DIA KAWAN AKU

Bab 9

Aku nampak Liyana berdiri di tangga. “Eh, Liyana, macammana kau keluar dari bilik air? Efa kan dah kunci kau kat luar?” aku terus bertanya sebaik ternampak Liyana. Tapi rupanya memang lain macam sikit. Rambutnya terurai panjang sampai ke lutut sedangkan setahu aku rambut Liyana lebih kurang aku je. Lepas tu aku nampak mata Liyana berwarna hitam tanpa mata putih. Tapi memang Liyana suka pakai contact lens.

“Aku tanya, korang nak suruh Intan ni faham apa?” Liyana bertanya lagi tapi dia masih berdiri kat atas tangga.

“Kau… Kau nampak lain la Liyana,” kataku sambil kedutkan dahi.

“Intan, itu bukan Liyana. Liyana kan dah keluar tadi, kau pun tengok dia dah keluar tadi kan?” Nurul cuit tangan aku dan berbisik perlahan di telinga aku.

“Memang aku nampak dia keluar tadi. Tapi dia dah balik. Kau dan Efa terus masuk bilik kan. Dia masuk bilik kami la. Tu yang korang tak perasan dia dah balik kot,” aku beritahu Nurul sebab aku takut ada salah faham.

“Intan, kau sedar sikit boleh tak? Ada ke orang boleh tiba-tiba berambut panjang dalam masa sejam? Kau tak boleh fikir ke?” Efa tanya aku dengan nada yang agak keras, macam nak marah pun ada.

Aku diam. Aku pandang Liyana kat atas tangga. Dia pun memandang kami bertiga sambil menyeringai. Tapi sebab kat tangga yang dia sedang berdiri tu agak suram lampunya, aku cuma nampak dia berdiri di sana. Dia meneleng-nelengkan kepalanya sambil memandang kami bertiga kat bawah ni. Masa ni tiba-tiba je aku rasa seram sejuk.

“Tapi, mana tahu kot Liyana dah balik?” aku masih cuba menafikan apa yang Efa dan Nurul cuba beritahu aku. Walau hati aku sendiri dah mula goyah.

“Liyana takkan balik selagi tak jumpa barang yang aku dah sorok.” Kata Efa.

“Kau sorok apa?” aku tanya.

“Sebab tu Liyana mengamuk petang tadi, sebab barang dia hilang. Dan dia tahu Efa yang ambil.” Kata Nurul.

“Benda apa? Kenapa dia tuduh kau yang ambil Efa? Sedangkan aku yang duduk sebilik dengan dia? Kau beritahulah aku, mana tahu kot aku tahu kat mana benda tu,” kataku masih cuba memahami situasi yang nampaknya macam agak tegang ni.

“Intan, benda tu adalah tali pengikat ‘Yana’ yang kat atas tangga tu. Kalau tanpa tali pengikat tu, ‘Yana’ yang kat atas tu hilang ikatan dengan Liyana kawan kita,” kata Nurul.

“Ada berapa Yana ni?” aku tanya lagi. Serius, aku tak faham.

“Eh, Intan. Kenapa kau ni bengap sangat hah? Kawan kita Yana dah keluar. Yang kat atas tangga tu, hantu belaan dia. Sekarang ni, aku dah nampak benda ni malam semalam. Tapi aku tak pasti apa dia. Jadi, aku ambil satu botol kaca yang aku nampak tergantung kat dalam bilik air sebab aku nampak ‘Yana’ ni sedang berdiri di atas botol tu. Sekarang ni, Yana kawan kita, sedang cari botol tu la,” kata Efa sambil menolak belakang kepala aku dengan agak kuat. Sakit jugak la.

Nurul gosok belakang kepala aku. “Kau ni Efa, dia memang tak faham. Janganlah tolak dia macam tu,” kata Nurul menjeling Efa. Aku terdiam. Mula-mula rasa nak kecil hati, tapi tak jadi. Sebab aku nampak Liyana mula melangkah turun dari tangga. Hati aku mula kecut. Aku rasa kalau aku tak tahu kisah Liyana ni, aku tak setakut ini.

“Hahahahahahaha…!” Liyana ketawa dengan kuat sekali sambil turun dari tangga perlahan-lahan. Aku, Nurul dan Efa pula mengundur dua tiga tapak. Pintu nak keluar rumah berada di sebelah sana tangga. Kami takut nak melintasi tangga, seriau kot tiba-tiba Liyana terkam kami.  Sekarang jalan lain untuk kami keluar ialah melalui pintu dapur.

