DIA KAWAN AKU

Bab 4

“Intan, kau pergilah rehat dulu. Biar akak dan Efa jaga wad. Nanti lepas Intan, Efa pulak.” Kata Kak Nina. Aku tak cakap banyak, terus bangun dan ambil botol air minuman aku. Selalunya macam ni aku pergi ke kafe. Bukannya lapar sangat, tapi aku nak minum kopi.

Masa aku lalu kat tempat kecemasan, ramai lagi orang masih menunggu kat situ, samada pesakit mahupun waris pesakit. Hari-hari hospital penuh. Hari-hari orang sakit. Kami kakitangan perubatan pun kadang tu tak cukup tangan. Mana nak jaga yang kat wad lagi, pesakit yang baru nak masuk wad lagi. Tua muda lelaki perempuan, semua sama.

Aku teruskan berjalan sampai ke kafe. Tadi masa kat lobi hospital, aku tak rasa cuak sangat sebab ramai orang. Tapi bila aku lalu kat laluan samar ke kafe, rasa cuak tu datang semula. Terasa macam ada yang mengikut pula. Nasib baik Efa takde, kalau dia ada, entah apa pula yang dia nampak.

Aku jalan laju-laju menuju ke kafe. Sampai kafe, ada 2 kedai je yang masih buka. Kedai minuman dan kedai makanan ringan. Takde orang yang sedang duduk pun kat situ. Aku terus ke kedai minuman, order segelas kopi suam. Lepas tu aku beli satu sandwish lalu duduk kat satu kerusi dekat dengan sinki tempat basuh tangan.

Sedang aku menikmati kopi aku, aku terasa macam ada orang memanndang aku dari arah belakang. Aku menoleh. Aku nampak seorang lelaki tua dalam usia 70 tahun duduk memandang aku kat situ. Aku senyum kat dia, dia senyum kat aku balik.

Aku berpaling semula dan menyambung menikmati kopi suam aku sambil makan sandwich yang dah sejuk. Kipas siling berpusing laju. Lepas beberapa teguk aku minum, aku toleh semula kat lelaki tua yang duduk kat belakang aku, dah takde dia kat situ. Aku ni memandang ke arah pintu masuk dan keluar. Sebab pintu kedua di kafe tersebut akan ditutup pada sebelah malam. Jadi, hanya satu pintu boleh digunakan untuk keluar dan masuk.

Tapi sejak aku masuk ke kafe tu, aku tak nampak pun ada orang masuk atau keluar melalui pintu kafe tu. Itu yang aku pelik, dari mana lelaki tua itu datang. Dan sekarang ni hilang pula.

Ahh, biarlah dia. Kenapa yang aku nak ambil tahu sangat pasal dia kan. Dia mungkin waris pesakit yang masih menunggu di situ. Atau dia sendiri mungkin pesakit yang datang ke kafe tu untuk beli makanan. Iyelah, makanan hospital memang kurang sedap, tak berselera nak makan.

Aku toleh ke depan semula. Dan nyaris nak tumpah kopi aku bila aku tengok lelaki tua tadi sedang duduk kat meja sebelah meja aku. Dia masih di kedudukan tadi, duduk, berpeluk tubuh dan memandang aku dengan serius.

Aku tak pandang dia. Sebab pandangan dia agak mengelirukan aku.

Sebaik habis kopi aku, aku bangun. Aku pergi ke kedai makanan ringan tadi, beli sebuku roti untuk bawa balik ke wad. Mana tahu nanti aku lapar dah nak subuh nanti.

“Wawa, siapa lelaki tua tu? Tadi aku tak nampak pun dia masuk ke kafe ni?” aku tanya Wawa, penjual kat kedai makanan ringan tu.

“Lelaki mana Intan?” Wawa tanya aku balik sampai meninjau ke tengah kafe.

“Tu. Yang duduk kat tepi sinki basuh tangan tu.” kataku tanpa memandang lelaki tersebut.

“Mana ada sesiapa kat situ. Dari tadi Intan seorang je yang duduk kat sini,” kata Wawa.

“Eh, tu ada lelaki tua kat situ. Dia tak minum pun. Duduk termenung je. Pindah pindah meja pulak tu. Ingat kot orang kafe ni juga ke,” kataku.

“Kau mengantuk ni Intan. Takde siapa. Cuba kau tengok balik,” kata Wawa mengembalikan baki duit aku.

Aku menoleh. Iyelah, takde siapa kat situ. Aku pandang keliling. Memang takde siapa.

“Dia dah keluar agaknya,” aku berbisik sendirian.

