KEKASIH JELMAAN 2.0

Bab 4

Semasa talkin dibacakan, aku pandang Hidayat. Dia menangis tersedu-sedan. Dalam tak sedar, air mata aku pun turut mengalir.

Sebaik selesai bacaan talkin, semua yang hadir mula bergerak pulang. Aku lihat jam tangan masa tu pukul 10.30 pagi. Aku bergerak jauh sikit dari kawasan perkuburan. Aku berdiri di bawah satu pokok besar di tepi pagar kawasan perkuburan.

Aku lihat beberapa orang menepuk bahu Hidayat. Aku nampak Ustaz Ehsan memeluk Hidayat yang masih duduk bersila mengadap kubur Jamilah. Aku nampak En Johan memujuk anaknya. Dan Hidayat masih dalam keadaan kekal bersila di sisi kubur isterinya. Semua orang yang hadir telah meninggalkan kawasan perkuburan tapi Hidayat masih duduk di sana, sendirian.

“Kamu taknak balik lagi ke Murni?” tiba-tiba mak tanya aku. Rupanya dah lama mak dan ayah berdiri kat tepi aku. Aku je tak sedar sebab asyik memerhatikan Hidayat.

“Mak dan ayah balik terus rumah kita atau pergi ke rumah Ustaz Ehsan?” tanyaku.

“Balik ke rumah Ustaz Ehsan. Lepas solat Jumaat nanti baru balik rumah kita kot. Kenapa kamu tanya?” mak aku tanya aku balik.

“Boleh tak Murni nak jumpa Dayat, nak sembang dengan dia. Nanti Murni balik dengan Dayat,” kataku minta izin. Mak aku pandang ayah. Ayah aku anggukkan kepala.

“Kamu jangan tanya banyak sangat kat dia. Jangan nak tinggi suara. Dia tengah bersedih tu. Jangan lama sangat, tak elok orang tengok. Kamu tu anak dara,” kata mak aku. Mak kan, kita dah besar panjang pun dia masih nak tinggalkan beraneka pesanan kat kita.

“Baiklah mak. Murni janji,” kataku sambil mengangkat tangan kanan laksana orang mengangkat sumpah. Ayah aku jeling je kat aku.

Lepas mak dan ayah aku berjalan meninggalkan aku, aku melangkah perlahan masuk semula ke kawasan perkuburan. Aku menghampiri Hidayat.

Ketika aku sampai kat tepi Hidayat, dia masih termenung kat depan kubur Jamilah. Aku duduk di tepi Hidayat. Hidayat masih tak perasan aku kat tepi dia. Aku pandang Hidayat. Dia kelihatan amat tua dari umurnya. Aku dapat lihat jelas perubahan dirinya berbanding lima tahun lepas ketika dia berjumpa aku untuk memberi kad kahwinnya. Memang jauh berbeza. Air matanya laju mengalir dipipinya yang kelihatan cengkung.

“Dayat?” aku panggil dia perlahan.

Hidayat menoleh perlahan ke arahku. “Murni? Bila kau sampai?” tanyanya perlahan sambil mengelap air mata di pipinya

“Aku baru je sampai,” sahutku perlahan. Aku taknak dia tahu bahawa aku dah berada di rumahnya sejak awal pagi lagi. Aku taknak dia tahu aku nampak bagaimana dia dipegang oleh orang ramai, seperti orang gila tadi. Aku taknak dia tahu bahawa aku dah lama di situ hingga dah dengar cerita tentang dirinya. Aku taknak dia tahu aku nampak dia menangis, walaupun dia pada saat itu, dia masih menangis.

“Murni….,” Hidayat panggil nama aku perlahan.

“Iye Dayat,” sahutku, juga perlahan. Sebaknya, Allah yang tahu. Aku tahan air mata dari mengalir di pipiku.

“Isteri aku dah tiada. Dia dah tinggalkan aku,” katanya perlahan.

“Allah lebih sayangkan dia. Dia pergi dengan tenang, dia dah berlari riang di taman syurga. Jangan ratapinya,” kataku dengan suara yang bergetar menahan sebak.

“Aku tahu dia dah pergi. Aku dah redho. Aku tahu syurga pasti miliknya. Tapi aku terkilan dengan cara kematiannya. Aku berada di sana ketika dia jatuh tapi kenapa aku tak tolong dia?” kata Hidayat, suaranya agak kuat.

