KEKASIH JELMAAN 2.0

Bab 8

Sampai kat sekolah, beberapa orang anak murid aku dah tunggu kat kantin sekolah. Aku terus parking kereta kat tempat parking kat sebelah kantin. Lepas tu aku keluar dan berjalan ke kantin.

“Assalamualaikum Cikgu Murni. Ada yang tak datang lagi. Nak start atau tunggu sekejap lagi?” Hazirah, salah seorang anak murid aku bertanya. Dia merupakan ketua pakaian beruniform pandu puteri di mana aku adalah guru penasihat.

“Kita tunggu sekejap lagi,” kataku lalu duduk di salah satu meja dan membuka handphone.

“Hazirah, mari sekejap,” aku panggil Hazirah. Hazirah berdiri kat tepi aku.

“Saya bagi kamu dengar satu voice note ni. Nanti kamu beritahu saya apa dia cakap, boleh?” aku tanya Hazirah.

“Boleh je cikgu. Tapi voice note pasal apa tu?” Hazirah tanya aku.

“Saya pun tak tahu, saya belum dengar,” kataku.

“Cikgu tak dengar? Kenapa Cikgu? Ada orang cari gaduh dengan cikgu ke?” Hazirah bertanya.

“Kenapa pula kamu cakap macam tu? Kalau kita taknak dengar voice note orang tu, maknanya kita tengah gaduh ek?” aku tanya dia.

“Takdelah. Selalunya kalau orang hantar voice note tapi kita taknak dengar, ada dua sebab je cikgu. Kita marah sangat dengan orang tu, atau kita tak kenal orang tu lalu kita takut nak buka dan dengar,” kata Hazirah buat aku terfikir.

Itu nombor Hidayat. Hidayat kawan aku. Aku kenal dia. Aku tak gaduh dengan dia. Aku tak marah dia. Jadi, kenapa aku nak takut buka voice note tu? Betul juga apa dia kata.

“Mana voice note tu Cikgu? Meh saya dengar,” kata Hazirah mengejutkan lamunan sekejap aku.

“Kamu pergi jauh sikit. Saya taknak dengar langsung. Saya Cuma nak kamu dengar dan beritahu saya voice note tu cakap apa, boleh?” kataku. Hazirah anggukkan kepala lalu mengambil handphone yang aku serahkankan kepadanya. Dia bangun dan melangkah ke arah satu tiang di tepi kantin.

Dia mula mendengar. Aku pandang wajahnya. Air mukanya berubah, sesekali dia memandang ke arah aku. Ada tiga voice note, setiap satunya lebih 3-5 minit.

Setelah selesai, Hazirah datang ke arah aku semula. Dia serahkan handphone kepada aku.

“Macammana? Apa voice note tu cakap?” aku tanya.

“Betul ke cikgu belum dengar?” Hazirah tanya aku semula.

“Betullah, buat apa saya nak tipu,” kataku.

“Voice note pertama, katanya ‘Jangan kacau Hidayat lagi. Hidayat itu milik Jamilah. Bukan milik sesiapa termasuk kau. Kalau Hidayat diganggu lagi, banyak buruk dari baik. Masa tu, kau yang bertanggungjawab,” kata Hazirah.

“Yang kedua?” aku tanya tak sabar.

“Pada masa aku nampak kau, aku jumpa orang yang patahkan leher aku. Dan aku takkan diam. Aku akan cari kau. Seumur hidup Hidayat milik aku, ikut kataku, sayang aku, tapi kau datang kacau Hidayat, kau patahkan leher aku. Aku pasti cari kau,” kata Hazirah.

Aku diam. “Cikgu patahkan leher orang?” Hazirah tanya aku. Aku usap muka aku perlahan.

“Suaranya macam mana?” aku tanya.

“Suara macam nenek tua. Terketar-ketar, cakap sebutir demi sebutir, perlahan sangat tapi macam penuh marah, penuh dendam,” kata Hazirah.

“Yang ketiga?” aku tanya.

“Yang ketiga takde suara, cuma bunyi desiran angin dan api yang sedang terbakar. Ada bunyi ketawa juga. Seramlah cikgu. Cikgu kenal ke orang ni? Bunyi macam mengugut je,”  kata Hazirah.

“Terima kasih Hazirah. Janji dengan saya, jangan ceritakan kat sesiapa pasal ni.” Pesanku.

