KEKASIH JELMAAN 2.0

Bab 2

Aku baringkan tubuh aku di atas katil. Aku ambil bantal lain, tutup muka aku. Aku rasa berdebar lain macam. Rasa seperti sedang diperhatikan pun ada. Aku pejamkan mata aku kuat-kuat, aku tekup bantal kat muka aku. Aku berpeluh-peluh.

Tiba-tiba aku macam terdengar bunyi tapak kaki budak kecil sedang berlari-lari kat dalam bilik aku. Aku longgarkan sikit tekupan bantal ke muka aku. Dan aku dengar bunyi ketawa anak kecil, betul kat tepi telinga aku. Aku menoleh ke arah bunyi suara anak kecil tu, tiada siapa kat situ. Aku ketepikan bantal yang menutup muka aku. Aku pandang ke sekeliling bilik. Tiada apa yang bergerak.

Aku duduk. Dan masa ni aku nampak sesuatu yang bergerak di bahagian kaki katil. Aku nampak pergerakan itu seperti seorang budak yang sedang merangkak ke kiri dan ke kanan katil aku. Aku bergerak perlahan-lahan ke bahagian kaki katil. Seperlahan mungkin, aku nak tengok apa benda tu. Takut? Memang aku takut, tapi aku kena buat sesuatu. Sebab siapa nak tolong aku masa ni. Nak menjerit? Suara aku tak boleh keluar dah, tersekat kat kerongkong. Aku menggeletar.

Aku sampai ke bahagian kaki katil. Aku jenguk ke bahagian bawah. Tiada sesiapa di situ. Aku dengar bunyi tapak kaki anak kecil berlari disertai dengan bunyi gelak tawa seperti sedang mengajak aku bermain. Aku pandang keliling aku. Tiada sesiapa.

Aku pandang semula ke bahagian kaki katil. Aku nampak sesuatu menyusup masuk ke bawah katil. Aku turunkan kepala aku sikit untuk melihat apa yang baru saja menyusup masuk ke bawah katil aku. Sedikit demi sedikit aku turunkan kepala aku sampai aku nampak keseluruhan bahagian bawah katil aku dengan bantuan lampu dari koridor rumah yang terpasang. Kosong je.

Aku dengar bunyi katil aku berkeriut, seperti ada orang sedang duduk di atasnya. Aduh, jantung aku dah macam apa je lajunya. Aku angkat kepala aku perlahan-lahan. Aku cuba pandang ke atas katil aku, masih gigih nak cari punca segala macam bunyi kat dalam bilik aku tu.

Sebaik sahaja aku duduk, aku nampak ada satu anak patung ‘barbie’ dengan saiz sama macam aku sedang duduk di kepala katil aku. Dia memandang aku tanpa mata berkedip. Aku cuba nak lari, tapi kaki aku seakan terlekat di katil. Anak patung itu merangkak menghampiri aku, sambil memegang satu bongkah kayu di tangannya. Setelah dia hampir kepada aku, dia mengangkat bongkah kayu dan menghayunnya ke arah aku. Kepala aku sakit, sakit sangat. Aku mengumpul tenaga dan menjerit sekuat hati aku, sambil menahan sakit.

Tiba-tiba pintu bilik aku ditolak dari luar. Bilik aku cerah selepas lampu dipasang. “Kamu kenapa Murni?” aku dengar suara mak aku. Aku buka mata dan pandang ke pintu. Mak dan ayah aku sedang berdiri memandang aku yang sedang tertonggeng di bawah katil. Kepala aku benjol sedikit, rasanya aku jatuh dari katil dan terhantuk di kaki katil. Aku bermimpi rupanya. Fuh! Aku tarik nafas lega.

“Murni mimpi ngeri mak,” kataku sambil menggosok kepalaku yang benjol.

“Kamu ni, dah jadi cikgu kot. Masih macam budak kecil lagi. Tidur tak basuh kaki, tak baca doa. Dah besar dah, takkan mak nak ingatkan lagi?” bebel mak aku.

“Dah dah, pergi tuam benjol kepala tu dengan ais. Esok awal pagi nak dah keluar. Nanti makin besar pula benjolnya.” Kata ayah aku.

Aku akur, aku bangun dan terus ke dapur, mengambil seketul ais dan meletakkannya di sekeliling benjolan di kepala aku. Lepas tu aku aku kembali masuk ke bilik. Mak dan ayah aku dan masuk bilik mereka. Aku biarkan lampu berpasang dan aku tidur. Mujurlah aku tak mimpi lagi.

