DIA KAWAN AKU

Bab 14

“Bawa balik, nanti tanam kat belakang rumah. Lepas tu simenkan. Cari tempat sesuai. Selagi tak tumbuh pokok di kawasan tu, selagi tu dia takkan terlepas dari kurungannya. Sekarang, dia tak boleh berada di sini dan tak boleh balik ke alamnya juga. Degil,” kata Tn Haji sambil melangkah keluar dari bilik kami, diikuti oleh Shahri dan Sofea. Aku dan Efa hanya memandang.

Aku dan Efa mengikut langkah mereka dari belakang. Masa ni aku terdengar bunyi budak kecil ketawa. Aduh, apa pulak ni. Tapi sebab Tn Haji masih berada di rumah tu, aku tak rasa kecut sangat. Bunyi tu pulak makin kuat, berada di belakang aku. Aku tak berani berpaling, dah terbayang kat kepala aku, ada budak kecil berlari-lari dan peluk kaki aku. Cuak weh.

Bunyi ketawa tadi berhenti. Lega. Tapi tak lama lepas tu bunyi tu bergema lagi. Kali ni aku menoleh ke belakang. Aku pandang Efa dengan pandangan lain macam. Efa pun pandang aku dengan pandangan lain macam.

“Eh, telefon aku la,” kata Efa lalu menyeluk poketnya dan mengambil telefonnya. Aku jeling dia. “Tukarlah ringtone kau tu Efa oi,” kataku. Buat penat je aku takut tadi. Nasib baik aku tak lari turun tangga, langgar Tn Haji dengan anak-anaknya. Adoi la Efa. Ada ke bunyi macam tu dia buat ringtone. Konon comellah tu.

“Innalillahi wainna lillahi rojiun,” aku dengar Efa mengungkapkan ayat tu. Aku berhenti dan pandang dia. “Kenapa Efa?” aku tanya sebaik sahaja Efa letak telefon.

“Mak Erni meninggal dunia,” kata Efa.

“Innalillahi wainna lillahi rojiun,” ungkapku dan diikuti oleh Tn Haji, Shahir dan Sofea. Kami duduk kat ruang tamu. Nurul sedang menyediakan air di dapur. Aku tengok jam menunjukkan pukul 8 pagi.

Liyana pula masih duduk di sofa, sedang minum air yang Tn Haji bagi kepadanya tadi. Berita kematian mak Erni kami maklumkan kepada Liyana dan Nurul.

“Siapa bagitahu kau?” Nurul bertanya.

“Erni la,” sahut Efa.

“Erni kat mana sekarang ni?” Nurul tanya lagi.

“Kat rumah mak dia la,” sahut Efa.

“Maknanya dia tak balik sini la malam tadi kan?” Nurul tanya lagi.

Aku dan Efa berpandangan. Haah, Erni kat kampung, habis tu siapa yang datang semalam?

Aku bangun menuju ke bilik Erni. “Kenapa?” Tn Haji bertanya.

“Kawan kami balik kampung. Tapi malam semalam dia balik, katanya mak dia dah sembuh. Tapi tadi dia baru saja telefon, katanya mak dia meninggal dunia dan dia tak balik pun ke rumah ni semalam. Jadi, siapa yang datang semalam?” aku memaklumkan Tn Haji.

Tn Haji tersenyum.

“Itu hanya tipu daya syaitan. Semalam saya datang, benda tu masih ada sebenarnya. Saya cuma sekat dia supaya tak mengganggu kalian. Tapi mana tahu dia kuat. Dia tak dapat pergi semula kepada tuannya sebab saya dah pagarkan. Maka, dia muncul sebagai orang yang tiada di dalam rumah ni semalam. Sebenarnya tiada kena mengena dengan kawan kamu tu. Dia tak tahu apa-apa. Tipu daya syaitan semua tu. Nak sebarkan fitnah, nak kalian semua berburuk sangka, dan bergaduh. Benda yang sama,” kata Tn Haji.

“Macam tu ke?” tanyaku macam tak percaya. Macammana jin atau syaitan tu amat menyerupai Erni. Kalau dia menyerupai Liyana, aku faham dah, sebab Liyana tuannya.

“Iye, jin dan syaitan ni memang pandai. Tapi kepandaiannnya disalah guna.” Kata Tn Haji.

Aku duduk semula. Nurul datang membawa sedulang air dan roti bakar yang disapu mentega menghidangkan kepada Tn Haji dan anak isterinya.

