DIA KAWAN AKU

Bab 7

Aku melangkah turun ke tingkat bawah. Semua lampu aku pasang termasuk lampu dapur, terang benderang rumah aku walaupun kat aku nak masuk bilik air je. Aku jenguk ke dapur, takde siapa. Tapi aku tak berani pandang keliling, buatnya ada yang tersengih kat tepi pintu pandang aku kang, hah, naya je aku pergi hospital naik ambulan hari ni.

Setelah bersiap mandi dan solat, aku dan Efa melangkah keluar rumah bersama. Masa tu masih gelap, jam lebih kurang pukul 6.30 pagi. Aku dan Efa menaiki kereta kancil milik Efa. Kat dalam rumah tu, tiga orang je ada kereta sendiri. Efa, Nurul dan Erni. Jadi, kami saling tumpang menumpang le bila sama syif.

Lagipun hospital memang tak jauh dari rumah sewa kami. Lebih kurang 10 minit dah sampai parking staf hospital. Nak jalan kaki pun boleh je. Tapi kalau dah ada kereta, lebih baik naik kereta. Sebab nanti dah sampai hospital, masuk waktu bertugas, kami kena berjalan lagi banyak.

Masa berhenti kat traffic light, aku tanya Efa, apa maksud kata-kata dia pagi tadi. Mcam sedih sangat bunyinya. Dia kata takde apa, Cuma emosi tercalar sikit. Tapi perasaan dah takkan sama. Haish, makin aku tanya, makin aku pening memikirkan apa yang Efa ni cakap.

Kami tak dapat berbual panjang pun. Dah sampai hospital. Masa naik lif nak ke wad, kami berselisih dengan Liyana dan Aisyah. Mereka dah habis syif. Aku senyum je nampak mereka, biasalah, perempuan kalau jumpa perempuan, banyak yang nak disembangkan walaupun tinggal serumah.

Tapi aku perasan Efa tak seceria selalu. Dia macam tak fokus, macam hanya jasadnya berdiri kat depan aku. Hatinya dah sampai mana entah. Sebaik pintu lif ke wad kami terbuka, Efa masih termenung. Aku cuit bahunya. “Efa, dah sampai.” Kataku sambil menarik tangannya keluar dari lif.

“Kau ni dah kenapa Efa? Fikiran melayang sampai mana? Kau fikir apa? Kejadian semalam? Pasal hantu raya tu ke, atau pasal lelaki tua tu?” aku tanya sambil berjalan seiringan dengannya menuju ke wad kami.

Efa tak jawab apa-apapun. Dia hanya gelengkan kepala dan teruskan melangkah. Aku tahu ada sesuatu yang mengganggu fikirannya. Aku cuba recall apa yang terjadi semalam, pasal benda pelik yang kami nampak kat luar rumah. Tu je.

Dan sesuatu kat dalam bilik air kami. Yg tu aku tak tahu apa dia. Sebab Efa tak beritahu aku. Dia cuma kata benda tu dekat dengan bilik aku, sebab tu dia ajak tidur kat bilik dia. Bangun pagi, sedar-sedar dah jadi macam tu.

“Efa, kalau kau tersinggung dengan aku pasal semalam, aku minta maaf. Aku bukan nak perlekehkan kelebihan kau tu. Cuma aku takut sebab aku tak nampak benda tu tapi kau pula kata ada dalam rumah. Mestilah aku cuak,” aku cuba memujuk.

“Takde kena mengena dengan kaulah Intan. Jangan risau. Cuma berhati-hati dengan semua orang yang kita kenal. Sebab rambut sama hitam, hati lain-lain. Muka nampak lawa tapi hati kita tak tahu,” kata Efa. Dan sekali lagi aku terdiam tanpa dapat jawapan muktamad.

Sedang aku makan masa rehat aku lebih kurang pukul 3 petang, Liyana hantar message kat handphone aku.

“Intan, kau ada ambil apa-apa barang dari bilik air tak?”

“Barang apa?” aku tanya balik.

“Apa-apa barang la, yang bukan kau punya,” Liyana balas message aku. Aku berfikir sejenak. Takde apa pun yang aku ambil. Kami masing-masing ada barangan kami sendiri. Perkakasan kat dapur je yang kami kongsi.

“Aku tak ambil apa-apa la Yana. Kau cuba tanya Efa. Sebab aku dengan Efa je ada kat rumah. Kot dia terambil,” aku balas. Dan Liyana tak balas semula message aku. Mungkin dia message Efa pula.

Aku pun sambung kerja aku. Kebetulan hari tu Efa dihantar bertugas kat tingkat satu, gantikan jururawat yang cuti sakit. Jadi, aku tak jumpa dia dan takde masa nak sembang dengan dia. Secara jujurnya, aku memang lega bila berjauhan dari Efa. Aku cuba sedaya upaya untuk tak bersama dia. Sebab aku taknak dia beritahu aku apa yang dia nampak.

