DIA KAWAN AKU

Bab 15 (AKHIR)

Tn Haji pandang Efa. “Kamu nampak jelas ke?” Tn Haji bertanya.

“Ada masa nampak jelas, ada masa kabur,” Efa menjawab.

“Takde apa la tu. Sebab tu kita kena buang sampah keluar rumah. Jangan tinggalkan sisa makanan yang terdedah kat dapur pada sebelah malam. Sebab malam kita adalah siang mereka yang berada di alam lain. Mereka mencari makan. Mereka tak kacau kita. Itupun nasib baik kamu nampak rupa dia masih elok, ada yang tak berupa pun, kalau kamu nampak, kamu pengsan. Sebab umur mereka dah beratus tahun. Rupa pun dah tak sama macam kita,” kata Tn Haji.

“Orang tua mana pulak ni?” Nurul dan Aisyah bertanya serentak. Tapi tiada yang menjawab.

“Tu hantu raya atas batu besar tu pulak? Siapa punya?” aku tanya lagi.

“Dah la Intan. Tn Haji dah nak balik. Kesian mereka, kita dah susahkan mereka pagi-pagi buta ni,” kata Efa menahan aku dari terus bertanya. Dia jegilkan matanya pada aku. Aku diam, faham dah.

Tn Haji pandang aku sambil senyum. “Makhluk ciptaan Allah bukan hanya apa yang kita nampak. Banyak lagi. Dalam hutan, dalam air, kat udara. Terlalu banyak. Sebab tu kita wajib percayakan alam ghaib kerana ianya juga milik Allah, semuanya hamba Allah. Kita laksanakan tugas kita, biar mereka laksanakan tugas mereka. Jangan kita menduakan Allah, jangan percayakan perkara tahyul dan jangan lakukan perkara khurafat. Islam dah cukup sempurna, tak perlu cari lain,” kata Tn Haji.

Aku anggukkan kepala tanda faham. “Terima kasih banyak-banyak Tn Haji,” kata Liyana perlahan, ada sebak dalam suaranya.

Tn Haji melangkah keluar dari rumah. Kami bersalaman dengan isteri Tn Haji dan Sofea. “Terima kasih banyak-banyak dan minta maaf kerana mengganggu,” kata Nurul. Mereka hanya tersenyum.

“Jangan lupa pulangkan balik telekung dan selipar surau ye,” kata Shahir tanpa memandang kami ketika melangkah keluar dari rumah kami.

“Iye, nanti kami pulangkan,” kata Nurul sambil pandang aku. Dah berapa kali dia remind. Malu weh bila kenangkan keadaan kami semalam.

Keadaan tenang. Kami masing-masing meneruskan kehidupan kami seperti biasa. Dan disebabkan kejadian itu, aku dan Efa menjadi rapat. Efa selalu bercerita dengan aku tentang apa yang dia nampak. Katanya ia bermula sejak usianya lapan tahun. Masa tu dia ternampak seorang budak kat dalam bilik emaknya. Mulanya dia ingat ada saudaranya datang ke rumah. Masa dia tegur, budak tu menoleh ke arahnya. Matanya putih, giginya bertaring dua. Efa kata itu makhluk pertama yang dia nampak.

Macammana dia boleh nampak, Efa pun tak tahu. Tapi sebelum dia nampak budak kecil dalam bilik emaknya, dia terjatuh kat sekolah. Kepalanya terhantuk kat dinding dan berdarah. Cikgu bawa dia ke klinik. Masa tu matanya tak nampak, semuanya jadi kabur. Masa emaknya sampai sekolah, Efa kata dia dah buta. Emaknya meraung menangis.

Doktor kata mereka masih cari punca macammana hentukan di kepalanya mengakibatkan matanya kabur. Sebab doktor kata, kecederaan di kepalanya takdelah serius sangat sampai nak butakan matanya.

Lepas tiga hari dari kejadian tu, Efa kata matanya terang kembali, sikit demi sedikit. Emaknya pun gembira. Tapi lepas seminggu, itulah dia nampak budak kat dalam bilik emaknya. Mula-mula emak dan ayahnya tak percaya. Tapi sampai satu hari tu, masa makan, Efa kata ada atuk tua duduk kat pintu, minta makan. Tapi mak dan ayahnya tak nampak. Adik beradiknya yang lain pun tak nampak. Ayahnya dah mula nak marah tapi Efa degil, dia bawa makanan sepinggan nasi kepada orang tua tu dan duduk kembali di meja makan setelah mengambil pinggan lain.