“Efa, kau bagi balik botol tu la,” kataku.

“Aku tak boleh bagi botol tu kat dia ni. Aku kena bagi kat Yana kawan kita,” kata Efa.

“Botol tu kat mana?” aku tanya lagi.

“Aku letak kat hospital,” Efa jawab.

“Sekarang kau buat la sesuatu supaya benda ni pergi,” kataku lagi.

“Mana aku tahu nak buat macammana. Aku bukannya bomoh atau ustazah.” Kata Efa.

“Habis tu kau ambil botol tu, berani pulak?” aku berkata lagi.

“Mana aku tahu botol tu apa. Aku ambil sebab aku nak tahu itu ada kena mengena dengan benda ni atau tak.” Kata Efa.

“Kalau sekadar nak try, tak payahlah letak jauh sampai hospital. Letak je dalam rumah ni kan senang. Bila-bila boleh ambil,” kataku dah rasa nak marah. Pandai ambil walaupun tak tahu apa benda tu.

“Dah-dah la korang. Kita dalam suasana ni pun masih nak bergaduh lagi. Bukannya selesai masalah pun. Cepat kita ke dapur. Efa, kau bukak pintu. Dia terkam kita kang, adoi…” kata Nurul separuh menengking, suaranya bergetar macam nak nangis.

Liyana dah turun dari tangga. Kat sini barulah aku nampak rupa dia dengan jelas. Dia masih nampak cantik, macam selalu. Cuma pakaiannya, dia memakai jubah putih yang berlapis-lapis hingga menutupi tangan dan kakinya. Dia bergerak ke sofa dan berpaling memandang kami bertiga silih berganti. Matanya hitam.

“Bagi balik barang aku. Aku perlukan tuan,” katanya.

Efa mengundur ke ruang dapur, diikuti aku dan Nurul yang last sekali. Setapak kami melangkah, setapak juga Liyana menghampiri kami. Seram sejuk aku dibuatnya. Sesekali terdengar bunyi suara seakan tangisan halus keluar dari mulutnya.

Ketika Efa sampai ke dapur, belum sempat dia membuka pintu dapur, pintu tersebut dah terbuka sendiri. Kami bertiga berhenti. Dan pandangan kami dah menghala ke pintu dapur.

“Siapa buka pintu tu?” aku tanya.

“Lelaki tua semalam ada berdiri kat pintu tu,” Efa menyahut.

“Allah. Bukan dia dah pergi ke semalam?” aku bertanya cemas. Aku rasa kulit muka aku dah takde darah dah.

“Benda macam ni, kalau sekali dia dah ambil makanan dari kita, dia akan datang lagi. Macam kucing,” kata Efa.

“Lantaklah apa benda pun yang ada kat situ. Cepatlah keluar,” kata Nurul.

Dan kami serentak menoleh semula ke tempat Liyana berdiri tadi, tapi dia dah takde kat situ.

“Mana pula perginya jelmaan Yana ni tadi?” aku bertanya. Efa buat isyarat suruh diam. Dia melangkah perlahan ke arah ruang tamu, tempat terakhir kami nampak Liyana.

“Efa, kau nak ke mana? Tak payah cari dia lagi. Jom kita keluar,” kata Nurul. Aku pula asyik pandang ke pintu dapur yang terbuka. Seram aku bila terbayangkan ada ‘sesuatu’ yang aku tak nampak kat sana. Terfikir juga aku, kalau aku lari melalui pintu tu nanti, agak-agak aku langgar tak lelaki tua tu? Jatuh tak dia kalau aku langgar? Atau adakah dia akan melekat kat aku kalau aku langgar dia?

Tiba-tiba aku rasa seseorang tarik tangan aku keluar dari pintu dapur. Kebetulan aku sedang pegang tangan Nurul, maka Nurul pun ikut aku. Ketika kat bahagian luar dapur, aku lihat Liyana sedang pegang tangan aku dan berlari sambil tarik tangan aku.

Aku memang terkejut. Aku tarik semula tangan aku. Macammana hantu boleh pegang aku?

“Weh, ni aku ni. Yana. Cepat keluar dari rumah ni. Jom pergi jauh sikit.” Kata Liyana. Aku dan Nurul pandang dia tak berkedip.