“Sama-sama. Baiklah cikgu. Tapi cikgu kena buat sesuatu. Report polis ke, bukti ugut dah ada tu,” kata Hazirah.

Aku anggukkan kepala. Aku simpan handphone aku dan melihat semua anak murid aku. Dah lengkap semuanya.

“Ok, jom kita mulakan. Pergi ke padang semua ya,” kataku memberi arahan. Mereka semua bergerak bersama, melangkah ke padang.

“Cikgu, siapa kat dalam kereta cikgu tu?” tiba-tiba Sahara tanya aku. Cepat-cepat aku toleh ke arah kereta aku. Tiada siapa pun.

“Takde siapapun,” kataku.

“Eh, tadi ada.” Sahut Sahara.

“Dari tadi memang ada orang dalam kereta cikgu tu. Saya ingat cikgu ada bawa kawan ke, dia tunggu dalam kereta,” kata Zurina pula membuatkan aku dah mula rasa cuak.

“Kau nampak orang macam mana?” aku tanya.

“Yang saya nampak tu, macam seorang perempuan sebab rambutnya panjang. Tapi tak nampak rupa sebab nampak gelap je,” kata Zurina.

“Haah cikgu, saya pun nampak macam tu,” sahut Sahara pula.

“Dia duduk kat mana?” aku tanya lagi.

“Kat tempat duduk belakang,” Sahara dan Zurina menyahut serentak.

Aku melangkah ke kereta aku. Aku buka pintu kereta. Aku keempat-empat pintu myvi aku. Kereta aku bukannya ada tinted gelap sampai Zurina dan Sahara kata kereta aku gelap. Memang tiada sesiapa.

“Kereta rosak ke Cikgu Murni?” aku melompat terkejut bila tiba-tiba Cikgu Zuhaidi berdiri kat tepi kereta aku. Pucat sekejap muka aku. Aku beristighfar sambil urut dada, memang aku terkejut.

“Kenapa terkejut sangat ni? Maaf maaf, saya tak sangka Cikgu Murni mudah terkejut orangnya,” kata Cikgu Zuhaidi dengan rupa serba salah.

“Lain kali bagi la salam,” kataku dengan nada yang agak keras. Aku memang terperanjat. Rasa nak jatuh jantung aku weh.

“Saya minta maaf. Saya tak sengaja. Takde niat nak terkejutkan Cikgu pun,” kata Cikgu Zuhaidi.

“Takpelah.” Kataku sambil menutup pintu kereta.

“Kenapa kereta tu? Rosak ke? Buka semua pintu sampaikan bonet pun dibuka. Saya ingatkan rosak, takpun nak angkat barang yang banyak. Kot la saya boleh tolong,” kata Cikgu Zuhaidi.

“Takde apa. Cari barang. Rupanya tertinggal kat rumah,” sahutku perlahan.

“Ooo… Takpelah kalau macam tu. Saya pergi dulu. Anak murid saya pun dah menunggu di padang,” kata Cikgu Zuhaidi. Aku anggukkan kepala. Cikgu Zuhaidi pula adalah guru penasihat pasukan beruniform Kadet Polis. Dia pun ada latihan kawad hari ni.

Lepas mengunci kereta, aku pergi mendapatkan anak murid aku yang dah mulakan latihan mereka. Aku cuba fokus. Beberapa kali aku pandang ke arah kereta aku, nak pastikan tiada siapa kat dalamnya. Mujurlah tiada apa yang berlaku.

Latihan kami tamat pada pukul 12 tengahari. Setelah semua anak murid bersurai, aku pun melangkah ke kereta aku. “Assalamualaikum,” aku dengar suara seseorang bagi salam.

Aku menoleh. Cikgu Zuhaidi berdiri tersenyum kat belakang aku. “Waalaikumussalam,” jawabku perlahan.

“Tak terkejut kan?” Cikgu Zuhaidi perli aku. Aku jeling je kat dia.

“Jom lunch sekali. Saya tahu satu kedai tu, banyak makanan yang sedap.” Kata Cikgu Zuhaidi.

“Minta maaf Cikgu Zuhaidi, bukan saya taknak tapi saya…” kataku tak habis kerana dipotong oleh Cikgu Zuhaidi.

“Takpe, kawan cikgu pun boleh ikut sekali,” kata Cikgu Zuhaidi.

