KEKASIH JELMAAN 2.0

Bab 5

Aku melangkah masuk ke dalam rumah Ustaz Ehsan dan terus ke dapur. Aku lihat mak dan Makcik Aisyah sedang memasak untuk makan tengahari. Ada beberapa orang lagi perempuan kat situ yang aku tak kenal membuat kerja masing-masing. Baru sekarang mereka sempat nak memasak. Yang lelaki semua dah pergi ke masjid untuk solat Jumaat.

Aku duduk kat tepi mak yang sedang mengopek bawang. Mak bagi pisau dan timun kepada aku, suruh aku kupas timun. Aku pun buat seperti yang disuruh.

“Apa yang Dayat sembang dengan kamu Murni?” tiba-tiba Makcik Aisyah bertanya aku.

“Takde apa sangat. Dia beritahu bahawa dia sedih pasal Jamilah dah meninggal dunia.” Kataku.

“Lagi?” Makcik Aisyah tanya lagi sambil mengacau gulai dalam periuk di atas dapur.

“Itu je la,” kataku. Tak tahu nak kata apa sebab aku pun tak biasa dengan keluarga Ustaz Ehsan ni. Aku Cuma kenal Hidayat je. Mak ayah Hidayat pun aku tak biasa sangat. Aku kenal kedua-dua keluarga ni pun sebab kes Hidayat dengan ‘kekasih jelmaan’ dia dulu, si Jamilah. Tapi sebab kes itulah, mak ayah aku pula yang jadi rapat dengan kedua-dua keluarga ni. Maknanya aku dah jadi pengerat silaturrahim la kiranya.

“Kenapa kak? Ada perkara lain ke yang Dayat bagitahu Murni?” mak aku pula mencelah.

“Jamilah datang balik,” kata Makcik Aisyah perlahan.

“Jamilah datang balik? Bila? Bukan dia baru je dikebumikan ke?” mak aku tanya balik dengan mata terbeliak memandang Makcik Aisyah.

“Bukan Jamilah anak saya, tapi Jamilah roh yang bersemadi dalam anak patung tu,” kata Makcik Aisyah sambil menutup api dapur gas dan berjalan ke arah aku dan mak lalu duduk semeja dengan kami.

“Hah? Bukan Ustaz dah buang ke dulu?” mak aku tanya lagi dengan wajah terkejut. Tapi aku buat muka selamba je.

“Murni? Dayat ada cakap apa-apa tak?” mak aku pula tanya aku.

“Takde apa. Kami tak sempat sembang panjang,” sahutku sambil buat-buat sibuk potong kulit timun, walhal kulit timun je pun.

“Dulu memang ustaz dah buang dia, tapi tak bunuh. Syaitan, mana ada yang patuh janji,” kata Makcik Aisyah.

“Habis tu, macammana sekarang? Benda tu ada lagi ke? Kat mana?” mak aku tanya.

Tak sempat Makcik Aisyah menjawab, tiba-tiba terdengar bunyi berdentum, seperti ada benda besar yang jatuh di dalam bilik Alisya. Makcik Aisyah dan mak aku cepat-cepat berlari ke bilik. Aku pun terus letak timun dan pisau, lalu menjengah ke bilik.

Makcik Aisyah menolak pintu bilik. Aku nampak buaian Alisya sedang berbuai dengan laju dan tinggi sekali, laksana nak tercampak Alisya di dalamnya. Alisya menangis ketakutan. Di tepi dinding berdekatan dengan buaian tu, aku nampak Zakiah terbaring tak sedarkan diri dengan dahinya berdarah.

‘Subhanallah. Dah kenapa buaian ni laju sangat ni? Jatuh Alisya tu nanti,” kata mak aku.

Makcik Aisyah cepat-cepat melangkah ke arah buaian untuk menghentikan buaian cucunya, tapi tak berjaya. Bahkan buaian itu makin deras berayun.

“Macam ada orang ayunkan buaian ni,” kata mak aku berbisik kat aku.

Aku nampak Makcik Aisyah menekup telinganya dengan tapak tangan, dan mulutnya bergerak-gerak seakan membaca sesuatu. Pada masa ni aku nampak sesusuk tubuh di sebalik kain langsir di tepi tingkap. Aku cuit bahu mak aku dan tunjukkan ke arah susuk tubuh tu. Nampak macam bayangan tubuh seorang wanita kerana rambutnya panjang mengurai.

