DIA KAWAN AKU

Bab 10

“No. 19, Laluan Puri,” Nurul menjawab soalan lelaki berjubah itu.

“Rumah misi tu?” terdenagr suara seorang lagi lelaki.

“Haah, rumah misi tu,” sahutku.

“Hantu apa kat rumah kamu tu?” lelaki berjubah tadi bertanya lagi.

“Entah. Tapi dia menyerupai kawan kami yang seorang lagi,” kataku. Nurul anggukkan kepala mengiyakan kata-kataku.

“Mana kamu tahu itu hantu?” tanya lelaki berjubah itu lagi.

“Sebab dia… hmmm… dia…..,” sahutku tapi aku tak dapat jawab. Aku pandang Nurul, tak tahu macammana nak jawab. Betul juga, mana kami tahu itu hantu?

“Kami tak tahu macammana nak jawab. Cuma kami minta tolong agar tuan-tuan kat sini dapat bantu kami.” Jawab Nurul.

“Hantu tak wujud. Yang ada cuma jin dan syaitan. Dua-dua tu pun selalu nak perdaya manusia sebab manusia lebih tinggi darjat dari mereka. Bagaimana kamu yakin jika ‘hantu’ itu bukan nak perdaya kamu?,” kata lelaki berjubah itu lagi sambil tersenyum memandang kami berdua.

“Apapun benda tu, hantu ke bukan, boleh tak kita cepat ke sana? Kami risaukan kawan kami yang berada kat dalam rumah tu. Seorang dari kawan kami tu boleh nampak hantu. Seorang lagi adalah yang serupa dengan hantu tu,” sahutku. Nurul cuit aku sekali lagi sebab aku kelihatan agak panik. Mahu tak panik? Mereka bertanya banyak sangat, itu akan melengahkan masa. Dalam masa tu, aku tak dapat nak fikir apa yang dah jadi kat Efa dan Liyana.

“Sabar cik misi. Ini Tn Hj Ismail. Dia pengerusi surau ni merangkap imam pertama kat surau ni. In Shaa Allah, dia akan bantu cik misi dan kawan-kawan cik misi. Tapi kita tak boleh main redah je. Tn Hj perlu tahu keadaan sebenar. Nak pula cik misi kata ada ‘hantu’ kan. Sedangkan Tn Hj sendiri tak pernah tengok hantu.” Kata seorang lelaki lain di situ.

“Kami minta maaf Tn Haji dan tuan-tuan lain kat sini. Kami betul-betul panik. Kami sendiri pun tak pernah mengalami perkara macam ni. Kami berlari ke sini tanpa kasut.” Kata Nurul perlahan sambil tundukkan kepala.

“Iye. Kami memang tak tahu nak minta tolong kat mana. Kami risaukan kawan kami,” sahutku.

“Ok takpe. Jom kita pergi rumah cik misi,” kata Tn Haji Ismail. Aku dan Nurul menarik nafas lega.

“Shahir, ikut ayah ye. Azman pun, awak ikut saya ye. Yang lain boleh balik dulu.” Kata Tn Haji kepada pada jemaahnya sebentar tadi. Mereka bersalaman manakala aku dan Nurul dan menunggu kat pagar surau.

“Kami naik motor ni. Tak elok pula nak tumpangkan kamu berdua,” kata lelaki yang dipanggil Azman tadi.

“Takpe, tuan pergilah dulu. Kami boleh jalan kaki balik. Cuma kami minta izin pinjam selipar dan telekung surau. Nanti kami hantar balik,” kata Nurul.

“Boleh.” Kata Azman dan terus berlalu pergi mengikut motor yang dibonceng oleh Tn Hj dan ditunggang oleh anaknya Shahir.

Aku dan Nurul cepat-cepat melangkah balik ke rumah kami. Kami tak banyak berbual. Dalam kepala kami, dah ada macam-macam versi apa yang dah terjadi kat rumah kami. Hantu dah makan ke kawan kami? Atau Efa dah berjaya kalahkan hantu tu? Risaunya mak ai, Tuhan je tahu. Dada ni berdebar kencang, mengalahkan kami panjat tangga tingkat 13 kat hospital.

Sesampainya kami kat rumah, kami masuk ikut pintu belakang. Pintu belakang masih terbuka sama macam masa kami tinggalkan tadi. Aku dan Nurul melangkah perlahan memasuki pagar belakang rumah. Masa ni aku nampak tong sampah terbalik lagi, dengan sampah berselerakan kat lantai. Aku pandang keliling, tak nampak benda pelik.

