DIA KAWAN AKU

Bab 8

“Kau tau tak Intan? Aku memang pilih kau untuk jadi teman sebilik aku. Sebab kau antara paling cantik antara semua yang ada kat rumah ni. Aku suka tengok perempuan cantik.” Kata Liyana pandang tepat ke mata aku sambil tersengih.

“Kau ni kenapa lain macam sangat ni? Kau tak macam kau la Yana. Dah, ke tepi. Aku nak keluar,” kataku cuba melawan pandangan Liyana walau jantung aku berdegup kencang.

“Kau nak jadi lagi cantik tak Intan?” Liyana tanya aku, matanya tak berkedip memandang aku. Matanya agak besar berbanding yang selalu aku tengok.

“Cantik tu bukan dari paras rupa, cantik tu dari hati. Kau hitam ke, muka kau penuh jerawat ke, kalau hati kau cantik, semua pun akan jadi cantik. Muka kau cantik bak bidadari tapi hati kau tak elok, tetap hitam dilihat orang,” balasku kepada Liyana yang bertinggung sambil bersandar kat pintu. Aku nak keluar pun tak boleh.

“Aku ada sesuatu yang ingin aku kongsikan dengan kau. Hanya kau. Jangan beritahu orang lain. Kau cuma perlu katakan ya atau tak je. Lepas tu semua aku uruskan,” kata Liyana masih kat pintu. Sekejap dia bertinggung, sekejap dia meniarap, sekejap dia macam merangkak nak terkam aku. Memang dia lain macam sangat, bukan macam Liyana yang aku kenal, tidur sekatil dengan aku tu.

Liyana yang aku kenal, lembut orangnya, cantik parasnya dan baik budi bicaranya. Seingat aku, dia tak pernah dimarah oleh sesiapa. Aku tak pernah dengar sesiapa mencemuhnya, atau berkata buruk tentang. Senang cakap, segalanya tentang Liyana adalah baik, tiada langsung cacat cela. Cuma hari ini aku nampak dia lain macam sikit. Wajahnya agak hitam dan senyumannya seakan mengejek dengan air liur bertakung dalam mulutnya.

Aku tak menjawab soalan Liyana. Aku buat-buat tak peduli kat dia, aku berjalan ke tingkap, buat-buat betulkan langsir dan lipat kain selimut walaupun kain selimut aku elok je tersusun. Aku harap Liyana akan bergerak jauh sikit dari pintu. Masa tu aku akan lari keluar dari bilik, itulah pelan aku.

Masa aku betulkan cadar, aku intai dari ekor mata aku. Aku nampak Liyana merangkak perlahan-lahan seperti seekor harimau yang sedang mengawasi mangsanya. Dia merangkak ke sekeliling aku. Tapi matanya tak lepas dari memandang aku. Ketika dia berada hampir kat belakang aku, dia bangun berdiri dengan gaya lemah gemalai, memintal rambutnya yang mengurai sambil memerhati aku dengan pandangan tajam.

Dia terlalu dekat sampai aku boleh dengar bunyi nafasnya. Aku dapat rasakan dia menghidu rambut aku. Lemah lutut aku. Aku dapat rasakan, dia mengusap rambut aku, memegang kepala aku dari atas hingga ke belakang leher. Kat leher, aku dapat rasakan cengkaman tangannya agak kuat.

Aku menepis tangannya dengan kuat dan menoleh ke arahnya. Meremang bulu roma aku bila aku sempat lihat kuku tangannya yang panjang dan hitam ketika menepis tangannya. Tapi tak lama, aku macam nampak sekilas je.

“Kau ni kenapa jadi macam ni Yana? Kenapa kau berubah hanya sebab bergaduh dengan Efa petang tadi? Apa yang kau marah sangat dengan Efa sampai kau berubah macam ni?” kataku dengan nada yang agak tinggi sambil melangkah perlahan, sikit demi sedikit menghala ke pintu.

“Efa? Ooo.. itu nama dia ye? Aku tak suka dia sebab dia selalu tengok aku dan marah aku kat bilik air,” kata Liyana.

“Kau dan Efa masuk bilik air sama-sama buat apa? Kau jangan macam-macam Yana. Tak baik buat cerita, fitnah orang,” kataku sambil masih cuba menghampirkan diri ke pintu. Tapi makin aku mengundur, makin dia rapat dengan aku. Kalau aku lari ke pintu pun, dah tentu dia boleh tahan atau tarik tangan aku. Sebab dia lebih dekat dengan aku berbanding pintu.