“Terima kasih banyak-banyak Tn Haji. Kami pun minta maaf banyak-banyak sebab menyusahkan Tn Haji dan Shahir dari semalam. Minta maaf kat isteri Tn Haji dan Sofea, tak pasal-pasal subuh ni terpaksa datang ke rumah kami, menghadap masalah yang tak sama macam orang lain ni,” kata Nurul sambil menuangkan air kopi yang dibancuhnya dan menghulurkannya kepada Tn Haji sekeluarga.

“Tak apa. Bukan selalu,” sahut isteri Tn Haji sambil menyambut secawan kopi dari Nurul.

“Maknanya sekarang benda tu dah takde ke?” Efa bertanya.

“Benda tu kami dah tangkap dan kurung dalam botolnya sendiri. Botol yang kamu bawa lari dan sorok tu sebenarnya adalah tongkatnya yang digunakan untuk membantunya berjalan dan balik ke alamnya. Sebab tu dia marah bila kamu mengambil tongkatnya. Tapi sekarang dia dah terkurung.” Kata Tn Haji.

“Masa kami balik semalam, yang bergaduh dengan Efa tu adalah Yana betul atau benda tu?” aku bertanya sambil menghirup kopi.

“Memang aku la tu. Aku sebenarnya taknak jaga benda tu. Aku cuma dua beradik. Ayah dah takde. Mak aku bidan kampung. Mak aku sendiri tak tahu dari mana asalnya benda ni. Dia dapat dari opah aku yang juga bidan. Masa mak aku nazak, dia minta samada aku atau kakak aku ambil benda ni, kalau tak, dia tak boleh tinggalkan dunia. Kakak aku dah kahwin, dia ada tiga anak masa tu. Dia tak sanggup. Suaminya tak izinkan. Aku pula bujang. Mak aku kata, benda ni tak susah untuk dijaga. Kalau masa bujang, hanya perlu jaga makannya. Jadi, kita akan dilihat cantik berseri sampai ada yang tergoda. Kita juga jadi seakan kebal, tak mudah disakiti oleh sesiapa. Lepas berkahwin, kita akan dapat ilmu kebidanan yang membolehkan kita perolehi pendapatan. Itulah perjanjiannya,” kata Liyana.

“Jadi benda tu memang dah ada sejak aku masuk rumah ni?” aku bertanya. Sebab Nurul memang dah ada kat rumah ni masa aku masuk.

“Haah. Segalanya ok. Aku tak jaga dia sangat. Aku cuma ikut arahan mak aku secara minimum je. Paling minimum bagi dia makan seminggu sekali, setiap Selasa. Itu je aku buat. Cuma malam kejadian tu, aku terlupa sebab sibuk kat hospital, ada ramai nak bersalin masa tu. Sebab tu dia keluar sendiri nak cari makanan. Masa tu la Efa nampak dia,” kata Liyana.

“Kau mengamuk kat Efa kenapa?” aku tanya lagi.

“Sebab Efa ambil tongkat dia. Dah la aku lupa bagi makanan, Efa pula ambil botol kat dalam bilik air yang merupakan tongkat dia. Aku takut dia mengamuk dan kacau korang semua. Sebab tu aku suruh Efa pulangkan. Aku risaukan keselamatan kita semua. Bila Efa beritahu dia tinggalkan kat hospital, aku pun terus pergi hospital nak ambil. Sampai aku lupa benda tu dah berkeliaran dalam rumah.” Kata Liyana lagi.

“Kau bagi dia makan apa?” Nurul bertanya.

“Darah orang bersalin,” kata Liyana membuatkan kami semua tercengang. Patutlah dia nak sangat bekerja kat bahagian tu walaupun ramai yang menolak untuk bekerja di bahagian paling remeh tu.

Tn Haji menggelengkan kepalanya perlahan. “Astaghfirullah al azim. Bertaubatlah,” katanya.

“Iye, Tn Haji. Saya memang nak bertaubat. Saya pun tak suka. Dah banyak kali saya dan kakak saya cuma buang benda ni, tapi katanya nanti dia akan korek semula kubur mak, keluarkan jenazah mak dan hidupkan mak kembali. Itu dah buat kami takut.” Kata Liyana. Ada air mata mengalir di pipinya.

“Jahat sungguh syaitan memperdayakan manusia. Jin dan syaitan tak punya kuasa. Bahkan kedudukan kita sebagai manusia adalah lebih tinggi dari mereka. Mereka yang perlu tunduk kepada kita sebagaimana Allah memerintahkan Iblis tunduk kepada Nabi Adam.” Kata Tn Haji.

“Saya minta maaf kepada semua. Saya betul-betul taknak benda ni. Dan saya tak tahu kat mana nak minta tolong,” kata Liyana dan kali ni air matanya mengalir dengan lebih deras.

