KEKASIH JELMAAN 2.0

Bab 6

“Murni?” aku dengar suara seseorang memanggil aku. Aku menoleh ke arah suara yang memanggil. Hidayat berdiri kat tepi aku. Aku pandang semula ke arah perempuan tadi, dia tiada di situ. Hidayat pun turut menjenguk ke arah yang aku sedang pandang, lepas tu dia pandang aku balik.

“Kenapa?” dia tanya aku.

“Takde apa,” sahutku.

“Kau macam nampak hantu je,” kata Hidayat.

“Siang buta ni mana ada hantu,” sahutku cuba sembunyikan perasaan aku.

“Hantu takde tapi benda lain ada kot,” kati Hidayat lagi.

“Aku cari kau, ingatkan kau ada kat sini. Aku dah nak balik ni,” kataku mengubah topik. Nanti dok bertekak pasal hantu, mak ayah aku sampai, tak sempat aku sembang dengan Hidayat.

“Eh, tak tunggu malam ke? Mak aku kata nak buat tahlil kat masjid. Join la sekali,” akta Hidayat.

“Tak boleh, adik aku sorang lagi ada kat rumah tu. Takkan nak tinggal dia. In Shaa Allah, aku akan doakan arwah isteri kau dari jauh,” kataku.

“Lepas ni, tinggal aku dengan Alisya je. Alisya tu kecil lagi, aku tak tahu la nak jawab apa kalau dia panggil mak dia malam nanti. Dia tak pernah lagi berenggang tidur malam dengan maknya,” kata Hidayat.

“Dayat, aku tanya sikit boleh? Kau jangan kecil hati pulak ye,” aku bertanya.

“Tanyalah,” sahut Hidayat.

“Kes ni akan jadi kes polis ke? Maksud aku, kau akan dikenakan dakwaan ke, atau apa-apa pertuduhan ke?” aku tanya. Hidayat menarik nafas panjang dan melepaskannya dengan berat. Matanya jauh merenung ke dalam kawasan perkuburan.

“Aku tak tahulah Murni. Kalau kau tanya aku, aku memang nak mereka dakwa aku. Sebab aku memang berada di sana masa isteri aku jatuh.” Kata Hidayat.

“Tapi bukan kau yang tolak dia kan?” aku tanya lagi. Hidayat tundukkan kepalanya. Wajahnya amat suram.

“Aku minta maaf Dayat. Aku takde niat nak buat kau sedih atau apa. Aku Cuma bertanya, nak tahu apa kesudahan kes ni. Kalau kau taknak cerita kat aku pun takpelah, aku tak marah,” kataku terasa serba salah bila wajah Hidayat jadi murung begitu.

“Aku tak tolak dia. Tiada siapa tolak dia, tapi…,” Hidayat menghentikan kata-katanya di situ.

“Tapi?” aku tanya lagi.

“Benda tu ada bersama kami masa tu,” kata Hidayat.

“Benda tu?” aku tanya lagi dengan muka penuh tandatanya. Hidayat pandang keliling.

“Jamilah,” kata Hidayat separuh berbisik. Aku terdiam.

“Isteri aku syak aku curang, aku nafikan. Tak tahulah macammana masa kami berbincang, aku macam terpaku.  Masa tu aku pegang anak patung Alisya. Aku pun tak tahu bila masa aku pegang anak patung tu. Tapi anak patung tu tiba-tiba bergerak dan ketawa kuat semasa di dalam pegangan aku. Jamilah terkejut, dia mengundur dengan laju dan tak tahulah macammana, dia terlanggar pagar batu separas pinggang, kakinya terangkat dan dia terus jatuh. Paling sedih, aku hanya berdiri melihatnya! Sampailah ayah aku dan beberapa staf datang bila dengan bunyi jeritan. Aku masih kaku berdiri di tempat aku. Aku tak tahu kenapa aku jadi macam tu, aku macam kena pukau. Tapi siapa pukau aku?” kata Hidayat menceritakan detik kejadian perkara yang menyayat hati tu.

“Kau tak cakap kat ayah mertua kau ke pasal ni? Dia kan ustaz. Dia juga yang buang benda tu dari kau dulu, sampai dia kahwinkan kau dengan anak dia.” Kataku.

“Aku taknak cakap kat dia. Isteri aku pun tak tahu pasal ni. Aku tak tahu nak mulakan macammana. Tapi aku tahu isteri dan ayah mertua aku perasan sesuatu pasal aku. Itu yang isteri aku tanya kalau-kalau aku ada perempuan lain. Dia pun tanya aku kenapa aku suka tidur dan peluk anak patung milik Alisya. Aku tak ingat pun aku tidur atau peluk anak patung tu. Takkanlah aku main anak patung, aku dah besar panjang kot. Tambahan aku ni lelaki,” kata Hidayat.

