DIA KAWAN AKU

Bab 12

Aku menutup semula pintu almari Liyana setelah mengambil sehelai tudung. “Jom Efa, kita turun.” Kataku. Efa menurut tapi jelas kelihatan kerisauan diwajahnya.

Ketika kami sampai kat tingkat bawah, Liyana sedang berbaring di sofa dan Nurul duduk di sisi Liyana sambil memicit kepala Liyana. Aku pandang keliling. “Mana Erni?” aku tanya perlahan.

Nurul muncungkan mulutnya ke arah dapur. Aku terus menjenguk ke dapur yang cerah. Bunyi seseorang sedang membasuh dan menyusun pinggan di dapur. Aku nampak Erni sedang buat kerja di dapur sambil menyanyi perlahan.

Aku masuk ke ruangan dapur. “Kau nampak happy semacam je Erni,” aku bertanya. Erni menoleh ke arah aku sambil tersenyum. Dia tak menjawab sebaliknya kembali berpaling ke sinki sambil mengisi air di dalam jag elektrik, meletakkannya di atas dasarnya dan memetik suis. Dia masak air.

“Kau nak memasak ke Erni?” aku tanya lagi. Erni pandang aku, masih senyum dan anggukkan kepala.

Aku tengok jam. Dah pukul 12.00 tengah malam. Aku melangkah semula ke ruang tamu. Efa pandang aku. Dia gelengkan kepala. Aku pandang Nurul.

“Yana macammana? Nak bawa dia ke hospital tak?” aku tanya.

“Tadi aku dah tanya, dia kata tunggu sampai pagi esok kot dia dah ok. Sebab dia dah tak muntah. Bagi dia minum 100+ ok kot. Kalau dia masih muntah sampai pagi esok, baru kita bawa ke hospital,” kata Nurul.

Aku anggukkan kepala. Aku duduk berhampiran Liyana dan pegang bahunya.

“Yana, kalau kau masih nak ke hospital, aku boleh bawakkan.” Kataku.

“Takpe, aku rasa lega sikit. Cuma aku perlu rehat. Kita tunggu sampai pagi esok,” kata Yana tanpa buka matanya.

“Ok lah kalau macam tu. Kau nak naik ke bilik ke?” aku tanya lagi. Liyana geleng kepala.

“Aku baring kat sini dulu la,” kata Liyana. Aku akur. Kalau macam tu, aku bentang toto kat sini je, Aku temankan kau ye.” Kataku. Liyana anggukkan kepala.

Aku nampak Efa melangkah ke dapur.

“Nurul, Efa kata dia tak nampak Erni masuk ke dalam rumah ni tadi,” kataku berbisik kepada Nurul. Nurul bulatkan matanya.

“Efa tak nampak?” tanyanya mengulangi ayat aku tadi. Aku anggukkan kepala sambil mataku menjeling ke arah Efa yang masih berdiri di pintu masuk ke dapur. Aku nampak dia melihat keliling, dalam masa yang sama aku dengar bunyi air paip terpasang.

“Efa?” aku panggil perlahan. Efa pandang aku.

“Aku tak nampak sesiapa kat sini,” katanya sambil menunjukkan ke dapur. Aku tarik tangan Efa perlahan dan mengajaknya duduk bersama kami di ruang tamu.

“Kau tak nampak Erni ke Efa?” Nurul pula bertanya Efa.

“Aku tak nampak,” kata Efa bersungguh-sungguh. “Tapi aku nampak air paip berpasang. Tapi takde orang kat situ.” Katanya lagi membuatkan aku dan Nurul berpandangan sesama sendiri.

“Korang sembang apa berbisik-bisik ni?” tiba-tiba Erni muncul berdiri di belakang sofa tempat kami duduk. Terkejut jugalah aku dan Nurul. Liyana dah lena kot. Efa? Masih blur.

“Takde apa. Kami risaukan Liyana ni,” kataku. Entahlah, jantung aku berdegup kencang, tak berani dan bertentang mata dengan Erni.

“Iye ke? Kenapa aku dengar macam lain je,” kata Erni.

Aku dan Nurul diam. Aku bangun lalu menaiki tangga untuk mengambil toto. “Efa, jom teman aku,” kataku. Efa mengikut. Dari sisi mata aku, aku nampak Erni memandang tajam ke arah kami. Masa aku hampir nak sampai tingkat atas, aku menoleh dan mengintai Erni. Aku lihat dia sedang memandang tajam ke arah Liyana dan Nurul.

