DIA KAWAN AKU

Bab 6

“Kenapa Efa? Kau nampak apa?” aku tanya.

Efa tak menyahut. Dia cuma buat isyarat suruh aku diam. Dia sangat asyik melihat ke arah tong sampah yang terbalik.

“Efa?” aku panggil Efa. Efa tak menyahut. Aku pandang ke arah tong sampah tu. Angin bertiup dan beberapa sampah ringan ditiup angin.

“Efa, kita kena angkat tong sampah tu. Nanti sampah berselerak ke rumah jiran, diorang bising nanti. Anjing pun banyak datang nanti,” kataku.

“Ada benda lain kat tong sampah tu. Dia yang jatuhkan tong sampah tu,” kata Efa.

“Ada apa?” aku tanya lagi.

“Kau betul nak tahu?” Efa tanya aku. Aku diam. Tak berani nak kata apa.

“Nanti kau angkatlah tong sampah tu. Aku nak masuk tidur,” kataku agak geram dengan sikap Efa.

“Kau tahu tak, ada seorang pakcik tua sedang duduk makan sisa makanan dekat tong sampah tu.” kata Efa tiba-tiba. Aku tak jadi melangkah ke ruang tamu. Aku kembali kepada Efa dan sama-sama menjenguk keluar. Sama macam tadi, aku hanya nampak tong sampah yang terbalik dengan sampah berselerakan.

“Kau tengok plastik roti, Kau fokus kat plastic roti tu je,” kata Efa. Dan aku turuti.

Betul, aku nampak plastik roti yang masih ada sisa roti yang dah tamat tempoh terangkat sendiri, berada di awang-awangan. “Angin kot tu,” kataku sendirian.

“Kau nak tengok?” Efa tanya aku. Aku pandang dia dan geleng kepala.

“Sebab tu orang tua dulu-dulu suruh kita jangan biarkan sampah kat dalam rumah. Sebab ada yang mencari makan di waktu malam. Bayangkan kalau tong sampah tu kat dalam rumah,” kata Efa.

“Siapa cari makan kat tong sampah? Anjing liar je,” kataku.

“Bukan setakat anjing liar. Kau tengok kat tong sampah tu ada anjing liar? Anjing pun tak berani dekat,” kata Efa.

Aku pandang ke arah tong sampah tu semula. Aku nampak beberapa ekor anjing yang lalu di kawasan tu tapi mereka lari bertempiaran seperti nampak sesuatu.

Tiba-tiba telefon Efa berbunyi. Melompat aku terkejut padahal Efa tenang je. Efa berlari ke ruang tamu menjawab telefonnya. Aku pula memandang kembali keluar tingkat. Plastik roti tadi dah berada di atas tanah semula.

Aku cuba fokus macam aku pandang plastik tadi, kali ni tiada apa yang berlaku. Hanya angin.

Tak lama lepas tu, Efa datang semula. Dia memandang keluar. “Eh, mana dia? Dah takde,” katanya. Aku diam je, angkat bahu bahawa aku masih tak tahu apa yang dia cari.

“Jom keluar, kita angkat tong sampah tu.” Efa mengajak aku.

“Kau dah yakin ke takde apa kat luar tu?” aku tanya semula.

“Dah takde dah. Jom,” kata Efa. Aku menurut. Efa tolak engsel dan buka pintu. Aku mengikut walaupun aku terasa seram sejuk. Angin malam buat aku rasa dingin. Efa melangkah ke arah tong sampah dan mengangkatnya. Aku pula mengutip sampah yang jatuh bertaburan dan masukkan semula ke dalam tong sampah.

‘Dum!’ pintu dapur kami tertutup kuat. Aku dan Efa terkejut.

“Efa, dah la. Jom masuk. Aku rasa tak sedap hati la,” kataku.

Efa tak menyahut tapi matanya terpaku ke arah batu besar kat seberang jalan belakang rumah kami. Aku pandang kat batu besar tu. Suasana agak gelap sebab dah malam kan.

“Kau tengok apa Efa? Jom la kita masuk,” kataku menarik tangan Efa. Efa tak bersuara, matanya pun tak berkelip masih memandang ke arah batu besar tu. Sesekali matanya memandang ke atas, seolah apa yang dia lihat itu agak tinggi hingga sampai pucuk pokok besar kat tepi batu tu.