“Ayah mertua kau pernah tanya apa-apa tak?” aku tanya.

“Dia tak pernah tanya aku. Tapi dia tanya isteri aku. Dia tanya kat rumah ada anak patung tak? Tentulah isteri aku kata ada. Ayah mertua aku suruh buang semua, jangan beli atau simpan anak patung dalam rumah. Isteri aku buang dah semua, aku pun pelik. Bila aku tanya, dia kata ayah dia suruh. Aku pun diam. Tapi lepas dua tiga jam, anak-anak patung yang isteri aku buang, ada balik kat dalam bilik anak aku.” kata Hidayat.

Aku pula yang meremang bulu roma mendengar cerita Hidayat.

“Aku rasa, benda tu masih ada mengikut kau semula kot Dayat. Kau kena buat sesuatu. Jangan biarkan berlarutan. Ingat kau anak kau, tak tahu apa dia akan buat lagi. Aku rasa dia nak kau jadi milik dia selamanya, dia taknak kau sayang orang lain,” kataku memberi pendapat.

Hidayat diam. Tapi aku perasan matanya seperti sedang mencari-cari sesuatu.

“Kenapa Dayat?” aku tanya.

“Aku rasa macam ada yang sedang memerhati kita,” kata Hidayat. Aku pula rasa seram sejuk.

Pin Pin! Melompat aku sebab terkejut aku mendengar bunyi hon kereta. Aku pandang ke arah bunyi hon tu. Mak dan ayah aku menunggu di tepi jalan.

“Dayat, mak ayah aku dah sampai. Aku balik dulu. Apa-apa hal kau call aku ye.” Kataku sambil melangkah pergi meninggalkan Hidayat. Hidayat mengikut langkah aku hingga ke kereta ayah aku.

“Terima kasih pakcik sebab sudi datang. Nanti datanglah lawat kami lagi,” kata Hidayat lembut sambil bersalaman dengan ayah aku yang masih duduk di tempat pemandu dalam kereta.

“Sama-sama. Kamu tu jaga diri, jaga anak baik-baik. Kalau ada yang tak kena, beritahu dekat Ustaz Ehsan, jangan diam. Dia boleh bantu kamu, In Shaa Allah,” kata ayah aku dari dalam kereta.

“Minta maaf sebab kami tak boleh tunggu sampai malam. Isma kat rumah tu seorang diri. Kami dah janji akan balik awal,” kata mak aku pula.

“Takpe makcik, saya faham. Hati-hati memandu.” Kata Hidayat sambil melambaikan tangan ke arah aku dan kereta ayah aku mula bergerak meninggalkan Hidayat.

Aku menoleh ke arah Hidayat yang masih berdiri di tepi jalan memandang ke kereta kami yang makin jauh. Masa ni aku nampak ada seseorang kat sebelah dia. Benda yang aku nampak kat pondok tepi kawasan perkuburan tadi. Susuk tubuh seorang perempuan.

“Ayah, berhenti sekejap,” kataku. Ayahku pun terus brek kereta.

“Kenapa Murni?” mak aku tanya. Aku tak jawab tapi aku terus memandang susuk tubuh kat tepi Hidayat.

“Kau tengok apa Murni? Ada barang tinggal ke?” ayah aku pula bertanya.

“Cuba mak dan ayah tengok Hidayat tu. Ada nampak orang lain bersama dia tak?” aku tanya. Mak dan ayah aku pun cuba memerhati ke arah Hidayat.

“Macam ada orang lain bersama dia tu. Rambut panjang, pakai baju putih. Tapi tak jelas sangat,” kata mak aku.

“Ayah nampak?” aku tanya ayah aku pula.

“Hish, ayah tak nampak apapun. Dah la, nanti lambat kita sampai rumah. Sian kat Isma,” kata ayah aku sambil masukkan gear dan terus memandu. Aku tak toleh ke belakang lagi, bulu roma aku meremang.

Sampai kat rumah dah nak masuk maghrib. Isma dah berdiri kat muka pintu, tarik muka sebab kami sampai lambat. Tadi ayah aku singgah kat masjid sekejap untuk kami solat asar. Lepas tu kami singgah kedai, beli makanan untuk makan malam. Itu yang jadi lambat sampai tu.