Lepas mereka semua selesai makan, emaknya terkejut kerana pinggan yang Efa bawa kepada orang tua tu, ada di sinki. Emaknya panggil Efa dan tanya, siapa yang hantar pinggan tu ke sinki. Efa kata atuk tua tu yang hantar. Masa tu emak Efa dah mula percaya dengan kata-kata Efa.

Tapi ayah Efa masih tak percaya. Hingga satu hari, Efa bawa balik satu anak patung. Efa kata ada seorang perempuan muda bagi dia anak patung tu. Ayah Efa suruh tunjukkan kat mana perempuan yang bagi anak patung tu. Efa pun tunjukkanlah. Tempatnya adalah serumpun pokok buluh!

Mula-mula ayah Efa kata Efa sengaja reka cerita tapi emak Efa memujuk ayahnya mengajak bertanyakan ustaz tentang Efa. Ustaz yang melihat Efa mengatakan bahawa Efa punyai satu anugerah iaitu boleh melihat alam ghaib. Dan menurut ustaz tu, kebolehan ini mungkin kekal dan mungkin juga akan hilang sedikit demi sedikit.

Sejak itu, emak dan ayah Efa percayakan Efa. Tapi ayah Efa tak suka kalau Efa bercakap tentang benda ghaib yang dia nampak. Apatah lagi kalau Efa bercerita dengan adik-adiknya. Kadang-kadang mereka bermain tiga beradik, tiba-tiba Efa jarakkan satu tempat kosong, katanya ada seorang lagi nak main dan duduk kat situ. Ayah Efa akan suruh mereka berhenti bermain.

Sampailah dia remaja dan dewasa. Masuk ke pusat pengajian kejururawatan adalah impiannya. Tapi dia tak pernah terfikir bahawa kat hospital nanti, lebih banyak benda pelik yang akan dilihatnya. Mujurlah dia dah bersedia.

Katanya dia pernah nampak perempuan dengan rambut mengerbang terbang di siling hospital. Sampai kat satu tempat, dia berhenti dan menjilat darah yang mengalir dari tangan seorang pesakit. Kat tempat mayat, dia pernah nampak mayat yang dah mati tadi, sedang berjalan meraba-raba seperti orang buta. Tak tahulah apa benda tu. Tapi dia memang nampak.

Dia pun tak tahu samada benda-benda tu tahu dia nampak mereka atau tak. Cuma dia pernah ditegur dek benda tu, masa tu dia sedang mencuci darah seorang mangsa kemalangan. Kepala mangsa terbelah namun dia masih hidup. Ketika itu, dia nampak seorang lelaki yang juga serupa dengan keadaan mangsa, berhidung panjang hingga ke dagu dan telinganya juga panjang, sedang bertinggung di bawah katil mangsa, di bahagian kepala. Sambil mendongak dan mengeluarkan lidahnya yang panjang. Dia menadah darah yang menitik dari kepala mangsa yang terbelah dengan lidahnya.

Meremang bulu roma aku bila Efa bercerita pasal benda-benda yang dia nampak. Sampai satu masa, aku suruh Efa jangan cerita kat aku dah. Aku tak mampu. Dia mampu, kerana itulah anugerah itu diberi kepadanya.

“Aku dah boleh terima keadaan aku ni Intan. Mula-mula dulu aku anggap kebolehan ini adalah satu kecacatan. Tapi kini aku rasa kebolehan ini adalah kelebihan aku. Tak ramai yang tahu aku boleh nampak benda ni. Sebab aku taknak mereka anggap aku pelik.” Kata Efa satu hari masa dia memandu kereta. Kami dalam perjalanan ke hospital masa tu lebih kurang pukul 6 petang.

“Jauh di sudut hati aku, aku taknak berterusan begini. Aku nak jadi seperti manusia biasa. Macam kau, macam semua kawan-kawan kita. Tapi aku pun tak sanggup kawan aku yang menerima anugerah ini. Aku harap, biarlah anugerah ini aku bawa hingga mati, tak perlu dipindahmilik kepada orang lain. Sebab aku taknak kawan-kawan aku rasa apa yang aku rasa.” Kata Efa. Aku diam.

“Moga satu hari nanti, anugerah ini akan diambil semula dari aku. Tapi aku redha dengan kehendak Allah, Dia Maha Mengetahui. Mana tahu kan, aku bawa anugerah ni sampai mati. Entah-entah tak lama je lagi,” Kata Efa.

“Hish kau ni Efa. Tak baik cakap macam tu.” kataku.

“Mati tu perkara yang semua orang akan lalui. Tak kira berapa umur kita. Kalau dah sampai masanya, kita akan pergi juga.” Kata Efa. Aku diam.

“Bila kau nak balik kampung Efa? Lama dah kau tak balik kampung kan?” tanyaku, sekadar nak mengubah topik perbualan Efa. Tak tahulah kenapa dia seperti suram je bila mengenangkan keadaan dirinya.