Masa aku balik, aku cari dia kat tingkat 1 tapi aku tak jumpa. Aku tanya kat jururawat lain, mereka kata Efa dah balik. Sentap gak aku kejap, dia balik tak bawa aku? So, sekarang ni aku terpaksa balik jalan kaki. Haish.. Takkan dia lupa kat aku kot.

Takpelah, adat menumpang, kena beralah. Aku pun menapak dari hospital sampai ke rumah sewa. Sampai kat pagar rumah, aku dengar bunyi orang bergaduh dari dalam rumah. Aisyah sedang duduk di kerusi luar rumah, dengan lengkap beruniform. Aku terus masuk pagar dan merapati Aisyah sambil mata aku melilau melihat ke dalam rumah. Aku dengar suara Efa dan Liyana.

Aku duduk kat tepi Aisyah. “Kenapa tu?” aku tanya. Aisyah angkat bahu.

“Kenapa kau tak pergi kerja lagi? Dah lewat ni,” kataku.

“Aku memang nak pergi dah, tapi aku tak sampai hati nak tinggalkan mereka berdua bergaduh macam ni,” kata Aisyah.

“Apa puncanya?” tanyaku lagi.

“Aku pun tak tahu. Liyana dari pagi tadi asyik nak marah-marah. Bila aku tanya, dia kata dia paling benci kalau orang ambil barang dia tanpa beritahu. Bila aku tanya barang apa, dia pandang aku macam nak terkam aku. Tak pernah aku tengok dia macam tu. Masa Efa balik, dia terus terkam Efa. Tak sempat kawan tu masuk rumah. Lepas tu jadi macam tu la, sampai sekarang tak berhenti. Aku risau,” kata Aisyah.

Aku bangun. Jenguk ke dalam rumah melalui tingkap. Aku nampak Efa masih dengan uniform tapi Liyana tak bersiap dengan uniform pun. Dia masih dengan seluar panjang dan tshirt.

“Kau pulangkan balik barang aku. Kau tak tengok lagi rupa belakang aku. Kau je dalam rumah ni yang boleh ambil barang aku tu,” kata Liyana.

Aku tengok Efa tak menyahut, hanya berdiri dan memandang Liyana.

“Kau tak payah nak buat-buat tak tahu. Aku tahu kau tahu pasal barang aku tu. Pulangkan, sebelum dia baham kau.” Kata Liyana.

Aku tengok jam tangan, dah nak masuk maghrib. Seketika kemudian, kereta Nurul memasuki perkarangan rumah. Dia pun keluar dengan wajah yang sama macam aku sampai tadi.

“Aisyah, kau pergilah kerja dulu. Aku dengan Nurul ada kat sini.” Kataku. Aisyah akur, dia menaiki kereta Erni yang ditinggalkan kerana Erni bercuti, melawat ibunya yang sakit di kampung.

Nurul pandang aku sambil mengerutkan dahi. “Kenapa pulak tu?” tanyanya. Dan aku pula macam Aisyah tadi, angkat bahu.

Nurul duduk kat tepi aku, memasang telinga.

“Aku memang tak sangka kau simpan benda macam ni dalam rumah. Kau tak sayangkan kawan-kawan ke? Risiko tinggi kau tau tak? Kita ni jururawat, macammana kau boleh terjebak dengan benda macam ni?” aku dengar suara Efa setelah sekian lama aku cuma dengar suara Liyana.

“Dia tak kacau kau pun, kau peduli kenapa?” aku dengar suara Liyana.

“Kalau dia tak kacau aku, takkan aku boleh nampak dia?” balas Efa.

“Aku lupa bagi makan semalam je, sebab aku kena buat OT. Kau simpan dia macam ni, keadaan akan lagi teruk. Dia mungkin akan mengamuk.” Kata Liyana. Aku jenguk melalui tingkap, aku nampak Efa berdiri seakan mengawasi setiap pergerakan Liyana. Liyana pula sedang duduk di sofa, macam marah sangat.

Sedang aku dan Nurul terintai-intai dari celah tingkap, tiba-tiba pintu terbuka. Liyana keluar. Dia memandang kami dengan matanya yang merah. Dia terus melangkah keluar tanpa memakai selipar.

“Yana, kau nak ke mana tu? Bukan kau sepatutnya kena bertugas ke waktu ni?” Nurul bertanya, buat-buat macam tak tahu apa yang terjadi kat dalam rumah.

Liyana menoleh dan memandang kepada aku dan Nurul. Seram sungguh pandangannya di ambang senja ni. Aku sampai tunduk, tak berani pandang mata dia. Tak pernah aku tengok Liyana berkeadaan macam tu.

Liyana terus melangkah keluar dari pagar. Efa berdiri kat pagar, memerhati Liyana yang berlalu pergi.