Aku patah balik ke tong sampah tu. Aku angkat dan kutip semua sampah lalu menutup semula tong sampah tu. Masa tu aku nampak ada sisa roti yang dah tinggal separuh masih di lantai. Aku cuba nak gapai roti tu tapi aku nampak roti tu bergerak sendiri menjauhi aku. Aku cuba ikut, mungkin angin yang menolak roti tu. Walaupun tiada angin masa tu.

“Kau ni dah kenapa Intan? Orang sibuk dengan kawan kat dalam rumah tu, kau sibuk kutip sampah bagai semua ni kenapa?” Aku menoleh bila Nurul menarik tangan aku dengan agak kuat. Langkahku terhenti dari mengikut pergerakan roti tu. Aku pandang semula ke arah roti tu tapi dah takde kat situ. Aku pandang keliling, nampak pokok besar kat batu besar tu bergerak seakan ada monyet besar sedang melompat di atas dahan pokok itu.

“Intan, tolonglah jangan berangan masa ni. Aku tahu kat panik, aku pun panik. Jom cepat, kita tengok apa dah jadi kat dalam rumah ni. Betul ke Tn Haji tadi sampai rumah ni. Entah-entah diorang dah sesat ke rumah lain ke. Dah jom,” kata Nurul dah hilang sabar dengan aku. Dia menarik tangan aku dengan kuat dan membawa aku terus masuk ke dalam rumah melalui pintu dapur, walau mata aku masih memandang ke aras pokok besar belakang rumah. Aku nampak mata kemerahan sedang memandang kami di sana.

Sebaik kami masuk ke dalam rumah, lampu dapur tak menyala. Air paip mengalir deras, dari sinki dan kedengaran dari bilik air juga. Aku dan Nurul berpegangan tangan, sambil melangkah perlahan memasuki rumah.

“Kita tak pasang air paip tadi kan?” Nurul tanya aku. Aku hanya mengangguk. Aku tak tahulah samada lelaki tua yang mengutip sampah tu ke yang memasang paip atau hantu ‘Liyana’ yang pasang paip tu.

“Kita tunggu kat luar sajalah,” kataku. Nurul tak pedulikan kata-kata aku, dia masih memegang tangan aku dan menarik aku mengikut dia.

“Efa? Yana?” Nurul memangggil perlahan. Kami masuk ke ruang tamu, tiada siapa di sana. Aku dengar bunyi orang mengetuk pintu dan memberi salam. Terus aku ke pintu dan membukanya. Tn Haji, Shahir dan Azman berdiri di luar.

“Masuklah Tn Hj. Mereka takde kat sini. Tak tahulah apa dah jadi masa kami ke surau tadi,” kata Nurul.

Tn Hj Ismail, Shahir dan Azman melangkah memasuki rumah. Aku nampak mulut Tn Hj terkumat kamit, mungkin membaca sesuatu.

“Panas rumah ni,” kata Tn Hj.

Aku terus melangkah ke suis untuk menguatkan kipas. Tapi kipas kami memang dah kat speed paling laju. “Tak boleh nak kuat lagi kipas ni Tn Hj,” sahutku.

Shahir memandang aku sambil tersenyum. “Tak perlu kuatkan kipas. Panas lain yang ayah saya maksudkan,” katanya membuatkan aku kebingungan.

Nurul merapati aku. Ambil remote dari tangan aku dan meletakkan semula ke tempat asalnya. Sambil jeling aku dan buat isyarat dok diam je. Aku juga ke yang salah? Dah dia kata panas tadi kan. Azman memandang kami sambil tersenyum dan menggelengkan kepala.

“Izinkan saya naik ke tingkat atas,” kata Tn Hj yang sedang berdiri di kaki tangga.

“Silakan Tn Hj. Buatlah apa yang perlu, kami izinkan,” kata Nurul.

“Kamu berdua tunggu di sini. Shahir, kamu pun tunggu kat sini. Jangan naik selagi ayah tak panggil. Azman, ikut saya naik atas.” Kata Tn Hj Ismail. Shahir dan Azman mengangguk tanda akur.

Nurul menarik tangan aku ke sofa, kami duduk di sana. Masih dengan kain telekung pinjaman surau. Shahir berdiri di kaki tangga memerhati keliling rumah kami.

Tn Hj Ismail dan Azman melangkah naik tangga ke tingkat atas. Baru separuh tangga, aku dengan Tn Hj beristighfar panjang. “Astaghfirullahal azim. Apa benda ni?” itu yang aku dapat dengar. Dan lepas tu aku dengar bunyi macam rengusan anjing liar yang sedang marah. Aku bangun dan cuba menjenguk ke tangga atas tapi dihalang oleh Shahir.

