DIA KAWAN AKU

Bab 11

“Aku akan bagi tongkat kau tapi dengan syarat, lepaskan jasad yang kau pinjam ni dulu. Dan kembalikan orang kami yang kau ambil,” Tn Hj masih berdialog dengan suara garau tersebut.

“Aku tak ambil orang kamu. Aku pun tak paksa pemilik jasad ini untuk berdamping denganku. Dia yang mahukan aku,” suara garau itu bersuara, masih melawan.

“Kau tak paksa tapi kau desak. Kau buat dia dalam keadaan terpaksa. Kau mahukan tongkat kau, itu syarat kau. Aku akan tunaikan lepas kau tunaikan syarat kami. Kalau tak, aku hantar kau terus ke tempat abadi, kau takkan mampu datang ke alam ini lagi,” kata Tn Haji dah seakan mengugut.

Aku masih pegang tangan Nurul, tak lepas dari tadi. Selama hari ini, aku cuma dengar cerita pasal orang berdialog dengan hantu tapi hari ini aku mendengarnya dengan telinga aku sendiri. Walaupun aku tak nampak apa yang terjadi di atas.

“Efa mana?” aku berbisik kepada Nurul. Nurul angkat bahu. Aku pandang Shahir yang masih berdiri di kaki tangga, sesekali dia mendongak ke tingkat atas.

“Cepat! Aku takde masa yang banyak untuk layan kamu. Keluar dari jasad ini dan kembalikan orang aku,” terkejut aku tiba-tiba Tn Haji menengking.

“Aku mahu tongkat aku dulu,” suara garau tadi masih melawan.

“Baik. Jangan paksa aku maklumkan penghulu kamu. Aku kenal penghulu kamu. Aku akan pastikan penghulu kamu takkan lepaskan kamu lagi ke alam ini. Kamu yang mahukan begini, kamu cabar aku. Aku sahut cabaran kamu,” aku dengar suara Tn Haji makin keras dan tinggi, dah hilang sabar agaknya.

“Jangan! Jangan beritahu penghulu aku. Baik, Aku pergi,” aku dengar suara garau tadi bersuara.

“Tanpa tipu daya. Kalau masih ada tipu daya, aku takkan berbelas kasihan pada kamu,” Tn Haji masih bernada mengugut.

Keadaan sunyi seketika. Rasanya masa kalau ada jarum jatuh pun boleh dengar, sunyi sangat. Aku pun macam tak berani nak bernafas.

“Bangunlah, dia dah pergi,” aku dengar suara Tn Haji.

Seketika kemudian, aku dengar bunyi tapak kaki menuruni tangga. Aku menjenguk dari bawah. Dan aku nampak Liyana dan Efa, diikuti dengan Tn Haji dan Azman. Mereka berempat turun ke tingkat bawah.

Aku dan Nurul bangun. Cuba merapati Efa. “Kau ok ke Efa?” aku bertanya. Azman mengangkat tangannya ke arah kami sebagai isyarat agar tidak menghampiri Efa atau Liyana.

“Ambilkan saya segelas air bersih, isikan dalam gelas putih tanpa sebarang corak.” Kata Tn Haji. Aku dan Nurul cepat-cepat bangun dan melangkah ke dapur. Aku masih rasa takut-takut melihat  Liyana, tak tahu dia tu hantu atau kawan aku.

“Gelas putih tanpa corak? Kita ada ke?” aku tanya Nurul yang sedang menyelongkar almari.

“Ada, Cuma tak tahu dah aku letak kat mana. Sebab dah jarang guna gelas kaca kat rumah ni,” jawab Nurul.

Aku pun sama tolong mencari gelas. Mujurlah berjumpa. Tiba-tiba aku nampak pintu dapur terbuka sendiri. Aku cuit Nurul dan tunjukkan pintu tu.

“Angin kot,” kata Nurul cuba menenangkan hati aku. Aku pun angguk je, taknak tanya banyak sebab nanti aku juga yang takut.

“Ada tak?” tiba-tiba Azman muncul. Terkejut juga la kami, sebab fokus kat pintu tu masih tak habis.

“Ada, ada,” sahut Nurul lalu membasuh gelas kaca yang baru dijumpainya kat dalam kabinet. Aku pula masih tak lepas memandang ke pintu dapur yang seolah-olah sedang digerakkan ke depan dan ke belakang. Kalau angin, takkanlah dia boleh berulang alik macam tu.

“Bawa gelas tu kepada Tn Haji cepat,” kata Azman.

Nurul menarik aku menyuruh aku mengikutnya. Kami melangkah ke ruang tamu dan aku perasan, Azman menutup pintu dapur. Mungkin dia pun nampak keadaan pintu tu sama seperti apa yang aku nampak.

