KEKASIH JELMAAN 2.0

Bab 7

Aku melangkah semula masuk ke dalam bilik. Aku pandang ke arah cermin tingkap yang cerah kerana lampu di luar rumah memang tak ditutup pada sebelah malam. Memang dari aku kecil, ayah aku akan pasang lampu kat luar rumah sampai subuh.

Aku baring semula di katil aku. Mungkin perasaan aku je tadi. Aku berbaring mengadap tingkat, sebab aku nak pastikan kalau tingkap tu diketuk lagi, aku boleh terus celik dan tengok apa yang ada kat tingkap tu.

Aku terlelap seketika tapi tak lama. Aku dengar semula bunyi ketukan, tapi bukan di cermin tingkap. Aku angkat kepala, ada orang ketuk pintu bilik aku. Aku ambi handphone aku dan tengok jam, pukul 1.30 pagi. Bunyi ketukan tu agak kuat. “Isma? Kau ke tu?” aku panggil dari atas katil. Bunyi ketukan berhenti.

Aku bangun dari katil. Melangkah perlahan ke pintu. Masa aku pegang tombol pintu, tiba-tiba cermin tingkap aku diketuk, kuat sekali, macam nak pecah cermin tingkap aku. Aku terus menoleh ke arah tingkap. Aku nampak bayang-bayang seorang perempuan di sebalik cermin, rambutnya panjang hingga ke pinggang dan dia berpakaian blouse.

“Siapa tu?” aku bertanya dengan suara yang antara dengar dengan tak dengar. Tiada sahutan. Dari paras rupa tu, macam aku pernah nampak tapi aku tak boleh ingat siapa dia. Aku masih berdiri di tepi pintu. Aku tak berani melangkah.

Aku perhati je gerak tubuh perempuan tu. Dia mengangkat tangannya dan meletakkan di atas cermin tingkap aku. Aku nampak dia macam nak buka tingkap bilik aku dari luar. Dia menolak cermin tu perlahan-lahan, dan akhirnya cermin tingkap tu terbuka. Aku dah panik kat situ. Kaki aku dah terlekat kat lantai dah. Berpeluh-peluh aku menahan perasaan.

Aku cuba bertenang, walaupun tingkap dah terbuka, dia tetap tak boleh masuk sebab masih ada besi yang menahan tingkap tersebut. Malangnya, dia dapat masuk. Aku tak tahu macammana dia boleh tembus melalui batang besi di tingkap tersebut. Aku tak boleh berfikir sebab aku panik walaupun aku cuba bertenang. Yang pasti, aku tak dapat nak fikir dia tu siapa atau apa sebenarnya.

Perempuan tu berjaya masuk ke bilik aku! Dia memakai blouse dan skirt labuh hingga menutup kaki. Dia merapati aku perlahan-lahan. Ketika dia sampai kat depan aku, tiba-tiba kepalanya jatuh ke bahu. Masa ni aku menjerit dah, tak tahu dari mana kekuatan itu datang, suara aku terkeluar, menjerit dengan nyaring.

Pintu bilik terkuak. Isma berdiri kat pintu dan pasang lampu. Aku pula sedang duduk mencangkung kat tepi pintu. “Kak, kau kenapa ni kak? Menjerit macam orang gila. Mak sedar nanti,” kata Isma kat tepi aku.

“Tadi ada orang masuk bilik aku. Kepalanya patah.” Kataku dengan suara terketar-ketar. Tak sedar aku menangis kat depan adik aku.

Isma bangun dan pergi ke arah tingkap yang terbuka. Langsir berkibaran akibat ditiup angin dari tingkap yang terbuka. Isma menjenguk ke tingkap. “Kau tak tutup cermin ke kak?” Isma tanya aku sambil menutup cermin tingkap bilik aku.

“Tingkap tu bertutup tadi, tapi ada satu perempuan buka dari luar dan masuk ke dalam. Dia tembus melalui besi tu,” kataku macam tak berfikir bahawa adik aku akan gelakkan aku dengan cerita aku.

“Kau mimpi ni kak,” kata Isma lalu menutup langsir.

“Aku tak mimpi Isma, aku tahu apa yang aku nampak,” aku pertahankan kata-kata aku.

“Kak, siang tadi kau pergi rumah orang mati kan. Kan mak selalu pesan, baju yang kita pakai kena basuh ataupun jangan bawa masuk rumah kalau tak sempat basuh. Tinggalkan kat luar. Kalau tidak nanti badi mayat ikut kita balik,” kata Isma.