“Siapa tu?” mak aku bertanya. Aku angkat bahu.

Buaian Alisya makin perlahan dan akhirnya berhenti. Makcik Aisyah cepat-cepat mengangkat cucunya dari dalam buaian. Menggeletar tubuh Alisya, biru bibirnya kerana menangis terlalu kuat. Makcik Aisyah membacakan sesuatu dan meniupkan ke ubun-ubun kepala Alisya.

Aku merapati Makcik Aisyah. Aku lihat Alisya dah kembali normal. “Makcik, siapa tu?” aku bertanya Makcik Aisyah perlahan sambil beri isyarat mata ke arah susuk tubuh perempuan yang sedang berdiri di sebalik langsir.

“Itulah dia,” kata Makcik Aisyah. “Siapa?” aku tanya. “Jamilah,” kata Makcik Aisyah tanpa memandang ke arah susuk tubuh yang aku tunjukkan tu.

“Jangan tegur. Jangan cakap apa-apa. Kamu pergi tengokkan Zakiah.” Kata Makcik Aisyah.

Aku akur dalam gerun. Sebab Zakiah terbaring betul-betul di tepi langsir tu. Kalau aku merapati Zakiah, bermakna aku merapati ‘benda’ tu. Senang-senang je dia pegang aku nanti.

“Ya Allah, misi. Kenapa berdarah macam ni?” tiba-tiba datang seseorang dari luar bilik, mungkin dia dari dapur tadi, dengar bunyi bising lalu dia datang. Wanita separuh abad itu menghampiri Zakiah dan menepuk pipi Zakiah beberapa kali sambil memanggil namanya.

Aku nampak susuk tubuh itu masih berdiri di situ. Tapi wanita separuh abad itu seperti tak nampak susuk tubuh di sebalik langsir tu. Wanita itu mendudukkan Zakiah bila Zakiah mula membuka mata.

“Istighfar misi. Tarik nafas dan hembus perlahan-lahan,” kata wanita itu.

“Mak Imah, tadi benda tu ada kat sini,” aku dengar Zakiah berkata dengan suara yang agak terketar-ketar sambil memandang keliling.

Wanita yang dipanggil Mak Imah tadi memegang dahi Zakiah dengan tapak tangan kanan dan menahan belakang kepala Zakiah dengan tapak tangan kiri membuatkan Zakiah tak dapat menoleh ke sana sini untuk melihat keliling.

“Jangan tengok apa-apa. Diam je. Pejamkan mata. Duduk tegak. Istighfar. Zikrullah. Itu sempadan antara kita dan dia. Dia tak boleh buat apa-apa,” kata Mak Imah.

Zakiah akur. Aku nampak susuk tubuh tu masih di situ, diam kaku. Mungkin sedang memerhati semua yang ada di situ.

Seketika kemudian, aku dengar azan zohor berkumandang. Dan aku tak nampak susuk tubuh di sebalik langsir tadi. Aku pun tak perasan bila dia hilang.

“Zohor dah masuk. Kita solat dulu.” Kata Makcik Aisyah sambil mendukung Alisya dan membawanya keluar.

“Misi nak pergi klinik ke? Kena tengok luka kat dahi ni,” kata Mak Imah pula.

“Takpe, saya rasa tak teruk sangat ni. Saya terhantuk sebab cuba menyambut buaian tu, rasa macam ada orang tolak pun ada,” kata Zakiah.

“Jangan fikir banyak. Pergi rawat luka tu dulu. Lepas tu solat. Lepas tu akan tenang semula, In Shaa Allah,” kata Mak Imah sambil tersenyum memandang Zakiah yang masih berwajah kekeliruan.

Zakiah bangun. Dia memandang ke arah langsir di tepinya. Dia menyelak langsir tersebut. Mak Imah memegang lembut tangannya. “Jangan cari lagi. Pergi solat, sembang dengan Allah,” kata Mak Imah. Zakiah akur, dia terus masuk ke bilik air yang berada di dalam bilik itu juga.

Mak Imah memandang aku yang masih memandang situasi di dalam bilik itu. “Kamu pun pergilah solat. Jangan tunggu sampai dia datang lagi. Nanti dia senang mendekat,” kata Mak Imah kepada aku.

“Mak Imah nampak tak kat tepi tu tadi ada …” kataku cuba memberitahu sebab Mak Imah mungkin tak nampak apa yang aku nampak.