Aku tersedar bila terdengar bunyi azan subuh berkumandang dari masjid yang tak jauh dari rumah aku. Aku angkat kepala aku tapi kepala aku berat dan sakit. Aku pening sedikit. Aku raba benjol kat kepala aku, surut sikit tapi masih ada kesan. Aku cuba bangun dan duduk di atas katil.

Pintu bilik aku terbuka. Mak aku menjenguk. “Hah, dah bangun? Cepat mandi solat semua. Kita sarapan kat luar je. Takut nanti lewat, tak sempat sampai sebelum jenazah dikebumikan.” Kata mak aku. Aku angguk kepala sambil mengeriutkan dahi menahan sakit.

“Sakit lagi ke kepala tu?” Mak aku tanya sambil melangkah masuk ke bilik aku dan merapati aku lalu memegang bahagian benjol di kepala aku. Berkeriut muka aku menahan sakit bila mak aku tekan bahagian benjol tu.

“Nanti tuam lagi dengan ais.” Kata mak aku masih membelek kepala aku.

“Murni pening mak, kepala rasa berat,” aku mengadu.

“Kuat kot kamu terhantuk semalam. Macammana la boleh mengigau sampai macam tu sekali. Kamu mimpi apa?” mak aku tanya.

Aku diam sambil gelengkan kepala. Aku taknak cuba pun untuk ingat apa yang aku mimpi semalam, kepala aku sakit sangat. “Kalau kamu tak sihat, mak pergi dengan ayah je la,” kata  mak aku.

“Eh, takpe mak. Murni nak ikut. Macammana sekalipun, Murni nak ikut,” kataku perlahan.

“Tu boleh tak mandi sendiri tu? Pening tu. Nanti jatuh kat bilik air pulak,” kata mak aku.

“Boleh mak. Murni boleh gerak perlahan-lahan. Nanti oklah,” kataku lalu bangun dan mencapai tuala yang digantung di tepi almari baju. Aku terus masuk ke bilik air yang memang ada kat dalam bilik aku. Bilik air ni dikongsi oleh bilik aku dan bilik adik aku kat sebelah. Adik aku kat asrama, memang aku seorang la yang guna bilik air tu.

Mak aku perhatikan aku sampai aku masuk ke bilik air. Lepas mandi, aku solat subuh. Kepala aku masih berat tapi aku kena bertahan. Aku nak juga pergi ke majlis pengebumian Jamilah, isteri Hidayat. Dan aku nak tengok keadaan Hidayat dan anaknya juga. Aku pun nak tahu, siapa yang berhubung dengan aku melalui nombor telefon Hidayat semalam, sampai aku terbawa-bawa dalam mimpi yang mengakibatkan kepala aku benjol pagi ni.

Selesai solat dan bersiap, aku keluar dari bilik aku. Mak dan ayah aku dah menunggu di sofa kat ruang tamu. “Dah siap? Jom,” kata ayah.

“Nanti kita singgah kat mana-mana, kita sarapan,” kata mak aku. Aku anggukkan kepala dan mengikut langkah ayah aku keluar dari rumah. Mak aku ikut belakang aku dan mengunci pintu.

Kami menaiki kereta dan ayah terus memandu ke rumah Ustaz Ehsan, ayah Jamilah.

“Kamu tak pernah berhubung dengan Dayat ke Murni?” ayah memulakan perbualan setelah sekian lama suasana sunyi menyelubungi sejak kami bertolak dari rumah tadi.

“Lepas anak dia lahir, dah tak berhubung dah.” Sahutnya perlahan.

“Kenapa?” tanya ayah aku lagi.

“Murni pun sibuk belajar. Lagipun, Dayat tu suami orang. Takkanlah Murni nak berhubung selalu dengan dia. Nanti apa pula kata isteri dia,” kata aku.

“Ayah Dayat kata, Dayat tu dah macam orang sasau. Bercakap seorang diri, gelak ketawa macam ada teman kat depan dia tapi dia seorang diri je,” kata ayah aku.

“Mak ada cakap haritu. Tapi sejak bila dia jadi macam tu? Sebab Murni tengok dia macam ok je, happy lagi sejak ada anak ni,” aku tanya lagi.

“Sejak usia anaknya setahun. Kata Encik Johan, pertama kali dia jadi macam tu, masa mereka berada di rumah Encik Johan. Katanya anak Dayat jatuh kat dalam kolam ikan kat halaman rumah mereka. Kelam kabut mereka tarik Alisya keluar dari kolam tu. Tak tahu macammana dia boleh jatuh, tapi memang Alisya dah boleh berjalan.” Kata ayah aku.