“Kawan?” aku bertanya semula sambil mengerutkan dahi memandang Cikgu Zuhaidi.

“Lama dia tunggu kat kereta Cikgu. Jomlah bawa dia sekali takpe, saya belanja,” kata Cikgu Zuhaidi.

Aku terus pandang kereta aku. Aku tak nampak sesiapapun.

“Kenapa muka Cikgu macam tu? Macam nampak hantu,” kata Cikgu Zuhaidi.

“Cikgu pun nampak?” aku bertanya.

“Nampak apa?” Cikgu Zuhaidi tanya aku.

“Hmmm… takpelah. Saya sebenarnya bukan taknak ikut cikgu. Tapi saya nak kena ambil adik saya kat asrama dia. Lama dah dia tunggu. Lain kali ajelah cikgu ye,” kataku.

“Ooo… takpelah kalau macam tu. Lain kali kita pergi makan sekali ye,” kata Cikgu Zuhaidi tersenyum.

Aku terus melangkah ke kereta. Macam tadi, aku buka semua pintu kereta aku. Aku tengok setiap inci. Tiada apa yang pelik. Dari jauh, aku nampak Cikgu Zuhaidi memerhatikan aku. Lepas tu aku nampak dia angkat tangan kepada seseorang kat tepi kereta aku, aku pasti dia bukan angkat tangan kat aku. Aku pandang ke arah yang Cikgu Zuhaidi angkat tangan tu, tapi aku tak nampak sesiapa. Bila aku toleh semula kat Cikgu Zuhaidi, dia dah pun berlalu pergi menaiki keretanya.

Aku terus tutup pintu kereta. Keadaan sekolah dah agak sunyi sebab semua anak murid dah balik. Aku pula dah cuak tak tentu hala.

Cepat-cepat aku hidupkan enjin kereta. Lalu terus beredar dari perkarangan sekolah. Hati aku berdebar-debar. Aku masih tertanya-tanya, siapa yang mereka nampak kat dalam kereta aku? Sesekali aku toleh ke belakang, memang tiada sesiapa.

Sebaik sampai di asrama Mazni, dia dah tunggu dengan beg besarnya. Mulut dah muncung semacam sebab aku lambat. Aku berhenti kat tepi kerusi yang sedang dia duduk.

“Sorry Mazni, lambat sikit. Jalan jem. Aku pun keluar sekolah lambat sikit tadi,” kataku.

Mazni tak menyahut. Dia terus angkat begnya dan masukkan ke dalam bonet kereta lalu bersalaman dengan aku.

“Jom kita balik. Mak dah masak yang sedap-sedap tu, tahu anak kesayangannya nak balik kan,” Kataku memujuk. Mazni senyum bila aku usik hidung dia. Mazni ni mudah marah dan mudah sejuk. Dia pun jenis yang tak mudah makan hati dengan usikan sesiapa. Dia paling berdikari dalam keluarga aku, sebab tu dia boleh duduk kat asrama.

Mazni masuk ke dalam kereta dan duduk di sebelah aku. Aku mula memandu keluar dari perkarangan asrama.

“Sejak bila pula kau suka kat anak patung kak?” tiba-tiba Mazni bersuara setelah agak lama keadaan sunyi dalam kereta.

“Anak patung?” aku bertanya, cuak tadi tak habis lagi, sekarang ada lagi.

“Tu kat belakang tu. Siap anak patung Barbie lagi. Kau dah besar la kak. Dah jadi cikgu pun, masih main anak patung Barbie?” Mazni semacam perli aku.

“Mana?” aku tanya dia.

“Ni ha,” kata Mazni lalu menoleh ke tempat duduk belakang dan mengambil sesuatu.

Terbeliak mata aku bila nampak Mazni pegang anak patung yang berada kat atas katil aku semalam, yang aku dah suruh Isma buang, sekarang berada kat dalam kereta aku, elok terletak kat tempat duduk belakang. Dalam tak sedar aku pusing stereng kereta dan terus berhenti mengejut kat tepi jalan. Beberapa kereta bagi hon panjang kat aku, sambil menjerit marahkan aku sebab berkelakuan macam tu. Aku sekadar mampu angkat tangan minta maaf.

-Bersambung-

One thought on “KEKASIH JELMAAN 2.0

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s