KEKASIH JELMAAN 2.0

Bab 10

“Kau ada call Dayat tak lepas balik dari rumah Ustaz Ehsan semalam?” tiba-tiba je ayah aku tanya masa kami sedang makan malam.

“Ada call dia tapi tak jawab. Murni message dia juga.” sahutku pendek.

“Dia reply tak?” ayah aku tanya lagi.

“Reply, tapi macam ada yang tak kena je,” aku menjawab perlahan.

“Tak kena macammana?” mak aku pula bertanya.

“Tak tahu la nak cakap macammana. Tapi macam bukan dia yang balas semua message Murni tu. Macam petang tadi, bunyi jeritan yang mak dengar tu, dari nombor Dayat la tu. Dia hantar voice message,” kataku sambil teruskan makan. Mal pandang aku sambil terbeliakkan matanya. Isma dan Mazni masih tekun makan.

“Nanti bagi ayah tengok message dia semua boleh?” ayah aku bertanya. Aku kerutkan dahi.

“Kenapa ayah?” tanyaku semula. Ayah tak jawab, dia teruskan makan malamnya. Aku pun diam  bila ayah aku diam.

Selesai makan, kat ruang tamu, aku bagi telefon aku kat ayah. Aku tunjukkan message aku dan Hidayat selepas aku balik dari rumah Ustaz Ehsan semalam. Ayah tekan voice message tu, tapi takde bunyi apa-apa pula.

Ayah tarik nafas panjang. Lalu bersandar di sofa.

“Kenapa ayah? Ada apa-apa yang tak kena ke?” aku bertanya bila tengok muka ayah aku macam tu.

“Hidayat tak balik rumah lepas kita jumpa dengan dia di kubur semalam,” kata ayah aku.

“Hah! Sampai sekarang?” aku bertanya dengan wajah yang agak panik.

“Tadi imam minta kami buat solat hajat, katanya anak En Johan hilang sejak semalam. Satu kampung dah cari tapi tak jumpa. Esok mereka nak panggil pasukan penyelamat pula untuk cari di kawasan hutan di hujung kampung.” Kata ayah aku.

“Habis tu siapa yang message Murni tu ayah?” aku bertanya.

“Ayah tak tahu. Tapi telefonnya ada kat rumah Ustaz Ehsan. Tiada siapa usik. Jadi tak tahu siapa yang membalas message kamu tu,” kata ayah.

“Kak, kau taknak bagitahu ayah ke, pasal anak patung tu?” tiba-tiba je Mazni bertanya.

“Anak patung?” ayah pandang aku.

“Haah ayah, semalam Isma dah buang anak patung dari bilik Kak Murni, tapi tiba-tiba anak patung tu ada kat dalam kereta,” kata Isma menokok.

“Sejak bila kamu ada anak patung?” ayah aku tanya.

“Murni takde anak patung ayah. Itu yang tak tahu macammana anak patung tu ada kat atas katil Murni semalam. Murni dah suruh Isma buang, Isma kata dia dah buang kat tong sampah besar belakang rumah. Tapi tadi masa ambil Mazni kat asrama, anak patung tu ada elok terletak kat tempat duduk belakang. Sedangkan sebelum tu Murni dah tengok seluruh kereta, memang tak ada,” ceritaku.

Aku bukan taknak cerita kat ayah, cuma aku masih tak boleh nak sahihkan perkara tu. Aku risau ayah tak percayakan cerita aku. Aku ingat lagi masa mula-mula aku ceritakan pasal Hidayat dulu, ayah tak percayakan aku langsung. Sampai masa ayah dah bawa Ustaz Ehsan ke rumah En Johan pun, ayah masih jeling aku, taknak percayakan aku. Jadi, aku kenalah cari bukti sahih sebelum nak ceritakan pasal anak patung tu kat ayah.

“Mana anak patung tu sekarang?” ayah aku tanya.

“Tadi Mazni dah buang kat dalam hutan tepi jalan, masa dalam perjalanan balik dari asrama. Kak Murni suruh,” kata Mazni.

Ayah aku termenung sambil mengusap janggutnya yang sikit tu.

“Ayah, masa kat rumah Ustaz Ehsan, Murni ada nampak beberapa kali, susuk tubuh seorang perempuan. Masa kat kubur pun Murni ada nampak,” kataku.

“Kenapa tak cakap kat ayah?” ayahku bertanya.