Tn Haji mengambil gelas air dari tangan Nurul. Dibacanya sesuatu lalu meniupkan ke arah air tersebut. Selepas itu dia menyerahkan semula gelas air itu kepada Nurul.

“Sapukan air ini ke wajah kawan kamu ni. Dari dagu terus ke atas kepala secara terbalik. Lakukan sebanyak tiga kali,” Kata Tn Haji sambil membuat demo kat anaknya. Nurul berbuat demikian kepada Liyana dan aku berbuat yang sama kepada Efa.

“Ada sedikit baki, bagi mereka minum. Sikit pun jadilah. Asalkan masuk kat kerongkong,” kata Tuan Haji, dan kami terus buat apa yang disuruh sambil diperhatikan oleh Tn Haji, Azman dan Shahir.

Aku nampak Tn Haji, Azman dan Shahir berbisik sesama sendiri sambil memandang kami. Aku nampak Shahir seolah menunjukkan ke arah dapur dan Azman mengangguk seakan mengiyakan apa yang Shahir katakan. Tn Haji pula menganggukkan kepala tanda faham. Aku tak tahu apa yang mereka bincangkan tapi dari riak wajah mereka, macam ada perkara yang belum selesai.

Tn Haji melangkah ke arah Efa dan Liyana yang masih duduk kat sofa. Wajah mereka dah agak ceria dari masa mereka turun tangga dari tingkat atas tadi.

“Kamu berdua rasa macammana sekarang?” Tn Haji bertanya Efa dan Liyana.

“Kami ok Tn Haji. Terima kasih,” Efa menjawab.

“Mana barang tu?” Tn Haji bertanya.

Liyana menyeluk poketnya dan mengambil satu botol kecil lalu diserahkan kepada Tn Haji. Shahir menghulurkan sehelai kain berwarna kuning kepada Tn Haji dan Tn Haji menyambut botol kecil itu lalu membungkusnya di dalam kain kuning tadi, lalu diikatkan dengan benang hitam. Bungkusan itu diserahkan kepada Shahir kembali.

“Semua dah ok ke Tn Haji?” aku bertanya. Tn Haji tak menjawab, dia cuma tersenyum memandang kami berempat.

“Kita sama-sama doakan agar semua ok,” kata Tn Haji.

“Maknanya hantu tu dah pergi?” aku tanya lagi.

“Takde hantu, itu jin yang berdamping dengan manusia. Syaitan mengambil ruang, untuk tipu daya,” kata Tn Haji lagi.

Aku diam. Aku pandang Efa dan Liyana.

“Kau ok Efa?” Nurul bertanya. “Aku ok, jangan risau,” jawab Efa.

“Kau Yana?” aku tanya Liyana. Liyana hanya anggukkan kepala. “Sorry korang, aku dah susahkan korang. Semua ni salah aku,” kata Liyana.

“Takpe, cuma jangan buat lagi,” kata Efa.

“Kalau macam tu, kami minta diri dulu. Tak manis kami berada di rumah bujang wanita di waktu-waktu begini,” kata Tn Haji Ismail.

Aku, Nurul, Liyana dan Efa bangun serentak. “Terima kasih banyak-banyak Tn Haji. Kami tak tahu macammana nak balas,” kata Nurul.

“Banyakkan solat. Hidupkan bacaan Al Quran selalu. Jangan taksub dengan keindahan dunia. Pekerjaan kalian dah cukup mulia, jangan cemarkan dengan perkara khurafat,” kata Tn Haji.

“Baik Tn Haji. Terima kasih di atas nasihat,” kata Liyana dan kami semua anggukkan kepala.

Mereka bertiga melangkah keluar dari rumah kami. Azman yang keluar last. “Jangan lupa pulangkan telekung dan selipar surau,” katanya sambil tersenyum memandang aku dan Nurul.

“In Shaa Allah, nanti kami pulangkan,” kata Nurul dengan wajah merah padam menahan malu.

Sejurus selepas mereka pergi, cepat-cepat Nurul menutup pintu. Kami duduk berempat kat sofa.

“Korang ok ke tak ni weh? Risaunya kami. Sure korang ok dah?” Nurul bertanya.

“Aku ok je. Cuma tadi tak boleh bergerak. Benda tu ikat aku. Mujur Tn Haji tu datang cepat, aku rasa macam aku dah sampai kat tempat mana dah, yang takde orang,” kata Efa.

“Yana, kau ok?” aku bertanya.

“Aku ok. Cuma rasa pening dan mual.” Jawab Liyana.

“Alhamdulillah, korang rehat dulu. Esok dah free, kita sembang apa yang dah berlaku sebenarnya.” Kata Nurul.

“Tapi kan, takkan semudah itu benda ni pergi?” aku bertanya. Rasa pelik juga. Memanglah aku tak pernah tengok benda macam ni, tapi takkanlah ia semudah halau binatang liar je.