“Efa, aku tak tahu apa yang kau nampak. Tapi kita kena masuk ke dalam rumah.” Kataku mendesak. Kalau tak kenangkan dia kawan aku, memang aku dah tinggalkan dia dan lari masuk ke rumah.

“Ada benda kat atas batu tu.Tinggi, warna hitam. Badan dia berbulu.” Kata Efa, masih memandang ke arah batu besar tu.

“Dah la Efa, biar je dia. Jom kita masuk,” kataku memujuk.

“Aku rasa inilah yang orang kata hantu raya,” kata Efa buatkan aku makin cuak.

“Efa, kalau kau taknak masuk rumah, aku masuk dulu. Kau tinggallah kat luar ni,” kataku mengugut.

“Kau tahu tak, hantu raya ni adalah belaan manusia. Maknanya ada di antara penduduk sini yang membela benda ni. Atau dia mungkin dihantar oleh seseorang,” kata Efa.

Aku dah tak peduli. Aku tarik tangan Efa dan melangkah ke pintu dapur kami. Mujur Efa tak melawan.

Masa aku berdiri kat pintu dapur nak masuk ke rumah, Efa tarik tangan aku. Matanya memandang ke dalam rumah kami melalui tingkap.

“Apa lagi Efa?” aku tanya dengan suara agak tinggi.

“Orang tua tadi ada kat dalam rumah kita. Dia sedang pandang kita dari dalam melalui tingkap ni,” kata Efa. Aku pula ikut menjenguk ke dalam rumah melalui tingkap walaupun aku tak nampak apa-apa.

Aku tak pedulikan Efa. Aku lebih takut dengan ‘hantu raya’ yang Efa kata berada kat atas batu besar kat belakang kami. Sebaik sahaja pintu aku terbuka, aku dengar air paip terpasang sendiri. Sekejap kuat, sekejap perlahan, macam ada orang sedang bermain dengannya.

Aku tengok jam, pukul 11.30 malam. Allah, lambat lagi matahari nak terbit. Sekarang aku tengok Efa pun aku seram. Entah dia orang ke atau bukan.

“Efa, jom kita masuk. Aku percaya dengan apa yang kau nampak. Tapi kita kena ingat, ada yang lebih berkuasa dari benda ni semua. Jangan terpedaya,” kataku, kononnya nak pujuk Efa, tapi sebenarnya aku lebih kepada cuba menenangkan diri aku sendiri.

Efa mengikut aku melangkah masuk ke dalam rumah. Aku tutup pintu. Aku pergi ke paip air, aku tutup paip air yang berpasang. Walaupun aku dapat rasakan ada sesuatu yang sejuk berdiri di sebelah aku. Efa pula pula tak cakap apa-apa tapi matanya melirik kepada sesuatu di tepi sinki.

Dada aku berdebar. Aku takut sebenarnya. Tapi dalam rumah tu ada aku dan Efa je. Yang lain semuanya syif malam. Aku tutup lampu dapur. Aku tarik Efa yang masih merenung ke tepi sinki.

“Dah jom kita naik ke bilik,” aku mengajak. Efa menurut. Tapi matanya masih memandang ke belakang kami. Aku taknak tanya dah dia tengok apa. Aku tahu dia akan jawab pakcik tua tadi mengekori kami.

Aku dan Efa naik tangga. Efa masih pandang ke belakang kami. “Efa, dia masih ikut ke?” aku tanya.

“Tak, dia memerhati dari tingkat bawah. Dia tak naik tangga,” kata Efa. Aku menarik nafas, lega sikit. Sikit je, tak banyak sebab aku tahu benda tu masih berada dalam rumah kami.

Sampai kat tingkat atas, Efa masuk ke biliknya dan aku masuk ke bilik aku. Sebaik aku pasang lampu, langsir tingkap bilik aku terangkat seperti ditiup angin. Aku pandang tingkap, aku rasa aku dah tutup tingkap petang tadi. Aku cuba untuk tak berfikir. Aku terus melangkah ke tingkap dan menutupnya.