“Murni risau ayah tak percaya. Macam masa kita balik, kan Murni kata ada seorang perempuan berdiri kat tepi Hidayat. Tapi ayah kata takde. Tapi memang ada perempuan tu berdiri kat tepi Hidayat. Mak pun nampak, kan mak?” aku bercakap dan meminta mak bela aku.

“Haah, tapi mak tak tahu la kot dia memang ada bawa kawan masa tu. Kamu yang tahu sebab kamu yang bersembang dengan dia kat situ,” kata mak aku sambil menjahit seluar Isma yang koyak.

“Macammana rupanya?” ayah aku bertanya. Nampaknya ayah aku dah lebih terbuka untuk berbual tentang hal-hal begini. Dulu ayah aku marah kalau cakap hal yang tak masuk akal macam ni.

“Macam anak patung Barbie tu tapi dalam saiz besar, sama besar dengan saiz kita. Rambutnya menutup sebahagian mukanya, lepas tu panjang sampai ke lutut. Dia pakai jubah labuh sampai menutup kaki, warna putih,” kataku.

Ayah aku diam.

“Ayah ingat tak masa kita jumpa benda tu kat rumah Hidayat mula-mula dulu. Kan Murni patahkan leher satu anak patung dan lepas tu leher benda tu pun ikut patah. Ingat tak?” aku tanya ayah.

“Ingat. Kenapa?” ayah bertanya dengan kerutan seribu di dahinya.

“Macam tu la rupa perempuan tu. Lehernya tersandar di bahu,” kataku membuatkan ayah pandang aku dengan mata terbeliak.

“Ayah rasa itu benda yang sama ke?” aku bertanya. Ayah tak jawab, tapi dia terus bangun dan capai telefonnya.

“Ayah, lagi satu,” kataku. Ayah pandang aku.

“Hidayat beritahu, masa isterinya jatuh, jelmaan anak patung bernama Jamilah tu ada bersama mereka,” kataku kepada ayah. Mazni dan Isma dah hilang fokus kepada filem yang sedang mereka tonton di tv. Mak aku pun sama, berhenti menjahit. Masing-masing pandang aku. Puas rasanya setelah dapat menceritakan semuanya kat ayah. Lagi puas bila ayah percayakan cerita aku.

“Kak, kau patahkan leher hantu ke macammana?” Isma tanya aku dengan wajah penuh tandatanya.

“Korang berdua pergi masuk bilik. Dah lewat ni. Tak payah dengar sembang orang besar,” kata mak aku tiba-tiba, sambil dia sendiri menyambung jahitannya.

“Cerita ni tak habis lagi mak. Malam minggu ni mak, takkan nak tidur awal. Esok cuti,” kata Isma.

“Iyelah mak. Kat asrama dah biasa tidur pukul 1-2 pagi buat kerja sekolah. Tiba-tiba nak tidur awal, tak boleh lelap rasanya,” sahut Mazni pula.

“Ada je jawabnya. Nak tengok tv, tengok tv je. Tak payah sibuk pasang telinga dengar sembang orang besar,” kata mak aku lagi.

Isma dan Mazni serentak berpusing mengadap televisyan semula. Aku pula memandang ke arah ayah tapi ayah takde kat tempat dia berdiri tadi. “Ayah mana mak?” aku bertanya kat mak.

“Dia ke dapur tadi,” kata mak. Aku bangun dan mencari ayah. Aku dengar suara ayah kat luar rumah tepi pintu dapur. Aku berdiri kat tepi pintu dan cuba pasang telinga mendengar perbualan ayah.

“Saya rasa memang benda yang sama la. Dia masih ada dengan Dayat. Sepanjang mereka berkahwin, takde ke perkara pelik yang berlaku?” aku dengar ayah bercakap di telefon.

“Ustaz Ehsan tahu tak?” aku dengar ayah bertanya lagi.

“Kalau macam tu, kena buat sesuatu. Mungkin Dayat kena sorok dengan benda alah tu. Nanti kita jumpa Ustaz Ehsan. Saya risau juga, sebab rasanya dia kacau anak saya juga. Risau dendamnya yang dulu masih ada,” kata ayah aku.

Aku terus fokus nak dengar perbualan ayah aku. “Kau buat apa kat situ?” tiba-tiba ayah aku sergah aku. Melompat aku sampai terhantuk kat pintu, terkejut kena sergah dengan ayah aku.

Aku gosok-gosok kepala aku yang sakit. Tak tahu nak jawab soalan ayah aku. Terkebil-kebil mata aku pandang ayah aku. Memang pantang ayah aku kalau ada orang curi dengar perbualan dia. Kalau dia lari jauh untuk bercakap di telefon, maknanya dia taknak orang lain dengar perbualannya, walaupun mak aku.

