KEKASIH JELMAAN 2.0

Bab 9

“Kau dah kenapa ni kak? Dah nak mati?” Mazni marah aku, merah padam muka dia. Terkejut campur marah sebab aku boleh brek macam tu tiba-tiba.

Aku diam. Dada aku berdebar kencang. Aku tekupkan muka aku kat stereng kereta. Nafas aku betul-betul laju.

“Kau ok ke tak ni kak?” Mazni pegang bahu aku, suaranya perlahan dari tadi, ada nada risau dalam suaranya. Aku masih diam.

“Mana telefon kau kak? Aku telefon mak ya,” katanya mencari beg aku. Aku pegang tangan dia. Aku angkat kepala aku dan bersandar di tempat duduk.

“Kau ok ke kak?” Mazni tanya aku lagi, wajahnya betul-betul risau.

“Aku ok.” Aku menyahut.

“Kenapa tadi tu?” Mazni tanya aku.

“Takde apa. Mana kau dapat anak patung tu tadi?” aku tanya dia.

“Ada kat tempat duduk belakang. Sejak kau sampai tadi memang dah ada kat situ, takkan kau tak tahu,” kata Mazni.

“Isma la ni. Aku suruh dia buang, dia letak kat dalam kereta aku pula. Nak kena budak ni, nanti la dia. Dia ingat aku main-main kot,” kataku dengan nada agak geram.

“Kenapa dengan anak patung ni kak?” Mazni tanya aku bila dengar aku membebel macam tu.

“Takde apa, kau campak anak patung tu keluar. Campak jauh sikit, kalau boleh, biar masuk dalam hutan sana,” kataku sambil menunjukkan hutan belukar kat tepi jalan tempat kereta aku berhenti.

“Cantik anak patung ni kak. Elok je. Cuma lehernya macam dah rosak sikit. Boleh jahit balik ni, nanti eloklah leher dia,” kata Mazni sambil membelek anak patung di tangannya.

“Lehernya rosak macammana?” aku bertanya ingin tahu.

“Entah, macam dah terkoyak kot jahitannya. Mungkin ada orang yang kasar dah tarik kepalanya tapi tak putus, Cuma terlentok ke tepi. Kalau kau taknak, bagi kat aku. Boleh juga teman aku buat kerja sekolah malam-malam kat asrama,” kata Mazni sambil membelek anak patung tu.

Seram sejuk aku kat situ. Meremang bulu roma, tengkuk aku rasa sejuk, dada aku bergolak kencang. Tangan aku menggeletar, walaupun sejuk, aku berpuluh sampai basah baju.

“Campak anak patung tu keluar sekarang,” kataku tanpa memandang Mazni.

“Alaa, bagi kau aku la kak,” Mazni pujuk aku.

“Aku kata campak sekarang, campak je!” Kataku dengan nada tegas dan suara yang agak tinggi.

“Kau ni pelik la kak. Iyelah, aku buang sekarang,” kata Mazni dengan muncung panjang sambil membuka cermin tingkap lalu membaling anak patung tersebut jauh ke dalam hutan.

Cepat-cepat aku naikkan cermin tingkap Mazni. Aku baca Bismillah, dan aku terus masuk gear. Aku pandu kereta dengan agak laju. Aku nak cepat sampai ke rumah.

“Kau bawa la perlahan sikit kak. Tadi dah hampir dah, takkan kau tak serik,” tegur Mazni. Tapi suaranya agak perlahan, dia seperti tahu aku sedang dalam keadaan tak stabil.

Aku tak menyahut. Aku terus memandu. Segala macam lampu isyarat aku langgar. Aku berpeluh-peluh, aku rasa macam pening pun ada. Mungkin sebab aku lapar kot. Sekarang dah pukul 3 petang, aku belum makan lagi.

Sampai kat rumah, aku terus cari Isma. Isma sedang tidur kat biliknya.

“Korang dah solat zohor ke? Pergi makan dulu, kau belum makan kan. Pergi makan dengan Mazni. Lepas tu solat, dah pukul berapa ni. Si Isma tu bangun nanti, kau cakap la apa kau nak cakap dengan dia,” kata mak aku masa aku masih berdiri kat tengah pintu bilik Isma.

