjerit kuat. Tiada bunyi perlanggaran dan kereta kami tak bergegar pun.

“Jangan pandang belakang lagi. Kita jalan terus,” kata ayah. Aku yang masih terpinga-pinga, memang tak tahu nak jawab apa. Aku sempat jeling ke cermin sisi je, tapi tak nampak apa-apa. Hanya kesuraman pagi kerana matahari belum cukup cerah.

Sesampainya kami di rumah Ustaz Ehsan, Ustaz Ehsan dan Makcik Aisyah menyambut ketibaan kami dengan wajah gembira bersalut duka. “Dah jumpa Dayat?” ayah aku terus bertanya selepas memberi salam.

“Belum lagi. Tapi En Johan dah bawa beberapa orang untuk mencarinya kat dalam hutan sana. Pihak penyelamat juga akan sampai tak lama lagi,” kata Ustaz Ehsan.

“Ustaz rasa, dia ke mana?” ayah bertanya.

“Dia ada je kat depan kita. Tapi kita tak nampak dia.” Kata Ustaz Ehsan.

“Maksud ustaz, dia disorok?” ayah aku tanya lagi.

“Bukan dia disorok, tapi dia menyorok,” kata Ustaz Ehsan.

“Menyorok dari siapa? Benda tu?” ayah aku tanya lagi.

“Bukan,” jawab Ustaz Ehsan.

“Habis tu?” ayah aku tanya lagi.

Ustaz Ehsan tarik nafas panjang. Dia bangun dari duduknya. Wajahnya penuh dengan kerisauan.

“Dia menyorok dari kita,” kata Ustaz Ehsan. Masa ni aku pula kerutkan dahi. Dah kenapa pula Hidayat nak menyorok dari kami?

“Saya ada message dia ustaz pada masa kehilangan dia, dia balas tapi dengan cara yang amat pelik,” sahutku.

“Dia balas?” Ustaz Ehsan pandang aku.

Aku ambil handphone aku dan tunjukkan kepada Ustaz Ehsan.

“Cuba kamu call nombor tu sekarang,” kata Ustaz Ehsan. Aku pun dail la nombor tu dan terus terdengar bunyi muzik nada dering dari handphone yang terletak di atas kabinet sebelah televisyen.

“Sejak dia hilang, memang kat situlah handphone dia. Takde siapa usik. Cuma semalam saya cas sebab dah habis bateri. Risau kalau ada yang cuba menghubunginya,” kata Ustaz Ehsan.

“Habis tu, siapa yang balas message saya?” aku bertanya. Tiada sahutan.

“Sebab tu saya kata, dia ada di depan kita je, tapi kita tak nampak dia sebab dia memang taknak kita nampak dia,” kata Ustaz Ehsan.

“Tapi kenapa pula dia nak larikan diri dari kita?” ayah aku bertanya.

“Kerana dia nak bersama dengan benda tu,” kata Ustaz Ehsan.

“Bukankah ustaz dah buang dia dulu?” ayah aku tanya.

“Saya dah buang, dia pun dah pergi,” kata Ustaz Ehsan.

“Kenapa dia datang balik?” ayah aku bertanya.

“Kerana ada yang memanggil,” kata Ustaz Ehsan membuatkan aku dan ayah aku berpandangan sesama sendiri.

Sedang kami terpinga-pinga mendengar kata-kata Ustaz Ehsan, satu van bomba masuk ke halaman rumah Ustaz Ehsan. Beberapa orang lelaki berseluar bomba dengan tshirt biru keluar dari van tersebut. Ustaz Ehsan dan ayah aku menyambut kehadiran mereka. Aku nampak seperti mereka sedang memaklumkan kepada Ustaz Ehsan dan ayah aku tentang rancangan pencarian mereka.

Seketika kemudian, enam orang bomba tersebut bergerak ke arah hutan di hujung kampung. “Kamu tunggu di rumah ni saja. Ayah dan Ustaz Ehsan akan ikut mereka. Kami akan berjumpa dengan pasukan En Johan kat sana nanti,” kata ayah aku memberi arahan.

Aku anggukkan kepala, akur dengan arahan ayah. Selepas ayah pergi, aku masuk ke dalam rumah bersama Makcik Aisyah.

“Makcik, Alisya mana?” aku bertanya.

“Mak Hidayat dah bawa dia balik,” kata Makcik Aisyah.

“Kamu duduklah dulu ye. Makcik ada kerja sikit kat dapur,” kata Makcik Aisyah. Aku anggukkan kepala.

Mataku melilau melihat keliling rumah sambil berfikir, apa aku nak buat kat rumah ni? Sampai bila? Aku buka buka handphone bila ada message masuk.

Bulat mata aku bila lihat message tu dari nombor Hidayat! Aku pandang handphone Hidayat yang masih terletak di sebelah televisyen. Ia tak bergerak, masih di situ sejak aku masuk ke rumah ni tadi. Siapa yang hantar message tu?

Belum habis aku berfikir, tiba-tiba pintu bilik kat depan aku terbuka perlahan-lahan seperti ada yang menarik pintu tersebut dari dalam bilik. Aku dah mula berdebar-debar.

Aku buka message dari handphone aku. “Aku ada di sini, memerhatikan kamu,”.

– Bersambung –

2 thoughts on “KEKASIH JELMAAN 2.0

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s