KEKASIH JELMAAN 2.0

Bab 3

Kami teruskan perjalanan ke rumah Ustaz Ehsan. Lebih kurang pukul 8.00 pagi kami sampai di halaman rumah Ustaz Ehsan. Ramai yang berada di sana. Aku ikut mak aku masuk ke rumah melalui pintu dapur. Kat dapur kelihatan beberapa orang saudara mara sebelah keluarga Ustaz Ehsan sedang duduk di sana. Aku dan mak terus masuk ke ruang tamu. Aku nampak jenazah diletakkan dia tengah ruang tamu. Isteri Ustaz Ehsan, Makcik Aisyah sedang duduk di bahagian kanan jenazah sambil tekun membaca Al Quran.

Mak aku menghampiri Makcik Aisyah. Makcik Aisyah kelihatan terkejut bila nampak mak dan aku. Lepas tu dia terus peluk mak aku sambil menangis teresak-esak. Mak aku mengusap bahu Makcik Aisyah perlahan-lahan. Aku nampak mak aku pun menangis.

“Sabar kak, Allah lebih sayangkan dia,” aku dengar mak aku cakap dengan Makcik Aisyah.

“Dia satu-satunya anak saya. Dia anak yang baik. Saya redho dengan pemergiannya kerana segalanya dengan izin Allah. Tapi saya tak dapat lari dari perasaan sedih dan terkilan dengan cara kematiannya. Dia baru je beritahu saya bahawa dia mengandung. Baru 6 minggu,” kata Makcik Aisyah, buatkan muka aku dan mak berubah.

“Allah! Sabar kak. Ini ujian untuk kita juga, untuk menguji sekuat mana iman kita kepada Allah. Sekuat mana kita menerima takdir Allah. Jamilah anak yang baik, sudah pasti syurga tempatnya. Dia dah gembira di taman syurga.” Kata mak aku masih memujuk Makcik Aisyah yang makin kuat sedunya.

Aku pula tak sabar nak tahu mana Hidayat. Sebab dari aku sampai tadi, sampai sekarang, aku tak nampak kelibat Hidayat.

“Makcik, Dayat mana? Alisya masih kat hospital ke?” Aku bertanya.

“Alisya ada tidur kat dalam bilik, ada jururawat upahan keluarga En Johan yang menjaganya. Dayat? Makcik pun tak tahu dia kat mana sekarang ni. Kami masih menunggu dia, sebab tu jenazah masih di sini,” kata Makcik Aisyah sambil memandang keliling, seperti sedang mencari kelihat Hidayat juga. Aku kerutkan dahi, tiada yang tahu di mana Hidayat, ketika jenazah isterinya terbaring di ruang tamu rumah, menunggu masa untuk dikebumikan.

“Makcik, boleh saya tengok Alisya?” aku bertanya.

“Boleh, kamu masuk bilik tu,” kata Makcik Aisyah sambil menunjukkan bilik ketiga selepas pintu utama.

Aku bangun dan melangkah perlahan ke arah bilik yang ditunjukkan oleh Makcik Aisyah. Aku ketuk pintu bilik tiga kali. Tak lama kemudian, pintu dibuka dari arah dalam. Aku lihat ada seorang gadis muda berdiri di tepi pintu sambil tersenyum memandang aku.

“Ya? Nak cari siapa?” tanyanya lembut.

“Saya kawan arwah dan suaminya. Saya nak tengok Alisya, tadi saya dah minta izin dari nenek Alisya,” kataku.

“Ohh, masuklah. Alisya sedang tidur,” kata perempuan muda tadi. Aku pun melangkah masuk perlahan dan terus ke katil. Aku nampak Alisya sedang nyenyak.

Perempuan muda tadi menutup pintu bilik dan melangkah ke arah aku.

“Saya Zakiah, jururawat yang diupah oleh En Johan untuk menjaga Alisya sejak setahun yang lepas, masa keadaan ayahnya makin teruk.” Kata perempuan muda tadi sambil menghulurkan salam. Aku sambut salamnya.

“Keadaan ayahnya?” tanyaku. Zakiah anggukkan kepala perlahan.

“Kenapa dengan ayah Alisya?” aku bertanya.

“Tak tahulah. Dia macam ada masalah mental tapi bila buat pemeriksaan di hospital pakar, doktor kata dia normal, tiada yang bermasalah.” Kata Zakiah.

“Apa yang buatkan orang rasa ayah Alisya tu ada masalah mental?” aku tanya lagi.

“Dia bercakap seorang diri, ketawa seorang diri. Ada sekali tu, dia berebut mainan dengan Alisya. Sampai Alisya menangis sebab ayahnya ambil anak patungnya dan bawa lari,” kata Zakiah.

