DIA KAWAN AKU

Bab 5

“Efa, kalau nak pergi rehat, kau pergilah. Aku jaga kaunter ni.” Kataku kepada Efa.

“Taknaklah. Aku ada beli roti lebih tadi. Nanti aku bancuh kopi je.” Kata Efa sambil menulis. Aku diam. Turut sama mengambil fail dan sambung kerja aku.

Tak sampai lima minit, Efa bangun. “Aku pergi bilik rehat jap ye.” Katanya dan aku mengangguk. Efa berlalu pergi.

Aku pandang keliling. Nampak Kak Nina masih memeriksa beberapa pesakit. Aku tunduk semula melihat fail. Sedang aku asyik menulis, aku perasan ada sesuatu yang bergerak kat tepi aku. Aku tak pandang terus, aku cuba lihat dari tepi mata aku.

Kerusi Efa berpusing sendiri! Ah sudah, aku dah cuak. Aku angkat kepala aku perlahan-lahan dan terus pandang ke sekeliling aku, mana tahu ada sesiapa nak mengusik. Memang takde sesiapa. Aku pandang kerusi Efa. Kerusi tu masih bergerak sendiri, berpusing perlahan. Aku pegang kerusi tu supaya berhenti berpusing.

Sekejap je kerusi tu berhenti berpusing. Sebaik je aku lepaskan pegangan aku, kerusi tu berpusing semula. Meremang bulu roma aku.

“Misi buat apa tu? Main kerusi je dari tadi saya tengok,” tiba-tiba Pakcik Amran menegur aku sambil melangkah perlahan menolak tiang besi beroda yang menyangkut botol air dripnya.

Aku angkat tangan aku dari kerusi. Kerusi tu dah tak berpusing. Aku pandang Pakcik Amran yang masih tersenyum memandang aku.

“Pakcik nak ke mana tu?” tanyaku tanpa pedulikan usikan Pakcik Amran.

“Nak ke tandas,” jawabnya perlahan dan teruskan perjalanannya.

“Perlahan-lahan pakcik. Kot lantai licin,” pesanku.

Pakcik Amran pengidap kencing manis yang agak teruk. Kaki kanannya luka tak sembuh lagi. Sepatutnya doktor dah potong kakinya pada hari kedua dia kat sini. Tapi Pakcik Amran taknak. Katanya walaupun kakinya luka teruk, dia masih boleh berjalan. Tapi kalau dah dipotong, dia dah takde kaki, langsung tak boleh berjalan. Doktor bagi tempoh sampai hari kelima, kalau masih takde result positif, kakinya perlu dipotong. Sebab bimbang jangkitan kuman di kawasan yang luka akan berjangkit ke kawasan lain yang masih sihat.

Pakcik Amran berjalan terus ke tandas. Aku pula menyambung kerja aku. Sesekali aku pandang kerusi Efa. Tak bergerak dah. Tenang sikit aku rasa.

Seketika kemudian, ‘pang!’ aku dengar pintu di tutup kuat dari arah tandas. ‘Pakcik Amran?’ aku tersentak. Cepat-cepat aku bangun dan berlari ke tandas. Aku menjenguk dari pintu besar. Kat dalam tu ada 5 tandas. Aku tengok takde siapa kat situ.

“Pakcik Amran!” aku panggil. Tiada sahutan.

“Pakcik!” aku panggil lagi. Masih tiada sahutan. Aku tunggu sekejap, mana tau ada bunyi. Tapi aku masih tak masuk ke dalam tandas, aku hanya berdiri kat pintu utama.

Seketika kemudian, aku dengar bunyi salah satu pintu tandas dibuka perlahan. Aku jenguk ke dalam dan nampak satu pintu di tandas tengah seperti bergerak.

Aku melangkah masuk perlahan-lahan. “Pakcik Amran,” aku panggil perlahan. Makin aku hampir dengan tandas tu, pintu tu makin ditolak dari dalam, seperti ada seseorang yang takut dilihat oleh aku kat dalam tu.

“Pakcik Amran ok ke?” aku bertanya lagi. Aku risau dia jatuh dan pengsan. Tapi kalau dia boleh menolak daun pintu tu, maknanya dia sedar.

Aku jadi hilang sabar bila tiada yang menyahut. Aku melangkah terus ke pintu tandas tu dan menolaknya terbuka. Tak sempat aku jenguk ke dalam, tiba-tiba pintu utama tertutup sendiri. Walhal pintu tu tak pernah bertutup pun. Masa ni aku dah cuak, rasa lain macam dah.

Aku pandang keliling. Aku tolak baki empat lagi pintu tandas yang lain, tiada sesiapa.