Aku melangkah ke pintu bilik air. Baru je aku nak tarik pintu, aku dengar bunyi air di dalam bilik air. Aku tak jadi buka pintu. ‘Efa dah masuk bilik air kot,’ desis hati kecilku.

Kat tingkat atas, bilik air ada satu je. Dua-dua bilik berkongsi bilik air yang sama. Bermakna pintu keluar dari bilik air ada dua, satu masuk ke bilik Efa dan satu lagi masuk ke bilik aku.

Aku duduk di atas katil, membelek novel yang belum habis aku baca. Aku selak dan baca sikit-sikit sementara menunggu Efa keluar dari bilik air. Lepas setengah jam aku tunggu, Efa masih kat bilik air. Air paip masih berpasang. Aku ketuk pintu bilik air dan panggil nama Efa.

Bunyi air paip berhenti. “Efa, kau ok ke?” aku bertanya dari luar bilik air. “Dum!” seseorang mengetuk pintu dari dalam bilik air. Terkejut aku.

“Sorry Efa. Aku bukannya nak kacau kau. Aku risau kot kau tak ok. Lama dah kau kat dalam bilik air ni,” kataku perlahan, agak terkejut dengan sikap Efa. Sebab Efa seorang yang lembut, jarang nak dengar dia ketuk pintu kuat macam tu.

Tiba-tiba pintu bilik aku diketuk dari luar. Ah sudah. Siapa pula  tu? Aku melangkah ke pintu bilik. Nasib baik pintu bilik aku dah kunci. Aku terbayangkan pakcik tua yang Efa nampak mengikut kami masuk ke rumah tadi yang sedang mengetuk pintu.

Sedang aku masih terfikir-fikir nak buka pintu ke tak, tiba-tiba pintu ke bilik air terbuka sendiri. Laju jantung aku berdegup. Masa ni aku rasa nak panggil Efa suruh masuk bilik aku. Tapi aku takut nak buka pintu keluar, sebab aku tak tahu apa yang ketuk pintu bilik aku tadi. Aku nak capai telefon aku, tapi aku terpaksa melalui pintu bilik air tu dulu sebab aku letak telefon kat meja kecil penjuru bilik kat tepi tingkap.

Masa ni aku dengar bunyi anjing melolong kat belakang rumah aku. Adoi, time ni la dia nak melolong panjang macam tu. Aku tengok jam, pukul 12.30 tengah malam dah. Aku dengar bunyi tapak kaki kat dalam bilik air. Aku dengar bunyi air dalam baldi berkocak.

“Efa, kau ke tu kat dalam bilik air?” aku beranikan diri memanggil. Aku dengar bunyi rengusan yang agak kuat.

Bunyi tapak kaki kat bilik air tu seperti nak keluar dari bilik air melalui pintu yang terbuka. Aku menanti dengan penuh debaran, nak tengok apa yang keluar. Masa ni la bunyi ketukan kat pintu bilik aku berbunyi semula. Aku macam takde pilihan, aku buka pintu. Aku dah tawakkal je, apa pun yang muncul, aku terpaksa hadapi. Bak kata ayah aku, tak pernah lagi dalam sejarah ada orang mati dibunuh hantu.

Sebaik aku buka pintu, Efa berdiri. “Kenapa lambat sangat buka pintu? Dah lama aku berdiri kat luar,” rungutnya. Tuhan je tahu betapa leganya aku bila nampak Efa berdiri kat luar pintu bilik aku.

“Kenapa?” aku tanya.

“Aku nak pesan kat kau, jangan buka pintu bilik air,” katanya.

“Aku tak buka, tapi pintu tu dah terbuka sendiri,” kataku sambil menunjukkan ke arah pintu bilik air aku yang terbuka luas.

“Tadi bukan kau ke kat dalam bilik air?” aku bertanya lagi bila Efa tak menyahut apa yang aku cakap.

“Aku belum masuk. Aku ingat kau kat dalam. Tapi bila dah lama sangat, aku buka pintu bilik air dan ada benda lain kat dalam tu. Aku terus tutup pintu dan datang sini. Mana tahu kau kunci pintu bilik. Lama juga aku ketuk kau tak buka.” Kata Efa sambil melangkah masuk ke bilik aku dan terus ke pintu bilik air.