“Dayat, ini semua kehendak Allah. Allah mengizinkannya berlaku sedemikian. Kalau kau letak penyambut tilam empuk sekalipun, kalau Allah kata  dia akan jatuh ke lantai, dia tetap akan jatuh ke lantai. Siapapun kau, kau tak layak nak hentikan kehendak Allah. Ingat tu,” pujukku.

Hidayat diam. Dia menundukkan kepalanya. Ada air mata menitis lagi.

“Dayat, istighfar. Jangan ratapi takdir Allah. Aku tahu kau sedih. Kau kena kuat demi Alisya,” kataku. Kalaulah dia tu perempuan, memang aku dah peluk dia untuk pujuk. Sedih sangat aku tengok dia. Mana tak sedih, isteri kot yang meninggal dunia tu.

“Murni, aku nampak dia jatuh. Aku nampak dia peluk Alisya masa dia jatuh. Aku dengar dia panggil aku ketika dia jatuh. Dan yang paling sedih, aku biarkan dia jatuh tanpa buat apa-apa,” kata Hidayat.

“Dayat, sabar Dayat. Kita kat kawasan perkuburan ni. Tak baik kita meratap dan bercerita hal duniawi di sini,” kataku.

Hidayat pandang keliling. “Kau cari siapa Dayat?” aku tanya.

“Murni, dia masih ada,” Hidayat cakap kat aku.

“Dia? Siapa?” aku tanya balik, cuba nak bongkar apa yang tersimpan di hatinya walaupun aku dapat agak apa yang dia cuba cakap kat aku.

Hidayat bangun. Aku pun ikut bangun. Hidayat melangkah meninggalkan kubur isterinya. Dan tinggalkan aku juga. Aku menurut langkahnya. Dia menghala ke pondok kecil di tepi kawasan perkuburan. Ada kerusi di tepi pondok, dan Hidayat duduk di situ. Aku pun turut duduk di satu lagi kerusi di bawah pokok berdekatan dengan pondok.

Hidayat masih memandang keliling, matanya melilau seakan mencari sesuatu.

“Kau cari apa Dayat?” aku tanya.

“Jamilah masih ada,” kata Hidayat tiba-tiba.

“Dayat, Jamilah dah meninggal dunia. Kan tadi kau duduk kat tepi kubur dia,” kataku lagi.

“Bukan isteri aku, tapi anak patung tu,” kata Hidayat. Aku pandang matanya tepat.

“Kenapa kau cakap macam tu? Bukankah Ustaz Ehsan dah buang dia?” aku bertanya.

“Ayah mertua aku buang dia, bukan bunuh dia,” kata Hidayat.

“Mana kau tahu dia masih ada?” aku tanya lagi.

“Aku nampak dia,” kata Hidayat.

“Kau nampak dia kat mana?” aku tanya lagi.

“Di merata-rata. Dia kata dia tak boleh tinggalkan aku. Dia kata dia tak suka aku berdamping dengan orang lain. Dia kata aku milik dia. Tiada orang lain berhak mendampingi aku,” kata Hidayat.

“Hish, kau banyak fikir kot ni Dayat.” Kataku, cuba nak mengajak dia berfikir dengan lebih tenang.

“Aku tahu apa yang aku nampak. Murni, kau kenal aku kan. Kau je yang kenal dan rapat dengan aku sejak zaman sekolah lagi. Kau je yang tahu kisah aku dan keluarga aku. Jadi, kau saja yang aku harap yang akan percaya dengan apa yang aku nak cakap,” kata Hidayat. Matanya masih melilau memandang keliling.

Tiba-tiba semak kat tepi pondok bergoncang seperti ada yang bergerak melaluinya. Aku memandang ke arah semak tersebut. Tak sempai aku kenalpasti apa yang berada di semak itu, tiba-tiba pokok besar kat atas tempat aku sedang duduk tu, bergoyang kuat seperti ada yang menggoncang di atas pokok tersebut. Aku bangun dari kerusi dan terus mendongak memandang ke atas pokok. Aku nampak sesuatu dalam sekilas pandang. Sesuatu objek dengan rambut yang panjang. Tapi sekejap sangat. Sekelip mata, benda tu hilang.

Aku anggap itu cuma silap pandangan aku je. Aku tengok Hidayat. Hidayat sedang duduk di tanah dan menutup mukanya. “Dayat?” aku panggil dia perlahan.

Hidayat angkat mukanya dan pandang aku. Wajahnya ketakutan.