Sekali lagi, pintu tandas tadi ditolak perlahan dari dalam. Masa ni aku baru teringatkan pesanan Efa. ‘Jangan masuk tandas ketiga dari pintu’. Aku berhenti, berdiri tegak. Aku rasa masa ni muka aku dah takde darah.

Aku terus ke pintu utama tandas. Aku tarik pintu besar tu tapi tak boleh, terkunci. Tapi mana boleh terkunci dari luar sebab pintu ni sepatutnya dikunci dari dalam. Aku ketuk pintu tu kuat-kuat dan panggil nama Efa dan Kak Nina.

Tiba-tiba pintu tandas ketiga tadi berbunyi lagi. Terbuka dan tertutup sendiri, seperti ada yang menolak dan menarik pintu tersebut dari dalam. Aku tak berani bergerak atau bersuara. Aku hanya mampu berdiri di pintu utama yang tertutup rapat dan tak boleh aku buka. Buat masa ni aku hanya mampu menunggu, menunggu sesiapa dari luar masuk ke dalam atau menunggu sesiapa kat dalam tandas ketiga tu untuk keluar.

Seketika kemudian, pintu tandas tu berhenti bergerak dalam keadaan terbuka luas. Aku dengar bunyi sesuatu yang mengesot perlahan dari dalam dan aku dengan bunyi nafas seseorang. Bulu roma aku meremang dah. Punyalah takut sampai nak menangis pun tak mampu.

Bunyi mengesot tu makin kerap dan semakin hampir ke pintu. Aku dapat lihat satu pergerakan berwarna hitam di lantai. Aku menggigil, kaki aku kejang. Aku nampak objek seakan rambut yang lebat dan panjang di lantai, terjulur keluar di tandas yang terbuka. Seakan ada sesuatu yang sangat susah nak bergerak, sedang mengesot untuk berusaha keluar dari tandas tu.

Tiba-tiba pintu utama ditolak dari luar. Efa menjenguk. Benda hitam dari pintu tandas ketiga tadi seperti bergerak pantas masuk semula ke dalam tandas.

“Kenapa kau tutup pintu ni Intan?” Efa tanya aku sebaik sahaja dia nampak aku sedang tersandar kat dinding tandas tepi pintu. Aku tak mampu bersuara. Air mata aku mengalir deras. Dada aku berdegup kencang dan aku terasa nafas aku tersekat-sekat.

“Intan, kau ok tak ni?” Efa tanya aku. Aku cuba menguatkan jari telunjuk aku untuk menunjuk ke arah tandas ketiga. Efa memandang ke arah yang aku tunjuk. Efa masuk dan terus menuju ke tandas ketiga. Wajahnya berubah bila melihat ke dalam tandas tu. Aku nampak dia tarik pintu tandas tu dan tutup kuat lalu mencari tali dan terus  mengikat pintu tersebut.

“Aku dah kata, jangan masuk tandas ketiga. Kenapa kau degil?” Efa berkata dengan suara yang agak tinggi dan wajah yang merah, marah sangat dia. Aku tak menyahut, tak mampu menyahut.

“Dah, jom keluar,” kata Efa sambil menarik tangan aku. Aku hanya mengikut. Badan aku masih menggeletar dan aku rasa sesak nafas. Sampai kat kaunter jururawat, aku rasa pening dan berpusing. Aku jatuh ke lantai dan terus tak sedarkan diri.

Aku tersedar bila terasa ada orang menepuk pipi aku dan memanggil nama aku berkali-kali. Aku buka mata. Aku nampak Doktor Alif sedang memandang aku. Aku pandang keliling, aku nampak Efa dan Kak Nina. Aku terus bangun.

“Bagi dia minum air manis sikit,” kata Doktor Alif. Efa memberikan aku segelas kecil air gula.

“Awak ok ke tak ni?” Doktor Alif tanya aku. Aku hanya anggukkan kepala, tapi mata aku melilau pandang keliling.

Efa menggosok kepala aku, dari atas kepala turun ke dagu. “Jangan tengok atas” katanya. Aku pun tunduk.

“Kamu lemah semangat ni.” Kata Doktor Alif lagi.

“Ada benda kat tandas,” kataku cuba memberitahu walaupun masih terketar-ketar.

“Dah, Efa bawa dia ke bilik rehat tingkat satu. Kak Nina jaga wad sekejap. Tadi saya dah panggil Aziah untuk tolong Kak Nina kat sini sementara Intan dan Efa berehat. Boleh?” Doktor Alif berkata kepada Kak Nina. “Boleh doktor.” Sahut Kak Nina.