“Benda ni mungkin kata mudah menjaga dia tapi tak semudah itu. Perlu ada pertalian antara dia dan tuannya. Contohnya darah kamu yang menghidupkannya.” Kata Tn Haji.

“Saya tak bagi darah saya,” kata Liyana.

“Kamu yakin?” Tn Haji bertanya lagi. Liyana anggukkan kepala.

“Macammana mak kamu bagi benda ni kat kamu?” Tn Haji bertanya.

“Masa tu mak dah sakit. Mak cuma suruh saya titiskan darah dari jari hantu tangan kanan saya ke atas ibu jari kaki kiri mak. Macam tu je. Lepas tu saya tak bagi dah,” kata Liyana. Seram sejuk aku mendengarnya. Lebih seram bila aku teringat aku sebilik dengan Liyana. Bila Liyana syif malam, benda tu ada kat dalam bilik dengan aku berduaan je. Fuh! Macammana aku boleh survive?

“Itulah yang kamu tak tahu. Titisan darah kamu itulah yang memperkenalkan diri kamu sebagai tuan baru. Dia jilat darah kamu bermakna kamu dah jadi tuan dia sampailah kamu serahkan kepada orang lain pula.” Kata Tn Haji. Liyana terdiam.

“Dan lepas itu, dia akan menghisap darah dari ibu jari kaki kanan kamu mungkin sebulan sekali, di kala kamu tak sedar. Sebab dia adalah pendamping kamu, kamu dan dia ada pertalian. Kamu ingat bela benda ni macam bela kucing, cukup bagi makan je,” kata Tn Haji.

“Tapi saya tak sedar pun,” kata Liyana.

“Memang dia taknak kamu sedar,” kata Tn Haji. Liyana diam. Aku pula yang rasa pucat, benda tu takkan salah hisap darah kaki aku ke?

“Yana, macammana kamu bawa balik darah orang bersalin tu?” Efa bertanya tiba-tiba setelah sekian lama berdiam diri.

“Aku masukkan dalam botol kecil dan aku letak dalam bilik air, lepas tu aku tinggalkan kejap. Tak lama, 2-3 minit je. Bila aku masuk balik, darah tu dah takde.” Kata Liyana.

“Aku tak pernah pun nampak botol darah tu dalam bilik air?” Efa tanya lagi. Iyelah sebab kami kan kongsi bilik air.

“Ada beberapa kali, korang marah aku sebab aku lupa buka kunci pintu bilik air di pintu bahagian korang. Bukan aku lupa, tapi sebab aku tengah bagi benda tu makan,” kata Liyana.

Kami terlopong mendengar penerangannya. Dan berbulan-bulan kot kami tinggal bersama serumah, kenapa kami tak tahu langsung kegiatan si Liyana ni?

“Ada hikmahnya disebalik semua ni. Kalau tak kerana kamu terlupa bagi dia makan, dia pun takkan keluar dan kawan kamu ni tak ambil botol atau tongkat dia. Kalau dia tak keluar, perkara ni tak selesai, dia masih membelenggu kamu, sampai entah ke keturunan yang ke berapa pula nanti,” kata Tn Haji.

Kami semua diam. Aku gosok bahu Liyana, cuba menenangkannya. Kesian aku tengok dia, merah mukanya.

“Assalamualaikum,” tiba-tiba ada suara memberi salam dari luar.

“Waalaikumussalam,” kami menyahut serentak.

Aisyah muncul di muka pintu dan memandang kami semua dengan pandangan pelik.

“Kenapa ni? Apa dah jadi? Yana, kau kenapa? Masih gaduh dengan Efa? Mak ayah siapa ni? Maaf saya tak tahu ada tetamu. Eh, Intan dengan Efa tak pergi kerja ke? Nurul, kau pun?” Aisyah bertanya bertubi-tubi. Namun tiada satu pun jawapan yang kami beri, semua diam.

“Takpelah, kami balik dulu. Bawa kawan kamu ni ke klinik. Badannya terlalu lemah sebab dah lama berdamping dengan benda tu. Kalau ada apa-apa, boleh telefon Shahir. Shahir, bagi nombor kamu kat diorang ni, kot ada masalah lagi, telefon ye,” kata Tn Haji.

“Tn Haji, ada lagi satu. Efa kata, ada satu lelaki tua selalu punggah tong sampah kami kat belakang. Dia pun selalu masuk rumah ni tengok kami. Kadang tu pasang paip air. Siapa tu? Kenapa dia selalu datang ke rumah kami?” kataku.

– Bersambung –

One thought on “DIA KAWAN AKU

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s