“Jom kita balik dulu.” Kataku. Hidayat menurut, dia bangun dan melangkah meninggalkan pondok tersebut walaupun matanya masih melilau mencari sesuatu. Aku menuruti langkahnya.

Sebaik sampai di rumah Ustaz Ehsan, Hidayat duduk di pangkin bawah pokok mempelam di halaman rumah Ustaz Ehsan. Aku turut duduk di sebelahnya. Aku nampak ayah aku bersama Ustaz Ehsan dan En Johan sedang duduk di ruang tamu dan memandang ke arah kami. Ayah aku tunjuk jam tangan, memberi isyarat untuk aku tengok masa untuk waktu solat Jumaat. Supaya aku boleh ingatkan Hidayat. Aku anggukkan kepala.

“Dayat, ada apa-apa yang kau nak cakap kat aku ke?” tanyaku.

“Jamilah masih ganggu aku. Dia masuk ke dalam permainan anak aku,” kata Hidayat.

“Kenapa kau beli mainan anak patung? Belilah mainan lain. Alatan memasak ke, pakaian ke, alat mekap ke,” kataku.

“Alisya baru berusia enam bulan masa aku belikan satu patung teddy bear untuk dia. Takkanlah umur enam bulan nak main alatan memasak,” kata Hidayat. Aku diam. Iye tak ye jugak. Aku gosok kepala aku yang tak gatal, terasa seperti dah silap bagi cadangan.

“Sebenarnya, aku dah dapat rasakan kehadiran dia sejak tahu isteri aku mengandung. Aku nampak kelibat dia kat dalam rumah kami. Isteri aku selalu tanya, kenapa aku suka ubah kerusi meja dan perkakasan lain dalam rumah? Sedangkan aku tak usik apa-apapun kat dalam rumah tu. Ada sekali tu, ada minyak bertaburan di dapur. Mujur aku yang ke dapur, aku jatuh sebab dapur licin. Kalau isteri aku yang ke dapur, tak tahulah nasibnya macammana. Masa tu dia nak tunggu hari nak bersalin je. Aku pelik juga, siapa yang nak tabur minyak kat lantai dapur? Isteri aku memang dah tak memasak dah masa tu. Kami beli je,” kata Hidayat.

Aku diam. Biarkan Hidayat bercerita, meluahkan segalanya.

“Masa nak beli teddy bear tu, bukan aku nak beli pun. Tak taulah Alisya menangis macam kena rasuk, sampai terbeliak mata nakkan teddy bear tu. Ayah mertua aku memang tak bagi aku beli anak patung ke teddy bear kea tau apa-apa jenis patung. Tapi sebab masa tu Alisya nangis lepas dia pandang teddy bear tu. Dia tunjuk kat teddy bear tu sambil menangis. Bila isteri aku bagi teddy bear tu kat dia, dia diam dan ketawa. Isteri aku pun suruh la aku beli. Nak taknak, aku terpaksa beli,” kata Hidayat.

“Isteri kau tahu tak pasal Jamilah?” aku tanya.

“Aku rasa dia tak tahu. Aku rasa ayah mertua aku rahsiakan hal ni. Dia mungkin tahu aku dan keluarga aku sedang berubat dengan ayahnya tapi dia tak tahu cerita terperinci. Kadang aku terlepas cakap pasal patung, ayah aku dah berdehem, bagi isyarat jangan cakap asal tu.” kata Hidayat.

“Kau pun tak pernah cerita kat dia?” tanyaku.

“Tak. Sebab ayah mertua aku dan ayah aku sendiri kata tak perlu ceritakan kisah tu kat isteri aku. Kisah lama yang mengaibkan tak perlu dihebahkan kata mereka. Jadi aku pun tak cakap kat dia. Cuma aku rasa, takkanlah dia tak tahu langsung. Tapi dia pun tak pernah tanya aku pasal ni,” kata Hidayat.

“Sekarang, Jamilah tu kat mana?” aku tanya lagi.

“Dayat, masuklah. Bersiap, kita ke masjid, solat Jumaat. Orang masjid nak buat bacaan yassin lagi. Dan buat tahlil sikit untuk arwah,” aku dengar Ustaz Ehsan memanggil.

Hidayat bangun. Dia terus melangkah masuk ke rumah, meninggalkan aku yang masih terkebil-kebil di bawah pokok mempelam sendirian.

-Bersambung-

One thought on “KEKASIH JELMAAN 2.0

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s