“Lepas kejadian itulah, Hidayat macam terganggu sikit. Dia mula bercakap sendiri, dia dah tak pedulikan anak dan isterinya. Dia mudah marah kalau ada orang mengubah barangan yang berada di dalam biliknya dan yang paling pelik ialah dia bermain dengan anak patung anaknya. Dia pernah tolak Alisya sebab Alisya nak ambil anak patung tu. Dia tak bagi Alisya ambil anak patungnya.” Kata ayah aku.

Aku diam. Tak tahu nak kata apa. Dan aku teringat kat mimpi aku semalam. Aku nampak anak patung juga. Tapi itu mungkin sebab aku terlalu teringatkan kisah lampau Hidayat dengan Jamilah si anak patung.

“Entah-entah, benda lama tu datang balik tak?” kata mak aku tiba-tiba.

“Hish, takkanlah. Sebab Ustaz Ehsan dah buang kan. Dan Ustaz Ehsan juga yang pulihkan mereka sekeluarga. Takkanlah dia berani datang lagi, dia takut kat Ustaz Ehsan,” kata ayah aku.

“Mana kita tahu. Ustaz Ehsan Cuma halau dia pergi je kan? Bukannya bunuh mati.” Kata mak aku buatkan ayah aku terdiam dan terus memandu.

“Ayah, Murni lapar,” kataku memecah keheningan. Aku dah mula loya, mungkin sebab kepala aku yang berdenyut, dengan jalan yang berliku-liku dan perut yang kosong juga.

“Sekejap, kat depan tu ada kedai kopi. Kita singgah sarapan kat situ. Rumah Ustaz Ehsan pun tak jauh dah ni. Takpe, kita sarapan dulu. Tak baik nak makan kat rumah yang ada jenazah,” kata ayah.

Kami singgah di sebuah warung tepi jalan. Hari pun dah semakin cerah, ada beberapa orang sedang bersarapan di situ. Kami mengambil tempat di bahagian tepi warung. Ayah dan mak order nasi lemak dengan kopi o, aku ambil bihun goreng dengan teh o limau panas.

“Jenazah dah sampai kat rumah Ustaz Ehsan kan?” tiba-tiba aku terdengar suara seorang lelaki.

“Haah, dah sampai pujul 5 pagi tadi. Semua dah disiapkan oleh pihak hospital, maklumlah mertua orang kaya. Semua siap sempurna.” Kata seorang lagi.

“Anaknya macammana?” tanya seorang lagi. Aku terus pasang telinga. Dan aku tahu mak dan ayah pun pasang telinga tapi mereka buat-buat tak dengar. Bila aku berhenti menyuap makanan, mak tepuk tangan aku suruh aku makan cepat.

“Anaknya ok dengar cerita. Tapi masih dalam pantauan doktor. Mujurlah maknya peluk dia masa jatuh. Kalau tak, mahu seliang berdua tu,” kata seorang lagi.

“Dayat macammana? Ada apa-apa reaksi ke lepas isterinya jatuh?” tanya seorang lagi.

“Entah. Aku dengar cerita, masa isteri jatuh, dia berdiri kat tepi bangunan tu. Dia lihat je isterinya jatuh. Dia pegang anak patung masa tu,” kata seorang lagi.

“Jangan-jangan dia yang tolak isterinya,” kata seorang lagi. Aku berhenti menyuap. Entahlah kenapa aku rasa nak marah. Ayah aku pegang tangan aku, sambil gelengkan kepala tanda jangan bertindak apa-apa.

“Kita kat tempat orang. Jangan pedulikan perbualan mereka. Kita orang luar.” Kata ayah.

“Tapi Dayat tu kawan Murni. Murni tahu siapa Dayat,” kataku perlahan.

“Kita tak tahu kot dia dah berubah. Sudah. Cepat makan, jom kita pergi ke rumah Ustaz Ehsan,” kata ayah.

Aku tak habiskan makanan aku. Aku terus teguk air teh o dan terus keluar dari kedai. Menunggu di tepi kereta ayah. Aku pandang setiap orang yang berada di dalam kedai, mana tahu ada yang aku kenal. Tapi bak kata ayah, aku tak kenal sesiapa kerana ini bukan tempat aku.

-Bersambung-

One thought on “KEKASIH JELMAAN 2.0

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s