“In Shaa Allah, tak lama lagi aku akan balik kampung. Mak aku pun dah call banyak kali, bila nak balik. Adik-adik aku rindukan aku.” Kata Efa.

“Eloklah tu. Kau pun dah lama tak ambil cuti.” Kataku.

“Aku memang simpan cuti aku, supaya nanti aku boleh cuti panjang. Jangan nanti kau pulak rindu aku,” kata Efa sambil ketawa.

“Takde masa aku nak rindu kau la. Aman sikit hidup aku kalau kau bercuti.” Kataku bergurau. Efa menampar bahu aku sambil ketawa. Dan seketika kemudian kami sampai di hospital.

“Pagi nanti jumpa kat sini tau. Aku tunggu sini.” Kata Efa. Kami dah terpisah bahagian, Cuma syif sama. Aku anggukkan kepala je.

Seperti yang dijanjikan, pagi tu selepas tamat waktu bekerja, aku pergi ke tempat parking kereta. Efa dah menunggu aku kat dalam kereta. “Sorry lambat, ada kes tadi,” kataku. Efa tak menyahut.

“Kau marah aku ke Efa?” tanyaku.

“Takdelah. Aku rasa tak sedap hati. Rasa macam ada yang mengikut kita ni.” Kata Efa.

Aku menoleh ke belakang dan keluar kereta. Cuak aku setiap kali Efa cakap macam tu.

“Kau ada nampak apa-apa ke Efa?” tanyaku.

“Aku tak nampak tapi aku dapat rasakan,” kata Efa.

“Dah la, kau penat kot. Kalau benda tu ada, mesti kau nampak. Jom kita balik. Nanti kau rehat,” kataku.

“Haah, aku penat sangat hari ni. Aku nak balik, rehat puas-puas.” Kata Efa sambil hidupkan enjin kereta dan berlalu pergi.

Efa tak banyak cakap, dia diam je. Tak pandang aku pun walau aku bercakap dengan dia. Jadi, aku pun diam, taknak ganggu dia. Cuma aku pesan kat dia, jangan banyak fikir sangat.

Ketika di simpang masuk ke kawasan rumah kami, lampu isyarat hijau. Efa menekan minyak dan terus meluncur laju. Tiba-tiba ada sebuah lori 3 tan memandu laju dari arah berlainan dan menghentam kereta Efa.

“Dum!”

Pandangan aku gelap, aku cuba panggil nama Efa tapi suara aku tak keluar. Aku dengar suara orang ramai tapi aku tak nampak apa-apa. Aku pun tak dapat rasakan apa-apa. Sedikit demi sedikit suara orang ramai makin perlahan dan akhirnya terus hilang. Aku tak sedar.

Masa aku sedar, aku berada di dalam sebuah bilik. Terbaring, dengan kaki dan tangan aku berbalut. Aku nampak Efa duduk kat tepi aku.

“Efa, apa dah jadi?” aku bertanya dengan keadaan terbatas kerana kepala aku sakit dan berbalut.

Efa tak menyahut, dia hanya senyum kepada aku.

“Efa, kau ok?” aku tanya lagi.

“Aku ok Intan. Kau jaga diri,” kata Efa sambil mencium dahi aku dan lepas tu melangkah untuk pergi.

“Kau nak ke mana?” aku bertanya.

“Aku nak pergi ke tempat aku,” kata Efa.

“Tunggulah aku kat sini.” Kataku.

“Tak boleh Intan. Aku kena pergi,” kata Efa dan terus berlalu pergi.

Seketika kemudian, aku nampak mak aku masuk ke dalam bilik aku. “Alhamdulillah, kau dah sedar,” kata mak aku sambil menangis gembira.

“Apa dah jadi mak?” aku bertanya.

“Kamu terlibat dengan kemalangan. Dan tiga hari kamu tak sedarkan diri,” kata mak aku.

Mak aku jaga aku sampai aku keluar dari hospital. Semua kawan-kawan pun datang melawat aku cuma aku tak nampak Efa. Bila aku bertanya kepada mereka mana Efa, mereka kata tunggu aku keluar hospital dulu. Nanti mereka bawakan aku kepada Efa.

Lepas dua minggu, aku dibenarkan keluar dari hospital. Namun aku diberi cuti untuk dua minggu lagi. Aku minta ayah aku hantar aku balik rumah sewa aku dulu, untuk aku ambil barang-barang aku. Sampai kat rumah, Aisyah dan Erni yang ada. Liyana dan Nurul bekerja.