“Sejak bila dia jadi macam tu?” aku tanya lagi dengan dahi berkerut seribu.

“Kelainan tu dah dapat dikesan dek keluarga En Johan pada hari Alisya lahir. En Hidayat taknak pandang langsung anaknya. Dan dia macam marah sangat dengan Pn Jamilah. Sedangkan pada masa sebelum Alisya lahir, dia adalah seorang suami yang sangat baik. Pn Jamilah tu sampai tak boleh buat kerja apa dah, dia tak bagi. Semuanya dia buat. Ditatangnya Pn Jamilah tu macam raja,” kata Zakiah.

“Mereka tak bawa berubat tradisional ke?” tanyaku lagi.

“Ayah Pn Jamilah kan ustaz, mestilah Ustaz Ehsan berbuat sesuatu. Tapi saya pun tak berapa pasti. Yang saya dengar, katanya ada benda yang tak balik lagi. Entahlah, saya tak pandai perkara ni. Tak berani nak cakap pun, takut salah nanti,” kata Zakiah. Dan aku terdiam.

“Macammana Jamilah boleh jatuh?” aku tukar topik.

“En Hidayat kata, dia terjun. Tapi orang lain nampak, dia tergelincir,” kata Zakiah.

“Ayah Alisya ada dengan dia ke masa dia jatuh?” aku tanya lagi.

“En Hidayat ada bersama dengan dia. Alisya pula sedang didukung oleh Pn Jamilah. Mereka bersembang di koridor tingkat 4 tu. Ada orang nampak, macam ada orang lain bersama mereka sebelum Jamilah jatuh. Tapi cctv tak nampak sesiapa selain mereka bertiga,” kata Zakiah.

“Ayah Alisya tolak Jamilah ke?” aku terus tanya.

“Ada orang nampak masa Pn Jamilah jatuh. Bukan En Hidayat yang tolak. En Hidayat jauh sikit dari Pn Jamilah masa Pn Jamilah jatuh, mereka syak Pn Jamilah tergelincir. Nasib baik ada cctv, jadi mereka tak boleh dakwa Dayat. Tapi mereka boleh dakwa jika En Hidayat melakukan provokasi terhadap Pn Jamilah hingga Pn Jamilah jauh,” kata Zakiah.

“Provokasi?” aku tanya.

“Maksudnya kalau-kalau Hidayat berkata sesuatu seperti mengugut Pn Jamilah dan menyuruh Pn Jamilah terjun. Tapi dari cctv, tak nampak macam tu. En Hidayat cuma diam dan pandang Pn Jamilah. Pn Jamilah yang mengundur sikit demi sikit sampai tergelincir jatuh,” kata Zakiah.

“Dia buat apa masa Jamilah jatuh?” aku tanya.

“Dia berdiri sambil peluk anak patung milik Alisya,” kata Zakiah. Aku terkaku sekejap. Hidayat ni dah gila agaknya, desis hati kecilku.

“Tapi, macammana pula boleh tergelincir, bukan ada pagar ke di setiap tingkat. Kalau nak jatuh pun, Jamilah perlu panjat pagar tu baru boleh tergelincir kan?” aku tanya, masih tak puas hati.

“Itu yang masih menjadi musykil. Cctv tunjuk macam Pn Jamilah terlanggar pagar tu dan dia tertonggeng keluar pagar, macam ada yang menolaknya. Atau mungkin Pn Jamilah dalam keadaan sangat terkejut atau takut hingga dia tak sedar dia dah melanggar pagar penghadang tu dengan kuat sampai dia terkeluar dan jatuh ke bawah,” kata Zakiah sambil menepuk belakang Alisya yang bergerak-gerak, mungkin terganggu dengan perbualan aku dan Zakiah.

“Kat mana Hidayat sekarang?” aku tanya. Zakiah angkat bahu.

Seketika kemudian, aku terdengar bunyi riuh kat luar bilik. Aku terus membuka pintu bilik dan menjenguk ke luar. Aku nampak ramai orang sedang mengerumuni sesuatu. Aku melangkah perlahan keluar.

“Kamu nak ke mana ni Dayat? Isteri kamu meninggal dunia ni. Kamu tahu ke tak ni?” aku dengar suara En Johan, ayah Hidayat. Aku cuba menjenguk  ke arah orang yang sedang dikerumuni tu.

Aku nampak En Johan dan beberapa orang sedang memegang Hidayat. Hidayat nampak lain. Dia sangat kurus, mukanya nampak hitam. Matanya melilau melihat sekeliling. Aku memang terkejut melihat keadaannya.

“Dayat, bawa bertenang. Kamu tengoklah jenazah isteri kamu sebelum dia dikebumikan. Lepas ni kamu takkan jumpa dia lagi,” kata Ustaz Ehsan lembut sambil memegang kepala menantunya.