Efa memegang tangan aku dan kami keluar dari wad 6B. Aku tengok jam dinding, pukul 4 pagi. Efa nak tekan lif, tapi aku ajak dia turun tangga. Aku taknak naik lif. Efa akur. Dia mengikut aku turun tangga sampai tingkat 1.

“Apa benda kat dalam tandas tu tadi?” aku bertanya setelah kami duduk di bilik rehat.

“Kau tak payah tahulah,” kata Efa perlahan.

“Aku nampak benda tu warna hitam, ada rambut panjang dan dia mengesot perlahan,” kataku lagi cuba membayangkan benda yang aku nampak kat dalam tandas tadi.

“Tak payah cakap lagi pasal ni Intan. Kau tu tak kuat lagi. Aku Cuma nak tahu, macammana kau masuk boleh masuk ke tandas tu sedangkan aku dah bagi amaran?” Kata Efa.

“Sebelum tu Pakcik Amran pergi tandas. Tak lama lepas tu, aku dengar bunyi pintu tandas berdentum kuat. Aku risau kot Pakcik Amran jatuh ke, apa ke. Tu yang aku masuk. Sampai aku lupa dah pesanan kau tu,” kataku memberitahu punca aku masuk ke dalam tandas tadi.

“Pakcik Amran mana pulak ni?” Efa tanya aku.

“Alaa… yang sakit kencing manis, kakinya dah teruk tu. Doktor nak potong dia tak bagi,” kataku.

“Intan, bukan ke Pakcik Amran tu dah meninggal dunia semalam?” kata Efa sambil mengerutkan dahinya. Aku pula terkedu, berputar-putar mata aku mengingatkan pasal Pakcik Amran.

“Eh, iyelah. Dia dah meninggal semalam. Habis tu yang aku nampak tu siapa?” aku bertanya balik, juga dengan kerutan di dahi.

“Manalah aku tahu. Syaitan yang cuba mengelirukan kau kot. Kau tengah period kan?” Efa tanya aku semula.

“Haah. Apa kena mengena aku period dengan syaitan pula?” tanyaku lagi.

“Kau dalam keadaan tak suci. Kau tak solat dalam waktu ni. Jadi memang senang untuk jin dan syaitan permainkan kau.” Kata Efa. Aku diam cuba memahami apa yang Efa kata.

“Dah, tak payah fikir banyak lagi. Cukuplah kau percaya bahawa kat dunia ni, bukan kita je yang ada. Allah cipta macam-macam makhluk lain yang kita tak nampak. Cuma anugerah aku, aku nampak benda-benda ni,” kata Efa seakan tak suka aku bertanya banyak.

“Kau tak takut ke nampak benda ni semua, Efa?” aku tanya.

“Mestilah aku takut. Tapi mak aku kata, manusia ni ciptaan tertinggi oleh Allah. Makhluk lain tak setanding dengan manusia. Jadi kenapa kita nak takut dengan mereka? Mereka yang sepatutnya takut dengan kita. Dan yang paling penting, kita kena takut kepada Allah.” Kata Efa.

Aku diam. Taknak bertanya banyak sebab aku dapat rasakan Efa juga tertekan dengan kelebihannya itu.

Lepas kejadian tu, aku dan Efa ditukarkan bertugas di bahagian lain. Dan kami juga jarang bersama dalam satu syif.

Satu hari tu, kebetulan aku dan Efa bercuti pada tarikh yang sama. Kami tak pakat pun, tapi rolling tugas, kami bercuti hari Rabu. Kawan lain tak cuti, jadi aku dan Efa je ada kat rumah. Malam tu kami masaklah, dah tinggal berdua, kami masaklah ala kadar. Lepas masak dan makan, Efa basuh pinggan. Aku terus ke bilik solat Isya’.

Lepas solat, aku mencari Efa kat bilik dia, tak jumpa. Aku turun semula ke tingkat bawah dan cari Efa. “Efa” aku panggil Efa. Tapi dia tak menyahut.

Aku dengar bunyi tong sampah terbalik. Aku terus ke dapur dan nampak Efa sedang berdiri di sinki sambil matanya memandang keluar tingkap. Aku merapati Efa.

“Kenapa ni Efa?” aku tanya.

Efa buat isyarat diam. Dan tunjuk ke arah luar tingkap. Aku pun ikut menjenguk keluar. Aku nampak tong sampah hitam kami dah terbalik, sampah dah bersepah kat luar. Aku melangkah ke pintu nak keluar betulkan tong sampah tu tapi ditahan oleh Efa.

“Nanti dulu. Jangan keluar,” kata Efa. Masa ni aku dah cuak dah. Inilah sebab aku taknak bersama dengan Efa.

-Bersambung-

One thought on “DIA KAWAN AKU

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s