“Kan? Aku dah cuba buang lama dah, tapi tak berjaya sebab benda tu dah lama berdamping dengan aku. Aku cuba cari jalan nak buang tapi aku tak tahu. Aku malu nak ceritakan pada orang. Lepas mak aku meninggal dunia, aku dan kakak aku je yang tahu pasal benda ni. Mula-mula aku tak sangka sampai macam ni, aku ingat nak tolong lepaskan mak aku je. Rupa-rupanya benda ni memang teruk. Bak kata Tn Haji, syaitan tak boleh dipercayai,” kata Liyana. Kami bertiga ternganga menunggu Liyana meneruskan kata-kata.

Tapi Liyana tiba-tiba bangun dan berlari ke dapur. Terus ke bilik air dan muntah di sana. Aku menurutinya dan menggosok belakangnya. Dia muntah teruk, keluar lender hitam dan kuning bercampur baur dengan bau yang sangat busuk sampai aku tutup hidung aku. Aku pun nak termuntah sama.

“Kau ok tak ni Yana? Jom kita ke klinik la,” kata Nurul. Tapi Liyana memberi isyarat tangan bahawa dia taknak ke klinik.

Aku dah mula panik semula. Aku pandang Efa yang masih duduk kat sofa.

“Efa, kau ok ke tak ni? Kau pun ada rasa nak muntah ke?” aku bertanya. Efa hanya gelengkan kepala.

“Efa?” aku panggil Efa dan berdiri di depannya.

“Kau sure kau ok?” aku tanya dengan rasa was-was dah. Memang Efa jenis tak banyak cakap, tapi dia bukan seorang yang termenung.

“Aku ok, jangan risau. Cuma aku ada rasa sejuk kat belakang tengkuk aku. Benda tu belum pergi. Dia masih ada di sini,” kat Efa perlahan sambil tunduk dan tak pandang aku.  Adoi, apasallah si Efa ni cakap macam ni? Aku ni dah la mudah diserang panik. Aku mula gelabah dah.

Nurul memapah Liyana yang nampaknya lemah. Lalu didudukkannya Liyana di sofa.

“Tak boleh biar ni Yana. Kita pergi klinik. Kau dah kehilangan banyak air, nanti jadi penyakit lain pula,” kata Nurul. Liyana tak menyahut, wajahnya pucat.

“Intan, kau pergi ambil tudung Yana. Kita bawa dia ke klinik,” kata Nurul.

“Tapi aku takut nak naik tingkat atas. Jom la teman aku,” kataku. Memang tak la aku nak naik ke tingkat atas sendirian.

“Jom aku temankan,” kata Efa sambil bangun dan melangkah ke tangga. Aku pula menurutinya dari belakang.

Belum sempat kami melangkah ke anak tangga kelima, tiba-tiba pintu rumah terbuka. Kami yang berada di dalam rumah terus pandang ke pintu dengan muka cuak masing-masing, menanti apa yang akan muncul dari luar pintu.

Pintu terkuak, kami nampak Erni melangkah masuk dengan tenang.

“Erni?” kami bersuara serentak.

Erni memandang kami dengan wajah pelik. “Korang semua ni dah kenapa?” tanyanya.

Aku pandang jam, pukul 11 malam. Aku pandang Erni. “Kau bukan sedang cuti jaga mak kau ke? Dan kenapa kau balik waktu macam ni?” Nurul bertanya.

“Mak aku dah ok. Aku baliklah,” katanya sambil melangkah masuk dari terus ke biliknya di tingkat bawah. Kami semua berpandangan sesama sendiri. Aku sendiri rasa ada sesuatu yang tak kena tapi tak tahulah kalau itu perasaan aku je.

Aku pandang Efa yang masih kat tangga ke lima. “Kau ada nampak apa-apa tak?” aku bertanya.

Efa tak jawab tapi terus melangkah menaiki anak tangga ke tingkat atas. Aku pun ikut sekali.

“Efa, kau ada rasa pelik tak dengan Erni tu?” aku tanya masa aku sedang mencari tudung Liyana kat dalam almarinya.

“Intan, aku tak nampak sesiapapun yang masuk ke dalam rumah. Aku cuma dengar korang sebut nama Erni je. Tapi aku dengar pintu rumah terbuka dan pintu bilik tingkat bawah dibuka dan ditutup,” kata Efa yang duduk kat birai katil aku. Aku pandang wajah Efa dengan mata yang bulat.

“Kau tak nampak Erni?” aku tanya lagi. Efa gelengkan kepala. Aku mula kaget dah. Efa ni dah kenapa pulak? Takkan buta kot, sebab dia masih nampak aku.

– Bersambung –

One thought on “DIA KAWAN AKU

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s