“Duduk saja di sana,” katanya perlahan dan lembut. Nurul tarik tangan aku dan menyuruh aku duduk semula.

“Kau dengar tak bunyi kat atas tu tadi? Bunyi apa tu? Macam anjing pun ada. Mana datang anjing dalam rumah ni?” kataku berbisik kepada Nurul. Nurul tak jawab tapi buat isyarat suruh aku diam.

“A’uzubillaahiminasy Syaitonirrojim. Bismillah hirrohmaanirrohim. Allahu laa ilaa haillaa huwal haiyulqaiyum…” aku dengan Tn Haji menghabiskan bacaannya dan bunyi rengusan lebih kuat dari tadi. Meremang bulu roma aku. Sejuk je rasanya walaupun Tn Hj tadi kata rumah tu panas.

Sebaik selesai bacaan Tn Hj, aku dengar seperti ada sesuatu yang bergerak seakan nak menerkam. Dan kali ini aku dengar suara Azman melaungkan azan. Masa azan dilaungkan, aku dengar bunyi suara seseorang yang agak garau sedang menjerit kemarahan. Memang aku takut, tapi aku nak sangat tengok apa terjadi.

Shahir masih berdiri di kaki tangga. Sesekali dia mendongak melihat ke tingkat atas. Mulutnya juga terkumat kamit seperti membaca sesuatu.

“Jangan kosongkan hati kamu. Bacalah sesuatu ayat Allah. Tak kiralah apapun, selagi ianya ayat Allah. Supaya tak mudah dimasuki syaitan yang memang nak memperdaya manusia kerna itu janjinya,” kata Shahir lembut kepada aku dan Nurul. Aku dan Nurul anggukkan kepala.

Aku cuba baca tapi aku tak boleh. Semuanya jadi lintang pukang. Masa ni baru aku perasan, betapa nipisnya iman aku. Betapa kurangnya agama dalam diri aku. Allah. Aku sejuk tapi aku berpeluh.

“Al Fatihah pun sudah memadai,” kata Shahir sambil pandang aku. Dia pun perasan kot sebab berkedut-kedut dahi aku cuba mengingat surah yang aku nak baca. Aku kagum dengan Nurul, walaupun aku tahu dia pun sama takut dengan aku, tapi dia nampak tenang. Dia kelihatan tahu apa yang perlu dilakukan walaupun dalam keadaan panik macam sekarang.

“Dia milik aku. Aku yang menjaganya selama ini. Sudah lama aku bersamanya.” Aku dengar suara garau seseorang. Walaupun garau, aku rasa itu suara seorang perempuan.

“Semua di dunia ini milik Allah termasuk kamu. Tiada siapa menjaga siapa, hanya Allah yang Maha Berkuasa dan Maha Melindungi. Kamu juga dijaga oleh Allah. Pergilah, ini bukan tempat kamu. Kembalilah ke tempat kamu sementara dipanggil di hari Pengadilan.” aku dengar suara Tn Hj.

“Tidak! Aku dah lama berada di sini. Sini tempat aku. Kau tiada hak menyuruh aku pergi. Dia milik aku, aku milik dia. Tiada siapa yang boleh pisahkan kami,” aku dengan suara garau tu lagi.

Aku cuit Nurul, tanya dia suara siapa tu. Nurul suruh aku diam. Maka, diamlah aku dalam keadaan cuak dan penuh tandatanya.

Aku dengar Tn Hj membacakan beberapa surah dari Al Quran. Ada yang aku tahu dan banyak yang aku tak tahu. Dan aku dengar suara jeritan bergema kat dalam rumah tu. Kuat sekali.

“Aku dah bagi amaran. Kamu boleh pergi sendiri atau aku hantar kamu balik,” kata Tn Hj.

“Aku mahu tongkat aku kembali.” Kata suara garau.

“Kamu kata kamu berkuasa. Kenapa perlu tongkat untuk pergi?” Tn Hj bertanya.

“Usiaku 183 tahun, aku perlukan tongkat aku. Bagi tongkat aku, dan aku akan pergi,” kata suara garau itu.

“Tongkat?” aku berbisik kepada Nurul. Nurul angkat bahu.

“Kamu syaitan penghuni neraka. Wajarkah aku percayakan kamu sedangkan Nabi Adam manusia pertama ciptaan Allah pun kamu perdayakan?” Tn Hj bersuara.

“Aku janji, kau bagi tongkat aku, aku akan pergi. Jangan tekan aku lagi, aku tak boleh bernafas,” kata suara garau itu lagi.

– Bersambung –

One thought on “DIA KAWAN AKU

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s