“Jamilah masih hidup,” kata Hidayat perlahan.

“Dayat, kamu kena terima ketentuan Allah. Jamilah dah kembali kepada Penciptanya.” Kata Ustaz Ehsan sambil membacakan sesuatu dan meniup ke kepala Hidayat. Hidayat tiba-tiba jadi macam orang baru bangun tidur. Dia pandang keliling.

“Kenapa ni?” dia bertanya dengan dahi berkerut seribu, seperti tak tahu apa yang sedang terjadi.

“Dayat, Jamilah dah takde. Dia dah pergi buat selama-lamanya,” kata Puan Azie, isteri En Johan, mak Hidayat.

“Tapi Dayat baru je sembang dengan dia. Mak tahu tak, Alisya bakal dapat adik,” kata Hidayat sambil tersenyum.

Mereka yang berada di situ berpandangan sesama sendiri. Ada yang menggelengkan kepala, ada yang menangis melihat senario itu.

“Mari nak, kita lihat jenazah isteri kamu buat kali terakhir. Tak elok jenazah dibiarkan lama.” Kata Pn Azie sambil memegang tangan Hidayat. Hidayat masih buat muka tercengang tapi dia menurut langkah ibunya.

Sebaik tiba di tepi jenazah Jamilah, Pn Azie membuka selimut yang menutup wajah arwah Jamilah. Masa tu aku tengok wajah Hidayat seperti nak meraung.

“Tapi mak, Dayat baru je sembang dengan dia. Macammana dia boleh meninggal dunia?” kata Hidayat lagi dengan suara menahan sebak.

“Jamilah jatuh Dayat. Sabar nak. Allah lebih sayangkan dia. Kamu redhakan pemergiannya,” kata Pn Azie masih memujuk walaupun Pn Azie sendiri dah tersedu sedan kat situ.

“Milah, kenapa Milah tinggalkan abang? Milah kata Alisya nak dapat adik, tapi kenapa Milah pergi pulak?” kata Hidayat dengan sendunya menatap wajah arwah isterinya yang kaku.

“Dayat, ini semua takdir Allah. Tak baik meratapi pemergiannya. Kamu sebagai suami, ampunkan segala dosanya, redhokan pemergiannya. Halalkan segala makan minum yang telah kamu bagi kepadanya.” Kata Ustaz Ehsan sambil menepuk bahu menantunya itu.

Hidayat tak menyahut. Dia menyapu air mata yang mengalir deras di pipinya dan cuba menahan agar tiada air mata mengalir lagi. Dia mengucup dahi isterinya. Semua yang melihat tak dapat menahan sebak, mengalirkan air mata melihat seorang suami yang kehilangan isterinya dalam keadaan yang tak terduga.

“Mana Alisya?” Hidayat bertanya setelah menutup kembali wajah isterinya. Aku tak boleh pandang wajah Hidayat, aku nak menangis.

“Ada kat dalam bilik, dengan misi Zakiah. Biarkan dia, dia selesaikan pengebumian Jamilah dulu.” Kata En Johan. Hidayat akur. Dia terus diam dan mengikuti langkah orang-orang di situ mengangkat keranda yang berisi jenazah Jamilah.

Aku pun turut mengikut dari belakang. Aku perhatikan Hidayat, dia seperti bukan dia. Aku dapat rasakan itu bukan dia. Atau mungkin separuh dia dan separuh bukan.

Sampai di kawasan perkuburan, Hidayat meminta untuk menyambut jenazah isterinya di liang lahat. Pada mulanya beberapa orang di situ tak menyetujuinya memandangkan keadaan Hidayat yang tak begitu sihat, tapi Ustaz Ehsan memberi keizinan.

Aku melihat Hidayat menyambut jenazah isterinya, meletakkannya di liang lahat, mengiringkannya menghadap kiblat, membuka kain di bahagian wajahnya dan melonggarkan ikatan di badan dan kaki jenazah isterinya. Semuanya dilakukan sendirian oleh Hidayat. Dalam tak sedar, aku bangga dengan Hidayat kerana dia yang aku kenal masa zaman sekolah dulu, tak sama dengan dia setelah menjadi menantu Ustaz Ehsan.

Sekarang aku faham, kenapa dia tak diberi status pesakit mental. Kerana dia tak sakit, fikirannya baik, dia tahu setiap rukun pengebumian jenazah. Tapi aku dapat rasakan, ada di satu-satu masa yang tidak disedari oleh sesiapa walau dirinya sendiri, dia bertukar menjadi seseorang yang bukan dia. Seorang yang lain.

-Bersambung-

One thought on “KEKASIH JELMAAN 2.0

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s