Aku menurut kata mak aku. Aku tutup semula pintu bilik Isma. Aku terus melangkah ke dapur, Mazni yang masih dengan pakaian outing asramanya, sedang enak makan nasi dengan masak lemak pucuk paku, ikan keli bakar cicah air asam cabai picit. Dia tak peduli pun aku duduk kat sebelahnya.

“Kau lapar sangat ke? Sampai tak sempat tunggu aku,” kataku kepada Mazni. Mazni tak pandang aku pun, apatah lagi nak menyahut. Sibuk sangat dia makan.

Aku ambil pinggan, cedok nasi. Dah lupa dah semua masalah yang mengacau otak aku. Berebut-rebut aku makan dengan Mazni, sedar-sedar tinggal periuk je, nasi dah habis, ikan dah tinggal tulang.

“Ya Allah, kamu berdua ni. Makan tak ingat dunia. Solat belum lagi tu. Tu perut dah sengkak macam tu, nak rukuk dan sujud pun susah. Makan tu beringatlah,” kata mak aku membebel. Terkejut dia tengok kami dah habiskan lauk dan nasi.

“Sedap sangat mak. Kat asrama tak dapat rasa semua ni. Ayam, ayam, ayam. Ayam tu pula keras macam apa. Rabu baru dapat makan sotong, itupun kalau turun lambat, tinggal kuah je. Sedih tau mak. Sebab tu masa balik rumah ni la nak balas balik,” sahut Mazni sambil mengangkat pinggannya ke sinki.

“Kalau pasal bagi alasan, serah kat kamu. Hah, yang sorang lagi ni? Tak duduk kat asrama pun, hari-hari makan apa yang mak masa juga, pun nak balas dendam juga?” kata mak aku sambil pandang tepat kat aku.

“Bukan selalu dapat berebut makan dengan budak asrama mak. Ni la masanya,” sahutku taknak kalah.

“Hish, ada je jawabnya. Dah, cepat pergi solat. Dah pukul berapa dah ni,” kata mak aku sambil berpatah semula ke ruang tamu.

Selesai solat, aku terlena. Tiba-tiba aku dengar bunyi pintu bilik aku terbuka. Aku tengok tiada sesiapa. Aku panggil Isma, Mazni, tapi tiada siapa menyahut. Aku bangun dari katil. Masa aku hampir sampai kat pintu, tiba-tiba pintu tertutup sendiri. Aku tarik tombol pintu, tapi tak boleh buka. Ketat sangat macam ada orang sedang menahan pintu tu dari luar.

Seketika kemudian, aku terasa ada benda bergerak kat belakang aku. Aku menoleh perlahan. Aku nampak susuk tubuh seorang perempuan berpakaian putih dengan rambut panjang sampai ke kaki, berdiri terawang-awangnan kat belakang aku. Aku beristighfar panjang. Perempuan itu mengangkat wajahnya perlahan-lahan. Dia pandang aku dengan pandangan tajam. Matanya hanya putih, urat di wajahnya timbul. Giginya kecil-kecil seperti kucing dan ada taring di kiri kanannya. Dia mengangkat tangannya seperti nak cekik aku. Aku tak boleh lari, kaki aku tersekat.

Aku rasa nafasnya tersekat, pandanganku makin kabur. Kaki aku menggelupur. Tangan aku cuba menarik apa saja yang berada dekat dengan aku, tapi semua tak berjaya. Dikala aku semakin lemah, tiba-tiba pipi aku sakit, sakit sangat. Aku buka mata, aku nampak mak aku.

“Tu la, tidur lepas asar. Mimpi meracau bukan-bukan. Bangun! Solat asar. Sikit lagi ayah kamu balik, kamu tak solat lagi.” Aku pandang keliling.

“Astaghfirullahhal azeem,” kataku sambil mengusap muka. Mak aku melangkah keluar. Aku nampak Isma ketawa terkekeh-kekeh kat pintu bilik aku.

Aku bangun dan terus tutup pintu.

Lepas aku tunaikan solat asar, aku keluar dari bilik. Jam pun dah pukul 6 petang. Aku nampak Mazni dan Isma sedang duduk menonton televisyen kat ruang tamu. Aku duduk bersama mereka.

“Isma, aku nak tanya kau ni? Apasal kau letak anak patung semalam kat dalam kereta aku?” aku tanya Isma.

“Bila masa pula aku letak kat dalam kereta kau kak? Kan kau suruh buang, aku buang la,” jawab Isma sambil mengerutkan dahinya. Mazni masih tekun menonton televisyen sambil makan kacang. Makan je kerja dia kalau balik rumah.