“Tu kenapa muka macam tu? Merajuk? Marah?” aku tanya Isma sambil tolak pipinya perlahan. Isma jeling aku sambil menjuihkan bibirnya. Marah kot aku tolak pipi dia. Mak aku pula pandang dia sambil senyum dan gosok balik pipi dia yang aku tolak tadi. Huh! Manja sungguh.

Aku terus masuk ke dalam dapur membawa makanan yang kami beli tadi. Letakkan di atas meja dulu, nanti lepas solat maghrib aku hidangkan. Aku melangkah ke ruang tamu dan nak masuk ke bilik aku. Tiada siapa kat ruang tamu tapi pintu tingkap semua dah tutup. Mak dan ayah aku dah masuk bilik kot.

Aku pandang keliling, mencari Isma. Takde pun budak tu, masuk bilik kot. Selalunya kalau aku balik bawa makanan, berebut dia nak tolong buka. Tapi kali ni marah sangat kot sebab aku tolak dan ejek dia tadi.

Aku tolak pintu bilik aku. Masa ni tiba-tiba tv terpasang. Aku tak jadi melangkah masuk ke bilik. Aku melangkah ke arah sofa, remote tv. Nak tengok siapa yang pasang tv tu. Tiada siapa kat sofa. Aku cari remote tv. Aku jumpa kat tepi tv je. Tapi siapa yang pasang tv tu?

“Isma?” aku panggil dengan suara agak tinggi. Mana tau kot-kot dia ada kat area situ. Tiada sahutan.

“Kau buat apa lagi tengok tv maghrib ni Murni? Dah-dah pergi mandi, solat maghrib. Dah la kita ni baru balik dari rumah orang meninggal. Tanah kubur pun masih melekat kat baju.” Kata mak aku tiba-tiba muncul dari biliknya.

“Tv ni terpasang sendiri mak. Remote ada kat sini, takde siapa pasang pun,” kataku.

“Hish kamu ni. Dah, tutup tv tu. Pergi mandi solat,” kata mak aku, tak pedulikan aduan aku. Aku pun tutup tv dan melangkah cepat-cepat masuk bilik aku. Seram sejuk je aku rasa.

Masuk je dalam bilik, aku terus ambil tuala dan mandi. Selesai mandi, aku solat maghrib. Selesai solat, aku terus keluar bilik. Aku tengok ayah aku ada kat depan tv, tunggu berita.

Aku terus ke dapur. Mak aku sedang tuangkan makanan ke dalam pinggan. Isma duduk kat meja makan.

“Isma, tadi kau ada pasang tv tak masa dekat nak maghrib tadi, lepas aku dan mak ayah baru sampai?” aku tanya.

“Mana ada. Lepas mak masuk bilik, Isma pun masuk bilik Isma,” kata Isma tanpa pandang aku.

“Dah dah la tu Murni. Jangan ingat lagi. Dah, ajak ayah makan. Dia nak pergi masjid solat isya tu,” kata mak aku. Aku pun diam.

Lepas solat isya’ aku berbaring kat atas katil. Penat betul badan aku, dari awal subuh kami dah keluar rumah, dah maghrib baru sampai rumah. Aku terlelap sekejap. Aku tersedar bila aku dengar bunyi orang ketuk tingkap cermin kat bilik aku. Aku buka mata. Aku pandang ke arah tingkap, tiada siapa.

Aku pejam balik, dan aku dengar lagi bunyi orang ketuk tingkap cermin. Aku angkat kepala aku. “Siapa tu?” aku panggil sebab aku tak nampak bayang sesiapa di sebalik tingkap cermin tu.

Aku bangun dan melangkah keluar dari bilik. Aku tengok mak Isma sedang menonton tv. “Isma, ayah dah balik dari masjid?” aku tanya.

“Dah lama dah ayah balik. Dah tidur dah kot,” kata Isma tanpa pandang aku.

“Tadi kau ada keluar ke? Atau sesiapa keluar ke?” aku tanya. Isma gelengkan kepala.

“Tadi ada orang ketuk cermin tingkap aku,” kataku beritahu Isma.

“Entah. Bunyi dari tv ni kot,” kata Isma. Aku diam. Volume tv tu takdelah kuat sangat sampai aku boleh tersedar dari tidur.

Aku tengok jam, pukul 11.30 malam. “Dah la Isma, kau pergi tidur, dah lewat ni,” kataku.

“Sekejap lagi, lepas cerita ni habis pukul 12 nanti,” kata Isma, masih leka menonton tv.

-Bersambung-

One thought on “KEKASIH JELMAAN 2.0

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s