“Intan, kau ikutlah aku. Jangan berkawan sangat dengan Efa tu. Dia tu sebenarnya sengaja mencari perhatian orang. Dia takde kawan. Sebab dia tak cantik. Kau tengok je la kulit dia, penuh tompok hitam. Dia malas menjaga kulit. Aku paling benci perempuan yang tak pandai jaga kecantikan.” Kata Liyana. Kali ni aku nampak langkahnya menghala ke tingkap, kedudukannya agak jauh dari tempat aku berdiri.

Maka, dengan pantas, aku berlari ke pintu dan memulas tombol. Dan entahlah macammana, aku perasan Liyana seperti terbang laju terus berdiri kat depan aku, menghalang pintu. Wajahnya kali ni aku lihat agak bengis.

“Aku nak keluar la Yana. Jangan sampai aku tolak kau,” kataku cuba nak tunjuk marah aku, walhal suara aku pun terketar-ketar.

“Intan! Oooo Intan! Kau buat apa kat bilik tu? Meh la keluar,” aku dengar suara Nurul menjerit dari luar bilik.

Liyana pandang aku. Tapi tak bercakap apa-apa.

“Jomlah kita keluar Yana. Jangan risau, Efa tu marahnya tak lama. Buat macam takde apa je,” kataku cuba memujuk walaupun aku dah rasa sangsi siapa kat depan aku ni sebenarnya.

“Intan!” aku dengar suara Efa sekali dengan bunyi ketukan pintu.

Aku tak tahulah kenapa suara aku tak keluar walaupun aku cuba menyahut panggilan Nurul dan Efa kat luar bilik. Liyana meletakkan jarinya di bibir sebagai isyarat suruh aku diam.

“Intan! Baik kau keluar sebelum aku pecahkan pintu bilik kau ni,” aku dengar suara Efa yang agak keras. Memang Efa agak kasar orangnya berbanding kami semua. Dengan gayanya seperti tomboy, rambut pendek, pakai tshirt dengan jeans je kat rumah. Dia pun takde bermekap sangat seperti kami yang lain. Mujurlah bila dia bertugas sebagai jururawat, dia lembut pulak.

Aku cuba menyahut tapi memang suara aku tak keluar. Aku cuba nak ketuk pintu dari dalam bilik tapi Liyana sedang berdiri di sana.

“Yana, jom la keluar. Jangan buat macam ni,” kataku dengan suara yang hampir nak menangis. Eh, bercakap dengan Liyana, keluar pula suara aku. Berkerut juga dahi aku.

‘Dum!’ pintu bilik aku diketuk dari luar dengan kuat.

“Intan! Kau keluar!” sekali lagi aku dengar Efa menjerit. Aku terkebil-kebil kat situ, macammana nak keluar kalau Liyana masih kat pintu. Otot tangan dan kaki aku pula macam dah kena skru, tak boleh nak bergerak. Walaupun dalam kepala aku dah plan nak lari ke pintu dan tolak Liyana ke tepi.

Aku dengar bunyi kunci disorong masuk ke tombol pintu bilik. Seperti ada seseorang sedang membuka kunci pintu bilik tu dari luar. Lepas tu, pintu bilik ditolak dari luar. Aku nampak Efa dan Nurul berdiri kat luar pintu dengan wajah yang agak risau. Masa tu Liyana masih berdiri kat belakang pintu, menyorok dari pandangan Efa dan Nurul.

“Kau dah kenapa? Tak dengar orang jerit macam nak pecah anak tekak panggil kau kat luar? Paling tak pun, menyahutlah,” kata Efa masih dengan suara yang marah. Aku diam sambil memandang Nurul. Nurul buat isyarat ‘kenapa?’ Aku bagi isyarat mata, tunjuk ke arah belakang pintu.

Nurul tepuk bahu Efa, dan bagi isyarat belakang pintu. Efa pandang aku.

“Dah, kau keluar la. Kau yang beriya bagai malam ni nak masak la, nak apa la. Lepas tu memerap kat dalam bilik.” Efa masih membebel marahkan aku. Aku pula konfius sekarang ni. Dia marah aku ke, dalam masa yang sama, Nurul macam berbahasa isyarat dengan dia. Dia pula macam tengah marah aku.

“Kau tunggu apa lagi? Keluar la!” Efa bersuara dengan nada yang agak tinggi. Kaki aku masih melekat kat lantai, tak boleh bergerak. Liyana masih kat belakang pintu, pandang tepat ke arah aku dengan wajah bengis, macam marah dan tak izinkan aku keluar.