“Efa, kau ada rasa apa-apa tak? Kenapa kau tak nampak Erni?” aku tanya dia sebaik sahaja aku masuk ke bilik.

“Aku rasa jantung aku berdegup laju. Belakang tengkuk aku sejuk. Bulu roma aku meremang. Kalau betullah korang ada nampak Erni, aku tak rasa Erni tu orang biasa macam kita. Selalunya aku nampak benda yang korang tak nampak, tapi kali ni aku tak nampak benda yang korang nampak. Kau rasa?” Efa kata. Aku diam.

“Maksud kau, Erni tu hantu?” aku bertanya.

“Aku tak berani nak cakap macammana.” Kata Efa.

“Macammana kita nak pastikan itu Efa atau bukan?” tanyaku. Efa angkat bahu.

“Jap, aku call Erni. Kalau telefon dia berbunyi kat dalam rumah ni, sahlah yang kat bawah tu Erni. Maknanya kau la yang bermasalah. Tapi kalau telefon dia tak berbunyi dalam rumah ni, kita terpaksa berdepan dengan dia,” kataku memberi pendapat.

“Betul juga tu. Cuba kau call handphone Erni,” kata Efa, tapi dia betul-betul nampak kebingungan.

Aku pandang muka Efa tepat. Aku tenung matanya. “Kau dah kenapa Intan?” tanyanya.

“Kalaulah telefon dia berbunyi kat bawah, maknanya itu betul Erni. Kalau kau tak nampak dia, adakah kau… Kau yang ….,” kataku tiba-tiba rasa cuak melihat Efa.

Tadi kan Efa dan Liyana sama-sama kat tingkat atas ni dengan Tn Haji. Apa yang terjadi kat atas ni, aku tak tahu. Mana tahu itu Efa kawan aku, atau ada makhluk lain yang sedang merasuk Efa? Dan sekarang aku sedang berduaan dengan dia kat dalam bilik ni. Buatnya dia terkam aku kang? Hish…

“Dah dah la tu Intan. Cepatlah call Erni tu. Kau boleh tak cari jawapan untuk level yang ada ni dulu sebelum berfikir ke level seterusnya?” kata Efa masih perlahan tapi agak tegas.

“Sorry Efa. Aku betul-betul buntu ni. Aku tak pernah lalui perkara macam ni. Aku tak pernah nampak hantu. Sebab tu aku tak dapat bezakan Yana dengan hantunya tadi. Ianya terlalu seiras dengan Yana sedangkan hantu yang aku tahu, rupanya sangat hodoh.” Kataku meminta maaf, risau jika Efa tersinggung dengan kata-kata aku. Aku memang keliru sekarang ni.

“Takpelah, cepat call Erni,” kata Efa.

Aku terus bangun dan capai telefon aku. “Dah tengah malam ni, takpe ke kita call dia?” aku bertanya lagi.

“Nak call siapa tu?” tiba-tiba Erni menegur. Dia berdiri di muka pintu sambil memintal-mintal rambutnya dengan tangan.

Aku terkejut. Hampir terlepas telefon dari tangan aku. Efa pandang aku.

“Call je la, keadaan darurat ni. Dia takkan marah. Kita cuma pastikan dia berada di mana,” kata Efa masih duduk tenang di birai katil aku.

“Siapa dia tu?” Erni bertanya sambil tersenyum memandang Efa dari belakang.

“Efa,” aku panggil dan Efa pandang aku.

“Kau tunggu apa lagi, call la cepat,” kata Efa.

“Efa,” aku panggil Efa lagi. “Apa?!” kata Efa dengan nada agak tinggi.

“Tu,” aku muncungkan mulut bagi isyarat kat dia bahawa Erni ada kat belakang dia.

“Siapa?” Efa tanya aku sambil menoleh ke belakang dan pandang ke arah Erni.

“Takde siapa pun?” Efa kata.

“Kau nak apa naik sini Erni? Jarang kau naik tingkat atas ni sebab bilik kau kat bawah.” Aku bertanya Erni dan dalam masa yang sama aku nak bagi isyarat kat bahawa Erni berada di bilik itu, bersama aku dan Efa. Lepas aku bertanya Erni tu barulah Efa macam faham apa yang aku cuba sampaikan kepada dia tadi.

“Saja, nak tengok bilik korang,” kata Erni sambil matanya melilau memandang keliling bilik.