“Saya nampak.” Mak Imah memotong cakap aku. “Biarkan dia dulu. Nanti Ustaz Ehsan uruskan. Kita buat hal kita dulu ye,” kata Mak Imah lembut sambil memegang bahu aku dan mengajak aku sama-sama keluar dari bilik tu.

Ketika para lelaki balik dari solat Jumaat, makanan tengahari baru je siap masak dan dihidangkan. Tak muat di dapur, kami berhidang sampai ruang tamu. Ramai saudara mara yang masih berada di situ. Pada masa ini, terasa eratnya persaudaraan dan seronoknya hidup di desa yang masih kuat silaturrahimnya. Tapi masa ni aku tak nampak Hidayat.

Sebaik selesai makan, lebih kurang pukul 3 petang, ayah aku minta diri untuk balik ke rumah kami. “Terima kasih kerana sudi datang ziarah. Jangan pula putus silaturrahim ni hanya kerana kematian ini ye. Datanglah selalu jenguk kami. Kalau kami ke sana pun, kami akan lawat orang sana pula,” kata Ustaz Ehsan.

“In Shaa Allah.” Sahut ayahku.

“Maaflah kami tak boleh tunggu lama. Sebab ada anak kat rumah tu. Nak bawa dia pagi tadi, dia bersekolah,” kata mak aku.

“Takpe, kami faham,” kata Makcik Aisyah sambil memeluk mak aku. Aku nampak dia menangis.

“Sabar ye. Jamilah anak yang baik, isteri yang baik, pastinya tempatnya juga baik di sana,” kata mak aku.

Aku turut bersalaman dengan Makcik Aisyah, Mak Imah dan beberapa orang wanita yang masih berada di rumah tersebut. Ketika mereka masih berbual mengucapkan selamat tinggal, aku terus keluar dari rumah tersebut. Mataku melilau ke tengah halaman dan keliling rumah. Aku cari Hidayat.

“Dah jom kita balik,” kata ayah tiba-tiba terjegul kat muka pintu.

“Ayah, Murni nak jumpa Dayat dulu,” kataku minta izin.

“Haah, mana Dayat?” ayahku pula bertanya.

Suasana sunyi seketika. Masing-masing memandang keliling, mencari Hidayat.

“Tadi masa berjalan balik dari masjid, dia ada singgah di kubur. Mungkin dia melawat kubur isterinya.” Aku dengar satu suara lelaki.

“Ayah, Murni pergi cari Dayat kat kubur sekejap ye. Murni kena jumpa Dayat sebelum balik,” kataku.

“Pergilah, jangan lama. Kita nak balik. Adik kamu tinggal kat rumah seorang tu,” kata mak aku.

Aku terus berlari ke arah kawasan perkuburan yang tak jauh dari rumah tersebut. Ayah dan pesan kat aku, nanti ayah aku pandu kereta terus ke kawasan perkuburan je, aku boleh terus naik kereta dan kami balik.

Sampai kat kawasan perkuburan, aku jenguk ke kubur Jamilah. Hidayat tiada di situ.

“Dayat. Kau ada kat sini ke?” aku memanggil dengan suara tinggi sikit.

Tiada sahutan. Hanya keredupan petang.

Aku pandang keliling. Aku nampak seseorang di sebalik pondok dekat poko besar di tepi pintu pagar masuk kawasan perkuburan. Rambutnya panjang, bajunya putih lusuh. Aku tak nampak wajahnya kerana tertutup dengan rambutnya. Aku tak nampak kaki dia kerana kain putih lusuhnya menutup keseluruhan kakinya.

Hati aku berdebar-debar, keadaan tubuh perempuan itu agak menyeramkan. Kepalanya terlentok hingga mendarat di atas bahu. Dia bergerak tanpa pergerakan di kakinya. Sesekali kepalanya seakan terjatuh ke dada dan tangannya menolak kembali kepalanya ke atas bahu.

Rupanya tak ubah macam makhluk yang aku nampak terlekat kat dinding rumah banglo Hidayat, masa aku pertama kami pergi ke rumah Hidayat untuk mencarinya. Saling tak tumpah, itulah dia. Dan serta merta aku teringat akan anak patung yang aku patahkan lehernya dulu.

-Bersambung-

One thought on “KEKASIH JELMAAN 2.0

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s