“Kau tak keluar, aku masuk. Takkan kau nak aku tarik kau sampai keluar. Kau ingat kau kuat sangat?” Efa masih menjerkah aku. Sebak pula dada aku, dah kenapa nak tengking-tengking aku macam tu. Aku tak boleh bergerak, dan aku tak boleh nak beritahu dia juga.

“Ok, kau tunggu. Aku masuk. Aku tarik kau sampai kau jatuh melutut. Kau degil sangat ye. Nak masak la, nak apa la, tapi menyorok dalam bilik. Kau jangan salahkan aku kalau kau luka sebab aku sentak tangan kau tau,” kata Efa lagi seakan mengugut aku.

Cuma yang aku pelik, Efa langsung tak pandang aku. Dia kata nak tarik aku, tapi tak masuk pun bilik aku. Cakap je lebih. Huh! Nurul je yang pandang aku dengan isyarat mata dia yang aku pun tak faham dia nak cakap apa.

“Baik! Aku masuk,” kata Efa, masa ni dia menolak pintu bilik hingga terlanggar Liyana yang sedang berdiri di belakang pintu. Dan aku cuba nak bagi isyarat bahawa Liyana ada kat belakang pintu, tapi tak diendahkan oleh Efa. Dia terus menolak pintu dan Nurul pula buat isyarat tangan suruh aku diam dan tunggu saja di situ.

Sebaik Efa menolak pintu bilik dengan kuat, aku nampak Liyana merangkak dengan laju terus ke bilik air. Dan ‘dum!’ pintu bilik air dihempas kuat.

Aku pula jatuh terduduk ke atas lantai, mujur Nurul sempat sambut aku sebelum aku terbaring dan kepala aku terhentak ke lantai. Efa berlari ke bilik air dan terus mengunci pintu bilik air dari luar.

Nurul mengusap bahu aku perlahan-lahan. Aku mula berpeluh sejuk, dan kepala aku pening. “Istighfar Intan. Baca Bismillah, Baca Al Fatihah, bacalah apa je yang kau tahu, asalkan ada ayat Allah kat mulut kau. Jangan ingat benda lain.” Kata Nurul masih memangku aku yang bersandar di badannya sambil mengusap rambut aku yang dah basah dek peluh.

“Dah, jom keluar,” kata Efa ketika dia menghampiri aku dan Nurul. Ditariknya tangan aku perlahan. Dipapahnya aku keluar dari bilik. Memang lembik longlai badan aku, bukan aku buat-buat, memang aku tak daya angkat tangan pun.

Efa dan Nurul membawa aku turun ke tingkat bawah. Lalu mereka dudukkan aku kat sofa. Nurul mengambil air segelas. Entah apa dia baca kat air tu, terkumat kamit mulutnya, lepas tu dia suruh aku minum. Bila dah jadi macam ni, jururawat pun boleh jadi bomoh weh.

Lepas minum, barulah aku rasa bertenaga sikit. Aku duduk tegak kat sofa. Pandang Efa dan Nurul.

“Liyana tu dah kenapa weh? Lain macam aku tengok dia,” aku bertanya. Nurul dan Efa berpandangan sesama sendiri.

“Aku rasa, dia keluar waktu senja tadi, entah apa yang merasuk dia. Mak aku kata, waktu senja syaitan berkeliaran kat luar.” Kataku lagi bila Nurul dan Efa tak bersuara.

Aku bangun. “Kau nak ke mana?” Nurul tanya aku. “Nak ke dapur la, kan aku kata nak masak,” kataku sambil melangkah ke dapur.

“Tak payah masaklah. Kita beli je,” kata Nurul sambil memandang Efa.

“Tadi kan Efa beriya perli aku sebab aku janji aku nak memasak,” kataku berbaur sindiran, kecil hati dengan kata-kata Efa masa kat tingkat atas tadi.

“Dia bukan nak perli kau la Intan. Dia cuma nak halau Liyana supaya jauh dari pintu,” kata Nurul.

“Eh, kau kunci pintu dari luar bilik air tadi kan? Kang dia nak keluar macammana?” aku bertanya pula, tiba-tiba teringat Liyana lari ke bilik air dan Efa mengunci pintu bilik air tu dari luar.

“Biar dia belajar takut. Dia kena sedar diri,” kata Efa seperti menanggung marah.

“Dia tu kawan kita, mungkin hari ni mood dia tak baik. Kita semua pun ada mood kan,” kataku cuba meredakan marah Efa.

“Intan, kau tak faham lagi ke?” Nurul bertanya aku.

“Faham apa?” tiba-tiba kami dengar suara dari atas tangga. Aku, Nurul dan Efa mendongak ke atas tangga.

– Bersambung –

One thought on “DIA KAWAN AKU

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s