Masa ambil barang aku, aku nampak Efa. “Efa, sampai hati kau tak melawat aku kat hospital.” Kataku. Tapi Efa tak menyahut, dia hanya tersenyum pandang aku.

Efa pakai baju kurung. Jarang aku tengok Efa pakai baju kurung. Dia kan kasar orangnya. Masa dia jumpa aku kat hospital haritu tu pun, dia pakai baju kurung yang sama. Warna putih.

“Efa, aku cuti lagi dua minggu. Aku balik ikut mak dan ayah aku. Nanti kita jumpa lagi,” kataku.

“Kau cakap dengan siapa Intan?” Erni bertanya. Sebab dia temankan aku masa aku kemas barangan aku.

“Efa,” aku menyahut. Erni mengerutkan dahinya.

“Intan, nanti kau balik kampung, kau ajaklah mak kau berubat kat kampung. Kuatkan hati, kuatkan semangat. Pulihkan semula semangat kau yang dah lemah sangat akibat kemalangan tu,” kata Erni.

“Aku ok la. Cuma satu je aku rasa hairan. Aku nampak lori yang langgar kereta kami. Lori tu langgar dari arah Efa. Maknanya Efa kena lebih teruk dari aku. Tapi kenapa aku nampak dia ok je. Tapi aku pula yang lagi teruk dari dia,” kataku sambil terkial-kial memasukkan pakaian aku ke dalam beg sebab tangan aku masih tak kuat.

“Biar aku buat. Kau beritahu aku je, apa barang lagi nak ambil,” kata Erni sambil menyambung kerja memasukkan pakaian dan barangan aku ke dalam beg.

Selesai aku ambil pakaian dan barangan aku, Erni memapah aku turun tangga. “Dah boleh kita pergi?” mak aku tanya.

“Dah mak,” kataku.

“Hati-hati Intan. Moga kau cepat sembuh,” Kata Erni dan Aisyah.

“In Shaa Allah. Korang pun sama, jaga diri,” kataku sambil memandang ke tangga.

“Efa, aku balik dulu. Nanti kita jumpa lagi,” kataku dengan suara yang tak boleh dikuatkan.

Mak dan ayah aku pandang aku. Nurul dan Aisyah berpandangan sesama sendiri.

“Intan?” Aisyah sebut nama aku. Aku pandang Aisyah.

“Kau kena kuat Intan. Kau kena percaya pada qada dan qadar. Semuanya dah ditentukan oleh Allah. Aku tahu Efa paling rapat dengan kau. Tapi aku harap kau dapat terima kenyataan,” kata Aisyah.

“Iye, aku terima kenyataan ni. Aku redha dengan apa yang dah terjadi.” Kataku.

“Bukan pasal kau Intan,” kata Erni.

“Habis tu?” aku tanya.

“Pasal Efa,” kata Erni.

“Kenapa dengan dia? Aku nampak dia ok je. Masa mula-mula aku sedar, dialah orang yang duduk kat sebelah aku. Tadi dia pun ada kat atas, tengok aku susun barang,” kataku.

Erni menggosok lengannya seperti kesejukan. Matanya melilau melihat keliling.

“Intan, Efa dah takde. Dia dah meninggal dunia pada masa kemalangan,” kata emakku.

Aku terdiam. Tak dapat nak hadam apa yang mak aku cakap. Aku pandang semua orang yang berada di situ.

“Efa dah meninggal dunia?” aku tanya lagi.

“Iye Intan. Efa dah meninggal dunia,” kata Erni sambil dengan air mata mengalir di pipinya.

Aisyah memeluk aku. Juga menangis.

“Jangan main-main dengan perkara macam ni. Kalau dia dah meninggal dunia, kenapa aku nampak dia. Dua kali kot,” kataku.

“Mungkin dia nak jumpa kau buat kali terakhir,” kata Aisyah.

Aku tak cakap apa-apa. Aku bangun. Aku melangkah dengan kaki terhencot-hencot. Mak aku papah aku. Ayah aku angkat beg aku. Aku masuk kereta dan ikut mak ayah aku balik kampung.

DIA KAWAN AKU, kawan aku paling istimewa. Dalam kasarnya, dalam bengisnya, dialah paling aku sayang.

‘Efa, aku tahu kau sayang aku. Pergilah Efa, pergilah ke tempat yang lebih baik buat kau. Apa yang kau inginkan, kau nak anugerah itu hilang, kau nak rehat puas-puas, kau nak tidur lama, Allah dah kabulkan. Terima kasih kerana menemui aku sebelum aku tahu kau dah tiada. Moga kau ditempatkan di kalangan orang-orang yang Allah kasihi. Aaminn.’

– Tamat –

2 thoughts on “DIA KAWAN AKU

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s