“Hish, kau ni Isma. Jauh sangat melalutnya,” kataku menepis kata-kata Isma. Aku bangun dan duduk di katil.

“Kak, sejak bila kau ada anak patung ni?” kata Isma membuatkan aku menoleh memandangnya.

Ada satu anak patung Barbie di tanganya. “Kau ambil kat mana tu?” aku tanya Isma dengan wajah cuak. Aku memang tak suka anak patung Barbie sejak aku nampak benda tu kat atas bahu Hidayat masa sekolah dulu.

“Kat atas katil kau la kak. Elok je baring kat sebelah kau ni,” kata Isma.

“Kau pergi campak anak patung tu keluar sekarang,” kataku dengar terketar-ketar.

Isma tak banyak tanya. Dia terus keluar membawa anak patung tu keluar dari bilik aku. Seketika kemudian dia datang semula. “Kau dah buang?” aku tanya dia. “Dah. Tapi anak patung siapa tu kak?” Isma tanya aku dengan wajah pun macam seribu tandatanya.

“Manalah aku tahu. Kau pun tahu kan, aku tak suka anak patung.” Kataku cuak.

“Mana tahu kau terbawa balik dari rumah Ustaz Ehsan tadi ke. Kot anak Dayat punya ke. Kau tu pun kalut juga, entah kau terangkut bawa balik sekali,” kata Isma meneka.

Aku diam. Aku teringat kat susuk perempuan yang aku nampak kat sebelah Hidayat masa aku menoleh ke arahnya dari dalam kereta masa nak balik tadi. Apa benda tu? Orang atau bukan?

“Kau, kau ok ke? Aku masuk tidur dulu la ye. Ke kau nak aku teman kau tidur sini?” Isma tanya aku.

“Takpelah Isma, kau pergilah tidur kat bilik kau. In Shaa Allah takde apa. Kau tu pun basuh kaki sebelum tidur,” pesanku. Isma akur. Dia bangun dan melangkah ke pintu. “Kau nak aku tutup lampu ke?” tanyanya lagi.

“Biar lampu pasang,” kataku. Isma terus keluar dari bilik aku dan menutup semula pintu bilik aku.

Aku baring semula di katil aku. Aku ambil handphone aku. Aku cari nombor Hidayat di dalam whatsapp. Hidayat online! Berkerut juga dahi aku. Dah dekat pukul 2 pagi kot, takkanlah Hidayat masih online. Dan setakat aku kenal Hidayat ni, dia bukan jenis melekat kat handphone macam aku. Tambahan pula isterinya baru meninggal dunia dan dia pun ada Alisya.

Tapi itu Hidayat yang aku kenal lima tahun lepas, sebelum dia berkahwin. Mana tahu lepas kahwin, lepas dah uruskan syarikat ayahnya, dia pun dah berubah. Maklumlah, dah jadi orang bisnes, takkanlah tak melekat dengan handphone kan.

Aku taip message whatsapp kepada Hidayat. “Dayat, kau tak tidur lagi ke?” aku tanya tanya.

Cepat je blue tick. “Belum lagi,” Hidayat jawab.

“Kau ok ke Dayat?” aku tanya lagi.

“Aku ok,” dia jawab.

“Alisya macammana?” aku tanya lagi.

“Dia ok,” jawabnya lagi.

“Dayat, aku rasa aku dah terbawa balik satu anak patung anak kau ke, atau anak sedara mara kau ke. Aku pun tak perasan bila masa aku terambil.” Kataku.

“Takpe, itu memang milik kau,” kata Hidayat.

“Bukan aku punya. Sebab aku tak pernah beli anak patung,” jawabku.

“Aku bagi kau,” Hidayat jawab.

“Bila masa kau bagi aku?” aku tanya lagi.

“Tadi, masa kat tanah perkuburan,” jawab Hidayat.

Aku diam, cuba mengingatkan bila masa pula si Hidayat ni bagi aku anak patung? Takde, memang takde.

“Mana ada Dayat. Kau ni, jangan takutkan aku pula. Aku dah buang anak patung tu.” kataku.

“Kau buang, malam ni. Esok dia akan datang cari kau,” balas Hidayat.

“Kau ni Dayat. Jangan bergurau benda-benda macam ni.” Tulisku lagi.