“Kau buang kat mana?” aku tanya.

“Kat tong sampah besar kat belakang rumah tu la,” kata Isma.

“Kau jangan main-main dengan aku.” Aku bagi amaran kat Isma.

“Nak buat apa aku main-main dengan kau kak,” kata Isma sambil menyambung makan kacang dengan Mazni.

“Masalahnya sekarang ni, anak patung tu tadi ada kata dalam kereta aku. Kalau kau tak percaya, kau tanya Mazni. Kan Mazni?” kataku sambil membaling bantal kecil ke arah Mazni. Terkejut dia, tak sempat mengelak.

“Kau ni kenapa kak? Aku tengah tengok tv ni,” rungut Mazni.

“Kak Murni kata ada anak patung kat dalam kereta dia, betul ke?” Isma tanya Mazni.

“Ha’ah. Tapi lepas tu Kak Murni suruh aku buang kat dalam hutan,” kata Mazni.

“Aku dah buang la kak. Anak patung lain kot. Kau ada berapa anak patung?” Isma tanya aku semula.

“Sorry sikit ye. Aku bukan penggemar anak patung macam kakak kau sorang tu.” kataku lagi memerli Mazni.

“Habis tu, takkanlah anak patung tu berjalan sendiri dari dalam tong sampah besar terus masuk kereta kau?” Isma bertanya. Aku diam, tak tahu macammana nak fikir.

Aku ambil hanphone aku. Aku cari nama Hidayat. Aku melangkah keluar rumah dan duduk kat meja kopi kat bawah pokok rambutan di halaman rumah mak aku.

Aku call Hidayat. Masuk peti simpanan suara. Aku cuba lagi, masih masuk peti simpanan suara.

Aku buka whatsapp. Aku taip message. “Dayat, kalau kau dah balik rumah ayah kau, bagitahu aku. Aku nak jumpa kau,”.

Cepat je bluetick. Aku call masuk peti suara pulak.

“Nak buat apa jumpa aku?” Hidayat balas.

“Ada hal sikit nak cakap,” balasku.

“Hal apa?” Hidayat tanya balik.

“Hal anak patung yang aku patahkan lehernya masa kat rumah kau dulu. Aku rasa dia datang cari aku la.” Tulisku.

“Maksud kau?” Hidayat tanya aku. Aku pun pelik, Hidayat ni dah lupa ingatan ke apa.

“Maksud aku, Jamilah. Kekasih Jelmaan kau tu.” tulisku lagi.

Hidayat tak balas. Tapi dia record audio. Aku tunggu sampai dia sent kat aku. Dia malas nak taip kot.

Sebaik dia hantar audio, aku terus buka. Dan aku dengar bunyi jeritan nyaring bergema dengan kuat dan agak menyeramkan di waktu petang-petang hampir magrib macam tu. Tercampak telefon aku.

Mazni dan Isma terjengul kat pintu rumah, memandang aku.

“Bunyi apa tu kak?” Isma bertanya. Aku tak jawab.

Mak aku yang sedang membelek pokok bunganya di tepi pagar pun turut memandang ke arah aku. “Bunyi apa tu Murni?” mak aku melaung dari tempatnya. Aku terdiam, terkedu kat tempat duduk aku.

Seketika kemudian, kereta ayah aku masuk ke perkarangan rumah. Aku ambil telefon aku yang aku campak tadi dan terus masuk ke dalam rumah. Mazni dan Isma pandang aku dengan penuh tandatanya.

“Bunyi apa tadi tu kak? Seram sungguh bunyinya,” Mazni tanya aku.

“Aku tak tahu. Dari nombor Dayat,” sahutku.

“Dah jangan sembang lagi. Isma pergi siap, nanti ikut ayah pergi solat kat surau. Mazni dan Murni, pergi tanak nasi untuk makan malam. Lepas solat maghrib, panaskan masak lemak tu. Murni, kau goreng ikan masin sepat kat dalam peti sejuk.” Kata mak bagi arahan kat kami satu persatu.

Aku dan Mazni tak menyahut. Masing-masing cepat masuk ke dalam bilik, sebelum ayah aku masuk ke dalam rumah.

-Bersambung-

2 thoughts on “KEKASIH JELMAAN 2.0

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s