“Takde siapa dari tadi Intan oi.” kata Wawa sambil ketawa kecil.

Aku terus melangkah keluar dari kafe. Nak ikut laluan ke lobi hospital tu lagi sekali aku susah hati. Laluan tu bukan gelap, tapi dengan lampu yang asalnya ada enam, tinggal 2 je yang menyala. Jadi, laluan tu agak samar. Tapi dah memang itu je laluan paling dekat untuk ke lobi hospital, aku redah juga la.

Laluan tu tak panjang, tapi malam tu aku terasa laluan tu macam jauh sangat. Aku berhenti melangkah bila terdengar bunyi tapak kaki orang mengikut langkah aku dari belakang. Aku menoleh, tiada siapa. Jantung aku berdebar sampai bergegar badan aku.

“Bismillaahirrohmaanirrohim. Aku berlindung kepada Allah, jauhkan aku dari perkara yang tak baik,” berdoa aku kat bawah laluan tu. Entahlah, seram sangat. Rasa naik bulu roma aku semua. Teringat-ingat kat lelaki tua tadi. Orang ke dia, hantu ke pun.

Aku nekad, aku akan jalan terus. Walau apa bunyi yang aku dengar, aku akan jalan. Maka aku toleh semula ke depan dan terus melangkah laju sampai tiba-tiba aku terlanggar seseorang berbaju putih.

“Awak nak ke mana kalut ni Intan?” Doktor Afifah menegur aku.

“Eh, doktor. Saya nak balik ke wad.” Sahutku, cuba menyembunyikan ketakutan aku.

“Tau la awak nak balik ke wad. Tapi yang kalut macam dikejar hantu ni, dah kenapa?” tanya Doktor Afifah lagi.

“Takde apalah doktor. Gelap kat sini. Bila mereka nak pasang lampu yang dah rosak tu?” kataku cuba mengubah topik.

“Entahlah, saya dah ingatkan bahagian maintenance dah berapa kali dah. Stok takde kot, tunggu peruntukan ke. Tak tahulah.” Kata Doktor Afifah.

“Takpelah doktor. Saya naik ke wad dulu,” kataku dan terus melangkah ke lobi hospital, terus ke lif. Takde orang menunggu lif. Kalau waktu melawat, punyalah penuh orang tunggu lif. Aku selalunya naik tangga je, malas nak berebut lif. Lif ada empat, tapi tak pernah ada ruang kalau waktu melawat.

Lif nombor 3 terbuka. Takde orang. Aku masuk. Aku tekan tingkat 6. Sampai tingkat 2, lif berhenti. Ada orang tekan kot. Dan pintu lif terbuka. Aku nampak lelaki tua yang kat kafe tadi berdiri kat luar pintu lif. Dia pandang aku. Aku pula tak tentu hala, rasa nak meraung pun ada. Aku nekad, kalau dia masuk, aku akan keluar. Tapi dia tak masuk, hanya pandang aku dari luar. Sebaik pintu lif nak tutup, ada satu tangan menahan pintu lif. Cepat-cepat aku tekan butang buka. Seorang lelaki dengan seorang perempuan, mungkin isterinya masuk ke dalam lif.

“Terima kasih,” kata lelaki yang baru masuk ke dalam lif tu. Aku anggukkan kepala sambil senyum. Isterinya turut senyum memandang aku.

“Eh, lif ni naik ye?” kata lelaki itu.

“Haah, saya dah tekan tingkat 6 tadi.” Jawabku.

“Oo.. tak perasan pula. Ingatkan nak turun,” kata lelaki itu lagi.

“Takpelah, kita tunggu je. Bukannya lama sangat,” kata isterinya.

Aku pula mengundur sikit ke belakang, untuk memberi ruang kepada pasangan tersebut. Masa ni aku terasa ada seseorang yang lain kat dalam lif tu, sedang berdiri kat bahagian dinding belakang lif.

Aku menoleh perlahan. Dan ternyata lelaki tua tadi ada di situ. Tak sedar aku menjerit, tutup mata dan tutup telinga aku dengan tangan.

“Kenapa ni nurse?” tanya lelaki yang baru masuk tadi dengan wajah terkejut juga.

“Nurse?” isteri dia pula bertanya kepada aku.

Aku buka mata aku, aku pandang ke tempat lelaki tua tadi berdiri.

“Tadi ada seorang lelaki tua kat sini kan?” aku bertanya.

“Takde pun nurse. Kita bertiga je,” kata perempuan tadi.