“Dah, jangan pandang aku macam tu. Ni aku, Yana kawan korang. Bukan Yana yang kat dalam rumah tu.” Liyana menepuk pipi aku dan Nurul silih berganti. Aku pandang Liyana dari atas ke bawah, memang itulah pakaian dia semasa dia keluar rumah senja tadi.

Aku dan Nurul berundur beberapa tapak ke belakang, menjauhi sedikit dari Liyana yang masih berdiri memandang kami.

“Efa mana?” Liyana bertanya.

“Kat dalam,” Nurul menjawab.

“Efa! Efa! Cepat keluar!” aku dengar Liyana menjerit kat pintu dapur. Aku dan Nurul berpandangan.

“Ini Yana betul kot,” kataku. Nurul angkat bahu.

Suasana sunyi seketika. Malam semakin pekat. Liyana cuba untuk melangkah masuk tapi ditahan oleh Nurul. “Aku rasa, kita patut dapatkan bantuan dulu. Kita pun tak tahu apa keadaan kat dalam sana,” kata Nurul. Masa ni aku dan Nurul dah sepakat percaya bahawa itu adalah Liyana kawan kami.

“Benda tu milik aku, dia perlukan aku. Aku yang tahu kelemahan dia. Aku tak boleh biarkan kawan aku jadi mangsa di atas kesilapan aku.” Kata Liyana tanpa memandang kami. Dan dia terus masuk ke dalam rumah.

Aku dan Nurul pula berpandangan sesama sendiri. Apa kami nak buat sekarang ni? Dengan masing-masing tak bertudung, takde kasut. Kat mana kami nak minta tolong?

“Jom Intan, kita pergi ke surau dekat ni. Harap-harap ada orang boleh bantu kita.” Kata Nurul.

“Pakaian kita tak sempurna ni, takpe ke?” aku bertanya lagi.

“Tawakkal je la,” kata Nurul. Aku dan Nurul melangkah ikut jalan belakang rumah. Masa ni aku tengok batu besar kat belakang rumah. Semalam Efa kata ada hantu raya kat situ. Adoi, cuak semula aku ni. Kenapa tiba-tiba banyak hantu ni? Ni semua Efa punya pasal. Kalau dia tak cakap kat aku pasal apa yang dia nampak, takdelah aku secuak ini sekarang.

Dengan terjengkot-jengkot sebab terpijak batu kecil tanpa kasut, aku dan Nurul melangkah laju ke arah surau berdekatan. Dekat pun tak berapa nak dekat la. Dalam 1 kilometer juga. Kalau naik kereta atau motor, memang rasa dekat, kalau jalan kaki terasa jauh. Nak pula jalan kaki dalam keadaan kami ni, hati tak tenang, kaki sakit, terasa-rasa pula macam ada yang mengikut. Perjalanan 15 minit kami rasa macam 45 minit jauhnya.

Sebaik kami sampai kat surau, kami lihat ada beberapa lelaki sedang solat berjemaah. Iyelah, dah masuk isya’. Kenapa kami tak dengar bunyi azan pun. Macam tu lah kalau syaitan dah pesong perhatian kita, azan pun kita tak dengar dah.

Kami bergerak ke bahagian wanita. Kami berdua je pun. Ambil wudhu dan kami ikut solat bersama. Moga Allah lindungi kami dan kawan-kawan kami kat rumah sana.

Seusai tamat solat, dengan keadaan masih bertelekung, aku dan Nurul menyelak kain yang memisahkan bahagian lelaki dan perempuan.

“Encik, tolong kami encik. Ada hantu kat rumah kami. Sekarang dua orang kawan kami terperangkap kat dalam rumah tu,” kataku tanpa salam apatah lagi memperkenalkan diri.

Ada 6 lelaki kat situ masa tu. Semuanya menoleh serentak memandang kami. Imam pun terhenti membaca doa lepas solat sebab kami terus terjah sebaik bagi salam akhir.

“Assalamualaikum,” seorang lelaki muda memberi salam kepada kami.

“Waalaikumussalam,” aku dan Nurul menjawab serentak, malu.

“Kenapa ni?” tanyanya lagi.

“Kami dah bagitahu tadi. Tolonglah cepat, jom ikut kami.” Kataku dengan suara macam nak menangis. Memang aku nak menangis pun. Nurul mencuit tanganku, bagi isyarat bertenang.

“Rumah kamu kat mana?” tanya seorang lagi lelaki yang agak berusia memakai jubah dan ada tasbih di tangannya.

– Bersambung –

One thought on “DIA KAWAN AKU

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s