Tiada balasan dah. Dan tak bluetick pun. Mungkin Hidayat dah tidur kot. Aku baca balik conversation aku dengan dia. Baru aku perasan, gambar profile Hidayat dah bertukar. Aku tekan gambar profilenya yang agak kabur. Gambar profilenya seperti diambil dari katil aku, ketika anak patung tadi berbaring disitu. Aku belek lagi gambar tu, sebab mungkin itu gambar lain. Tapi itu memang gambar katil aku dan anak patung tadi sebab ada gambar handphone aku sekali kat tepi anak patung tu!

Aku off handphone aku. Aku naik ke atas katil, selimutkan badan aku, dari hujung rambut sampai hujung kaki. Suasana malam tu agak panas tapi aku sanggup berpeluh di bawah selimut asalkan aku tak perlu melihat apa-apa lagi di dalam bilik aku. Dan entah pukul berapa aku terlelap.

“Murni, kau kata hari ni kena pergi sekolah, ada latihan kawad kan?” aku dengar suara mak aku memanggil dari luar bilik.

“Iye mak. Murni dah bangun ni,” sahutku perlahan. Aku bangun memandang keliling. Lampu masih cerah. Aku lihat jam dinding, pukul 6.15 pagi. Aku ambil hanpdhone, baru je nak on kan, tapi aku batalkan hasrat aku. Aku bangun dan terus mandi, solat dan bersiap untuk ke sekolah. Hari ni tak sekolah tapi aku dah panggil anak-anak murid aku yang terlibat dengan perbarisan hari merdeka nanti untuk datang berlatih pada hari ini. Pengetua pula bagi tugasan ni kat aku, sebab katanya aku guru paling muda kat sekolah tu.

Selesai bersiap, aku keluar dari bilik dan terus ke dapur. Mak dan ayah aku sedang makan nasi lemak yang mak aku masak. Mak aku memang rajin masak. Dia siap bekalkan untuk aku dan ayah.

“Kamu balik pukul berapa hari ni Murni?” Mak aku tanya.

“Tak tahu lagi mak. Tengahari kot,” sahutku.

“Balik dari sekolah nanti, tolong ambil Mazni dari asrama dia boleh? Ayah tak sempat, sebab ayah outstation hari ni. Malam kot baru balik,” kata ayah aku sebelum menghirup kopi o panas.

“Oh, dia boleh balik minggu ni ye. Boleh je. Nanti Murni ambil dia masa on the way balik. Alau dia telefon, beritahu dia tunggu kat tepi pondok warden.” Kataku.

Mazni adalah adik perempuan aku. Dia dalam tingkatan 4 belajar kat sekolah berasrama penuh lebih kurang 20 kilometer dari rumah aku. Selalunya ayah aku ambil dia, tapi kalau ayah aku takde kat rumah, memang aku la yang akan ambil dia naik myvi aku tu.

Isma pula adik bongsu aku, satu-satunya anak lelaki mak ayah aku. Manjanya jangan cakap la. Dia berada di tingkat 2 tapi taknak masuk asrama. Dah kata anak manja kan, mesti la nak duduk dengan mak. Mak aku pun takkan lepasnya dia duduk asrama. Risau makanan tak sedap la, nanti dia tak lalu makan la, nanti kena buli la. Walhal si Mazni tu anak perempuan, boleh je jaga diri kat asrama.

Selesai sarapan, aku minta diri untuk pergi ke sekolah. Masa kat dalam kereta baru aku teringat nak on hanphone aku semula. Mana tahu kot ada pihak sekolah atau anak murid aku yang hantar message tak dapat hadir ke, atau pengetua kata latihan dibatalkan ke.

Takde message dari sekolah, tapi ada voice message dari Hidayat. Masa ni aku berdebar dah. Aku teringat message terakhir dari Hidayat semalam. Aku fikir, nak buka message tu atau tak. Lepas tu aku perasan mak aku dah pandang aku dengan pelik, tengok aku dari pintu rumah, sebab dah lama aku kat dalam kereta, tapi kereta tak jalan lagi. Aku letak dulu handphone aku. Aku pandu kereta perlahan-lahan, keluar dari perkarangan rumah dan lambaikan tangan kat mak aku.

Aku terus memandu ke sekolah walaupun hati aku nak sangat tahu apa voice message dari Hidayat tu. Entahlah, aku takut nak dengar voice message tu. Nanti aku nak minta orang lain dengarkan untuk aku.

-Bersambung-

One thought on “KEKASIH JELMAAN 2.0

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s