Aku diam. “Kenapa nurse? Nurse ada nampak orang lain ke selain kita?” tanya lelaki tadi pula.

Aku gelengkan kepala, cuba bertenang.

“Ting!” Lif berbunyi dan pintu lif terbuka. Cepat-cepat aku keluar, tak toleh dah.

Aku melangkah laju masuk ke Wad 6B. Efa berada di meja jururawat, Kak Nina takde. Mungkin sedang memeriksa pesakit. Aku tergesa-gesa duduk kat meja aku, dengan terketar-ketar. Efa yang sedang menulis, mengangkat mukanya memandang aku.

“Siapa pula kau bawa balik ni Intan?” Efa tanya aku.

“Siapa apa?” aku tanya balik.

“Ni pakcik mana kau bawa ke sini ni?” Efa masih tanya aku soalan tadi.

“Mana ada sesiapa. Aku seorang je,” sahutku.

“Kalau macam tu, dia la yang ikut kau,” kata Efa sambil menyambung menulis.

Aku cuba menarik nafas panjang dan cuba bertenang.

“Kak Nina mana?” aku bertanya.

“Pergi periksa pesakit kat wad Sri Melati,” sahut Efa tanpa pandang aku.

“Eh Efa. Tadi kat kafe, aku nampak seorang lelaki tua tau. Tapi aku tanya kat Wawa, katanya takde orang lain kat situ selain aku. Lepas tu aku keluar dari kafe, aku nampak dia kat luar kafe. Masa aku naik lif, dia ada kat lif. Seram weh. Mujur rupa dia masih macam orang. Cuma rupa dia pelik. Dan orang lain macam tak nampak dia,” kataku ceritakan apa terjadi selepas jantung aku normal semula degupannya.

“Lelaki tu pakai baju kemeja tangan pendek warna hijau dengan seluar warna coklat?” Efa tanya aku.

“Eh, mana kau tahu? Staf hospital ke?” aku bertanya.

“Tu yang aku kata kau bawa balik pakcik tu. Ada kat sebelah kau,” kata Efa membuatkan aku bangun dari kerusi dan memandang keliling.

“Efa, tolonglah jangan bergurau macam ni dengan aku. Aku serius ni,” kataku rasa macam nak marah.

“Aku pun serius. Dia ada kat tepi kau,” kata Efa sambil menulis, macam takde apa yang sedang berlaku sedangkan aku dah rasa nak lari tinggalkan hospital ni.

“Betul ke Efa? Dia bukan orang ke? Kenapa dia ikut aku?” aku bertanya perlahan.

“Benda ni sebenarnya Intan, kau tak boleh takut. Bila kau takut, jiwa kau kacau. Iman kau goyah. Itu yang dia nak.” Kata Efa.

“Aku cuma nak tahu, orang ke bukan?” tanyaku lagi.

“Bukan dari alam kita. Ada orang meninggal dunia kot,” kata Efa masih tenang tapi matanya memandang ke arah tepi aku. Mulutnya terkumat kamit, dah macam bomoh pulak aku tengok si Efa.

Aku tak menyahut. Seluruh badan aku sejuk.

“Dah, dia dah pergi. Dia mungkin sedang cari arahnya. Terjumpa pula dengan kau. Lemah semangat pula tu. Dia ikut la,” kata Efa sambil memegang bahu aku perlahan.

“Kau kena kuat Intan. Kalau tak nanti kau demam.” Kata Efa memandang aku sambil tersenyum.

“Kenapa tandas no 3 berkunci dari dalam? Semua pesakit ada kat katil. Akak panggil takde yang menyahut,” kata Kak Nina tiba-tiba muncul dari arah tandas.

“Entahlah kak. Tadi saya pergi pun memang dah berkunci,” sahut Efa.

“Kena panggil Uncle Siva la suruh betulkan. Esok pagi ramai nak guna tandas dan bilik air tu,” kata Kak Nina.

Masa ni aku teringat pesanan Efa tadi, supaya aku tak masuk ke tandas nombor 3 dari pintu. Aku pandang Efa, dia masih menulis. Kak Nina pergi semula selepas mengambil beberapa fail.

“Eh Efa, tadi kau pesan kat aku, jangan masuk tandas tu kan. Sebab rosak ke? Atau ada sebab lain?” aku bertanya.

“Takde apalah. Kau jangan masuk je,” kata Efa sambil pandang tepat ke mata aku. Serius je rupa dia. Naik seram pula aku tengok dia. Aku pun diam.

-Bersambung-

One thought on “DIA KAWAN AKU

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s