“Efa, kenapa ni? Panggillah Yana tu. Dah nak maghrib ni, keluar dengan tak pakai kasut. Tak elok perempuan keluar waktu macam ni,” kataku tak sampai hati melihat Liyana keluar dengan keadaan marah macam tu. Tudung pun dia tak pakai.

“Biarkan dia. Dia nak cari kawan dia,” kata Efa terus masuk semula ke dalam rumah tanpa pedulikan aku dan Nurul yang masih ternganga kat depan rumah.

“Jom kita masuk Intan. Aku pun tak tahulah apa dah jadi,” kata Nurul sambil menarik tangan aku mengajak masuk ke rumah.

Aku cari Efa, tak nampak dia. Aku terus naik ke tingkat 1, masuk bilik aku. Nurul pula masuk ke bilik dia yang dikongsi bersama Efa.

Seketika kemudian aku dengar bunyi azan maghrib. Sebaik habis azan maghrib, aku masuk ke bilik air, entah kenapa rasa seram. Aku rasa macam ada sesuatu kat siling bilik air tu yang sedang memerhati. Tapi aku tak berani mendongak. Aku pasang air paip. Basuh muka dan tangan. Masa aku nak pasang pancutan mandian, aku dengar bunyi air menitik ke lantai. Aku berhentikan niat aku memasang air mandian. Aku berdiri diam seketika.

Tap! Tap! Aku dengar bunyi air menitik lagi. Kali ini makin laju. Aku menoleh, mencari arah bunyi air menitik tu. Betul-betul kat belakang aku. Aku dah mula cuak, sebab lampu tiba-tiba menjadi malap seperti dihalang oleh sesuatu.

Baru je aku nak mendongak melihat apa yang menghalang lampu tu, tiba-tiba pintu bilik air dari bilik Efa diketuk dari luar. “Intan, kau kat dalam ke?” aku dengar suara Efa.

“Haah, sekejap. Aku mandi dulu,” sahutku.

“Tak payah, kau ambil wudhu je, terus solat. Jangan lama kat dalam bilik air tu,” kata Efa lagi.

Aku tak tanya banyak bila Efa cakap macam tu. Aku terus sarung balik tshirt aku dan ambil wudhu lalu keluar dari bilik air, sedang aku mendengar air menitik dari siling makin banyak.

Aku kunci pintu bilik air dari dalam bilik aku dan dum! Ada orang ketuk pintu tu dari dalam bilik air.

“Efa?” aku panggil. Tiada sahutan

“Nurul?” aku panggil lagi, dan tiada sahutan juga.

Pintu bilik aku terkuak. Liyana berdiri kat pintu.

“Kau dah balik? Kau pergi mana tadi? Kau tak kerja ke?” aku tanya bertalu-talu. Liyana tak cakap apa-apa, dia hanya pandang aku tanpa berkelip mata. Aku pula naik seram bila lihat dia begitu.

Aku taknak pedulikan dia. Aku ambil telekung aku, dan solat. Masa aku mula nak solat, aku nampak Liyana duduk di birai katil, sambil memandang tajam ke arah aku. Aku tak pandang dia. Lain sangat rupanya.

Aku solat, tapi tak khusyu’. Dari ekor mata, aku nampak Liyana duduk di belakang aku sebelah kiri sikit. Aku dapat dengar bunyi nafasnya. Ya Allah, bacaan aku lintang pukang. Aku tak tahu aku solat 3 rakaat ke 4 rakaat. Aku nak buat sujud sahwi tapi aku tak ingat bacaannya. Sekarang aku faham, andai kita khusyu dalam solat, kita takkan nampak hal dunia, walaupun emas berkilo duduk kat tepi kita. Itulah pentingnya khusyu.

Sebaik aku bagi salam akhir, Liyana masih duduk kat belakang aku dalam keadaan bertinggung dan tersenyum pandang aku. “Dah habis?” dia tanya aku.

“Kau tak solat ke Yana?” aku buat-buat berani bertanya. “Dah,” Liyana jawab. “Bila?” aku tanya. Liyana ketawa sambil pandang aku. Aku tak tahu kenapa dia mengesot mengikut kaki aku walau ke mana aku cuba melangkah. Cuak weh….

Lepas aku sidai kain telekung aku, aku memang nak keluar dari bilik. Aku cuba kuatkan diri walaupun aku dah rasa goyah dengan keadaan Liyana. Aku menoleh ke pintu, Liyana sedang meniarap sambil menongkat dagu memandang aku.

“Kau cantik Intan,” katanya.

“Kau ni dah kenapa Yana? Ke tepi, aku nak keluar, siapkan makan malam,” kataku tak berani pandang wajah Liyana yang lain macam.

-Bersambung-

2 thoughts on “DIA KAWAN AKU

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s