“Esok pun boleh tengok. Dah tengah malam ni. Kau pun baru sampai dari Kedah kot, tak penat ke?” aku bertanya.

“Aku ok.” Erni menyahut sambil melangkah masuk ke dalam bilik aku.

“Eh, kau balik sini naik apa? Keretapi ke bas?” aku bertanya lagi.

“Aku terbang, hihihi,” kata Erni sambil ketawa kecil kononnya bergurau. Aku pun buat-buat gelak kecil,

“Kau ambil grab ke dari stesyen bas?” aku tanya lagi.

“Kan aku dah kata, aku terbang,” kata Erni lagi.  Aku diam, dadaku makin berdebar bila aku lihat Erni menuju ke bilik air dan membuka pintunya.

“Kau nak ke mana tu Erni?” aku tanya lagi, cuba menahannya dari masuk ke bilik air.

Erni tak menjawab tapi dia terus membuka pintu bilik air. Tapi malangnya pintu bilik air dikunci dari dalam. “Kenapa pintu ni kunci dari dalam?” dia bertanya.

“Ooo…. Tadi samada Nurul atau Efa dari bilik sebelah la tu, diorang lupa buka kunci agaknya.” Kataku cuba buat macam takde apa setiap kali Erni memandang aku. Efa masih berdiri di tepi dinding memandang aku yang asyik buat isyarat muka kepadanya.

“Dah la, aku dah ambil toto ni. Jom kita turun bawah,” kataku. Erni masih berdiri di pintu bilik air.

“Erni, jom,” aku mengajaknya. Erni memandang aku dengan wajah agak tak puas hati.

“Kau kenapa?” aku tanya dia. Dia senyum semula.

“Tadi aku dengar kau nak call seseorang kan? Kata dah mudarat sangat. Kenapa tak call?” Erni mengubah topik.

“Dah tengah malam ni. Dia dah tidur. Esok je la aku call. Dah, jom. Aku nak tutup pintu ni,” kataku. Efa dah berdiri di muka pintu. Erni pun macam berat je dia nak tinggalkan bilik tu, namun dia tetap melangkah keluar dari bilik.

Kami bertiga melangkah menuruni tangga.

“Efa, kau nak tidur kat mana?” aku bertanya.

“Aku tidur kat hall sekali dengan korang la,” kata Efa.

“Huh!” aku dengar Erni merengus.

“Kenapa Erni?” aku bertanya. Tiada sahutan.

“Erni, kau pergilah tidur kat bilik kau.” Kataku sebaik sahaja kami sampai ke ruang tamu. Nurul dah terbaring kat lantai di tepi sofa yang sedang dibaring oleh Liyana. Aku bentang toto kat tepi Nurul, mengejutkan Nurul menyuruhnya baring di atas toto.

Erni berdiri memerhatikan gelagat kami.

“Erni, esok kau tak kerja kan? Kau masih dalam cuti kan?” Aku bertanya. Erni tak menjawab, dia amat fokus memerhati pergerakan kami. Tajam pandangannya. Efa berbaring kat kerusi malas di bahagian belakang sofa.

“Tidurlah Erni. Dah pukul 1. Esok aku dan Efa kerja pagi.” Kataku.

“Efa, malam ni biar lampu berpasang la ye,” kataku. “Hmm..” Efa jawab ringkas.

Aku pun berbaring tanpa pedulikan Erni yang masih berdiri kat pintu masuk bilik dia. Aku tahu, aku takkan lena malam ni. Tapi aku terpaksa buat-buat macam takde apa yang berlaku. Nurul pun macam kena pukau je, lena tak sedar diri. Selalunya dia takdelah macam tu. Apa dah jadi macam aku dan Efa naik tingkat atas masa ambil toto tadi?

Seketika kemudian, aku dengar bunyi pintu bilik ditutup. Rasa lega sikit. “Efa?” aku panggil Efa perlahan. Tiada sahutan. Aku bangun dan pandang Efa, dia dah berdengkur? Hah! Cepatnya. Dia penat agaknya.

Dan tiba-tiba aku rasa kepala aku pening. Berpusing-pusing rasanya. Aku baring semula. Semuanya aku rasa macam terbalik. Dinding jadi lantai dan lantai jadi dinding. Aku pejamkan mata aku dan terus tak sedar.

– Bersambung –

One thought on “DIA KAWAN AKU

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s