“Esok kita pergi ke rumah Ustaz Ehsan semula.” Kata ayah sambil melangkah ke ruang tamu.

“Ayah cakap dengan siapa tadi?” aku beranikan diri bertanya.

“En Johan. Dia pun tak pasti kau bermessage dengan siapa.” Kata ayah.

Aku diam, seram sejuk rasanya ditiup angin malam dari celahan pintu dapur dapur yang baru saja ayah kunci. Tegak bulu roma bila dengar bunyi anjing menyalak panjang kat belakang rumah. Aku melangkah laju-laju mengikut ayah aku ke ruang tamu.

“Esok abang nak pergi ke rumah Ustaz Ehsan. Awak nak ikut?” ayah aku tanya mak aku.

“Kalau perlu, saya ikut. Kalau takde apa hal, tak payahlah saya ikut.” Sahut mak.

“Kalau macam tu abang pergi dengan Murni je la,” kata ayah aku. Aku pandang ayah aku.

“Iyelah, awak berdua yang ada urusan kat sana. Selesaikanlah. Nak pergi pukul berapa?” mak aku tanya.

“Sesusah subuh,” sahut ayah ringkas sambil melangkah masuk ke dalam bilik. Aku tengok jam dinding dah pukul 11 malam.

Aku duduk bersama Mazni dan Isma di sofa, menonton filem yang dah nak habis. Aku menonton, tapi otak aku memikirkan kisah Hidayat. Aku tak boleh nak fokus. Ke mana agaknya Hidayat pergi? Semalam dia tidur kat mana? Selama hari ni, takkan Ustaz Ehsan tak tahu pasal benda ni. Atau dia memang taknak ambil tahu. Kalau Ustaz Ehsan tahu, kenapa dia tak buat sesuatu? Kenapa dia masih nak kahwinkan anaknya dengan Hidayat?

“Kak!” aku terkejut lagi bila Mazni tepuk peha aku.

“Kau ni kenapa panggil aku macam tu? Terkejut tau tak?” aku marah dia sambil mengurut dada aku. Tak tahulah berapa kali aku terkejut hari ni.

“Orang panggil elok-elok, kau buat tak tahu. Kena la panggil macam tarzan panggil harimau kat hutan, baru kau dengar kak,” kata Isma kat sebelah aku.

“Cerita dah habis. Kami nak masuk tidur. Kau taknak tidur lagi ke? Nanti kau tutup tv ye,” kata Mazni sambil menyerahkan remote tv kat tangan aku yang masih terpinga-pinga melihat kaca televisyen yang masih bercahaya.

Aku bangun, tutup televisyen dan tutup lampu. Lalu melangkah masuk ke bilik.

Aku tolak pintu bilik. Tiada cahaya selain dari cahaya lampu dari koridor yang masuk melalui cermin tingkap. Aku baringkan diri kat atas katil. Aku pejamkan mata. Masa ni aku dengar bunyi kat ruang tamu. Aku bangun, dan cuba dengan bunyi tu. Bunyi tu macam bunyi bola yang sedang dilantun ke lantai berulang kali, macam orang main bola jaring tu.

Aku bangun perlahan-lahan. Melangkah ke pintu dan menolaknya perlahan. Aku intai dari celahan pintu. Aku nampak samar-samar, bola Isma yang biasanya dia letak di belakang kabinet tv, sedang melantun sendiri. Aku cuba pandang ke bahagian lain, hanya kegelapan.

Aku pandang ke arah bola tadi, ianya tak melantun lagi. Aku diam sejenak, aku cuba untuk berfikir bahawa apa yang aku tengok tadi hanyalah khayalan.

Aku tutup pintu bilik aku semula. Tak sempat aku melangkah, aku dengar semula bunyi bola melantun macam tadi. Ah sudah! Takkanlah aku berkhayal lagi. Atau Isma sedang nak usik aku? Sebab dia pun baru je masuk bilik.

Aku buka pintu bilik aku perlahan-lahan dan intai keluar. Kali ini aku dengar bunyi tapak kaki berlari. Aku jenguk keluar. Aku pandang keliling. Dan aku masih dengan bunyi tapak kaki berlari, cuma aku tak nampak sesiapa.

“Isma, kau ke tu? Kau jangan main-main boleh tak? Ini bukan masa sesuai,” kataku. Tiada sahutan.

-Bersambung-

2 thoughts on “KEKASIH JELMAAN 2.0

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s