Wajahnya agak berubah bila dia melihat ke dalam bilik air tu. Matanya memandang ke atas dan ke bawah.

“Aku tak ganggu kamu, kamu jangan ganggu aku. Kamu keluar dari sini,” kata Efa macam bercakap dengan seseorang.

“Efa, tutup je pintu tu. Jangan layan apapun yang kau nampak,” kataku, tak selesa dengan keberanian Efa menegur benda yang aku tak nampak.

Efa akur. Dia menutup pintu bilik air. Dan datang kepadaku semula.

“Kenapa tiba-tiba je ada banyak benda aku nampak malam ni? Selalunya aku nampak kabur-kabur je, tapi malam ni amat jelas. Maknanya benda tu memang ada kat rumah ni, bukan sesat,” kata Efa sambil termenung kat tepi aku.

“Kau rasa macammana?” aku bertanya sebab aku agak tak faham dengan apa yang Efa cuba cakap.

“Ada sesuatu dalam rumah ni. Aku tak tahu apa dia. Tapi benda tu memang ada kat dalam rumah ni. Ada orang hantar,” kata Efa. Adoi, pulak dah. Aku yang cuba berlagak tenang tadi, kembali cuak. Aku pegang tangan Efa dan pandang keliling bilik.

“Efa, kau tidur kat bilik aku je la malam ni. Sekarang dah nak pukul 1, kita tak tidur lagi. Esok lepas subuh kita dah kena kerja. Nanti mengantuk,” kataku.

“Jom tidur kat bilik aku la. Macam dekat sangat benda tu kat dalam bilik ni,” kata Efa.

Aku anggukkan kepala. Melangkah mengambil bantal dan selimut aku, lepas tu terus mengikut Efa ke biliknya.

Aku dan Efa baring. Bunyi air dan pintu diketuk dari bilik air agak mengganggu aku.

“Efa, benda tu ada kat bilik air ke?” aku tanya.

“Haah. Tapi dia tak kacau kita. Biarkan. Dia ada tuan.” Kata Efa.

“Kau memang boleh kata biarkan. Tapi bunyi tu agak menakutkan aku. Macammana nak tidur kalau macam ni,” kataku.

Efa tak menyahut. Dia berpusing membelakangi aku dan cuba untuk tidur. Aku pun berbaring sama, cuba pejamkan mata. Macam-macam surah aku baca. Dan bercampur aduk jadinya.

Lebih kurang lima belas minit kemudian, bunyi tu berhenti. Dan mungkin kerana aku agak keletihan, aku terlena. Aku sedar bila terdengar azan subuh. Efa tiada kat tepi aku. Aku pandang keliling. Efa tiada.

Kerana suara azan itu lebih kuat dari ketakutan aku, aku bangun dan keluar dari bilik. Aku nampak Efa sedang duduk kat sofa di luar bilik. Dia kelihatan sugul dan termenung panjang.

“Kenapa ni Efa? Kau nampak sugul je,” aku bertanya. Efa pandang aku.

“Kita merantau ke tempat orang, mencari rezeki buat diri sendiri dan keluarga. Kita tinggal bersama dengan orang yang tidak kita kenali. Dari tak kenal, kita menjadi kawan. Kawan baik sehingga boleh tinggal serumah, makan semeja dan tidur sekatil. Namun macammana rapatnya kita, tapi kita masih tak mengenali sesama sendiri sepenuhnya. Yang nampak baik mungkin jahat, yang nampak jahat mungkin baik,” kata Efa tanpa pandang aku.

Aku pandang Efa. Wajahnya merah. Tak pasti kerana menangis atau menahan marah.

“Kenapa ni Efa? Aku tak faham,” kataku perlahan.

Efa bangun. Menyapu mukanya perlahan-lahan disertai keluhan berat.

“Bersiaplah. Kita pergi kerja,” kata Efa sambil melangkah ke biliknya.

“Aku nak mandi kat bilik air bawah.” Kataku perlahan.

Efa tak menyahut, terus masuk ke biliknya dan tutup pintu. Aku kat situ pula termenung sendirian memikirkan apa yang Efa cakap tadi. Bunyinya macam sangat kecewa. Apa dah jadi?

-Bersambung-

One thought on “DIA KAWAN AKU

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s